CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 May 2010

Ijab dan kabul

Firman Allah:

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Rum: 21)




Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam[1]. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.



Setiap negeri mempunyai cara tersendiri dalam sebutan/lafaz akad nikah. Maka ada sebutan yang mudah dan lancar untuk dilafazkan, ada yang kena ulang beberapa kali. Ini kerana jika ayat yang dilafaz itu tidak lancar dan sebutan kurang jelas maka akan diulang lagi sehingga para saksi berpuas hati.



Syarat ijab

* Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
* Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
* Diucapkan oleh wali atau wakilnya
* Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan(ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah)
* Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)

Contoh bacaan Ijab:Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:"Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai".


Syarat qabul

* Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
* Tiada perkataan sindiran
* Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
* Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
* Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
* Menyebut nama bakal isteri
* Tidak diselangi dengan perkataan lain

Contoh sebuatan qabul(akan dilafazkan oleh bakal suami):"Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai" ATAU "Aku terima Diana Binti Daniel sebagai isteriku".

Selepas qabul dilafazkan Wali/wakil Wali akan mendapatkan pengikhtirafan/kesaksian dari para hadirin khususnya dari saksi perkahwinan dengan cara meminta saksi mengatakan lafaz "Sah" atau perkataan lain yang sama maksud dengan perkataan itu.

Selanjutnya Wali/wakil Wali akan membaca doa selamat agar perkahwinan suami isteri itu berkekalan dan berbahagia sepanjang kehidupan mereka serta doa itu akan diAmeenkan oleh para hadirin.

Sejurus itu,mas kahwan/bayaran perkawinan/mahar akan diserahkan kepada pihak isteri.



Maka selepas selesai sahaja lafaz ijab dan qabul, bermulalah satu tanggungjawab yang baru selaku tugasan kita sebagai suami dan juga bakal bapa. Iaitu menjadi pemimpin dalam rumahtangga bagi melahirkan keluarga yang beriman dan bertaqwa.

Menjadi ketua merupakan satu tanggungjawab yang besar. Dari itu untuk kita dianggap sebagai ketua keluarga tidak cukup hanya memenuhi tuntutan nafkah. Tetapi perlu memainkan peranan yang lain untuk meraih penghormatan dari isteri dan anak-anak.

Antara tanggungjawab suami yang utama terhadap isteri ialah melayan isteri dengan baik. Malah ia sebahagian daripada keimanan seseorang. Sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah:


Maksudnya: Orang mukmin yang paling sempurna imannya, ialah mereka yang mempunyai budi pekerti yang baik serta melayani isterinya dengan penuh kemesraan.(Riwayat Imam Tirmizi)

Kasih sayang amat penting dalam rumah tangga kerana ia akan memudahkan tugasan kita dalam memimpin keluarga ke arah jalan yang diredai, kerana pimpinan tidak akan berkesan jika tiada perasaan hormat kepada ketua. Perasaan hormat hanya akan datang daripada hubungan yang erat antara keluarga iaitu melalui jalinan hubungan kasih dan sayang.

Antara tugasan berat kita sebagai seorang ketua keluarga ialah membentuk keluarga yang beriman dan bertaqwa. Bagi memastikan tugasan ini dapat dijayakan dengan sempurna, maka kita perlu melakukan perkara-perkara berikut agar segala perkara yang bakal disampaikan dapat diterima dengan baik oleh keluarga.

Antara perkara tersebut ialah:

Pertama: Menunjukkan contoh teladan yang baik.

Sebagai ketua keluarga, adalah satu perkara yang sangat penting dan mustahak untuk kita menjadi role model kepada anak-anak dan juga isteri.

Sesuatu perkara akan menjadi lebih mudah untuk diikuti oleh keluarga apabila kita melakukan apa yang kita seru. Ini dapat dilakukan dalam perkara seharian kita seperti melakukan amal ibadah dan juga menjaga kebersihan rumah dan sebagainya.

Ingatlah kekata pepatah melayu, ‘Bapa borek, anak rintik’.

Bagaimanakah kita hendak melarang anak-anak untuk tidak merokok, sedangkan kita sendiri merokok setiap hari? Atau bagaimana kita hendak menggalakkan anak kita belajar bersungguh-sungguh, sedangkan kita sendiri tidak menjadikan amalan membaca satu budaya dalam diri kita?

Kedua: Luangkan masa anda.

Sebagai seorang ketua keluarga, tidak dinafikan menjadi kewajipan bagi kita untuk mencari nafkah bagi isteri dan anak-anak. Seterusnya masa kita bersama keluarga amatlah terhad.

