CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

31 October 2009

Betulkan Niat Untuk Berkahwin

1. Niat memiliki peranan yang amat penting di dalam segala kegiatan dan amalan agama kerana nilaian Allah Ta'ala terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.

2. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud :

" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar ".

3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan ".

4. Maka niat yang baik itu adalah dianggap sebagai satu amal soleh dan memperolehi pahala serta ganjaran daripada Allah s.w.t.

5. Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik, manakala sesiapa yang berniat buruk maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.

6. Kaum muslimin mengakui niat itu sebagai rukun dan syarat dalam semua amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan oleh lidah sahaja .



Niat Untuk Berkahwin


Suatu ketika dahulu, seorang lelaki di Mekah telah meminang seorang wanita di Madinah yang bernama Ummu Qais. Wanita itu enggan berkahwin dengan lelaki tersebut kerana mereka tinggal berjauhan. Menurut sebuah keterangan, wanita itu telah berkata, “Bagaimana engkau hendak berkahwin denganku kerana engkau tinggal di Mekah dan aku tinggal di Madinah. Sekiranya engkau mahu berkahwin dengan aku, marilah berpindah ke Madinah.”[1] Semasa peristiwa hijrah masih berlaku, lelaki itu berpindah bersama-sama para sahabat ke Madinah, tetapi dengan niat yang berbeza.

Mengetahui perihal tersebut, Rasulullah telah menegur secara terang-terangan niat lelaki itu. Menurut Umar Al-Khattab, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”[2]

Walaupun terdapat perbezaan perjalanan hijrah sahabat Rasulullah dengan perjalanan mencari si dia, namun setiap perjalanan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Di dalam perihal berkahwin, niat seseorang sepatutnya adalah mengharapkan keredhaan Allah. Bukan untuk “bercouple” atau untuk mempunyai seorang teman istimewa. Bukan kerana ingin bersuka-suka atau ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan juga kerana putus cinta atau sedang dilanda kekecewaan. Bukan pula kerana mendapat desakkan dan tekanan daripada sahabat handai dan kaum keluarga.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” Ia merupakan satu saranan kepada semua umat Islam supaya berkahwin, walaupun tidak berkemampuan.

Pada surah yang sama, di ayat 33 Allah kemudian menegaskan, “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya”. Allah telah menyuruh hambaNya yang berniat untuk berkahwin agar menjaga kehormatan sekiranya tidak berkemampuan dan bersabar sehingga dikurniakan kekayaan daripadaNya.

Lazimnya seseorang yang berniat untuk berumahtangga kerana Allah akan menerima dengan hati terbuka siapa sahaja yang mendatang. Asalkan yang mendatang itu menepati ciri-ciri yang disarankan oleh agama dan setelah beliau telah melakukan istikharah dengan betul. Alam percintaan dan berkasih sayang hanya wujud selepas ikatan sah terjalin.

Sebaliknya jika niat perkahwinan adalah semata-mata memenuhi tuntutan duniawi, sudah tentu pelbagai faktor seperti alam percintaan, rupa paras, kerjaya, gaya, fesyen, wang ringgit, hobi waktu lapang, perasaan hati dan sebagainya akan menjadi persoalan. Semua persoalan perlukan jawapan. Semua jawapan perlukan penilaian. Semua penilaian mungkin akan memakan masa yang panjang dan kadang-kala menimbulkan persoalan baru.

Wallahu’alam.

Seterusnya...

Kewajipan Ibu Bapa Terhadap Anaknya

Kedua orang tua itu mempunyai kewajipan mendidik dan mengajar anaknya berbuat baik dalam pergaulan serta adab sopan dalam hidup berumahtangga dengan suaminya. Mengenai ini ada diriwayatkan bahawa Asma' binti Kharijah Fazari berkata kepada anaknya sewaktu perkahwinan anaknya dengan berkata:

" Hai anakku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dilahirkan sehingga menjadi besar. Kini engkau mesti beralih ke suatu tempat dan rumah yang belum kau kenal dan engkau mesti berkawan dengan seoarang yang belum di kenali. Itulah suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit untukmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi tiang untukmu. Jadikanlah dirimu pengasuhnya, nescaya ia akan menjadi hambamu. Janganlah engkau menghimpunkan untuknya berbagai kesukaran, sebab itu akan membuatkan ia meninggalkanmu. Janganlah engkau terlampau jauh daripadanya, nanti ia akan melupakanmu. Tetapi kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan sekiranya ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik, peliharalah suamimu, hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah suamimu itu mencium sesuatu dari dirimu melainkan yang harum, jangan pula ia mendengar melainkan yang enak, jangan pula ia melihat melainkan yang indah dari diri mu.

Kata-kata yang merupakan kumpulan adab sopan wanita perlu dipanjangkan, iaitu isteri hendaklah merupakan tiang utama di tengah - tengah rumahnya. Isteri itu hendaklah sentiasa di bilik rumahnya, menetap ditempat perkakas anyamannya, tidak banyak turun naiknya ataupun keluar. Ia mesti kurang berbicara terhadap tetangganya. Janganlah memasuki rumah tetangganya itu melainkan didalam keadaan yang mengharuskan ia masuk di situ.



Isteri hendaklah menjaga suaminya, baik sewaktu ia pergi ataupun ketika ia ada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suaminya gembira dalam segala perkara yang dihadapinya. Jangan sekali-kali isteri mengkhianati dirinya sendiri ataupun harta suaminya. Jangan pula isteri itu keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suaminya. Jika telah menerima keizinan dan terpaksa keluar, maka hendaklah isteri itu berjalan bersembunyi-sembunyi, berpakaian yang sederhana, tidak mendedahkan tubuh dan pakaiannya. Hendaklah selalu di cari tempat-tempat yang lengang bukannya tempat lalulintas orang ramai sehingga berdesak-desakkan. Ia mesti menghindarkan diri dari bercakap-cakap dijalanan dengan lelaki bukan mahram.

Yang wajib diutamakan oleh isteri itu ialah kebaikan keadaannya sendiri serta mengatur dan mentertibkan keadaan rumahtangganya. Selain itu mestilah rajin melakukan ibadat, sembahyang serta puasa dan lain-lain yang menjadi kewajipan dirinya.

Apabila ada kawan suaminya meminta izin dan sedang berada di hadapan pintu, tetapi di masa itu suaminya tiada, maka tidak perlulah ia bertanya ataupun bercakap - cakap dengannya. Hendaklah ia cemburu pada dirinya sendiri dan juga perasaan cemburu terhadap suaminya. Seorang isteri hendaklah puas dengan apa yang ada pada suaminya dan apa sahaja yang direzekikan oleh Allah Taala kepadanya.

Ia mestilah mendahulukan hak suaminya atas haknya sendiri serta hak keluarganya. Ia wajib membersihkan dirinya selalu, bersiap sedia setiap waktu dan keadaan, barangkali suaminya itu dengan tiba-tiba menginginkandirinya untuk bersenang-senang. Selain itu isteri juga wajib mengasihi anak-anaknya, menjaga dan menutup keburukan mereka, jangan mudah mengeluarkan kata-kata makian kepada anak-anaknya ataupun berbuat sesuatu yang menyakitkan suaminya. Demikian nasihat seorang ibu yang budiman kepada anaknya. Sementara itu ada pula beberapa perkara yang merupakan adab sopan seorang isteri, jikalau ia menginginkan ketenangan dalam rumahtangganya iaitu:

a. Janganlah isteri itu membangga-banggakan dirinya terhadap suaminya kerana kecantikan yang dimilikinya.

b. Jangan menghina suaminya kerana buruk rupa dan wajahnya.

c. Sentiasa menjaga kedamaian, ketenangan dalam segala hal.

d. Menahan diri sewaktu suaminya tidak ada di rumah.

e. Menunjukkan sikap baik, bermain-main dan berlapang dada serta melakukan segala hal yang menyebabkan kesenangan suami sewaktu suaminya ada di rumah.

Ada suatu kewajipan yang harus dipatuhi oleh isteri dan ianya termasuk dalam hak-hak perkahwinan, iaitu:

a. Jikalau isteri itu ditinggalkan mati oleh suaminya, maka hendaklah isteri itu menjaga dirinya dan berkabung tidak lebih dari empat bulan sepuluh hari. Dalam waktu itu dia dilarang mengenakan harum-haruman dan berhias.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menunjukkan perkabungan kerana meninggalnya seseorang lebih dan tiga hari lamanya, melainkan untuk suaminya, maka bolehlah sampai selama empat bulan sepuluh hari" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

b. Isteri itu menetap di rumah yang disediakan sewaktu ia masih menjadi isteri dan suaminya yang meninggal itu sehingga habis masa iddah.

c. Isteri itu tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya atau keluar dari rumah itu, melainkan dalam keadaan darurat. Masih ada lagi adab sopan sebagai seorang isteri iaitu hendaklah isteri itu bekerja dan berkhidmat pada rumahtangga dalam segala perkara yang mampu ia lakukan, hal yang sedemikian inilah yang dilakukan oleh para isteri sahabat r.a.


Seterusnya...

Mereka Yang Enggan Berkahwin

Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan-Nya.

Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang - tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.

Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas :

"Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang Nasrani bertapa - hidup membujang".

Mereka yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa 'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat "kurang."



Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)

Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:

Seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya: " Bolehkah aku berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:

Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)

Dalam masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:

Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin), tenteulah kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)

Seterusnya...

Walimah Al-Urus

PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS

* Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
* Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.

PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS
* Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
* Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”
(Al-Hadith)

TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS


* Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
* Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)




* Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
* Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:

1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.

2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.

4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.

ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.

iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.

iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.

v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.

vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.

vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.

viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.

ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.


Seterusnya...

Pengertian Maskahwin

1. PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )




2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)

Seterusnya...

Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:
i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:
i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan.
( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:
i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.

5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh.
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". ( Riwayat DaruQutni )


iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". ( Riwayat Muslim )


iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.

6. Haram yang disebabkan persemendaan
( Musyaharah ) :


i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati ". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

" Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :

i. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: " Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". ( Surah An- Nisaa' - Ayat 23 )
ii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapadan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ". ( Riwayat At -Tirmidzi )


Rujukan :
Kitab Mathla'al Badrain - Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.

Seterusnya...

Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.

b) Jazam. ( penyakit kusta )

c) Barash. ( penyakit sopak )

d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.

e) 'Unnah ( mati pucuk )





4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.

b) Jazam. (penyakit kusta)

c) Barash (penyakit sopak)

d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)

e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.




Seterusnya...

Sekufu Dalam Pernikahan

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

* Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
* Merdeka bukan hamba .
* Keturunan.
* Pekerjaan.
* 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )



Pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu. Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.

"Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai 'al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir. "Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan. "Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

"Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga.


Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga didapati Mazhab Syafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya. Sementara bagi Mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya. Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, bahawa semua mazhab meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan tetapi tidak dinafikan bahawa sekufu penting dalam perkahwinan. Sementara menurut Imam Shirazi, apabila seorang wanita ingin berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, tidak menjadi kewajipan kepada wali mengahwinkannya. Manakala, bagi Imam Imrani pula, pemerintah tidak boleh mengambil alih ataupun wali tidak boleh dipaksa untuk mengahwinkah anak perempuan dengan pasangannya yang tidak sekufu.

Sekufu adalah hak kedua-dua belah pihak, iaitu calon isteri dan walinya. Pun begitu ia boleh digugurkan dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua. Ini dijelaskan lagi oleh hadis riwayat Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu. (Riwayat al-Baihaqi)

Manakala di dalam kitab Fathul Qadir, "Tidak boleh menikahkan seorang perempuan itu kecuali walinya dan mereka tidak akan menikahkannya kecuali yang sekufu". Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang hamba bernama Burairah yang dimerdekakan oleh Aisyah r.a. Setelah dia dimerdekakan, Rasulullah bertanya kepadanya kerana dia telah berkahwin dengan seorang hamba. Baginda memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya atau bercerai. Nyatalah bahawa Rasulullah begitu menitikberatkan soal sekufu, memandangkan suami Burairah masih menjadi hamba berbanding dirinya yang sudah merdeka. Kata Dr. Amilah lagi, ayat al-Quran yang begitu terang menceritakan tentang sekufu ini tidak ada. Cuma yang ada ialah ayat yang agak hampir dalam masalah sekufu ini, iaitu surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)".

Malah kepentingan sekufu ini tidak terhad kepada gadis dan wali sahaja, wanita yang berstatus janda juga perlu dititikberatkan soal sekufu.

Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib, Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya. (Riwayat Tirmizi) .

