CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

29 April 2011

Damai Selepas Sengketa Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Sengketa, krisis rumah tangga perlu segera dirungkai agar tidak melarat kepada perceraian. Jangan biarkan rumah tangga anda runtuh hanya disebabkan keegoaan masing-masing dan tidak mahu mengalah. Rendahkan hati, akui kesilapan dan perbaiki kesilapan bersama-sama. Masing-masing perlu memberikan peluang,jangan mengharapkan kesempurnaan pasangan sehingga menutup kelemahan diri sendiri.


HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.


Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan redha dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.


Sering kedengaran para isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.


Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.


Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.


Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.


Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.


Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.


Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.


Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)


Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.


Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.


Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.


Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.


Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.


Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.


Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.


Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.


Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.


Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.



Firman Allah yang bermaksud: “Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226)


Perkongsian artikel dari : epondok



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.






0 comments: