CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

12 November 2010

Suami Larang Isteri ziarah Keluarga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


SOALAN;


Benarkah ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatan terhadap ibu bapa?

JAWAPAN:

Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya;
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”(Surah Al-Isra’ : 23)

Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.

DALIL-DALILNYA;

Pertama: Al-Quran

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka” (Surah An-Nisa’ : 34)

Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya[1]”


ISTIDLAL:

Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.

Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah[2].

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه

Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya[3]”

Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت

Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu[4]”


HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.

Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.

Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.

ISYKAL


PERTAMA:

Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN:

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها

Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya[5]”

KEDUA:

Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN;

Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.

Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ

Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga[6]”

Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com

[1] Sahih Al-Bukhari : 4796.
[2] Syarh Muntaha Al-Iradah : 3/47.
[3] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 7353.
[4] Sahih Al-Jami’ : 660.
[5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
[6] Sunan At-Tarmizi : 1081, sunan Ibni Majah : 1844.




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

08 November 2010

Memilih Calon Menantu Lelaki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Sering kali kita dibacakan maksud sepotong hadith yang berbunyi,"Dikahwini wanita itu(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya,dan agamanya.Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu)wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu" (riwayat Bukhari dan Muslim).


Secara umumnya, hadith ini menyenaraikan ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki
untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,berharta,berdarjat tinggi, dan cantik jelita merupakan pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki.


Namun yang lebih penting, hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri "kuat penghayatan agamanya". Hal ini kerana wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan mempengaruhi kebahagiaan hidup berumah tangga.


Tetapi bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, tentu ada panduan
lain untuk kaum wanita memilih bakal suami mereka.


Memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi seorang wanita, perlu menyelidiki terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya. Hal ini penting kerana menurut kajian , kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila mereka diabaikan suami.


Dalam hal ini, ibu bapa wajib memberikan panduan bagaimana anak perempuan mereka boleh mencari bakal suami. Rasulullah S.A.W ada bersabda yang bermaksud : "Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar."


Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa kriteria seorang suami yang baik ialah mereka yang beragama dan berakhlak mulia. Sifat inilah yang semestinya dijadikan sifat asasi dalam memilih bakal suami sebelum dilihat hal-hal lain. Dua sifat inilah yag sebenarnya menentukan kekufuan pasangan suami isteri itu.


Lelaki yang tidak memiliki kriteria di atas tergolng dalam lelaki fasiq (ingkar kepada suruhan Allah). Jadi , walaupun seseorang lelaki hidup kaya raya, tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga mereka. Hal ini kerana kefasiqan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras ,kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tempat-tempat maksiat, berfoya-foya , dan sebagainya. Tatkala itu hak-hak isteri akan hilang.


Suami yang hidup dalam kefasiqan bermakna mengundang murka Allah. Jika Allah sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumah tangga akan dapat dikecap? Yang pastinya ketenangan serta kebahagiaan hidup berkeluarga tidak akan dinikmati.


Diriwayatkan dalam sebah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali r.a, (cucu Rasulullah S.A.W) untuk meminta nasihat. Katanya, "Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan denagn puteriku?"
Hasan menjawab, "Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah, kerana jika dia menyukai isterinya dia pasti mengasihinya , tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti dia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya).


Di sini, ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap bakal suami anak mereka. Kalau tidak, anak mereka akan menjadi mangsa. Allah S.W.T dan RasulNya membenci sikap ibu bapa itu. Baginda rasul mengingatkan para wali dalam sabdanya yang bermaksud : "Barangsiapa menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri."


Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah S.A.W dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman. Ancaman dalam hadith di atas sepatutnya digeruni oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan.


Sebenarnya, satu malapetaka yang amat besar akan berlaku sekiranya anak gadis kita yang berjiwa bersih,peribadi mulia, dan taat menjalankan suruhan agama dikahwini dengan lelaki fasiq. Berapa ramai gadis yang semasa berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah berbuat maksiat , tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasiq, gadis itu hanyut dalam arus maksiat.


Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh dibawa oleh kesesatan suaminya. Mereka sudah pandai minum arak ,memakai pakaian yang mendedahka aurat ,bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram. Apatah lagi dalam soal ibadah ; solat mudah
ditinggalkan dan puasa diabaikan.


Hal ini berlaku, kerana seorang wanita itu apabila dikahwinkan dengan seorang lelaki, maka dia
akan mengikut suaminya, sekiranya lelaki yang dikahwininya itu baik maka baik la dia dan
sebaliknya maka akan hancur dan musnahlah kehidupannya sehingga mengundang murka Allah.


