CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

08 October 2009

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar radhiyallahu anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:

Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu Abdil Barr, imam asy-Syafie, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallalalhu alaihi wa Sallam bersabda:
Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 “ Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.




Ini adalah sebagaimana hadis ˜Ali radhiyallahu anhu, beliau berkata:
Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?

Beliau menjawab:
Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359.

Juga hadis dari Umar al-Khaththab radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:
Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar). (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi.

2 “ Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shanani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya... (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shanani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:
Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Jumaat, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:
Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811.

Daripada Anas radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam berdoa kepada Saad bin Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:
Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu. (Hadis Riwayat Ahmad.)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:
Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

3 comments:

Anonymous said...

salam..kalau walimah, ada 2 orang jemput dalam satu masa, mcmne eh?jawab yg prtama ke? kedua xyah jwb ke? ke datang yg mna paling dekat??mekasih..nice blog..(^_^)

:: zarirahzam :: said...

salam

kalau saya, ada 2 undangan perkahwinan satu masa yg sama, satu saya dtg hari nikah, satu lagi datang hari majlis sanding, itupun sbb dua2 dekat..if jauh, terpulanglah samada hendak datang atau sebaliknya =)

zulhanan said...

salam,
kalau x datang kenduri tu xper ker? dosa besar ke? kalo bagi alsan jauh dari tempat tinggal camner.