Namun itu bukanlah satu alasan untuk kita tidak cuba berdamping dengan keluarga. Ingatlah, bukan berapa lama masa yang dihabiskan bersama keluarga, akan tetapi yang penting ialah berasa lama masa berkualiti yang kita habiskan bersama keluarga itulah yang menjadi ukuran.

Manfaatkanlah seberapa banyak masa yang anda ada di samping keluarga dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bersama walaupun seketika. Aktiviti mudah seperti sarapan atau makan malam bersama, solat berjemaah bersama, menonton TV, berbasikal atau aktiviti ke pasar secara bersama adalah contoh aktiviti-aktiviti mudah yang boleh dilakukan bersama keluaga.

Ingatlah masa itu tidak akan pernah ada, kecuali jika kita yang mencari masa tersebut.

Ketiga: Berikan pujian serta belaian.


Dalam usaha membentuk jalinan keluarga yang erat, sebagai ketua keluarga, kita perlu prihatin terhadap segala perkara positif atau terpuji yang dilakukan oleh isteri atau anak-anak walaupun kecil.

Pujilah mereka apabila melihat satu kelakuan yang positif, ucapkan terima kasih, ingatlah, perkara mudah yang anda lakukan ini akan menyemarakkan lagi keinginan mereka untuk terus melakukan perkara kebaikan, apabila melihat diri mereka dihargai.

Cuba kita tanya diri kita sendiri, apa perasaan kita bila sesuatu perkara baik yang dilakukan di tempat kerja sebagai contoh, diberi penghargaan dan mendapat sebutan serta pujian oleh majikan? Pastinya kita akan rasa diri kita dihargai dan akan menyemarakkan lagi usaha kita untuk terus berusaha dan meningkatkan prestasi kerja.

Selain itu, pujian yang diiringi dengan sentuhan juga amat bermakna buat isteri dah anak-anak. Mereka akan lebih rasa disayangi dan dicintai. Sentuhlah dan pegang tangan atau bahu isteri atau anak anda setiap kali memuji atau memberi teguran. Ia akan memberi impak atau kesan yang sungguh besar, tidak lain dan tidak bukan kerana merasa diri mereka dihargai dan disayangi.



Ingatlah, perkara ini perlu menjadi amalan seharian kita, kita perlu dilihat sebagai seorang yang seimbang dalam memberi teguran dan juga pujian, janganlah kita dilihat sebagai suami atau bapa yang tahu marah dan mendisiplinkan anak sahaja, tetapi juga kita ingin dilihat sebagai seorang suami dan juga bapa yang penyayang.

Semoga dengan ikatan kasih sayang dan perhubungan yang erat ini akan dapat mengukuhkan institusi keluarga kita seterusnya dapat memberikan kita kelebihan dalam memimpin keluarga ke arah kehidupan yang diredhai oleh Allah di dunia dan akhirat. Amin.

Seterusnya...

12 May 2010

Hukum Berkahwin


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Engkau bila nak kahwin ni?”. Tanya seorang kawan apabila aku membuat panggilan setelah lama tidak berjumpa.


“Aku? haha.. mungkin lambat lagi. Belajar pun belum habis.” Aku membalas dengan nada lucu, terdengar juga dia ketawa dicorong suara telefon bimbit.


“Kahwin la cepat-cepat, boleh dapat anak cepat. hehe.. “. Kawan aku membalas dengan suara seperti mencabar.

Sesi perbualan panjang, bersembang itu dan ini. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa.

Dalam Islam amat menitik beratkan tentang berkahwin ini, dan meletakkan hukum-hukum bagi seseorang individu. Hukum berkahwin berbeza mengikut keadaan atau peribadi seseorang. Anda perlu ingat, hukum berkahwin adalah tidak sama bagi setiap individu dan akan berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Contoh, hukum berkahwin adakalanya menjadi wajib bagi individu pertama, manakala menjadi sunat bagi individu kedua. Adakalanya boleh menjadi makruh, atau haram jika berkahwin.


Hukum berkahwin

Pertama : Wajib – seseorang itu wajib berkahwin jika sudah mempunyai kemampuan dan kesanggupan serta memenuhi syarat untuk berkahwin. Nafsu dan kehendak batin memuncak dan mendesak serta ditakuti terjerumus ke lembah perzinaan. Penzinaan boleh membawa kepada dosa dan memudharatkan kehidupan manusia. Perbuatan zina merupakan dosa besar dan diwajibkan hukuman sebat atau rejam sampai mati.

Kedua : Sunat – Apabila kemahuan batin dan nafsu mendesak, namun dia dapat mengawal dirinya daripada melakukan zina atau perbuatan lain yang haram seperti homoseks, lesbian dan seumpamnya. Dia juga mampu dari segi zahir dan batin. Dalam keadaan ini, disunatkan untuk berkahwin.


Ketiga : Makruh – Makruh berkahwin apabila tidak berkemampuan dari segi perbelanjaan dan keinginan nafsu syahwatnya lemah akibat penyakit dan tidak mampu untuk memberi nafkah zahir dan batin kepada bakal isterinya, namun tidak menimbulkan kekecewaan kepada isterinya dengan sebab-sebab tertentu. Contoh, apabila calon isteri memiliki harta kekayaan dan kemewahan hidup, serta kemahuan yang terhad kepada seks disebabkan penyakit atau umur.

Keempat : Harus – Seseorang itu harus berkahwin apabila melakukan ibadat itu lebih baik baginya dan tidak mempunyai keinginan atau tidak berhajat untuk berkahwin. Walaupun begitu, dia mampu dari segala aspek, kemampuan, perbelanjaan, tidak sakit dan mampu memberi nafkah zahir dan batin.

Kelima : Haram – Apabila tidak mampu memenuhi tuntutan zahir dan batin isterinya walaupun mempunyai keinginan yang tinggi untuk berkahwin. Diharamkan juga apabila berlaku penipuan dalam memperkenalkan diri kepada calon suami atau calon isteri sama ada penipuan dari segi keturunan, harta, rupa paras, perkerjaan dan sebagainya. Menipu untuk memikat hati seseorang perempuan sedangkan dia bukan seperti yang dinyatakan.

Begitu juga apabila seseorang perempuan mengetahui dirinya tidak mampu untuk memenuhi hak suaminya dari segi zahir dan batin, umpamanya terdapat penyakit pada kemaluannya, berpenyakit kusta, sakit jiwa dan sebagainya, tetapi tidak memberitahu calon suaminya kerana takut hubungan yang bakal terbina tidak kesampaian. Memberitahu kelemahan serta kekurangan diri adalah wajib.

Itulah huraian ringkas berkaitan hukum berkahwin. Jika anda sudah bersedia, cepat-cepatlah kahwin. Sebab apa? sebab perkahwinan adalah jalan paling selamat bagi seseorang bagi menghalalkan persetubuhan dan juga bertujuan untuk mengelakkan diri daripada gejala maksiat dan dosa. Zina itu tidak dihalalkan sama sekali walau dalam keadaan apa sekalipun. 



Namun mengelakkan maksiat bukan lah tujuan utama untuk berkahwin...





Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

05 May 2010

Walimatul 'Ursi Ketiga Baitulmuslim Halaqahnet

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Bulan Mei, sepasang lagi pengantin dari Baitul Muslim di akad nikahkan. Kali ini pasangan dari 2  negeri yang bersebelahan. Urusan pernikahan mereka memang mudah, selepas berta'aruf terus dibawa perbincangan keluarga. Tidak sampai 3 bulan, akad nikah dijalankan. Alhamdullilah, mudah benar urusannya tanpa perlu menjalin hubungan yang lama dalam  tempoh bertunang.







Walimatul 'Ursi  Ketiga Baitulmuslim Halaqahnet


Sejak ditubuhkan PENDAFTARAN BAITUL MUSLIM « pada: March 13, 2009, 11:54:10 AM »oleh abu atiyah ,inilah pasangan pengantin ketiga. Kedua-duanya dari Baitul Muslim Halaqahnet. Ada beberapa pasangan yang melalui Baitul Muslim masih menanti tarikh pernikahan. Ummi hanya umumkan jika tarikh pernikahan telah ditetapkan sahaja.



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Salam dihulur pembuka bicara,
Sepenuh hormat dan Sejambak Harapan

Pasangan Ketiga Baitul Muslim Halaqahnet ialah Pasangan dari
Negeri bersebelahan antara Johor dengan Pahang



Badryl3


dengan

Bint_Yusuf

telah bernikah pada

Pada 02 Mei 2010
Sabtu

Di Negeri Pahang

Di doakan agar rumahtangga mereka dikurniakan oleh Allah 
kerukunan, kedamaian, keselamatan,
kesejahteraan dan kebahagiaan 
hingga akhir hayat membawa ke akhirat.

Serangkai kasih dalam limpahan budi,
menguntum segar dalam kenangan.
Terima kasih



Tahniah..
Semoga berbahagia selalu...
Jadikanlah ikatan ini selamanya diberkati OlehMu, Agar sentiasa dilimpahi dengan keimanan
dan kasih sayang dan peliharalah ia semoga ianya akan berkekalan dengan rahmat dan cahaya kasihMu didunia dan di akhirat, Amin.. .



Doa Untuk Pengantin
Ya Allah Ya Tuhan Kami, 
Kurniakan Rahmat Kepada (pengantin) Suami Isteri Agar Kekal Abadi,
Aman Damai Yang Berkekalan Di Alam Rumahtangga, 
Sihat Walafiat,
Dimurahkan Rezeki Dan Dilanjutkan Usia 
Dengan Mendapat Zuriat Yang Soleh Serta
Mendapat Syafaat Daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
~ Amin Ya Rabbal Alamin ~



 Begitulah antara doa yang ummi petik dari ucapan-ucapan halaqian di forum Halaqahnet...


  Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Seterusnya...

01 May 2010

Walimatul 'Ursi Kedua Baitulmuslim Halaqahnet

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lama juga tidak menulis info atau ilmu di dalam laman ini. Kenapa tah akhir-akhir ni agak sibuk, banyak juga permohonan baru dari peserta Baitul Muslim. Bila ada saja peserta muslimin, maka borang akan segera di proses, ciri-ciri calon isteri akan di teliti dan di gandingkan dengan beberapa calon muslimah yang ada.

Proses seterusnya , peserta muslimin ditunjukkan beberapa gambar untuk dibuat pilihan. setelah terpilih,baru lah sedikit info biodata dimaklumkan dan langkah seterusnya bertaaruf secara alam maya. Ummi tak mampu untuk menghadikan diri di alam nyata bagi proses taaruf dan pertemuan pertama. Selalunya,untuk pertemuan pertama,ummi dah suruh merujuk kepada keluarga.

Restu dan redha keluarga amat penting di dalam membina sebuah Baitul Muslim, kerana berkahwin bukan diantara pasangan itu sahaja, tetapi seluruh keluarga. Rumah tangga bahagia bukan sahaja menjaga hubungan baik suami isteri tetapi seluruh keluarga suami dan seluruh keluarga isteri.

Bulan April telah berlalu, pasangan ke dua BaitulMuslim Halaqahnet telah pun bernikah pada  9 April 2010 lalu. Dibawah ni pengumuman yang ummi buat di Forum Halaqahnet.


Walimatul 'Ursi  Kedua Baitulmuslim Halaqahnet


Sejak ditubuhkan PENDAFTARAN BAITUL MUSLIM « pada: March 13, 2009, 11:54:10 AM »oleh abu atiyah ,inilah pasangan pengantin kedua. Kedua-duanya dari Baitul Muslim Halaqahnet. Ada beberapa pasangan yang melalui baitul Muslim masih menanti tarikh pernikahan. Ummi hanya umumkan jika tarikh pernikahan telah ditetapkan sahaja.



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Salam dihulur pembuka bicara,
Sepenuh hormat dan Sejambak Harapan

Pasangan Kedua Baitul Muslim Halaqahnet ialah Pasangan dari Pantai Timur


Ikan Pari


dengan

Cahaya lurus

akan bernikah pada

Pada 09 April 2010
Jumaat

masa selepas solat Jumaat

Di doakan agar rumahtangga mereka dikurniakan oleh Allah 
kerukunan, kedamaian, keselamatan,
kesejahteraan dan kebahagiaan 
hingga akhir hayat membawa ke akhirat.

Serangkai kasih dalam limpahan budi,
menguntum segar dalam kenangan.
Terima kasih
 
 
 
Dan bergemalah irinan selawat dari Pak Din  
mengiringi restu pernikahan mereka berdua ini.



Alhamdulillah . ..
Alhamdulillah ...
Alhamdulillah ...

"Allahumma Solli 'ala Saiyidina Muhammad Wa 'ala ali Saiyidina Muhammad "

Amin Ya Allah Amin Ya Lathiff ...

Kekal bersama berbahagia di dunia  hingga akhirat
Kekal bersama bergembira di dunia hingga akhirat
Kekal bersama dalam ketaatan di dunia hingga ke akhirat
Kekal bersama sebagai suami isteri ...dunia dan akhirat

Ya Allah Ya Lathiff  ...
Berikanlah kepada mereka berdua ketabahan dan kesabaran di dalam kehidupan di dunia ini
sebagai suami dan isteri seperti para nabi2Mu  ..

Ya Allah Ya Lathiff
Berikanlah kasih sayangMu  kepada mereka berdua  seperti mana
Engkau mengasihi dan menyayangi kekasihMu Muhammad putra Abdullah s.a.w

"Allahumma Solli 'ala Saiyidina Muhammadinin Nabiyil ummiyyi Wa 'ala Alihi Wasohbihi Wasallim"

Allahumma Amin




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...