CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

01 April 2010

Wajarkah kahwin bawah umur?

Sesiapa pun tidak menafikan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.a menjadi dalil bahawa perkahwinan dengan perempuan yang belum baligh atau di bawah umur dibenarkan oleh syarak.

Walau bagaimanapun menurut realiti masa kini, penggubalan undang-undang ataupun peruntukan-peruntukan tertentu yang terkandung dalam undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara itu dan bagi memastikan maslahah kepada pihak-pihak yang terlibat, terutamanya kepada pihak perempuan dilindungi dan terjamin.

Pada pandangan penulis, perkahwinan dengan gadis bawah umur perlu dielak berdasarkan suasana semasa. Semua maklum bahawa di peringkat ini, sama ada kanak-kanak ataupun golongan awal remaja masih begitu mentah untuk mengenali dunia. Hidup mereka masih memerlukan bimbingan dan pemantauan orang dewasa sama ada ibu bapa, waris atau penjaga yang sah menurut syarak ataupun undang-undang bagi memastikan mereka dapat membesar, menerima didikan dan melalui proses kematangan secara sejahtera. Jauh sekali untuk menerima sebarang tanggungjawab yang berat dalam dunia rumah tangga.




Sheikh Abdullah al-Manie, salah seorang anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan anak gadis bawah umur. Pandangan beliau ini sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berusia 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi.

Melihat fenomena yang kurang sihat ini berlaku di negara berkenaan, kerajaan Riyadh berusaha mewujudkan peruntukan bagi umur minimum untuk berkahwin dan umur yang dipilih adalah antara 16 dengan 18 tahun, iaitu umur yang telah diperuntukkan oleh undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Akal yang rasional akan memandang perkahwinan bawah umur seperti di bandar Buraidah itu sebagai sesuatu yang tidak adil, malah mungkin juga ia sebenarnya manipulasi terhadap golongan bawah umur itu sebagaimana yang berlaku di Riau, Indonesia tidak lama dahulu iaitu, perkahwinan antara seorang gadis berusia 15 tahun dengan seorang lelaki yang agak berumur. Sebagai ganjaran, bapa kepada gadis tersebut menerima habuan termasuk wang dan juga tanah. Ini jelas menunjukkan suatu eksploitasi terhadap konsep pernikahan yang boleh dilakukan oleh seorang wali mujbir. Diberitakan bahawa tiga tahun tempoh perkahwinan yang dilalui hanya memberi penderitaan kepada gadis berkenaan dan beliau mengalami trauma yang teruk sebelum nekad keluar dari perkahwinan yang dipaksakan terhadapnya.

Walaupun perkahwinan bawah umur boleh dibubarkan melalui fasakh oleh wanita berkenaan apabila ia mencapai umur matang, tetapi, bukankah jauh lebih baik perkahwinan itu tidak dilangsungkan sama sekali apabila pihak-pihak yang terlibat terutamanya wali dapat melihat bahawa pernikahan atau perkahwinan yang hendak dilangsungkan tidak akan memberi kebahagiaan kepada pihak yang masih berada di bawah umur.

Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia telah kemas disusun bagi mengawal dan mengurus perkahwinan yang melibatkan pihak atau pihak-pihak bawah umur bagi memastikan kebajikan pihak-pihak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut terjamin. Umur minimum yang dibenarkan untuk perkahwinan biasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia adalah tidak kurang 18 tahun bagi lelaki atau 16 tahun bagi perempuan.

Perkahwinan melibatkan pihak bawah umur perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah, dan ia dipohon oleh individu yang hendak berkahwin dan bukannya pihak lain seperti bakal suami ataupun wali.

Sebelum pihak mahkamah ataupun hakim memberi kebenaran terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu, hakim perlu berpuas hati terlebih dahulu dengan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pemohon, seterusnya beranggapan bahawa ia adalah perkahwinan yang munasabah untuk dilaksanakan. Ia termasuk juga jika melibatkan perkahwinan poligami.

Dalam membuat pertimbangan bagi membenarkan perkahwinan yang dicadangkan itu, hakim biasanya akan memanggil wali dan juga bakal suami untuk mengetahui sebab-sebab mengapa perkahwinan perlu dilaksanakan, berpuas hati bahawa pihak-pihak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan suami mempunyai pendapatan atau mampu memberi nafkah kepada isteri. Sekiranya hakim tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan termasuk jika hakim melihat wali seperti individu yang kurang bertanggungjawab, maka hakim akan memanggil sesiapa sahaja seperti ketua kampung untuk membantu beliau mencapai keputusan terhadap permohonan tersebut. Kes-kes atau keadaan yang memaksa hakim untuk memberi kebenaran lazimnya adalah seperti telah berlaku keterlanjuran ataupun pihak yang memohon telah mengandung di luar nikah.

Melihat kes-kes yang berlaku di Buraidah, Kampung Jelawang di Kuala Krai sehinggalah ke Riau, semuanya dilakukan oleh wali mujbir, iaitu bapa kepada anak-anak gadis terbabit yang sepatutnya memberi perhatian, kasih sayang dan perlindungan. Sebaliknya, ibu kepada setiap kanak-kanak inilah yang bertungkus-lumus berusaha bagi memperjuangkan hak dan kebebasan anak masing-masing.

Golongan wanita atau ibu, bukanlah wali, dan hukum syarak tidak meletakkan peranan wali daripada kalangan wanita, akan tetapi nampaknya golongan inilah yang lebih mampu untuk melihat kemaslahatan anak-anak di bawah umur ini. Ini kerana mereka tidak mudah terpancing dengan dakyah-dakyah jalan pintas menuju ke gerbang syurga sebagaimana yang dipromosikan oleh golongan yang mendakwa berilmu.

Masih banyak lagi cara untuk mendapat keredaan dan ganjaran pahala Allah SWT yang cukup besar tanpa menggadai anak yang masih manja sifatnya dan memerlukan penjagaan penuh daripada ibu bapa atau penjaga yang diamanahkan.

Selain daripada prosedur tertentu bagi perkahwinan yang melibatkan pihak-pihak bawah umur demi menjaga kebajikan mereka, undang-undang juga memperuntukkan seksyen-seksyen tertentu bagi mengelak perkahwinan yang dibuat secara paksa ataupun mengakadnikahkan pihak-pihak tanpa ada kebenaran berkahwin. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara tidak melebihi enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.

Penulis mencadangkan supaya hukuman ditambah dengan memperuntukkan hukuman sebat supaya fenomena 'harapkan pagar, pagar makan padi' tidak berlanjutan di kalangan masyarakat Islam. Memperkasakan undang-undang yang sedia ada, adalah sebagai suatu usaha untuk mengajar pihak-pihak bagi memahami pengertian sebenar kepada pelaksanaan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

0 comments: