CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

09 June 2014

Nafkah Isteri dan Ibu bapa, Mana Yang didahulukan?


 Soalan;

1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kampung? - Suami bukanlah anak lelaki sulung atau anak lelaki tunggal.

2. Bolehkah keluarga di kampung terutama ibu dan ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya juga perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.

Syukran jazilan atas jawapan yang diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL


Impianku menjadi isteri solehah,mencintai, 
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

Rezeki Dilewat Usia


Ketika saya berada di wad bersalin baru-baru ini, saya berbual dengan pesakit katil sebelah. Melahirkan anak lelaki dengan berat 3.35 kg. Untuk memulakan bicara, saya salam dan tanya khabar semua apabila melihat suami , ibu dan kakaknya ada bersama.

Selepas itu barulah saya tanya lebih lanjut untuk memulakan ukhuwwah. Dia seorang pelajar S3 di sebuah IPTA di Malaysia, berwarga Indonesia. Sedang menyiapkan penulisan sebelum menamatkan penggajian September ini.

Dia bercerita, sangat bersyukur atas apa yang dikurniakan Allah ini. Menurut kata beliau, "Saya benar-benar bersabung nyawa ketika mahu melahirkan anak ini. 3 hari sebelum anak lahir, saya ditempat di ICU kerana masalah jantung dan darah tinggi. Ketika dibedah separuh badan bius, dalam proses melahirkan anak secara pembedahan caesarian, saya diserang asthmaa. Nikmat Allah, saya diselamatkan Allah untuk merasa dan menjiwai menjadi seorang ibu. Usia saya 40 tahun. Saya bernikah awal tahun 2013 ketika usia 39 tahun. Atas kehendak Allah, diberikan jodoh dan anak pada usia yang lewat .

Sungguh janji Allah benar, saban hari saya berdoa moga dikurniakan jodoh yang baik di sisi Allah, alhamdullilaah sampai juga masanya, dihujung tahun penggajian saya ini. Inilah rezeki namanya. rezeki yang berganda-ganda dalam rahmatNYA."

Maka jangan kita merasa berputus asa dari rahmat Allah. Teruskan berdoa, Allah akan mengurniakan apa yang kita harap pada masa yang Allah kehendaki, bersabar kerana bersabar juga ibadah yang kita lakukan tanpa sedar.

Impianku menjadi isteri solehah,mencintai, 
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...