CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

16 June 2010

Walimah 3 Orang Anakku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Lama tak menulis di sini. Seseolah kehabisan idea pula. Ini disebabkan masih kepenatan selepas melangsungkan majlis walimah 3 orang anak serentak. MasyaAllah,penatnya tak terkira.


Memang tidak siapa menduga anak yang dilahirkan berselang jarak 2 tahun, bila tiba masanya berkahwin serentak pada hari yang sama. Ummi dapat 3 menantu.


Semuanya bermula bila bakal kepada suami Nazihah merancang dengan ummi ingin berkahwin pada bulan Jun 2010, sebaik sahaja Nazihah tamat kursus Asasi di UiTM. Bila anak-anak bujang, abang kepada Nazihah tahu bulan Nazihah akan dinikahkan, mereka pun minta izin untuk berkahwin juga.


Memang ummi seorang yang mudah, ummi izinkan . Kebetulan angah dah ada calon, dia dah pernah bagitahu calonnya itu, dan ummi restui. Tinggal along sahaja yang belum ada calon. Ummi pun carikan calon untuk along. Bila ditunjukkan calon tu pada along, dia mudah sahaja terima,asalkan ummi restui.


Bulan Disember 2009, ummi pergi melamar 2 orang puteri untuk along dan angah. Urusannya sangat mudah, merisik, meminang dan majlis bertunang dijalankan serentak. Pada hari itu juga terus ditetapkan tarikh pernikahan dan walimah di sebelah pihak perempuan. Keluarga calon Nazihah pun mula berbincang dengan ummi untuk menetapkan tarikh bernikah.


Untuk memudahkan urusan, tarikh Nazihah bernikah dijalan serentak dengan majlis walimah dan majlis sambut menantu untuk angah dan abang. Mereka mahu dijalankan serentak kerana melihatkan keadaan kesihatan dan keuzuran diri ummi. Segalanya amat dipermudahkan oleh Allah dari awal lagi.




Pada awal tahun, doktor kardiologi dah tetapkan 12 Januari untuk jalani angiogram bagi rawatan jantung ummi. Selain jantung, ummi juga mengalami kekurangan gula di dalam darah. Ummi selamat jalani angiogram pada 13 Januari dan dibenarkan keluar wad pada 14 Januari.


Pada 18 Februari ummi akan jalani pembedahan total knee replemcement pula. Itu tarikh yang telah doktor tetapkan supaya apabila menjelan tarikh pernikahan anak-anak ummi,ummi telah pulih dari luka pembedahan. Namun manusia hanya merancang, Allah yang lebih tahu mana terbaik buat hambaNYA.


Tiba-tiba , pada 2 February, ummi telah di panggil secara urgent oleh doktor Orthopedik untuk jalani pembedahan itu. Tidak perlu tunggu tarikh 18 February. Maka pada 4 February, tarikh hari lahir ummi yang ke 45, ummi jalani pembedahan kali kedua total knee replecemant lutut kaki kiri.


Setelah 3 bulan selepas pembedahan pulih, bulan Mei, ummi mula sibuk untuk menguruskan pernikahan anak-anak. Tarikh pernikahan setiap anak-anak telah ditetapkan dari awal -awal lagi semasa perbincangan waktu bertunang dahulu. Along bernikah pada 22 mei 2010  di Port Dickson , angah bernikah pada 29 Mei 2010  di Baling, Kedah dan Nazihah bernikah pada 5 Jun 2010  rumah ummi di Taman Pulai Utama. 3 minggu berturut-turut anak ummi bernikah.

Wali Nazihah, ayahnya menikahkan dengan Mohd Zubairy


Pada tarikh 5 Jun , tarikh pernikahan Nazihah, ditetapkan sekali dengan majlis walimah dan majlis sambut menantu. Ummi adakan majlis ini di rumah sahaja. 6 buah khemah disediakan untuk tetamu duduk makan, 2 khemah untuk memasak, 1 khemah untuk saudara mara berehat dan sebuah rumah jiran yang lot hujung, berselang sebuah rumah dari rumah ummi, dijadikan tempat mencuci dan penyediaan makanan.

Saudara mara yang membantu di tempat penyediaan


Ramai saudara mara dari segenap ceruk rantau datang membantu. Mereka datang seminggu awal membantu kerja-kerja awal buat melansungkan majlis walimah. Banyak perkara yang perlu disediakan ikut kemampuan.

Saudara mara dari jauh dan dekat

Majlis walimah yang ummi buat ini amat mudah dan ringkas. Tanpa perlu adat istiadat melayu yang rumit dan menyusahkan. Bukan bermakna ummi menolaknya, mana-mana adat yang baik tidak bertentangan syariat, ummi akan ikut dan buat, seperti memberikan hadiah-hadiah iringan untuk bakal suami dan isteri along ,angah dan Nazihah. Hadiah-hadiah itu adalah hadiah yang memang akan digunakan selepas mereka berkahwin nanti seperti telekong, sejadah, tuala, buku-buku, kain atau tudung untuk buat baju. Sebagai buah tangan untuk keluarga, ummi bawakan juga buah-buahan dan sejenis dua kuih tradisional.

Saudara mara yang membantu


Alhamdulillah, ramai yang membantu majlis walimah kali ini. Selain saudara mara, anak-anak angkat, anak-anak halaqah, anak-anak buah, anak didik zauj di UTM pun ada yang datang membantu terutama kerja-kerja rewang sehari sebelum majlis walimah berlangsung.


Anak-anak buah Halaqah dan anak-anak didik UTM

Sehari sebelum walimah, diadakan penyembelihan 2 ekor lembu, se ekor di sembelih di ladang, dan se ekor disembelih di padang depan rumah. Lembu yang disembelih depan rumah ini adalah lembu hadiah seorang kawan. Oleh kerana lembu ini lembu jantan yang sihat, ia di niatkan aqiqah. Seorang kawan pula menghadiahkan 4 ekor kambing, juga diniatkan aqiqah untuk Nu'man AlFarisy.


Semasa menyembelih lembu di depan rumah, mujur 2 orang bapa saudara yang biasa membantu menyembelih lembu di kampung datang memabantu. Lembu itu sangat garang. Setelah lembu terbaring, zauj terus menyembelihnya. Setelah disembelih, lembu dilapah dan dipotong-potong oleh anak-anak halaqah. Ayam-ayam juga di cuci oleh anak-anak didik zauj UTM.

Lembu disembelih oleh zauj dan sedang dilapah

Daging lembu di masak brayani, tulangnya di buat sup. Ayam 190 ekor di cuci dan digoreng untuk buat masak merah. Ada lauk dalca, paceri nanas dan acar buah. Laksa dan cendol juga dihidangkan buat tetamu. Tetapi cendol dan laksa ini cepat sangat habisnya walaupun banyak disediakan. Hirisan buah oren sebagai pencuci mulut. Ada juga dadih yang di 'sponsor' oleh pelajar SPI Space dan puding disediakan oleh Ustaz Puhad sekeluarga. Ramai juga sahabat dan saudara mara menyumbang makanan dan kuih-kuih tradisional.


Pada hari langsung, ummi ambik pasukan kendarat Kg Jeram Batu, Pekan Nanas. Mereka datang dengan berpakaian seragam. Mereka merupakan pasukan wanita yang memang ditubuhkan untuk membantu kerja-kerja melayan tetamu pada hari majlis walimah. Mereka bekerja berpasukan, dedikasi dan amanah. Tetamu dilayan dengan baik dan sempurna.

Kendarat dari Kg Jeram Batu,Pekan Nanas


Bahagian pembersihan pun sama juga, berjalan lancar. Ada yang kemas pinggan kotor (pinggan tetamu yang telah siap makan) , angkat pinggan kotor ke tempat penyucian, mencuci pinggan, mengelap pinggan, menghantar pinggan bersih ke tempat buffet hidangan. Semunya bekerjasma. Makanan pula sentiasa ditambah di kedalam tray hidangan.


Pada malam sebelum walimah, ummi adakan majlis bacaan Quran 30 juzuk yang dibaca oleh para imam yang hafal Al-Quran. Para huffaz ni adalah sahabat along dan angah. Mereka menjadi imam masjid dan surau seluruh Daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Para Huffaz membaca al-Quran 30 Juzuk

Syukur, majlis walimah berjalan lancar, hujan rahmat sekadar renyai-renyai sekali sekala datang menjengah untuk mengurangkan panas terik matahari. Tetamu yang datang pun amat ramai.


 Tetamu yang hadir
Kali ini ummi buat majlis walimah serentak untuk 3 orang, maka lepas ni entah bila pula baru di adakan majlis walimah. Anak-anak yang sekarang dalam lingkungan usia 16, 13, 12 dan 8 tahun. Tentu lama lagi baru diadakan majlis walimah. Tapi tak tentu juga,mana tahu ada pula anak angkat ummi yang akan berkahwin, ummi belum pasti. Jika ada,pasti akan ummi buatkan juga walimah mereka.





Sedaya upaya ummi merancang agar majlis yang diadakan tidak melanggar syariat Allah. Ummi buat pengasingan meja hidangan makanan dan meja tetamu duduk makan berasingan antara lelaki dan perempuan.







                                                              Khemah tempat makan lelaki







 Khemah tempat makan perempuan
Begitu juga tidak ada persandingan, kompang, karaoke (PA system), dan majlis makan beradap. Hari -hari ummi berdoa agar Allah memberikan keuatan pada ummi agar ummi dapat membuang tradisi yang bagi ummi akan melanggar syariat. Ummi takut ia menjadi sebuah majlis yang Allahtidak redhai. Ummi mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada ummi,anak-anak,keluarga, saudara mara dan para tetamu yang hadir ke majlis pernikahan anak -anak ummi ini.



Ummi tidak benarkan diadakan PA System kerana takut muzik-muzik yang dikumandangkan itu akan menyebabkan ramai yang lalai dari mengingati Allah dan Rasul NYA. Ummi takut tidak dapat mngawal DJ dari menyiarkan lagu-lagu yang menyebabkan ramai akan bergembira dan bersuka ria. Bagi ummi, biarlah majlis itu sunyi sepi dan hanya diriuhi oleh suara-suara sahabat, tetamu dan saudara mara bertanya khabar kerana lama tidak bertemu. Ummi mahu majlis yang diadakan mengeratkan silaturahim dan ukhuwwah sesama saudara seislam. Itu lah tujuan ummi mrngadakan majlis walimah yang agak besar dengan anggaran jemputan 3000 orang.



Sekian entri kali ini, akan datang,ummi akan tulis nasihat-nasihat buat anak-anak ummi yang berumah tangga.






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

3 comments:

Hafizhilmi said...

Ummi, maaf ana tak dapat hadir utk tolong masa kenduri rumah ummi. Ana sekarang berada kat Kelantan, dalam seminggu lebih lagi insyaAllah balik Skudai..
Semoga anak2 ummi bercinta hingga ke syurga.. :)

kapten said...

Salam...

ummi memang best. Semua berjalan lancar. Tapi saya memang bersetuju dengan ummi supaya xder PA. Kerana terlalu bising. Semoga diberkati ALLAh s.w.t. Ameen.

MUNALIZA said...

Alahmdullilah, majlis telah berlangsung di dalam suasana yang baik dan ummi berharap sentiasa di dalam rahmat dan redha Allah.


Terima kasih kepada semua yang banyak membantu ummi menjayakan majlis tersebut.

Benar kapten,memang ummi tidak mahu di adakan PA system. Muzik akan melalaikan kita dari mengingati Allah, menghalang untuk berbual dengan saudara mara, jika dialunkan bacaan quran akan lebih berdosa kerana orang akan berbual tanpa menghayati bacaan tersebut.

Maka lebih baik tidak ada daripada kita akan meanggung dosa tanpa disedari.