Memandangkan risiko yang dialami oleh ana gadis itu, amat wajarlah Rasulullah S.A.W menghukum ayah @ wali yang mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki fasiq. Sesungguhnya memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuan sendiri suatu malapetaka yang amat besar.

Jadi, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Hal ini kerana perkahwinan bukan kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi
merupakan "ikatan sosial" yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan.


Hayatilah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud : "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan klimpah kurniaanNya, kerana Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui."






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Perkongsian dari Usah Rasa sangsi

Seterusnya...

07 November 2010

Poligami Boleh Mengatasi Masalah Sosial Ummah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Poligami bukan lagi sesuatu yang luar biasa pada setiap zaman. Islam membenarkan berpoligami sebagai satu pnyelesaian masalah ummah. Bagaimana?


Seseorang suami yang telah berkahwin, masih lagi ingin menjalin hubungan dengan wanita lain, seperti bercouple, bercinta dan seterusnya berzina. Maka untuk mengelakkan perkara ini terjadi , digalakkan suami tadi bernikah dengan kekasihnya itu.


Sepatutnya poligami adalah untuk membantu perempuan lain yang belum berkahwin pada usia yang telah meningkat, bukan kahwin dengan anak dara yang masih cun, berkahwin dengan janda yang perlukan perlindungan, janda yang ada anak yatim untuk dibesarkan.


Antara Sebab-sebab kenapa Islam membenarkan pensyariatan poligami ialah sebagai pembelaan, perlindungan dan tempat yang halal bagi meramaikan umat Muhammad saw.

Sabda baginda: “Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti”

Masyarakat kita punya sikap “perkahwinan adalah penyelesaian segala masalah”. Perempuan belum berkahwin pula rela menjadi isteri nombor dua tanpa memikirkan akibatnya, semata-mata kerana ingin ada suami tempat bergantung? Mereka juga terlalu naif tentang kehidupan berumah tangga sambil mengharapkan suami akan berlaku adil.

‘‘Hanya kerana kebenaran isteri pertama, bukan tiket untuk bahagia pada masa hadapan. Bagi saya, orang belum berkahwin mempunyai satu masalah tapi orang berkahwin mempunyai banyak lagi set masalah. Sebab itu kita banyak mendengar kisah yang tidak elok bagi yang berpoligami – suami tidak adil, buat hal itu dan ini.

‘‘Orang lelaki, sebelum berkahwin janjinya setinggi gunung, tetapi bila sudah dapat apa yang dihajati, segala janji dilupakan. Mereka hanya mahukan apa yang mudah untuk mereka. Segala ketidakadilan mereka pun jarang mendapat pembalasan dari Allah di dunia, semuanya akan dibalas di akhirat. Jadi suami tidak perlu takut jika tidak berlaku adil?

‘‘Pada saya pandangan mereka yang mendakwa isteri pertama kedekut kerana tak izin suami berpoligami adalah pandangan cetek dan berkepentingan. Saya percaya, apa yang isteri takutkan bukan pasal berkongsi suami, tetapi memikirkan nasib dan masa depan anak-anak yang terpaksa berkongsi kasih.

‘‘Ada yang salahkan isteri pertama biarkan suami berzina. Kenapa tidak salahkan suami yang berzina? Tak izin suami kahwin tak bermaksud suami ada lesen buat dosa? Mana tanggungjawab suami terhadap agama dan keluarga? Berzina tetap jadi dosa orang berzina. Isteri tak pikul dosa suami. Suami tidak seharusnya ada kekasih.

‘‘Pemahaman yang cetek mengenai ketaatan isteri terhadap suami dalam Islam juga penyebab kenapa poligami kita banyak masalah. Tidak ada ayat al-Quran atau hadis mengatakan isteri yang benarkan suami berkahwin lagi akan dapat payung emas di syurga. Ini peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu untuk lembutkan hati isteri. Sama seperti tidak ada dalam al-Quran dan hadis yang mengatakan syurga terletak di bawah tapak kaki suami. Syurga hanya milik Allah dan amal ibadah yang di lakukan untuk mendapat keredaan Allah.


Setiap perkara yang dilakukan jika bukan berniat kerana Allah.. maka keredhaan dan keberkatan tidak akan ditemui bersama perjalanan hidupnya. Dalam hal poligami juga menuntut keikhlasan si suami dalam melaksanakannya. Ibadah yang betul ialah apabila si suami melaksanakan poligami berlandaskan sunnah dan syariat yang digariskan menurut Islam. Contohnya, si suami yang berpoligami itu berniat ikhlas untuk membantu wanita yang tiada tempat bergantung (kerana tidak berkahwin sehingga usia semakin lanjut).

Sebaliknya jika si suami sekadar ingin menambah koleksi isteri bagi menurut kehendak hawa nafsu dek kerana kecantikan dan kepuasan semata-mata maka ia sudah tergelincir daripada landasan ibadah yang disunnahkan. Banyak perkara lagi yang harus diambil kira oleh si suami, termasuklah bersifat dan bersikap adil kepada semua isterinya dalam pemberian nafkah zahir dan batin. Semestinya memikul keadilan ini adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan ke atas diri setiap insan kelak.

Kelangsungan hidup berpoligami ini juga tidak sepatutnya menjadi rahsia antara isteri-isteri si suami yang berpoligami itu kerana ini menyentuh soal kejujuran. Apabila kejujuran tidak wujud dalam sesebuah rumahtangga, maka ketidakjujuran itu sendiri boleh menjadi senjata pemusnah ramahtangga yang dibina. Tambahan lagi, tidak semua isteri sanggup bermadu dan berkongsi kasih-sayang dengan orang lain. Sebab itu poligami mesti didasari oleh kejujuran, keikhlasan dan keadilan. Bukan mudah sebenarnya untuk menggalas dan memikul tugas dan tanggungjawab berpoligami ini. Jika sikap sedemikian tidak wujud, dikhuatiri ia membawa kehancuran dan kegagalan rumahtangga.

Oleh itu, adalah tidak wajar menganggap poligami sebagai penyelesai kepada masalah sosial jika poligami yang dilaksanakan itu tidak berlandas pada trek yang sebenar. Malah ia mungkin menambah kepada satu bentuk masalah sosial yang baru apabila berlaku pergelutan dalam rumahtangga akibat ketidakpuasan hati sebelah pihak, atau antara satu sama lain.



Oleh itu , Pertama sekali kena jelas apakah niat dan matlamat perkahwinan tu, tak kira la pada kali pertama perkahwinan atau perkahwinan seterusnya. Jika dari awall niatnya tidak betul, maka goyah la perkahwinan itu

Jika perkahwinan tidak disandarkan pada Allah, maka perasaan sayang dan cinta akan pudar setelah berkahwin nanti, tambahan pula jika berkahwin atas dasar, kecantikan, harta dan keturunan.


Jika hal permasalahan sosial ini seperti kes-kes rogol dan perzinaan yang berleluasa di mana saja diserahkan kepada kaum isteri yang sudah merasa secure bersama suami mereka, mereka tidak akan membenarkan suami mengambil siapa saja yang lain sebagai madu mereka. Hampir tiada di kalangan isteri yang akan dengan senang hati meredhai dan 'membenarkan' suami menikahi perempuan lain walaupun boleh dikatakan semua orang telah faham bahawa salah satu penyelesaian masalah tadi ialah dengan lelaki mengahwini perempuan-perempuan itu.


Namun begitu, kaum isteri ini juga tidak senang dengan masalah yang berlaku di sekeliling mereka itu. Tiada siapa yang inginkan perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi jika ianya berlaku kepada anak pinak atau sanak saudara sendiri. Instead, mereka akan meletakkan, dan menaruh harapan kepada pihak pemerintah untuk menyelesaikannya, tetapi 'jangan diusik suami mereka'.


Dalam keadaan ini, siapakah pula pemerintah itu? Bukankah suami juga merupakan pemimpin dan pemerintah? (Lihat An-Nisaa ayat 34).


Dalam ayat itu, Allah Taala mengangkat kaum lelaki sebagai pemimpin kepada kaum perempuan, dan BUKAN pemimpin hanya kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan sahaja. Maknanya, kepimpinan lelaki kepada kaum perempuan itu TIDAK hanya tertakluk kepada rumahtangganya sahaja. Maknanya, lelaki juga bertanggungjawab kepada masalah yang berlaku di persekitaran rumahtangganya juga.

Tidak mustahil untuk Allah Taala menyoal kaum lelaki di Mahsyar kelak, tentang apa yang sudah mereka buat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di depan mata mereka, sedangkan mereka sudah diberi segala kemampuan dan sudah diangkat sebagai pemimpin oleh Allah Taala sendiri. Atau, adakah kaum lelaki itu ‘takutkan bini’?



Hakikatnya poligami dibenarkan untuk membela nasib wanita. Wanita yang perlukan bantuan seperti janda dan anak dara yang agak lanjut usianya. Namun hakikatnya semua perkara bergantung kepada niat kita sama ada baik atau sebaliknya. Namun...Bukan mudah untuk berkahwin tapi tak susah.


Akhirn kalam, poligami adalah salah satu jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial tetapi bukan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial...kerana setelah meneliti punca permasalahan sosial itu sendiri ialah peningkatan industri hiburan, siaran2 hiburan yang semakin banyak di media2, pendedahan aurat2 secara berleluasa, pergaulan bebas antara bukan mahram, lambakan kompleks2 hiburan, disko, kelab joget dan pub, alat2 pencegah hamil yang mudah didapati seperti kondom dan pil pencegah hamil.. Pada pandangan saya wajar sekiranya semua punca-punca gejala sosial ini diberi perhatian serius...



wallahualam...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

04 November 2010

Kenapa Pertunangan Perlu dirahsiakan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.


Pertunangan masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.


Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana masih belum sah menjadi suami isteri.


Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.


Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.


Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.


Dalam tempoh bertunang ini adalah disarankan, pasangan bertunang supaya mencari ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunangan langkah permulaan kepada alam perkahwinan.


Ikatan pertunangan diamalkan masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.


Dari Jabir bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu melamar perempuan, jika ia bisa memandang bahagian tubuhnya yang menarik untuk dinikahi, hendaknya ia lakukan." Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan perawi-perawi yang dapat dipercaya. Hadits shahih menurut Hakim.


Bermakna,sekadar lihat muka dan tangan,hati telah terdetik untuk menikahi, maka lamarlah dia untuk dijadikan isteri. Harus melihat bakal suami dan isteri malah disunatkan melihat berulang-ulang kali.Hal ini supaya mereka berpuas hati dengan pilihan yang dibuat dan untuk mengelakkan sebarang penipuan.Anggota yang sunat dilihat ialah muka dan tapak tangan.Muka melambangkan kecantikan.Tangan menunjukkan kesuburan.Perhubungan orang yang bertunang masih dikira sebagai hukum ajnabi(orang asing).


Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.


Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.


Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Beliau bersabda: "Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat." Riwayat Ahmad. Hadits shahih menurut Ibnu Hibban.


Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.


Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.


Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.


Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.


Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya.


Maka tidak seharusnya seseorang lelaki atau perempuan itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Seterusnya...

02 November 2010

Di Ambang Keretakkan Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Kali ini, ingin ummi kongsikan bersama satu kisah rumah tangga yang tiba-tiba rasa kasih sayang dan cinta menjadi pudar. Cinta sebelum berkahwin yang intim dan mesra bukan lah satu jaminan hidup bahagia selepas berumah tangga. Melahirkan zuriat bukan juga menjadi menyambung kasih sayang yang telah bersemi.


Dimana salah dan silapnya,kita baca bersama-sama dan nasihat yang mampu ummi berikan. Memang sejak akhir-akhir ini,ummi banyak berhadapan dengan pelbagai kisah rumah tangga yang pincang dan retak. Di dalam ummi mengusahakan pembinaan Baitul Muslim, ummi juga selalu ditimbuni dengan permasalahan rumah tangga yang menuju kepada keruntuhan jika tidak dibantu dengan nasihat dan kaunseling.


Ummi memang akan berusaha untuk mengelakkan dari terjadinya perpisahan dan perceraian walaupun itu adalah jalan terakhir dan memang sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Jadi selain membina rumah tangga, ummi juga akan membantu mereka yang menghadapi masalah dalam rumah tangga agar dapat dielakkan rumah tangga yang telah dibina itu roboh dan runtuh.




Bacalah bersama-sama:


Saya sudah bekahwin selama 2 tahun dan mempunyai seorang anak yang tak sampai setahun lagi umurnya. Disebabkan saya dan anak sering hidup terabai akibat sikap suami yang terlalu menumpukan pada kerjaya/rakan/saudara berbanding isteri dan anak, lama-kelamaan hidup saya bosan dan mula tawar hati terhadap suami.


Setiap hari saya bertanya pada diri sama ada saya berkahwin dengan orang yang betul?


Saya pernah bersabar, ajak suami berbincang, ajak dia keluar bercuti bersama, tapi nampaknya tiada hasil. Saya sudah putus asa dan tiada lagi cinta untuk suami.

Bila terfikir tentang anak, saya bersabar lagi. Tapi bila difikirkan semula, apa kena mengena suami dengan anak? Anak saya tak mahu pun dipegang oleh bapanya. Saya fikir, adalah lebih baik saya menjadi ibu tunggal saja. Setakal dapat title 'janda' tu, saya tak kisah. Mana tahu, ada orang lain yg nak kat saya, boleh saya mencari bahagia yg lain.


Kini saya rasa terperangkap dalam perkahwinan ini. Saya melakukan kerja2 rumah, menggosok baju suami dan menyiapkan makan suami, melayan kerenah saudara-mara suami (saya berhijrah dari selatan untuk tinggal bersama suami di utara), tetapi secubit kasih sayang suami pun saya tak dapat rasakan.


Saya sudah merasakan bahawa rumah tangga saya tak dapat diselamatkan lagi. Hanya saya seorang yg berusaha untuk mencari keserasian dengan suami, tapi suami langsung tidak memahami hati saya, apatah lagi cuba untuk serasi dengan saya. Mohon nasihat.


Nasihat yang mampu ummi berikan:



Janganlah menambah bilangan ibu tunggal, janda atau anak dara. Saban hari saya menangis bila ada gadis,janda , ibu tunggal memohon pertolongan minta dicarikan jodoh.


Jika kita sudah bersuami, peliharalah rumah tangga sebaik-baiknya. Kasih sayang boleh dipupuk. Ingatlah waktu selepas akad, waktu malam pertama dan indahnya waktu bersama.


Jika sudah bercerai, hidup sendiri, semua tu tak akan berulang lagi. Kasih sayang bukan boleh dibeli atau dikutip merata tempat. Bukan berkahwin dengan orang yang salah jika itu jodohnya.


Banyakkan bersabar, bertenang dan cuba kembali kepada Allah. Redha dengan apa yang Allah berikan. Mungkin bulan hanya berlindung sekejap dibalik awan. Maka dalam masa bulan berlindung itu, carilah Allah. Jangan peduli apa yang hati mahukan kerana apa hati mahukan sesuatu yang Allah tidak suka adalah hasutan syaitan.


Banyakkan berdoa,mohon suatu hari nanti suami tersedar akan kasih sayang isteri. Puan jangan fikir apa yang puan buat,berbakti pada suami itu sia-sia. Walaupun suami tidak menyatakan ,menunjukkan kasih sayangnya, sebenarnya dia tetap sayangkan puan.


Jika suami tidak sayang, dia tidak akan lafaz akad nikah, dia tidak akan sentuh puan dimalam pertama. Cumanya , ada lelaki ego, ada lelaki sukar untuk menunjukkan kasih sayang. Lafaz sayang itu terlalu mahal dan berat dilidahnya. Ianya cuma terukir di hati sahaja.


Dia mengutamkan keluarga , saudara maranya , itu sudah bagus. Dan sebagai isteri,puan kena taat dan ikut apa yang suami suka. Jika suami suka mengutamakan keluarganya, puan pun ikut jadi puan tidak akan rasa terpinggir.


Sebaliknya,jika hati puan tidak rela dan tidak suka, maka ini yang puan rasa. Puan kata 'Suami tidak peduli pada puan dan mengutamakan keluarganya.' Sepatutnya puan kena ikut apa saja yang suami suka, apa suami cinta dan minati. Tidak rugi jika kita korbankan hati demi mentaati suami kerana ganjaran yang Allah berikan maha hebat.


Belum terlambat jika puan buka hati semula untuk meminati apa yang suami suka. Puan korbankan perasaan sendiri dan ikut segala kesukaan suami. Puan layan saudara mara suami dengan ikhlas. Puan layan suami dengan ikhlas. Puan taati suami dengan ikhlas. InsyaAllah itu akan jadi ibadah yang dipandang oleh Allah dan puan akan rasai nikmatnya di dalam hati.



2 tahun adalah tempoh yang sangat singkat dan puan belum kenal hati budi suami. Saya akui sendiri,saya hanya kenal benar-benar suami saya setelah 10 tahun berkahwin. Dan nikmat berkahwin itu saya rasai selepas 10 tahun hingga kini menjangkau 26 tahun.


Sebelum 10 tahun, puan akan lalui berbagai rasa dan dugaan. Cubalah bersabar, dan cuba juga berubah persepsi dan sikap kepada negatif kepada postif terhadap minat suami.


Cubalah dulu melakukan dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. " Ya Allah ,aku lakukan ini kerana perintah MU,mentaati suami adalah wajib, maka bantulah aku, mudahkan jalan bagi ku agar aku taat kepadanya"


Dalam ummi menasihati masalah rumah tangga wanita ini, ada pula yang mencelah untuk bertanya;


Kalau tak kenal-kenal jugak suami tu macamana pulak ummi, ada masalah ke kalau tak kenal suami, atau berpura2 kenal suami ke macamana bila dah tak berapa kenal buat2 tak kenal pun tak mengapa ke atau macamana?
Sambung ummi :

Sebab tak cukup kenal, maka kita sentiasa berusaha untuk mentaati suami. Menjaga diri agar tidak melakukan apa yang suami tidak suka. Berusaha meminati apa yang suami suka. Jangan hati kita menentang atau melawan kerana jika dilawan dalam hati syaitan akan tumpang jadi nasi tambah.


Kita taat pada suami kerana ia perintah Allah. Sebab itu tidak boleh merajuk dengan suami. Jika merajuk dengan suami bermakna mendahulukan hati dari Allah. Bagaimana? Mentaati suami adalah perintah Allah. Allah suruh. Tapi kita merajuk dengan suami. Maknanya kita dahulukan hati kita dari mendahulukan perintah Allah.


Sambung wanita itu pula :

Semua pun suruh saya bersabar. Mak saya pun suruh saya bersabar. Rindu sgt kat mak, dah setahun lebih tak dapat balik kampung. Rasanya last balik kg masa lepas kawin dulu2. Tu pun sebab ambil barang.


Utk pengetahuan, saya juga bekerja. Saya pun penat bekerja. Kami sama2 kerja gomen yg waktu bekerja ialah ofis hour. Tapi kenapa suami mesti pulang ke rumah 1,2 pagi? Kenapa sampai kena tidur kat ofis? Dia pergi menjaja kat pasar malam ke? Gaji kami lebih kurang ja. Setakat anak baru sorang, kereta pun saya yg bayar, kami tak lah sengkek sangat. Tapi nasib saya mendapat suami yg workaholic.


Saya tak kisah kalau dia tak balik rumah langsung sepanjang minggu atau sebulan sekalipun, tapi apalah salahnya tanya hal anak (kalau menyampah kat saya ni pun). Takde ke perasaan nak tanya anak dah baik sakit ke? anak masuk wad ke?


Selama ni pun, saya dah rasa dah jadi ibu tunggal tu mcm mana. Pergi balik hospital bawak anak naik turun lif, pergi pasar beli barang dapur sambil kendong anak.

Boleh tak bagitahu kat saya, apa nikmatnya mempunyai seorang suami? apa faedahnya saya mempunyai title isteri? boleh bgtau tak?

Bersabar puan...
banyakkan bersabar...
Cubalah berkomunikasi dengan suami...
luahkan perasaan masing-masing tapi jangan sampai bertengkar pulak...
berbincang elok-elok...
bersabar lah...



Sambungnya lagi :


Suami ni jenis pandai bercakap. Dia dulu ada masuk pidato pidato ni. Saya ni pulak, tak pandai langsung. Cakap sikit, dah nak nangis. Sikit2 emo. Biasanya, setiap kali perbincangan, mesti suami yg menang.


Dan ini keputusan yang wanita ini ambil akhirnya :



Bila difikir2 balik, saya malas nak naik turun mahkamah utk uruskan permohonan cerai. Kalau dia tak nak ceraikan saya, biarlah saya digantung tak bertali seumur hidup. Saya pun dah takde hati nak kawin kawin ni dah. Jaga dan didik anak yg sorang tu supaya jangan jadi macam ayah dia, supaya jadi anak soleh, berbakti kepada agama dan negara tanpa melupakan keluarga sendiri.


Lagi pun yang berbeza hanyalah title janda atau isteri. Apa yang saya faham:


Kebaikan jadi isteri dalam situasi saya: dari segi pahala, lebih mudah dapat atas restu suami.


Kebaikan jadi janda: tak payah uruskan makan pakai suami. Uruskan diri dan anak saja. Boleh balik kampong jumpa mak ayah.


Jadi, saya pilih pahala. Saya harap, suatu hari nanti mak ayah akan datang jengok saya di sini, sebab saya memang tak boleh ke sana.


Sedihkan jika berhadapan dengan masalah begini. Walaupun wanita ini memilih untuk bersabar, tapi selama mana ia mampu bersabar jika tiada usaha sebelah pihak untuk memperbaiki hubungan di dalam rumah tangga. Tidak ada komunikasi 2 hala.


Semoga menjadi iktibar...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...