CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

08 October 2009

Walimatul Urus yang sepatutnya

Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.



Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Taala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.


Terlintas difikiran untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggaan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syariat.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Taala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyariatkan.

Jesteru bagaimanakah bentuk walimah yang dianjurkan oleh Islam yang sebenar-benarnya menurut syariat?

Walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan). Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu anhu, di mana beliau berkata:
"Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam kepada Abdurrahman bin Auf apabila Nabi mengetahui Abdurrahman baru sahaja bernikah:
Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu anhu, beliau berkata:
Ketika Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shanani rahimahullah menjelaskan:
Imam Ahmad berkata, Walimah itu hukumnya sunnah. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafie rahimahullah.(Imam Muhammad bin Ismail ash-Shanani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafie di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah:

Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyariatkan (sangat dituntut), bukan wajib.(Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu anhu, beliau berkata:

Ketika Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan. (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu anhu, beliau menjelaskan:
Abdurrahaman berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma). Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:

Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan Abdurrahman bin Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafie menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:
Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ˜alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas di pagi harinya(rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai Bab Waktu Walimah. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shanani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Munim Salim:
Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.(Amru Abdul Munim Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba)




0 comments: