بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
HATI ibu mana yang tidak gembira tatkala anak gadisnya dipinang
orang. Sukanya hati bukan kepalang lalu pelbagai langkah bersiap untuk
melangsungkan pernikahan dijalankan menurut tertib dan adat.
Biasanya ibu dan ayah akan bertungkus-lumus berusaha menjadikan
majlis akad nikah puteri kesayangannya dengan penuh komitmen supaya
meriah dan ceria.
Adalah wajar ibu bapa pengantin wanita memberikan petua dan nasihat buat
anaknya yang bakal melangsungkan pernikahannya. Nasihat supaya anak
memelihara dan menjaga alam rumah tangganya sebaik yang terdaya.
Inilah yang pernah dilakukan isteri ‘Auf ibnu Mihlam Asy-Syaibani yang
dikatakan ada memberi nasihat kepada puterinya yang akan bernikah dengan
Raja Kindah.
Pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani: “Puteriku, kini engkau
meninggalkan tempat kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang
belum pernah engkau ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau
sebagai pengabdi yang baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi
yang baik juga bagimu.
Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku
supaya ia menjadi modal bagi hidupmu.”
Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap anak gadisnya, tetapi
kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran dan serba mewah,
kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan nasihat berguna buat
anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman sejahtera dan bahagia.
Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah engkau sebagai pendamping
hidupnya yang selalu menerima apa adanya. Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf
itu bertepatan kehendak agama kerana sikap qanaah, bersedia dengan hati
lapang terhadap kemampuan suami, menu keharmonian rumah tangga.
Erti kata lain, isteri tidak sesekali membebankan suami yang di luar
batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada pada diri seorang isteri
solehah.
Seterusnya pesanan kedua beliau: “Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan mentaatinya.”
Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu hendaklah
memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur urusan rumah
tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan pada suami
dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”
Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah dirimu di hadapan matanya
sebagai seseorang yang paling menarik baginya dan tampilkan dirimu di
hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling harum.”
Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi dalam
aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim
pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina
keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.
Beliau juga berpesan supaya memperhatikan penjadualan waktu makan
yang betul dan tepat serta menjaga ketenteraman masa tidur. Jadi, jika
diteliti apa dipesan isteri ‘Auf kepada anak gadisnya, sesuai dan
relevan dijadikan sebagai pedoman kita semua.
Pesanan lain, “Sesungguhnya kelaparan seseorang akan menyebabkannya
mudah beremosi dan kurang tidur pula menyebabkan seseorang itu mudah
melepaskan kemarahan.”
Ini adalah langkah proaktif isteri mengelakkan suasana kurang baik
dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan suami. Memang lumrah manusia,
emosi menjadi kurang stabil dan mudah dibelenggu rasa kurang tenang
apabila perut lapar atau kurang tidur.
Lagilah bahaya kerana emosi negatif boleh meletup tanpa disangka.
Justeru, apa yang disarankan isteri ‘Auf adalah jalan pintas untuk
membendung anasir negatif daripada muncul dalam rumah tangga.
Mengamalkan budaya mencintai kebersihan juga ditonjolkan dalam
wasiatnya supaya anaknya menjaga kebersihan tempat tinggal, keamanan
harta suami dan berikan perhatian kepada suamimu serta keluarganya.
Jika kita amati pesanan itu, kita akan jumpa peringatan terbaik
mengenai penjagaan persekitaran rumah tangga yang ceria dan bersih. Juga
terselit ingatan supaya isteri menjadi seorang yang beramanah menjaga
harta benda dalam rumah tangga.
Pesanan beliau selanjutnya dikira penting dipelihara rapi oleh
isteri. Kata beliau: “Janganlah engkau membuka rahsia suamimu kepada
orang lain dan jangan engkau melanggar perintahnya. Islam menegah isteri
menceritakan hubungannya dengan suami atau hal rumah tangga kepada
orang lain.
Yang terakhir katanya: “Janganlah engkau berasa susah ketika dia
dalam keadaan senang dan janganlah engkau berasa senang ketika dia dalam
keadaan susah, kerana yang pertama termasuk moral yang tidak sesuai dan
yang kedua termasuk merosakkan suasana.
Jadilah engkau orang paling
mengagungkan suamimu, agar dia menjadi orang yang paling memuliakanmu.”
Begitulah pesanan bermanfaat dan cukup indah dikemukakan isteri ‘Auf
Ibnu Syaibah kepada anak gadisnya. Ibu bapa sewajarnya menitipkan
pesanan untuk dijadikan panduan kepada anak yang akan melangsungkan
pernikahan demi kesejahteraan rumah tangga mereka.
Kesimpulannya untuk menjadi isteri solehah ada 10 pesanan yang wajib diikuti:
Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
Mendengar dan mentaati suami.
Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.
Sumber
Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.
Seterusnya...
Perenggan utama...