CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

08 November 2010

Memilih Calon Menantu Lelaki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Sering kali kita dibacakan maksud sepotong hadith yang berbunyi,"Dikahwini wanita itu(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya,dan agamanya.Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu)wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu" (riwayat Bukhari dan Muslim).


Secara umumnya, hadith ini menyenaraikan ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki
untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,berharta,berdarjat tinggi, dan cantik jelita merupakan pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki.


Namun yang lebih penting, hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri "kuat penghayatan agamanya". Hal ini kerana wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan mempengaruhi kebahagiaan hidup berumah tangga.


Tetapi bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, tentu ada panduan
lain untuk kaum wanita memilih bakal suami mereka.


Memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi seorang wanita, perlu menyelidiki terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya. Hal ini penting kerana menurut kajian , kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila mereka diabaikan suami.


Dalam hal ini, ibu bapa wajib memberikan panduan bagaimana anak perempuan mereka boleh mencari bakal suami. Rasulullah S.A.W ada bersabda yang bermaksud : "Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar."


Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa kriteria seorang suami yang baik ialah mereka yang beragama dan berakhlak mulia. Sifat inilah yang semestinya dijadikan sifat asasi dalam memilih bakal suami sebelum dilihat hal-hal lain. Dua sifat inilah yag sebenarnya menentukan kekufuan pasangan suami isteri itu.


Lelaki yang tidak memiliki kriteria di atas tergolng dalam lelaki fasiq (ingkar kepada suruhan Allah). Jadi , walaupun seseorang lelaki hidup kaya raya, tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga mereka. Hal ini kerana kefasiqan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras ,kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tempat-tempat maksiat, berfoya-foya , dan sebagainya. Tatkala itu hak-hak isteri akan hilang.


Suami yang hidup dalam kefasiqan bermakna mengundang murka Allah. Jika Allah sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumah tangga akan dapat dikecap? Yang pastinya ketenangan serta kebahagiaan hidup berkeluarga tidak akan dinikmati.


Diriwayatkan dalam sebah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali r.a, (cucu Rasulullah S.A.W) untuk meminta nasihat. Katanya, "Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan denagn puteriku?"
Hasan menjawab, "Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah, kerana jika dia menyukai isterinya dia pasti mengasihinya , tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti dia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya).


Di sini, ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap bakal suami anak mereka. Kalau tidak, anak mereka akan menjadi mangsa. Allah S.W.T dan RasulNya membenci sikap ibu bapa itu. Baginda rasul mengingatkan para wali dalam sabdanya yang bermaksud : "Barangsiapa menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri."


Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah S.A.W dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman. Ancaman dalam hadith di atas sepatutnya digeruni oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan.


Sebenarnya, satu malapetaka yang amat besar akan berlaku sekiranya anak gadis kita yang berjiwa bersih,peribadi mulia, dan taat menjalankan suruhan agama dikahwini dengan lelaki fasiq. Berapa ramai gadis yang semasa berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah berbuat maksiat , tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasiq, gadis itu hanyut dalam arus maksiat.


Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh dibawa oleh kesesatan suaminya. Mereka sudah pandai minum arak ,memakai pakaian yang mendedahka aurat ,bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram. Apatah lagi dalam soal ibadah ; solat mudah
ditinggalkan dan puasa diabaikan.


Hal ini berlaku, kerana seorang wanita itu apabila dikahwinkan dengan seorang lelaki, maka dia
akan mengikut suaminya, sekiranya lelaki yang dikahwininya itu baik maka baik la dia dan
sebaliknya maka akan hancur dan musnahlah kehidupannya sehingga mengundang murka Allah.


Memandangkan risiko yang dialami oleh ana gadis itu, amat wajarlah Rasulullah S.A.W menghukum ayah @ wali yang mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki fasiq. Sesungguhnya memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuan sendiri suatu malapetaka yang amat besar.

Jadi, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Hal ini kerana perkahwinan bukan kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi
merupakan "ikatan sosial" yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan.


Hayatilah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud : "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan klimpah kurniaanNya, kerana Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui."






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Perkongsian dari Usah Rasa sangsi

Seterusnya...

07 November 2010

Poligami Boleh Mengatasi Masalah Sosial Ummah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Poligami bukan lagi sesuatu yang luar biasa pada setiap zaman. Islam membenarkan berpoligami sebagai satu pnyelesaian masalah ummah. Bagaimana?


Seseorang suami yang telah berkahwin, masih lagi ingin menjalin hubungan dengan wanita lain, seperti bercouple, bercinta dan seterusnya berzina. Maka untuk mengelakkan perkara ini terjadi , digalakkan suami tadi bernikah dengan kekasihnya itu.


Sepatutnya poligami adalah untuk membantu perempuan lain yang belum berkahwin pada usia yang telah meningkat, bukan kahwin dengan anak dara yang masih cun, berkahwin dengan janda yang perlukan perlindungan, janda yang ada anak yatim untuk dibesarkan.


Antara Sebab-sebab kenapa Islam membenarkan pensyariatan poligami ialah sebagai pembelaan, perlindungan dan tempat yang halal bagi meramaikan umat Muhammad saw.

Sabda baginda: “Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti”

Masyarakat kita punya sikap “perkahwinan adalah penyelesaian segala masalah”. Perempuan belum berkahwin pula rela menjadi isteri nombor dua tanpa memikirkan akibatnya, semata-mata kerana ingin ada suami tempat bergantung? Mereka juga terlalu naif tentang kehidupan berumah tangga sambil mengharapkan suami akan berlaku adil.

‘‘Hanya kerana kebenaran isteri pertama, bukan tiket untuk bahagia pada masa hadapan. Bagi saya, orang belum berkahwin mempunyai satu masalah tapi orang berkahwin mempunyai banyak lagi set masalah. Sebab itu kita banyak mendengar kisah yang tidak elok bagi yang berpoligami – suami tidak adil, buat hal itu dan ini.

‘‘Orang lelaki, sebelum berkahwin janjinya setinggi gunung, tetapi bila sudah dapat apa yang dihajati, segala janji dilupakan. Mereka hanya mahukan apa yang mudah untuk mereka. Segala ketidakadilan mereka pun jarang mendapat pembalasan dari Allah di dunia, semuanya akan dibalas di akhirat. Jadi suami tidak perlu takut jika tidak berlaku adil?

‘‘Pada saya pandangan mereka yang mendakwa isteri pertama kedekut kerana tak izin suami berpoligami adalah pandangan cetek dan berkepentingan. Saya percaya, apa yang isteri takutkan bukan pasal berkongsi suami, tetapi memikirkan nasib dan masa depan anak-anak yang terpaksa berkongsi kasih.

‘‘Ada yang salahkan isteri pertama biarkan suami berzina. Kenapa tidak salahkan suami yang berzina? Tak izin suami kahwin tak bermaksud suami ada lesen buat dosa? Mana tanggungjawab suami terhadap agama dan keluarga? Berzina tetap jadi dosa orang berzina. Isteri tak pikul dosa suami. Suami tidak seharusnya ada kekasih.

‘‘Pemahaman yang cetek mengenai ketaatan isteri terhadap suami dalam Islam juga penyebab kenapa poligami kita banyak masalah. Tidak ada ayat al-Quran atau hadis mengatakan isteri yang benarkan suami berkahwin lagi akan dapat payung emas di syurga. Ini peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu untuk lembutkan hati isteri. Sama seperti tidak ada dalam al-Quran dan hadis yang mengatakan syurga terletak di bawah tapak kaki suami. Syurga hanya milik Allah dan amal ibadah yang di lakukan untuk mendapat keredaan Allah.


Setiap perkara yang dilakukan jika bukan berniat kerana Allah.. maka keredhaan dan keberkatan tidak akan ditemui bersama perjalanan hidupnya. Dalam hal poligami juga menuntut keikhlasan si suami dalam melaksanakannya. Ibadah yang betul ialah apabila si suami melaksanakan poligami berlandaskan sunnah dan syariat yang digariskan menurut Islam. Contohnya, si suami yang berpoligami itu berniat ikhlas untuk membantu wanita yang tiada tempat bergantung (kerana tidak berkahwin sehingga usia semakin lanjut).

Sebaliknya jika si suami sekadar ingin menambah koleksi isteri bagi menurut kehendak hawa nafsu dek kerana kecantikan dan kepuasan semata-mata maka ia sudah tergelincir daripada landasan ibadah yang disunnahkan. Banyak perkara lagi yang harus diambil kira oleh si suami, termasuklah bersifat dan bersikap adil kepada semua isterinya dalam pemberian nafkah zahir dan batin. Semestinya memikul keadilan ini adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan ke atas diri setiap insan kelak.

Kelangsungan hidup berpoligami ini juga tidak sepatutnya menjadi rahsia antara isteri-isteri si suami yang berpoligami itu kerana ini menyentuh soal kejujuran. Apabila kejujuran tidak wujud dalam sesebuah rumahtangga, maka ketidakjujuran itu sendiri boleh menjadi senjata pemusnah ramahtangga yang dibina. Tambahan lagi, tidak semua isteri sanggup bermadu dan berkongsi kasih-sayang dengan orang lain. Sebab itu poligami mesti didasari oleh kejujuran, keikhlasan dan keadilan. Bukan mudah sebenarnya untuk menggalas dan memikul tugas dan tanggungjawab berpoligami ini. Jika sikap sedemikian tidak wujud, dikhuatiri ia membawa kehancuran dan kegagalan rumahtangga.

Oleh itu, adalah tidak wajar menganggap poligami sebagai penyelesai kepada masalah sosial jika poligami yang dilaksanakan itu tidak berlandas pada trek yang sebenar. Malah ia mungkin menambah kepada satu bentuk masalah sosial yang baru apabila berlaku pergelutan dalam rumahtangga akibat ketidakpuasan hati sebelah pihak, atau antara satu sama lain.



Oleh itu , Pertama sekali kena jelas apakah niat dan matlamat perkahwinan tu, tak kira la pada kali pertama perkahwinan atau perkahwinan seterusnya. Jika dari awall niatnya tidak betul, maka goyah la perkahwinan itu

Jika perkahwinan tidak disandarkan pada Allah, maka perasaan sayang dan cinta akan pudar setelah berkahwin nanti, tambahan pula jika berkahwin atas dasar, kecantikan, harta dan keturunan.


Jika hal permasalahan sosial ini seperti kes-kes rogol dan perzinaan yang berleluasa di mana saja diserahkan kepada kaum isteri yang sudah merasa secure bersama suami mereka, mereka tidak akan membenarkan suami mengambil siapa saja yang lain sebagai madu mereka. Hampir tiada di kalangan isteri yang akan dengan senang hati meredhai dan 'membenarkan' suami menikahi perempuan lain walaupun boleh dikatakan semua orang telah faham bahawa salah satu penyelesaian masalah tadi ialah dengan lelaki mengahwini perempuan-perempuan itu.


Namun begitu, kaum isteri ini juga tidak senang dengan masalah yang berlaku di sekeliling mereka itu. Tiada siapa yang inginkan perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi jika ianya berlaku kepada anak pinak atau sanak saudara sendiri. Instead, mereka akan meletakkan, dan menaruh harapan kepada pihak pemerintah untuk menyelesaikannya, tetapi 'jangan diusik suami mereka'.


Dalam keadaan ini, siapakah pula pemerintah itu? Bukankah suami juga merupakan pemimpin dan pemerintah? (Lihat An-Nisaa ayat 34).


Dalam ayat itu, Allah Taala mengangkat kaum lelaki sebagai pemimpin kepada kaum perempuan, dan BUKAN pemimpin hanya kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan sahaja. Maknanya, kepimpinan lelaki kepada kaum perempuan itu TIDAK hanya tertakluk kepada rumahtangganya sahaja. Maknanya, lelaki juga bertanggungjawab kepada masalah yang berlaku di persekitaran rumahtangganya juga.

Tidak mustahil untuk Allah Taala menyoal kaum lelaki di Mahsyar kelak, tentang apa yang sudah mereka buat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di depan mata mereka, sedangkan mereka sudah diberi segala kemampuan dan sudah diangkat sebagai pemimpin oleh Allah Taala sendiri. Atau, adakah kaum lelaki itu ‘takutkan bini’?



Hakikatnya poligami dibenarkan untuk membela nasib wanita. Wanita yang perlukan bantuan seperti janda dan anak dara yang agak lanjut usianya. Namun hakikatnya semua perkara bergantung kepada niat kita sama ada baik atau sebaliknya. Namun...Bukan mudah untuk berkahwin tapi tak susah.


Akhirn kalam, poligami adalah salah satu jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial tetapi bukan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial...kerana setelah meneliti punca permasalahan sosial itu sendiri ialah peningkatan industri hiburan, siaran2 hiburan yang semakin banyak di media2, pendedahan aurat2 secara berleluasa, pergaulan bebas antara bukan mahram, lambakan kompleks2 hiburan, disko, kelab joget dan pub, alat2 pencegah hamil yang mudah didapati seperti kondom dan pil pencegah hamil.. Pada pandangan saya wajar sekiranya semua punca-punca gejala sosial ini diberi perhatian serius...



wallahualam...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

04 November 2010

Kenapa Pertunangan Perlu dirahsiakan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.


Pertunangan masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.


Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana masih belum sah menjadi suami isteri.


Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.


Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.


Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.


Dalam tempoh bertunang ini adalah disarankan, pasangan bertunang supaya mencari ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunangan langkah permulaan kepada alam perkahwinan.


Ikatan pertunangan diamalkan masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.


Dari Jabir bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu melamar perempuan, jika ia bisa memandang bahagian tubuhnya yang menarik untuk dinikahi, hendaknya ia lakukan." Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan perawi-perawi yang dapat dipercaya. Hadits shahih menurut Hakim.


Bermakna,sekadar lihat muka dan tangan,hati telah terdetik untuk menikahi, maka lamarlah dia untuk dijadikan isteri. Harus melihat bakal suami dan isteri malah disunatkan melihat berulang-ulang kali.Hal ini supaya mereka berpuas hati dengan pilihan yang dibuat dan untuk mengelakkan sebarang penipuan.Anggota yang sunat dilihat ialah muka dan tapak tangan.Muka melambangkan kecantikan.Tangan menunjukkan kesuburan.Perhubungan orang yang bertunang masih dikira sebagai hukum ajnabi(orang asing).


Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.


Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.


Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Beliau bersabda: "Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat." Riwayat Ahmad. Hadits shahih menurut Ibnu Hibban.


Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.


Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.


Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.


Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.


Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya.


Maka tidak seharusnya seseorang lelaki atau perempuan itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Seterusnya...

02 November 2010

Di Ambang Keretakkan Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Kali ini, ingin ummi kongsikan bersama satu kisah rumah tangga yang tiba-tiba rasa kasih sayang dan cinta menjadi pudar. Cinta sebelum berkahwin yang intim dan mesra bukan lah satu jaminan hidup bahagia selepas berumah tangga. Melahirkan zuriat bukan juga menjadi menyambung kasih sayang yang telah bersemi.


Dimana salah dan silapnya,kita baca bersama-sama dan nasihat yang mampu ummi berikan. Memang sejak akhir-akhir ini,ummi banyak berhadapan dengan pelbagai kisah rumah tangga yang pincang dan retak. Di dalam ummi mengusahakan pembinaan Baitul Muslim, ummi juga selalu ditimbuni dengan permasalahan rumah tangga yang menuju kepada keruntuhan jika tidak dibantu dengan nasihat dan kaunseling.


Ummi memang akan berusaha untuk mengelakkan dari terjadinya perpisahan dan perceraian walaupun itu adalah jalan terakhir dan memang sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Jadi selain membina rumah tangga, ummi juga akan membantu mereka yang menghadapi masalah dalam rumah tangga agar dapat dielakkan rumah tangga yang telah dibina itu roboh dan runtuh.




Bacalah bersama-sama:


Saya sudah bekahwin selama 2 tahun dan mempunyai seorang anak yang tak sampai setahun lagi umurnya. Disebabkan saya dan anak sering hidup terabai akibat sikap suami yang terlalu menumpukan pada kerjaya/rakan/saudara berbanding isteri dan anak, lama-kelamaan hidup saya bosan dan mula tawar hati terhadap suami.


Setiap hari saya bertanya pada diri sama ada saya berkahwin dengan orang yang betul?


Saya pernah bersabar, ajak suami berbincang, ajak dia keluar bercuti bersama, tapi nampaknya tiada hasil. Saya sudah putus asa dan tiada lagi cinta untuk suami.

Bila terfikir tentang anak, saya bersabar lagi. Tapi bila difikirkan semula, apa kena mengena suami dengan anak? Anak saya tak mahu pun dipegang oleh bapanya. Saya fikir, adalah lebih baik saya menjadi ibu tunggal saja. Setakal dapat title 'janda' tu, saya tak kisah. Mana tahu, ada orang lain yg nak kat saya, boleh saya mencari bahagia yg lain.


Kini saya rasa terperangkap dalam perkahwinan ini. Saya melakukan kerja2 rumah, menggosok baju suami dan menyiapkan makan suami, melayan kerenah saudara-mara suami (saya berhijrah dari selatan untuk tinggal bersama suami di utara), tetapi secubit kasih sayang suami pun saya tak dapat rasakan.


Saya sudah merasakan bahawa rumah tangga saya tak dapat diselamatkan lagi. Hanya saya seorang yg berusaha untuk mencari keserasian dengan suami, tapi suami langsung tidak memahami hati saya, apatah lagi cuba untuk serasi dengan saya. Mohon nasihat.


Nasihat yang mampu ummi berikan:



Janganlah menambah bilangan ibu tunggal, janda atau anak dara. Saban hari saya menangis bila ada gadis,janda , ibu tunggal memohon pertolongan minta dicarikan jodoh.


Jika kita sudah bersuami, peliharalah rumah tangga sebaik-baiknya. Kasih sayang boleh dipupuk. Ingatlah waktu selepas akad, waktu malam pertama dan indahnya waktu bersama.


Jika sudah bercerai, hidup sendiri, semua tu tak akan berulang lagi. Kasih sayang bukan boleh dibeli atau dikutip merata tempat. Bukan berkahwin dengan orang yang salah jika itu jodohnya.


Banyakkan bersabar, bertenang dan cuba kembali kepada Allah. Redha dengan apa yang Allah berikan. Mungkin bulan hanya berlindung sekejap dibalik awan. Maka dalam masa bulan berlindung itu, carilah Allah. Jangan peduli apa yang hati mahukan kerana apa hati mahukan sesuatu yang Allah tidak suka adalah hasutan syaitan.


Banyakkan berdoa,mohon suatu hari nanti suami tersedar akan kasih sayang isteri. Puan jangan fikir apa yang puan buat,berbakti pada suami itu sia-sia. Walaupun suami tidak menyatakan ,menunjukkan kasih sayangnya, sebenarnya dia tetap sayangkan puan.


Jika suami tidak sayang, dia tidak akan lafaz akad nikah, dia tidak akan sentuh puan dimalam pertama. Cumanya , ada lelaki ego, ada lelaki sukar untuk menunjukkan kasih sayang. Lafaz sayang itu terlalu mahal dan berat dilidahnya. Ianya cuma terukir di hati sahaja.


Dia mengutamkan keluarga , saudara maranya , itu sudah bagus. Dan sebagai isteri,puan kena taat dan ikut apa yang suami suka. Jika suami suka mengutamakan keluarganya, puan pun ikut jadi puan tidak akan rasa terpinggir.


Sebaliknya,jika hati puan tidak rela dan tidak suka, maka ini yang puan rasa. Puan kata 'Suami tidak peduli pada puan dan mengutamakan keluarganya.' Sepatutnya puan kena ikut apa saja yang suami suka, apa suami cinta dan minati. Tidak rugi jika kita korbankan hati demi mentaati suami kerana ganjaran yang Allah berikan maha hebat.


Belum terlambat jika puan buka hati semula untuk meminati apa yang suami suka. Puan korbankan perasaan sendiri dan ikut segala kesukaan suami. Puan layan saudara mara suami dengan ikhlas. Puan layan suami dengan ikhlas. Puan taati suami dengan ikhlas. InsyaAllah itu akan jadi ibadah yang dipandang oleh Allah dan puan akan rasai nikmatnya di dalam hati.



2 tahun adalah tempoh yang sangat singkat dan puan belum kenal hati budi suami. Saya akui sendiri,saya hanya kenal benar-benar suami saya setelah 10 tahun berkahwin. Dan nikmat berkahwin itu saya rasai selepas 10 tahun hingga kini menjangkau 26 tahun.


Sebelum 10 tahun, puan akan lalui berbagai rasa dan dugaan. Cubalah bersabar, dan cuba juga berubah persepsi dan sikap kepada negatif kepada postif terhadap minat suami.


Cubalah dulu melakukan dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. " Ya Allah ,aku lakukan ini kerana perintah MU,mentaati suami adalah wajib, maka bantulah aku, mudahkan jalan bagi ku agar aku taat kepadanya"


Dalam ummi menasihati masalah rumah tangga wanita ini, ada pula yang mencelah untuk bertanya;


Kalau tak kenal-kenal jugak suami tu macamana pulak ummi, ada masalah ke kalau tak kenal suami, atau berpura2 kenal suami ke macamana bila dah tak berapa kenal buat2 tak kenal pun tak mengapa ke atau macamana?
Sambung ummi :

Sebab tak cukup kenal, maka kita sentiasa berusaha untuk mentaati suami. Menjaga diri agar tidak melakukan apa yang suami tidak suka. Berusaha meminati apa yang suami suka. Jangan hati kita menentang atau melawan kerana jika dilawan dalam hati syaitan akan tumpang jadi nasi tambah.


Kita taat pada suami kerana ia perintah Allah. Sebab itu tidak boleh merajuk dengan suami. Jika merajuk dengan suami bermakna mendahulukan hati dari Allah. Bagaimana? Mentaati suami adalah perintah Allah. Allah suruh. Tapi kita merajuk dengan suami. Maknanya kita dahulukan hati kita dari mendahulukan perintah Allah.


Sambung wanita itu pula :

Semua pun suruh saya bersabar. Mak saya pun suruh saya bersabar. Rindu sgt kat mak, dah setahun lebih tak dapat balik kampung. Rasanya last balik kg masa lepas kawin dulu2. Tu pun sebab ambil barang.


Utk pengetahuan, saya juga bekerja. Saya pun penat bekerja. Kami sama2 kerja gomen yg waktu bekerja ialah ofis hour. Tapi kenapa suami mesti pulang ke rumah 1,2 pagi? Kenapa sampai kena tidur kat ofis? Dia pergi menjaja kat pasar malam ke? Gaji kami lebih kurang ja. Setakat anak baru sorang, kereta pun saya yg bayar, kami tak lah sengkek sangat. Tapi nasib saya mendapat suami yg workaholic.


Saya tak kisah kalau dia tak balik rumah langsung sepanjang minggu atau sebulan sekalipun, tapi apalah salahnya tanya hal anak (kalau menyampah kat saya ni pun). Takde ke perasaan nak tanya anak dah baik sakit ke? anak masuk wad ke?


Selama ni pun, saya dah rasa dah jadi ibu tunggal tu mcm mana. Pergi balik hospital bawak anak naik turun lif, pergi pasar beli barang dapur sambil kendong anak.

Boleh tak bagitahu kat saya, apa nikmatnya mempunyai seorang suami? apa faedahnya saya mempunyai title isteri? boleh bgtau tak?

Bersabar puan...
banyakkan bersabar...
Cubalah berkomunikasi dengan suami...
luahkan perasaan masing-masing tapi jangan sampai bertengkar pulak...
berbincang elok-elok...
bersabar lah...



Sambungnya lagi :


Suami ni jenis pandai bercakap. Dia dulu ada masuk pidato pidato ni. Saya ni pulak, tak pandai langsung. Cakap sikit, dah nak nangis. Sikit2 emo. Biasanya, setiap kali perbincangan, mesti suami yg menang.


Dan ini keputusan yang wanita ini ambil akhirnya :



Bila difikir2 balik, saya malas nak naik turun mahkamah utk uruskan permohonan cerai. Kalau dia tak nak ceraikan saya, biarlah saya digantung tak bertali seumur hidup. Saya pun dah takde hati nak kawin kawin ni dah. Jaga dan didik anak yg sorang tu supaya jangan jadi macam ayah dia, supaya jadi anak soleh, berbakti kepada agama dan negara tanpa melupakan keluarga sendiri.


Lagi pun yang berbeza hanyalah title janda atau isteri. Apa yang saya faham:


Kebaikan jadi isteri dalam situasi saya: dari segi pahala, lebih mudah dapat atas restu suami.


Kebaikan jadi janda: tak payah uruskan makan pakai suami. Uruskan diri dan anak saja. Boleh balik kampong jumpa mak ayah.


Jadi, saya pilih pahala. Saya harap, suatu hari nanti mak ayah akan datang jengok saya di sini, sebab saya memang tak boleh ke sana.


Sedihkan jika berhadapan dengan masalah begini. Walaupun wanita ini memilih untuk bersabar, tapi selama mana ia mampu bersabar jika tiada usaha sebelah pihak untuk memperbaiki hubungan di dalam rumah tangga. Tidak ada komunikasi 2 hala.


Semoga menjadi iktibar...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

13 October 2010

Diberikan peluang untuk berkahwin dengan mualaf

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Ummi terkesan apabila membaca luahan hati seorang mualaf. Dan lebih terkesan apabila memikirkan dengan siapa mereka bersaudara untuk meneruskan kehidupan hingga akhir hayat. Kita pun tahu, iman itu ada kalanya tinggi dan rendah. Perlu ada saudara, teman dan sahabat untuk memberikan peringatan.



Kita baca sama-sama luahan hatinya:


Kerana yakin ku dengan islam, aku tinggalkan ibu bapaku, aku tinggalkan kampung halaman ku hanya kerana Islam yang bersinar di hati ini. segala kesukaran aku tempuh dengan tabah bagi mencari cahaya yang telah dilimpahkan oleh Allah di hati ini.


Kerana aqeedah aku tinggalkan jahiliyah,
Kerana aqeedah aku terus berkelana,
Kerana aqeedah aku berjuang mencari kebenaran,
Kerana aqeedah aku terus menuntut ilmu agar menuntun aku kepada ALLAH YANG ESA.

Hidayah Allah, cukup berharga dan membahagiakan. Islam nya aku bukan kerana keturunan...




Nasihat buat Yang Baru Menerima Hidayah dan kepada yang telah lama mendapat hidayah...

Bagi mengukuhkan akidah, banyak langkah yang boleh kita lakukan antaranya ialah melakukan banyak perkara sunat seperti membaca Al Quran, solat tahajud dan bersedekah. Dalam keadaan kita melakukan aktiviti begini, jiwa dan hati kita akan terasa tenteram serta tenang. Keadaan ini akan menggalakkan diri kita untuk menambahkan amalan-amalan sunat dan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan akidah. Walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilakukan, tapi dengan melakukan dengan permulaan yang sedikit dan melakukannya setiap hari adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.

Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT juga boleh mengukuhkan akidah seseorang. Dalam kehidaupan harian kita, kita tidak pasti sama ada kita melakukan dosa atau tidak. Contoh dalam melakukan amalan seperti Solat, belum tentu kita khusyuk sepenuhnya. Jadi ini boleh mendatangkan dosa atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan pahala. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang maksum dari melakukan dosa sentiasa memohon keamunan, inikan kita yang tidak terlepas dari melakukan dosa.

Selain itu, bagi mengukuhkan akidah kita mestilah sentiasa mendalami pengetahuan dan ilmu keagamaan kita agar pengaruh-pengaruh dari luar tidak dapat mempengaruhi kita. Dalam suasana dunia yang semakin canggih, kita tidak akan terlepas daripada menerima pelbagai pengaruh sama ada baik atau buruk. Kenyataannya sekarang, ramai manusia yang bertambah cerdik, bijak dan pandai sehinggakan kepintaran mereka itu digunakan untuk membuatkan diri mereka terkenal. Ada segelintir manusia yang sudah terlalu pandai menganggap merekasebagai tuhan, rasul dan utusan-utusan tuhan. Dengan cara mendalami pengetahuan agama, kita akan mampu untuk menepis kenyataan ini agar tidak terpengaruh dan dalam masa sama akan meningkatkan kepercayaan serta keimanan kepada Allah SWT.

Mengukuhkan akidah bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, ia perlukan kekuatan iman. Ini adalah asas utama dalam mengukuhkan akidah. Persoalan iman dan akidah mestilah ditangani dengan sebaik-baiknya agar pada masa akan datang, anak-anak yang akan mewarisi kehidupan akan dapat hidup dalam suasana yang penuh harmoni, aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak. Apa yang penting sekarang adalah peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak bermula dari rumah. Pendidikan asas agama penting untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan. Pendidikan dari rumah akan berlanjutan ke peringkat sekolah dan pada peringkat ini, guru-guru turut terlibat dalam mendidik anak-anak, terutamanya mendidik agama itu sendiri.


Selain itu cara mengukuhkan aqeedah, menikahi mereka juga merupakan satu cara membantu mengukuhkan aqeedah mereka. Maka ummi buka satu topik di laman web Halaqahnet untuk mendapatkan padangan sekiranya diberikan peluang menikahi atau bernikah dengan mereka.


Kita kongsi untuk membacanya:

Sekiranya anda diberikan peluang untuk berkahwin dengan mualaf, adakah anda setuju atau menolak. Jawaplah dengan tulus.

Adakah masih anda mahu melihat rupa parasnya, duit dalam bank dan keturunannya. Jika anda membuat bandingan pada agama, agamanya sudah pasti kurang dari anda sebab anda dah 20 tahun lebih berada di dalam agama Islam sedangkan dia baru setahun jagung.

Mahukah anda menjadi pembimbing kepada mereka sekiranya diberikan calon mualaf?

Terima kasih jika anda sudi menjawap dan memberikan pendapat serta pandangan.


Pandangan 1 : Pearlady
Kalau tanya pendapat saya... saya ok je.tp tetap kena minta persetujuan keluarga coz bukan kita je yg akan berkongsi budaya mereka tetapi family kita juga...so dlm hal ni, biarlah perkahwinan 2 mendapat restu ibu bapa supaya senang di kemudian hari.

walaubagaimanapun, pasangan yg hendak berkahwin dengan muallaf perlu memastikan mereka mempunyai kekuatan ilmu, amal dan iman kerana biarlah yg menarik itu lebih kuat daripada yg ditarik...hal ini kerana kita tidak mahu berlaku perkara yg sebaliknya yg mana kita yg membimbing ditarik pula ke agama mereka ataupun muallaf tersebut tidak kekal lama dalam agama islam...nauzubillah


Pandangan 2 : Rina79
Berkawin dengan mualaf?
Hmmm...saya akan terima
klu itu sudah jodoh yang Allah tentukan untuk saya
Saya bukannya seorang yang pandai dalam ilmu2 agama ni
hanya tau basic2 jer
tapi insyaAllah
klu si dia ingin belajar, kami akan belajar sama2
kadang2 orang yang baru mengenal islam nih lebih islamnya dari mereka yang dilahirkan dalam islam
insyaAllah
klu si mualaf itu sudi memperbaiki diri dan belajar lagi ilmu2 agama
maka perjalanan itu lebih mudah dan diberkati olehNYa


Pandangan 3 : Munawarrah_Cinta
Kalau saya diberikan peluang?? Kalau sayalah kan.. saya kan.. bagi saya bukan menjadi satu masalah yang besar untuk saya menerima seorang mualaf dalam hidup saya. Ya, tanggungjawab besar. Untuk mendidik dia dalam Islam.. Sedangkan saya sendiri masih belajar. Namun, saya akan berusaha memberikan tunjuk ajar disamping turut sama-sama belajar dengan dia. Mencari guru untuk dia dan menerapkan nilai hidup Islam dalam keluarga kami. InsyaAllah..

Isteri berdirinya disisi suami.. dia yang menjadi tongkat tatkala suami meraba dalam gelap, saat suami tersungkur.. saat suami terjatuh. Apatah lagi seorang Muallaf. Lagi 1, suami tugasnya membimbing isteri.. namun, isteri yang dapat membawa suami ke jalan yang benar akan masu syurga lebih dulu daripada suami.. Jadi, alangkah beruntungnya saya kalau diberikan peluang sedemikian.


Pandagan 4 : otramen_mebius22
Tak salah & memang digalakan kerana membawa mereka kepada kebenaran...

Namun sedih, ada kawan2 yang mualaf, sampai dah kahwin 5 -10 tahun pun sholat tak buat, nak baca bismillah & bagi salam pun masih gagap....

Kita yang bawa mereka kepada Islam, tangungjawap kita mendidik mereka...namun, ditempat saya (Sarawak), sekarang ada ramai jugak mualaf; dah cerai, jadi kafir balik....sebab tak lama dulu seorang kawan yang mualaf, dah cerai, sekarang masuk balik gereja....soal ni bukan salah dia pada pokok nya tapi kita yang tak didik mereka...

Banyak kesabaran & dugaan bila kahwin dengan mualaf, yang penting jangan putus asa...sama2 belajar.


Pandangan 5 : Anazahra
Secara jujur, saya gementar juga... Kerana saya juga masih bertatih2, banyak yang perlu belajar.. Dan juga perlu seiring membimbing dia.. Tapi jika itu jodohnya saya terima.

Apa2pun, jika bernikah dengan muallaf perlukan kesabaran yang tinggi, perlu lemah lembut, melayan dia bagai anak kecik, kerana mungkin banyak yang dia tidak faham mengenai Islam. Tetapi janganlah sampai menafikan status dia sebagai suami... Disini, perlu saling menasihati dan saling memahami... Si suami faham status dia sebagai muallaf (yang dibimbing - perlu banyak belajar) dan si isteri kena faham status dia sebagai isteri (yang membimbing). Isteri perlu ada kekuatan dalaman yang kuat.. Sentiasa memberikan sokongan kepada suami untuk sama2 belajar dan terus belajar mendalami Islam, sentiasa mengingatkan bahawa hidup ini hanya kerana Allah, pernikahan ini hanya kerana Allah.

Sangat sedih apabila, jika dia bernikah dengan kita tetapi akhirnya putus ditengah jalan dan dia kembali menjadi asal (kembali ke agama asal). Kita sebagai isteri perlu ada mind setting di dalam kepala, "aku akan bimbing suamiku ini sehingga suami ku ini menjadi muslim yang soleh"


Itu lah pandangan dari hati tulus mereka jika diberikan peluang berkahwin dengan mualaf. Maka kita sebagai orang Islam baka/genetik ini yang bertanggung jawap untuk sama-sama belajar dan bimbing membimbing jika kita juga tidak mempunyai ilmu, maka bersama-sama belajar. Kita akan dapat sokong menyokong antara satu sama lain.

Seterusnya...