Menyedari kepentingan sekufu ini, adalah di sarankan kepada ibu bapa dan remaja perempuan, agar mengambil berat mengenainya tetapi jangan bersikap terlalu rigid.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila datang pinangan kepada kamu daripada orang-orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dengannya. Sesungguhnya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan menyebabkan fitnah dan kefasadan (kerosakan) di muka bumi.

Menyentuh mengenai tahap pendidikan ujar Dr. Amilah, aspek pendidikan boleh dikaitan dengan profesion atau kerjaya dan penghayatan agama (ilmu agama). Contohnya sebuah kisah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah. Bilal bin Rabah (bekas hamba) berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar.

Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah mengenepikan soal darjat antara kedua-duanya dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman dan penghayatan agama.

Begitu juga kisah sekumpulan orang-orang Ansar yang berkata kepada Ali bin Abi Talib, "Alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah." Lalu Ali menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminang puterinya, Fatimah. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: Apa hajatmu wahai putera Abi Talib? Jawab Ali, Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Rasul menjawab: Marhaban Wa Ahlan. dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya tadi. Mereka bertanya, "Berita apa yang kau bawa?" Ali menjawab, "Aku tidak tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban."

Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sekufu dalam agama merupakan aspek penting dalam pemilihan jodoh.

"DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua".

Itulah kepelbagaian ungkapan yang sering benar diucapkan apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru. Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok.

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari. Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim.

Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Hai manusia, se-sungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Al-Hujarat: 13)

Seterusnya...

Pernikahan

Entri ini, kira review apa yang telah pernah dipaparkan dalam bentuk points...

1. Takrif Nikah :


i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

* Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

* Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )

* Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.

4. Hukum berkahwin itu ada empat :

1. Wajib - Orang yang cukup belanja dan tidak dapat menahan nafsunya.
2. Sunat - Orang yang cukup belanja dan ingin berkahwin.
3. Makruh - Orang yang cukup belanja tetapi tiada keinginan berkahwin.
4. Haram - Orang yang yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab.

5. Rukun-rukun nikah :

1. Lelaki yang bakal menjadi suami.
2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
3. Wali yang adil
4. Dua orang saksi yang adil
5. Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)

6. Syarat-syarat lelaki bakal suami :

1. Beragama Islam
2. Tidak berihram haji atau umrah
3. Lelaki tertentu
4. Belum mempunyai empat isteri
5. Dengan kerelaan diri sendiri bukan paksaan
6. Seorang lelaki (bukan khunsa musykil)

7. Syarat-syarat perempuan bakal isteri :

1. Beragama Islam.
2. Perempuan yang tertentu.
3. Bukan Mahram kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya
4. Bukan isteri orang dan tidak di dalam eddah orang lain.
5. Tidak berihram haji atau umrah.

8. Syarat-syarat wali :

1. Beragama Islam.
2. Seorang lelaki.
3. Baligh.
4. Dengan kerelaan sendiri bukan paksaan.
5. Tidak berihram haji atau umrah.
6. Orang yang adil ( tidak fasiq ).
7. Seorang yang sempurna akalnya.

9. Syarat-syarat saksi :

1. Bilangannya tidak kurang daripada dua orang.
2. Beragama Islam.
3. Berakal
4. Baligh
5. Lelaki.
6. Sejahtera pancaindera (boleh melihat, mendengar, bertutur).
7. Memahami isi-isi kandungan lafaz ijab dan qabul.
8. Orang yang adil (tidak fasiq)

10. Sighah Ijab:

1. Sighah ijab hendaklah digunakan lafaz nikah atau dengan terjemahan daripada dua lafaz itu dalam apa jua bahasa.

2. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali itu sendiri atau wakilnya.

Contohnya : "Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Fatimah bte Abdullah / berwakilkan wali bapanya kepadaku dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai ".

Sighah Qabul : Iaitu upacara penerimaan daripada lelaki sendiri ataupun wakilnya setelah selesai sighah ijab dengan tidak diselangi oleh apa-apa perkataan asing atau masa yang panjang.

Contohnya : "Aku terima nikah Fatimah bte Abdullah dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai " .

11. Tanggungjawab suami kepada isteri :

1. Pemberian maskahwin.
2. Pemberian nafkah.
3. Berkelakuan baik.
4. Memberi bimbingan.
5. Menjaga kehormatan isteri.
6. Memberi layanan zahir dan batin.
7. Melakukan keadilan sekiranya berpoligami.

12. Tanggungjawab isteri kepada suami :

1. Wajib taat kepada suaminya.
2. Wajib tinggal di rumah yang dietapkan oleh suaminya.
3. Wajib menjaga kehormatan dirinya.
4. Wajib menjaga rumahtangganya.
5. Tidak menolak panggilan suami jika dipanggil ke tempat tidur.

13. Tanggungjawab bersama suami dan isteri :

1. Halal pergaulan sebagai suami-isteri.
2. Suci benih keturunan.
3. Wujud hak pusaka-mempusakai di antara keduanya.
4. Sah taraf anak (keturunan) kepada suami.
5. Kewajipan keduanya berlaku dalam pergaulan.
6. Bermesyuarat dan berbincang di dalam hal ehwal rumahtangga.
7. Berlaku adil di dalam segala bentuk kehidupan.

Sumber Rujukan :
1. Fiqh Imam As-Syafie - Hj. Idris bin Ahmad .
2. Ringkasan Munakahat - Ibnu Rahmat .

Seterusnya...

27 October 2009

Kebijaksanaan mengurus keluarga.

1) Membincangkan masalah keluarga.

Ketika kepada ahli keluarga diberi waktu dan kesempatan untuk sama-sama duduk membincangkan masalah dalaman dan luaran keluarga, maka itulah petanda bahawa keluarga tersebut memperhatikan keutuhan keluarga, peranan dan saling kerjasamanya.

Tidak disangsikan lagi bahawa lelaki yang diberi amanah kepimpinan dalam rumah tangga adalah orang yang paling bertanggungjawab, penentu segala keputusan. Tetapi dengan memberikan kesempatan kepada yang lain terutamanya kepada anak- anak yang menginjak dewasa maka hal itu akan merupakan pendidikan tanggungjawab kepada mereka, di samping semua akan merasa lepas dan lapang dengan perasaannya kerana pendapat mereka didengar dan dihargai.

Ibu bapa sepatutnya berusaha sedapat mungkin membantu memecahkan masalah anak-anaknya terutamanya pada masa mereka masih remaja. Tidak adanya pertemuan seperti ini kadang-kadang menjadikan sebahagian anak-anak menjalinkan persahabatan denagn kawan-kawan yang tidak baik yang pada akhirnya menimbulkan petaka besar.

2)Tidak menampakkan konflik keluarga di depan anak-anak.

Sesungguhnya yang boleh menggoncangkan rumah tangga adalah nampaknya berbagai perselisihan itu dihadapan ahli keluarga yang lain, sehingga mereka berpecah dan memberikan pengaruh kepada anak-anak terutamanya yang masih kecil.

Justeru, sepatutnya kita menjaga agar tidak menjadikan perselisihan dan kalau terpaksa ada sepatutnya hal itu kita sembunyikan. Kita bermohon kepada Allah mudah-mudahan Allah mempertautkan segenap hati.

3)Menghalang orang yang tidak baik agamanya masuk rumah.

Sungguh tiada sebab-sebab terjadinya sihir di rumah atau kadang-kadang kes pencurian dan kerosakan akhlak kecuali dengan memasukkan orang yang tidak baik agamanya ke dalam rumah kerana itu sepatutnya mereka tidak diizinkan masuk walaupun dia adalah tetangga dan lelaki atau perempuan yang baik. Sebahagian orang kadang-kadang agak sukar menolak sehingga ketika ia melihatnya telah telah berada di depan pintu ia mengizinkannya padahal ia tahu bahawa orang-orang tersebut dari golongan orang-orang yang rosak.



4)Usahakan seboleh mungkin untuk mempunyai lebih masa di rumah.

Dengan adanya pemimpin(penjaga) di rumah menjadikan semua masalah terkawal juga memungkinkan baginya mendidik dan memperbaiki keadaan dengan mendampingi dan mengawasi keluarga. Sungguh, alangkah keji kaum yang mensia-siakan keluarganya dan berjaga malam di warung-warung dan kelab-kelab malam.

5)Teliti dalam memerhatikan ahli keluarga.

Sebahagian daripada ibu bapa tidak mengetahui kalau ternyata di dalam almari anak-anak mereka terdapat gambar-gambar atau cd video yang berunsur lucah bahkanminuman atau pil-pil khayal. Sebahagian mereka tidak tahu anak gadis mereka pergi berjumpa kekasihnya,berdua-duaan,menghisap rokok dan bersuka ria.
Mereka yang terlepas daripada perbuatan anak-anaknya itu tidak akan lepas dan tidak boleh lari daripada persaksian pada hari akhirat.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
1. Pengawasan itu sepatutnya dilakukan dengan senyap tanpa pengetahuan anak-anak.
2. Tidak untuk menakuti anak-anak.
3. Agar anak-anak tidak merasa kehilangan kepercayaan diri.
4. Dalam menasihati dan memberi hukuman sepatutnya memperhatikan umur, pengetahuan, dan peringkat kesalahan yang mereka lakukan.
5. Hati-hatilah untuk melakukan penelitian mendalam dan penilaian jiwa.

6)Perhatian terhadap anak-anak di rumah.

Di dalam hal ini beberapa segi perlu diperhatikan antaranya membacakan cerita-cerita bercorak keislaman dan melazimkan anak-anak menghafal Al-Quran. Hati-hati terhadap keluarga anak-anak bersama rakan-rakan. Akibatnya anak-anak akan pulang ke rumah dengan membawa ucapan dan akhlak yang tercela. Sebaiknya kawan-kawan mereka dipilihkan dari anak-anak jiran lalu mereka dipanggil ke rumah sehingga bermain di rumah.

Perhatian terhadap mainan anak-anak yang menghibur dan mendidik. Sepatutnya disediakan ruangan untuk anak-anak bermain. Sepatutnya dihindari beberapa permainan yang bertentangan dengan syariat seperti alat-alat muzik,yang bertanda gambar salib atau permainan dadu.

Memisahkan antara anak lelaki dan anak perempuan dalam tempat tidur. Inilah perbezaan cara menertibkan rumah antara orang yang taat beragama dengan orang yang sama sekali tidak memerhatikan masalah agama.

Selain itu, ibu bapa perlu bergurau-gurau dan menyayangi anak-anak. Rasulullah s.a.w Bergurau senda denagn anak-anak, mengusap kepala mereka dengan memanggil mereka dengan penuh kasih sayang dan kelembutan.

7)Mengatur waktu tidur dan makan bagi keluarga.

Sebahagian rumah berkeadaan seperti hotel,hampir penghuninya tidak bercakap antara satu sama lain dan jarang sekali mereka bertemu. Bagaimanapun keadaan ini tidak berlaku pada semua. Oleh itu, tidak ada yang berharga selain berkumpul bersama keluarga di meja makan, bertanyakan khabar satu sama lain dan membincangkan sesuatu yang bermanfaat.

8)Menjaga rahsia rumah tangga.

Pertama,
tidak menyebarkan rahsia hubungan suami isteri. Mengikut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya di antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat iaitu lelaki yang mencumbui isterinya, dan isteri yang mencumbui suaminya,kemudian sebarluaskan rahsianya. ” Maksud ‘mencumbui’ iaitu ia melakukan persetubuhan.

Kedua,tidak membawa keluar perbalahan suami isteri. Perkara ini akan menyebabkan campur tangan pihak ketiga sehingga boleh menyebabkan masalah menjadi lebih besar.

Ketiga,tidak membuka kepada umum rahsia yang boleh menyebabkan permasalahan rumahtangga dan ahli keluarga kerana ia hanya mengundang bahaya bagi rumahtangga atau salah satu dari anggota keluarganya dengan menyebarkan rahsia-rahsianya. Mengikut sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh(pula) membahayakan orang lain. ”

9)Membiasakan pergaulan yang baik di dalam rumah.

Ia bermaksud masing-masing mempergauli yang lain dengan baik yang boleh menyebabkan kebahagiaan di dalam rumah. Pergaulan yang baik adalah sangat bermanfaat antara kedua suami isteri dan juga anak-anak. Mengikut sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai pergaulan yang baik(keramahan), dan Ia memberikan kepada pergaulan yang baik(keramahan) apa yang tidak diberikan-Nya kepada kekerasan dan apa yang tidak diberikan kepada selainnya. ”

10)Membantu keluarga dalam kerja-kerja rumah.

