CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

04 October 2009

Pentingkah wang untuk kebahagiaan rumatangga?

Ada orang mengatakan wang tidak penting untuk kebahagiaan. Yang penting adalah kasih sayang.Ada juga yang mengatakan tanpa wang, hidup pasti tidak bahagia.

Jadi sebenarnya adakah wang penting dalam kehidupan rumahtangga? Bolehkah anda hidup tanpa wang? Bolehkah juga rumahtangga kekal bahagia dengan kasihsayang sahaja?

Setelah hampir 25 tahun aku melalui alam rumah tangga, pahit manis yang dilalui,bagi aku wang bukanlah segalanya, yang penting adalah ikatan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang utuh akan membuat hati kita sentiasa tenang dan lapang. Kita akan sentiasa rasa dihargai dan diberi perhatian.




Sejak berumah tangga, kami tidak pernah kisah mengenai duit. Tidak ada duit bukan semestinya tidak ada rezeki. Keyakinan rezeki adalah milik Allah dan setiap manusia telah ditetapkan rezekinya sejak azali, membuatkan hidup dalam rumah tangga kami jarang dilanda angin apatah lagi taufan. Kami makan seadanya sahaja.

Untuk keperluan rumah tangga, kami membeli mengikut keperluan sahaja bukan ikut keutamaan. Kami amat berhemat membelanjakan wang yang diperolehi melalui gaji setiap bulan. Masa itu, siisteri masih belajar, sisuami bekerja sebagai penolong pensyarah dengan gaji permulaan hanya RM 880.00 sahaja setelah ditolak potongan kwsp, keahlian koperasi dan sumbangan peribadi kepada badan kebajikan.

Dengan wang RM 880.00, kami berhemat untuk diagihkan kepada ibu bapa, petrol, perbelanjaan harian dan barang-barang dapur. Kami hidup seadanya walaupun anggapan orang kampong bekerja sebagai pensyarah di IPTA, gajinya besar. Orang tidak pernah tahu, belum pun sampai seminggu lagi tarikh pembayaran gaji bulan berikutnya kami telah kehabisan wang. Kami berkeyakinan bahawa rezeki itu tetap ada.

Malam, nak memasak , tiada bahan nak dimasak, tiba-tiba jiran sebelah menghantar mee goreng sepinggan, atau ada jemputan membaca doa untuk majlis kenduri tahlil di rumah saudara. Atau ada sekumpulan pelajar membuat program, makanan mereka berlebihan dan dihantar ke pintu rumah. Biarlah tak ada kerusi sofa, karpet berbulu tebal asalkan hati bahagia tidak berhutang. Masa awal-awal perkahwinan, si suami tidak berani membuat apa-apa pinjaman kewangan pun kerana :
1. kaedah tidak menurut syarie,
2. tidak mampu untuk membuat bayaran balik kepada sipeminjam.

Dari wang gaji bulanan itu, kami utamakan pemberian kepada ibu bapa, dan infaq. Biar kami tidak makan, tapi belanja untuk ibu bapa wajib diberikan, Infaq ini, biar sedikit asalkan ikhlas. Bagaimana caranya. Kami amat yakin dengan janji Allah bahawa tiap yang kita belanjakan dijalan Allah dgn ikhlas, setiap satu akan digandakan. (Sedekah 1 digantikan 10) Seperti firman Allah dalam al-Quran , Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Al-Baqarah:261)

Orang yang suka bersedekah mendapat beberapa kebaikan seperti panjang usianya, dimurahkan rezeki dari pintu tidak disangka, hati berasa tenang dan dijauhi daripada bala.

Pada suatu hari Ali bin Abi Talib memberikan sedekah kepada seorang miskin sebanyak enam dirham.

Kemudian, Allah mengutuskan dua malaikat iaitu Jibril dan Mikail yang menjelma sebagai dua Arab Badwi yang menggantikan enam dirham disedekahkan Ali dengan 300 dirham.

Dalam satu kisah lagi, Abu Dahdah Anshari mengunjungi Nabi Muhammad dan bertanya baginda: "Wahai Rasulullah, adakah Allah meminjam daripada kami?

Nabi menjawab: "Ya, benar."

Kemudian Abu Dahdah berkata: "Hulurkan tanganmu yang mulia itu wahai rasul kerana aku mahu memegangnya."

Nabi Muhammad s.a.w menghulurkan tangannya dan Abu Dahdah memegang tangan nabi sambil berkata: "Wahai Rasulullah, aku meminjamkan kebunku kepada Allah."

Di kebun itu ada 600 pohon kurma dan di kebun itulah isteri dan anak-anak Abu Dahdah tinggal.

Selepas itu, dia menuju ke kebunnya dan berkata kepada isterinya. "Marilah kita keluar dari kebun ini kerana aku sudah memberikannya kepada Allah." Kemudian, Nabi membahagikan kebun itu untuk anak yatim.

Ada dua keadaan orang yang bersedekah, iaitu melakukannya secara senyap dan satu lagi dengan terang-terangan. Kedua-duanya mengandungi kebaikan dan mendapat ganjaran.

"Kalau kamu zahirkan sedekah itu, maka itu adalah baik dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta berikan kepada fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu..." (Al-Baqarah:271)

Imam Ghazali menyebut dalam Ihya Ulumiddin mengenai adab bersedekah. Beliau menjelaskan: "Janganlah merosakkan sedekah dengan mann dan adza."

Sesetengah ulama mengatakan mann ialah menyebut-nyebut berkenaan sedekah di depan orang lain dan adza adalah memberitahu sedekah itu kepada orang lain.

Ada ulama berpendapat mann adalah memerintahkan orang yang menerima sedekah itu melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bayaran sebagai ganti pemberiannya manakala adza ialah mengatakan orang menerima sedekah itu orang miskin.

Ulama lain berpendapat, mann ialah dengan pemberian itu, orang yang memberi menunjukkan besar diri kepada orang yang menerima manakala adza ialah memarahi orang menerimanya kerana meminta-minta.

Amalan sedekah juga tidak sunyi daripada riak iaitu menunjuk-nunjuk.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Yang paling aku takuti ke atas diri kamu adalah syirik kecil." Sahabat bertanya: "Apakah syirik kecil itu?" Nabi menjawab: "Beramal kerana mahu menunjuk-nunjuk."

Justeru itu, ada ulama mengatakan sedekah secara diam-diam, tidak dihebohkan dan dipertontonkan lebih baik, seperti kata al-Ghazali, memberi sedekah dengan cara sembunyi itu dapat menyelamatkan kita daripada riak dan kemasyhuran.

Ibnu Umar melaporkan daripada Nabi, amal soleh dengan cara bersembunyi itu lebih utama daripada amal soleh yang dilakukan secara terang-terangan kecuali katanya, apabila kita mahu orang lain meniru perbuatan kita demi kebaikan.

Hadith Nabi Saw: "Tidak berkurang harta kerana sedekah, dan tiada seorang yang memaafkan suatu kezaliman melainkan Allah swt menambah kemuliaan, dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah) kerana Allah swt, melainkan Allah swt menaikkan darjatnya." (Abu Hurairah r.anhu)

Hadith Nabi Saw: "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka."
(Aishah r.anha)

Sedekah mengandungi 10 kebaikan:


A) Kebaikan di dunia

1) Membersihkan harta kekayaan

2) Membersihkan badan daripada dosa-dosa

3) Menolak bala dan penyakit
4) Menyenangkan hati orang miskin
5) Menjadikan berkat dalam harta dan meluaskan rezeki


B) Kebaikan di Akhirat

1) Sedekah itu menjadi naungan baginya

2) Sedekah meringankan hisab amalnya

3) Memberatkan timbangan amal kebaikannya

4) Memudahkan melintasi sirat

5) Bertambah darjat di syurga


Barangsiapa yang menolak lima pekara, maka Allah akan menolak lima perkara daripadanya iaitu:

1) Barangsiapa menolak zakat, Allah swt akan menolak keselamatan hartanya
2) Barangsiapa tolak sedekah, Allah swt akan mengurangi kesihatannya
3) Barangsiapa menolak zakat tanamannya, Allah swt akan menolak berkat tanahnya

4) Barangsiapa tidak suka berdoa, Allah tidak suka untuk menerimanya

5) Barangsiapa yang meringan-ringankan solatnya, Allah swt akan menolak dari kalimah
syahadah ketika matinya

Berkat keyakinan tentang sedekah inilah, maka rezeki kami sentiasa ada dan melimpah ruah. Bila rezeki bertambah, infaq juga bertambah maka rezeki ini makin murah dari sumber yang tidak diketahui.

Bila kita hidup tanpa memikirkan kewangan yang dibelanjakan maka Allah juga melapang fikiran dan jalan bagaiman untuk menambah pendapatan. Pendapatan bertambah bukan lah bererti wang turun dari langit, sebaliknya kita tetap perlu berusaha untuk mendapat kemurahan rezeki itu.

Maka dalam rumah tangga, lapangkan fikiran kita dari memikirkan soal kewangan dengan banyak jariah tidak semestinya dalam bentuk harta atau wang ringgit, tapi dari segi tenaga dan masa. Bagaimana yang dikatakan berjariah masa? Meluangkan masa bersama-sama orang yang dalam kesukaran tanpa perlanggaran syariat Allah.

1 comments:

Rabi'atul 'Adawiyah Nubahari said...

syukran dgn info yg bguna nie..b4 nie takut jg ble memikirkan hal nie.. sbb org zaman skrg kta kasih syg xckup utk membina kbhgiaan dlm rmhtangga..tp kamu dah mbuktikan..