Ramai lelaki enggan melakukan kerja-kerja rumah. Manakala Rasulullah s.a.w beliau menjahit sendiri bajunya, menambalkan seliparnya dan melakukan pekerjaan yang biasa dilakukan oleh lelaki di dalam rumah mereka. Oleh itu, kita perlulah meladani Rasullullah s.a.w, membantu keluarga dan merasa rendah hati dan tidak sombong.

11)Bersikap lembut dan bergurau senda dengan keluarga.

Bersikap lembut kepada isteri dan anak-anak merupakan salah satu faktor yang boleh menjadikan kebahagiaan dan eratnya hubungan baik keluarga. Jika tidak ada gurau senda,tidak ada tawa dan kelembutan maka tidak adalah kebahagiaan dan kasih sayang.

12)Menyingkirkan akhlak buruk dari rumah.

Salah seorang dari ahli keluarga tidak mungkin boleh lepas dari akhlak buruk dan menyimpang seperti berbohong, mengumpat dan seumpamanya. Akhlak buruk seperti ini mesti dilawan dan disingkirkan.

Sebahagian orang menyangka hukuman merupakan jalan penyelesaian di dalam masalah ini. Aisyah r.a. meriwayatkan hadis yang berkaitan di dalam masalah ini yang bermaksud “Rasulullah s.a.w apabila mengetahui seseorang ahli keluarganya berbohong beliau terus memalingkan diri daripadanya sehingga mengatakan bertaubat. ”

Dari hadis di atas, jelaslah bahawa memalingkan diri dengan tidak mengajaknya bercakap-cakap serta memberikan hukuman yang setimpal adalah lebih berkesan.

Kesimpulan.

Kesimpulannya kita perlulah mengetahui cara-cara menguruskan keluarga supaya keluarga yang kita bina kekal bahagia dan mendapat rahmat dan perlindungan dari-Nya.


Impian ku menjadi isteri solehah kepada suami ,
ibu mithali kepada anak-anak dan
hamba yang diredhai oleh Allah SWT.


Seterusnya...

25 October 2009

Mak, Nak Kahwin, boleh?

Nak kahwin, tapi mak belum izinkan. Mak kata tunggulah habis belajar dulu. Tapi kepala ni rasa gatal pulak sebab, hati dah terpaut, selalu rindu-rindu, selalu terbayang wajah kesayangan. Nak study pun dah tak fokus. Jadi nak buat macamana ni?

Nak ikut cakap mak atau nak buat keputusan sendiri? Nak tanya abah la pulak...

"Abah, kalau saya nak kahwin tengah belajar ni boleh tak bah?"

"Mak kata apa?"

"Mak tak izinkan lagi."

"Apa alasan mak tak izinkan tu?"

"Mak takut saya tak boleh kejar dua perkara dalam satu masa."

"Itu saja alasan mak?"

"ya, bah."

"Mariam rasa kalau Mariam kahwin, Mariam ada masalah tak? Boleh kejar dua-dua?"

"Ini yang mahu bincang dengan abah, Mariam mana ada pengalaman lagi tentang rumah tangga."

"Nak kahwin memang mudah, nak pikul tanggung jawap tu yang payah, tambah kalau Mariam sedang belajar."

"Siapa calon yang terlekat di hati Mariam tu?"

"Calon tu pun sama macam Mariam juga, sama-sama belajar dalam kursus yang sama, kelas pun sama."

"Itu sebab Mariam nak bernikah cepat, nak jaga hati mariam ni, bila selalu terpandang di dalam kelas, tak semena-mena akan bertandang rasa rindu , itu tak boleh kan, bah?"

"Selama Mariam satu kelas dengan dia, mariam tak pernah pun berjumpa secara individu, bah."

"Cuma dia pernah SMS saja dengan Mariam, menyatakan hasratnya.Lepas tu berbincang secara email saja."

"Kalau abah dan mak izinkan mariam bernikah awal, dia nak datang jumpa mak dengan abah."

"Dah jumpa mak abah, nanti baru dia bawa mak ayah dia datang meminang"

"Bah, boleh tak kita buat walimah paling simple."

"Isk...Isk..Isk..budak ni, soalan abah belum pun habis di jawap, macamana nak belajar bila dah kahwin nanti."

"Bah, Mariam ada jumpa satu kakak tu, sekarang dah bekerja, dia pun bernikah awal, menurut apa yang dia buat, kalau nak nikah awal, kena bijak uruskan masa, kena ada persafahaman, kena ada sikap bekerjasama, dan paling utama mendapat sokongan dari keluarga."



"Mariam ada lah juga bincang dalam email, semua yang mariam sebut tu , insyaAllah boleh kami uruskan kecuali sokongan keluarga dari belah mariam saja lagi diharapkan. Mariam pun cuma akan bersetuju bernikah , kalau mak abah izin dan restu."

"Dia dah tanya mak abah dia, mereka beri izin dan restu."

"Hmmm...kalau macam tu, nanti abah bincang dengan mak dulu."

"Sebelum tu, abah nak tahu, adakah Mariam akan tamatkan belajar kalau dah bernikah nanti? Mariam akan bekerja ke nanti?"

"Abah mesti nak tahu dulu hal ni, adakah suami akan benarkan Mariam tamatkan belajar."

"Kalau tak bekerja tu, abah tak kisah sangat, tetapi abah mahu Mariam tamatkan belajar hingga dapat ijazah."

"Sebelum bernikah, abah kena pastikan dulu perkara ini, sebab kalau dah bernikah , abah dah hilang hak abah pada anak perempuan abah."

"Abah tahu , bila dah bernikah nanti, dia boleh ubah juga keputusan ni, namun abah berharap dia tidak memungkiri janji yang dibuat sebelum dia ambik anak abah ni sebagai isterinya."

"Jadi abah nak jumpa dia sebelum bernikah, ikrar untuk izinkan Mariam tamatkan belajar walaupun dah bernikah atau seterus dah ada anak."

"Betul kata, kawan mariam tu, jika bernikah dalam restu dan izin kelurga, pasti keluarga akan beri sokongan dan pertolongan dalam urusan rumah tangga nanti."

"Ingat, berkahwin bukan dengan seorang lelaki atau seorang perempuan tu saja, tetapi dengan seluruh keluarga." Kalau dapat sokongan, izin dan restu, mudah untuk menguruskan rumahtangga, sebab dalam berumah tangga ni, bukan selalunya indah dipagari pelangi."

"Ada juga masa, hati kita tersentuh, terguris, sedangkan lidah dengan gigi semulut pun kadang-kadang tergigit, apatah lagi suami isteri yang punya dua hati dari dua jasad berbeza, walaupun persefahaman, ada masanya mersai pahit juga."

Panjang lebar abah bercerita menasihati dan bersoal jawap dengan Mariam dalam hal nak berumahtangga ni.Walau apa pun, hati Mariam telah rasa lega kerana telah berupaya meluahkan apa yang terbuku di hati sejak, hatinya sendiri rasa terpaut kepada Mohammad Imran. Dia sering mengikuti kuliah / tazkirah dan usrah, semua dalam pertemuan itu mengingkan dia bahawa bercopulpe tu haram. Jadi untuk mengelakkan hatinya terus terlalai , maka dinyatakan hasrat hati kepada mak abahnya.

Hati Mariam rasa lapang, tinggal menunggu masa untuk abah memujuk mak dan bila mak bersetuju, Mariam akan beritahu Muhammad Imran agar datang berjumpa abah dan mak. Mariam melakukan sujud syujur kerana berjaya emluahkan rasa hatinya dan akan terus berdoa agat dipermudahkan urusan perikahannya.

Kenapa 'couple' di larang oleh Islam?

Ya, mengapa?

Sebelum itu cuba kita lihat definisi 'couple' ini. Apa Itu Ber ‘couple’?

Ber‘couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik.

Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ada yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber‘couple’.

Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion.

Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.

Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka.

Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat.

Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber‘couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.

Sebab tidak mahu terjebak hingga lalai dan hanyut, maka Muhammad Imran dan Mariam tidak mahu ber'couple'. Ber'copule ' tu haram kerana sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber ‘couple’? Memang tidak dinafikan, dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:
“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.”

Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat(49) ayat 13:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini.

Percintaan bermula dari mata. Firman Allah dalam Surah An-Nur(24) ayat 30:
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.".

Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman dalam Surah An-Nur(24) ayat 31:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, ...”.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini.

Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandanga n dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menentang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Demi mengingatkan ayat al-Quran inilah kenapa Mariam dan Muhammad Imran segera berbincang untuk bernikah. Mereka tidak mahu tergolong dalam golngan seperti , Firman Allah dalam Surah An-Nuur(24) ayat 26:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”

Semoga rumah tangga yang akan mereka bina mendapat Rahmat , kasih sayang dan redha Allah.


Impian ku menjadi isteri solehah

Seterusnya...

Luluskah Cinta Saya?

"Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya.

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan.

Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya.

Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.


Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut .

Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri.

Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi; seperti memuji, mencium, menghormati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam :

surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik),

al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar),

al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal),

at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih),

as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya),

al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat),

an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa),

al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan

al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”)

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang.

Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan,

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya.

Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni.

Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan.

Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini. Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24,

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku,
dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”


wallahua'lam.



Seterusnya...

23 October 2009

Perlihatkan Sayang Kepada Isteri

Suami tidak harus memandang kecil soal menyuarakan dan memperlihatkan kasih sayang kepada isteri. Ramai suami memandang kecil soal ini atau merasakannya kurang penting.

Pengalaman saya, perkara kecil itulah yang menjadi masalah besar, suami tidak seharusnya memendam perasaan cinta dan kasih sayang itu hanya dalam hati, tapi perlu diluahkan dengan kata-kata dan juga melalui perbuatan.

Hakikatnya, isteri tahu bahawa suaminya menyayangi dirinya tapi hanya dalam hati yang tidak diluahkan dengan kata-kata.

Perasaan cinta dan sayang sebagai anugerah Allah itu akan lebih bermakna dan lebih meninggalkan kesan di hati isteri jika diungkapkan melalui kata-kata atau dengan tindakan.

Berdasarkan pengalaman saya apabila suami mengungkapkan kata ‘sayang’, ‘rindu’ dan seumpamanya, segala penat lelah dan perasaan marah akan terpadam begitu sahaja. Begitu bermakna dan berharganya ucapan langsung dari seorang suami.

Pernah sekali saya dan suami berselisih faham. (Memang lah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hati manusia dalam jiwa yang berbeza, pasti ada juga pasang surutnya) Suami saya hantar SMS, saya simpan sampai berbulan-bulan.



Dalam konteks tanggungjawab, memberi kasih sayang juga termasuk tanggungjawab suami ke atas isteri, tapi ada di kalangan suami yang tidak mengambil berat tanggungjawab tersebut.

Suami seharusnya sedar akan amanat Allah kepadanya, kerana mereka merupakan pemimpin kepada wanita.

Semua isteri terdetik di hatinya menginginkan sesuatu yang sempurna dari suami mereka termasuk luahan kasih sayang, walau seburuk mana pun wanita itu. Ini memandangkan bahawa wanita dianugerahi naluri yang lembut, ingin sentiasa dibelai, dimanja, ditatang dan dikasihi. Elemen-elemen sebegini sudah sebati dalam diri wanita terutama yang bergelar isteri.

Jika dilihat sifat wanita pula, lumrahnya mempunyai nafsu yang sukar dikawal. “Bila ada baju baru, nak kasut baru, tudung baru dan sebagainya baru…"

Dalam menghadapi pelbagai bentuk perasaan yang bermain-main di dalam dada, wanita perlu banyakkan bersabar, kerana tidak ada elemen lain yang lebih baik selain bersabar.

“Allah akan sentiasa menguji kita dengan pelbagai perasaan; perasaan takut, cemas, berang dan sebagainya.”

Wahai para isteri bercita-citalah untuk menjadi isteri solehah...


Seterusnya...

MENGASIHI ISTERI

Dan Akhir kalam , ini tips ummi untuk para suami....

PETUA MENGASIHI ISTERI

1. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan "I Love You".

2. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.

3. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.

4. Tolong terbalikkan stokin atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci. Tolong buang sampah tanpa disuruh.

5. Bila keluar out station, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang kita sudah selamat sampai.

6. Tunjukkan kepimpinan yang baik, suami adalah ketua rumahtangga dan pendidik.

7. Berdiskusi dari semasa kesemasa, jangan ketepikan pendapat isteri.

8. Sentiasa kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

9. Sokong pendapat isteri sekiranya beliau bertentangan dengan pendapat orang lain, tetapi hendaklah secara rational bukannya mengiyakan semuanya......
sekiranya pendapat isteri anda salah.... betulkan.


10. Urut-mengurut isteri atau seumpamanya dari masa kesemasa.

11. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.

12. Sabar dan tenang bila mendengar cerita dan masalah isteri.

13. Pamerkan kasih sayang bila dikhalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkan beliau jauh bila berjalan.

14. Bila berpegang tangan, jangan biarkan tangan longlai.

15. Buatkan air minuman atau seumpamanya sekali-sekala.

16. Bila makan diluar, jangan harapkan isteri sahaja yang memilih tempat untuk makan.

17. Sabar bila isteri terlambat sedikit atau dengan tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.
18. Beri perhatian yang lebih pada isteri dari orang lain dikhalayak ramai.

19. Lebihkan isteri anda dari anak-anak.

20. Belikan hadiah kecil dari semasa kesemasa seperti minyak wangi dan jam Kad-kad ucapan juga dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dengan isteri.

21. Bila Hari Raya tiba nanti jangan hanya bagi 'angpau' kepada anak-anak sahaja . Tetapi bagilah juga kepada isteri anda. Tak kira lah berapa jumlahnya dan tak kisahlah samada dia bekerja atau surirumah tangga sahaja. Anda pasti seronok lihat isteri gembira.

22. Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutamanya dari orang yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka. Bila mereka rasa terhibur dan bahagia mereka akan menjadi seorang pasangan yang amat setia dan cinta sepenuh hati. Sekiranya kasih sayang yang mutlak telah didambakan kepada orang yang disayanginya, segala pengorbanan akan dilakukan tanpa memberi sebarang nilai-itulah perempuan.

23. Gunakan sepenuhnya teknologi yang ada dizaman sekarang. Seringlah menelefon atau menghantar e mail untuk bertanyakan khabar atau paling minima mengucapkan ‘Hai’ untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu. Bagi mereka walaupun satu ungkapan atau satu ayat, ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan begitu bahagia menerimanya.

24. Berkongsilah masalah dengan mereka, cuba dengar pendapat mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berasa yang mereka itu penting dalam diri kamu dan diperlukan.

25. Jangan kamu ambil remeh temeh pada perkara yang amat penting bagi mereka. Mereka sangat kuat ingatan terhadap tarikh-tarikh penting, contohnya hari ulangtahun. Apa salahnya buat ‘surprise’ sekali sekala kepada orang yang kita sayangi. Mereka akan dapat rasakan yang kamu betul-betul menyayanginya.

26. Perempuan terkenal dengan sifat manjanya. Mereka sering ingin melakukan sesuatu bersama orang yang disayangi. Mereka akan meminta bantuan kamu walaupun mereka mampu melakukannya. Jangan menolak sekiranya kamu tiada halangan ketika itu. Inilah masanya untuk kamu menonjolkan ke’macho’an kamu!

27. Pujuklah mereka dan tenangkan mereka sekiranya mereka dalam kesusahan. Ketika ini mereka benar-benar inginkan kamu disisi mereka.

28. Jangan kedekut memberi pujian kepada mereka kerana mereka berhak mendapat pujian.

29. Berbincanglah kamu selagi kamu boleh berbincang dan berbincanglah bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan kamu menggunakan kuasa veto kamu dalam membuat keputusan.

30. Cuba memahami keinginannya dan kemahuannya. Sesetengah perempuan tidak suka menyatakan secara terus terang tentang apa yang mereka inginkan, kadang-kadang mereka suka berkias dan memberi contoh ‘cerita orang lain’ kepada kamu. Jadi kamu kenalah peka dan gunakan kepakaran kamu untuk memenangi hati mereka.

31. Jangan lupa, mereka juga ada ego yang terselit di celah-celah kelembutan mereka. Apabila mereka terancam atau tercabar.. lahirlah sifat amarah, cemburu dan cepat merajuk. Masalah akan timbul bagi mereka yang suka memendam terhadap sesuatu yang mereka tidak puas hati. Mereka akan ‘meletup’ pada suatu hari. TETAPI kamu jangan sama-sama meletup. Kamu juga jangan lupa dalam diri kamu wujud satu sifat kepimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam keadaan yang terkawal Cari sebab mengapa ia terjadi dan bawa berbincang. Ditahap ini kesabaran, toleransi dan komunikasi amat penting. Lakukan dalam keadaan ketika mereka sudah 'sejuk'. Mungkin kamu juga boleh 'cool'kan diri kamu dengan berfikir secara positif contohnya mengapa mereka cemburu… itu kerana mereka SAYANGkan kamu!

Seterusnya...

21 October 2009

Rahsia Isteri Solehah

ADA yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran? Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.

Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu. Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit. Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang katanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu?

Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya. Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.

Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.

Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat tip. Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur bayaran dan kewangan. Mahar ketika akad nikah itu adalah lebih mahal harganya dibandingkan apa-apa nilai bayaran pun. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.Jika perkara ini telah suami laksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami?

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya, akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.

Seterusnya...

18 October 2009

Mungkar dan Maksiat semasa Walimah

BERDASARKAN pemerhatian terhadap majlis walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia, banyak perlakuan mungkar dan maksiat di lakukan semasa walimah. Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah an-Nuur, 24: 21)

“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).”
(Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.”
(Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:
“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
(Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)



Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka.

Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan mendedahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:
“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.”
(Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Mewarnakan kuku dengan pewarna, seseolah telah menjadi trend pengantin sekarang ini.
“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir. “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.”

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud.)

Ia berbeza dengan berinai.
Hukum memakai inai bukanlah amalan orang Islam, berasal dari arab Jahiliyah. Namun Rasullulah melihat ia bukan lah amalan yang membawa mudarat apa-apa. Maka ia dibenarkan kepada pengatin-pengantin perempuan sahaja. Hanya untuk para isteri berhias untuk suami. Rasullulah tidak melarang pemakaian inai kepada para isteri.

Digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin berhias untuk suaminya. Antara cara berhias itu ialah dengan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya.[1] Menurut ulamak; mewarnai tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi wanita-wanita yang telah berkahwin dengan syarat mendapat keizinan suaminya. Jika tanpa keizinan beliau (yakni beliau tidak menyukainya) tidaklah harus. Bagi wanita yang belum berkahwin; hukumnya adalah makruh mengikut kebanyakan ulamak kerana tidak ada keperluan dan juga bimbang timbulnya fitnah.[2] Namun ada juga ulamak yang berpendapat; diharuskan bagi wanita secara umumnya untuk berinai sama ada telah berkahwin atau belum berkahwin kecuali wanita yang kematian suami dan masih dalam eddah.[3] Adapun bagi kaum lelaki, diharamkan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana perbuatan tersebut meniru/menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi s.a.w.; “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Namun dikecualikan jika tujuan memakai inai itu adalah untuk pengubatan.

Itu adalah hukum berinai secara umumnya. Adapun berinai dengan cara mengukirnya di tangan atau kaki (yakni bukan dengan mewarnai keseluruhan tangan atau jari-jarinya), maka perbuatan itu menurut ulamak adalah makruh. Berkata Syeikh Yusuf al-Ardibili dalam kitabnya “al-Anwar li A’mal al-Abrar”; “Jika seorang wanita hendak mewarnai dua tangannya, hendaklah ia mewarnai keseluruhan dua tangannya dengan pewarna. Tidak disunatkan baginya membuat lukisan/ukiran, begitu juga mewarnakan dengan hitam, mewarnakan sebahagian jari sahaja dan memerahkan pipi. Malah diharamkan setiap satu dari perbuatan-perbuatan tersebut ke atas wanita bujang (yakni tidak bersuami) dan juga wanita bersuami jika tidak diizinkan suaminya” (2/332).

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam.

Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian).

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.
Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

Jika majlis persandingan tersebut dibuat secara tertutup (di hadapan keluarga terdekat/mahram), ia diharuskan. Ini kerana ada di antara adat yang masih boleh dipulihkan mengikut acuan Islam atau memenuhi tuntutan syarak.

Tujuan asal majlis bersanding ini ialah untuk memperkenalkan pengantin yang bergelar raja sehari kepada orang ramai.

Memang seharusnya mereka diperkenalkan sebagai pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi kebanyakan tetamu yang datang ke majlis walimah itu adalah bertujuan melihat dan menatap wajah pasangan raja sehari.

Namun di dalam majlis yang penuh kemeriahan dan bersejarah perlu di pastikan agar syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.

Persoalan yang sangat penting dalam bersanding ialah dari manakah asalnya budaya bersanding; adakah ia budaya masyarakat melayu atau budaya masyarakat lain.

Sepanjang pemerhatian, saya dapati budaya bersanding di Malaysia asal usulnya adalah dari budaya masyarakat India. Sekiranya masyarakat Melayu masih mahu berpegang kepada adat maka perlu pastikan adat itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Justeru, apa jua bentuk upacara majlis persandingan boleh diadakan tetapi dengan syarat persandingan itu hanya dikhaskan untuk ahli keluarga yang mahram sahaja.

Tiada percampuran iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang melalaikan. Apatah lagi jika mengabaikan perintah Allah SWT dengan meninggalkan solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir.

Disebabkan manusia tidak mengambil berat terhadap syariat maka hilangnya keberkatan dalam sebuah perkahwinan. Ini kerana manusia lebih ghairah menggembirakan orang ramai dan tidak menggembirakan Allah SWT.

Itulah masalahnya; manusia hanya akan mencari Allah SWT ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit; dan melupai-Nya sewaktu dia senang dan gembira.

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud.

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:
“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

Adat merenjis jika ia dilakukan dengan kepercayaan untuk menghindarkan pasangan pengantin daripada nasib buruk atau gangguan makhluk halus, ia tidak ubah seperti mengikuti adat masyarakat Hindu. Ia adalah diharamkan.

Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka". (Hadis sahih riwayat Abu Dawud).

Dalam hadis lain yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn Umar r.a juga berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki dibawah bayangan tombakku, dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka". (Musnad Ahmad)

Dua hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita mengenai larangan Islam kepada umat Islam supaya tidak mencontohi atau meniru adat dan amalan masyarakat yang lain selain dari Islam.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khathab radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:
“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.”

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Sesi Nanyian-nyanyian (berkaraoke), Muzik dan Kugiran dan tarian Zapin

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

13 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:
“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.”
(Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

14 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”
(Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:
“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.”
(Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)


Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah, 2: 186)

Pengalaman ummi sendiri, ketika majlis pernikahan dan walimah anak perempuan yang diadakah pada bulan Disember 2006. Ketika itu musim banjir yang hebat. Di Johor sahaja, banyak tempat mengalami banjir disebabkan hujan lebat yang turun setiap hari. Kawasan paling hampir sering banjir ialah Kg Skudai. Setiap hari dalam tempoh 2 minggu, ummi lakukan solat hajat memohon kepada Allah SWT , minta hujan tidak turun selama 2 hari di kawasan tempat tinggal ummi agar para jemputan dan majlis mudah diuruskan. Syukur, doa yang dipanjatkan bertepatan dengan apa yang telah Allah tetapkan di Loh Mahfuz. Sehari sebelum majlis dan sehari selepas majlis hujan tidak turun walaupun sedikit,namun keesokkannya, selesai sahaja majlis dan telah berkemas, hujan turun selebat-lebat dan Kota Tinggi mengalami banjir besar gelombang ke dua.

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:
“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

15 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.''
(Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian
Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.”
(Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Walau bagaimana ia berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.”
(Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
(Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.”
(Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Apa yang boleh kita ambil jika sekiranya tidak bertentangan dengan syariat dan niat kita hanya untuk mengembirakan kanak-kanak seperti menabur gula-gula itu adalah harus. Pemberian barang hadiah hantaran itu juga dianggap beradap sopan kerana jika pihak lelaki membawa buah tangan, maka pihak perempuan juga mengadakan hadiah balasan supaya tetamu yang hadir tidak balik dengan tangan kosong. Cumanya elakkan pembaziran.

Wallahu a’lam

Rujukan;
(Hukum Berinai)
1. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdussalam Tawilah, hlm. 294-295.

Nota kaki;

[1] Hendaklah dipastikan bahan itu bersih dan tidak menghalang air dari sampai ke kulit semasa mengambil wudhuk.
[2] Hukum makruh ini menjadi pegangan ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie.
[3] Antara yang mengharuskannya ialah ulamak-ulamak mazhab Hanbali.

Seterusnya...