CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

27 August 2009

Kahwin ~ Isteri Solehah

ANTARA tujuan perkahwinan ialah menyempurnakan keinginan fitrah manusiawi, mencontohi sunnah Nabi s.a.w, mengembangkan keturunan, mengelakkan dosa, mendapatkan ketenangan jiwa serta mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Tetapi kadangkala, disebabkan kegagalan menangani masalah di dalam institusi perkahwinan, kemanisan berumahtangga menjadi pudar dan berganti dengan kepahitan, walaupun membabitkan perkara remeh-temeh.

Tapi kebahagiaan rumah tangga boleh ujud jika isteri memainkan peranan untuk dengan baik sebagai isteri solehah, antara sifat isteri solehah adalah seperti ini:

* Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

* Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.

* Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semulajadi itu Allah anugerahkan kepada lelaki.

* Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan perintah agama.

* Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.

* Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya, begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami. Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.

* Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami daripada masalah kewangan.

* Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu menunaikannya.

* Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.

* Berdiam diri sambil mendengar bila suami bercakap.

* Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.

* Isteri yang sentiasa menghias diri bila di hadapan suami dan
sebaliknya pula bila ketiadaan suami.

* Isteri yang sentiasa mendahulukan keperluan suami dari keperluannya sendiri.

* Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.

* Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman bila ia pulang.


Seterusnya...

20 August 2009

Persiapan memulakan rumah tangga muslim


Persiapan untuk membina Bait Muslim merangkumi persiapan secara zahir dan batin, persiapan jasadiah, aqliah, rohaniah dan syu'uriah. Sudahkah bersedia? Persediaan tidak mestinya bersedia 100%, tetapi cukup dengan persediaan yang memadai. Persiapan yang memadai itu subjektif. Penilaiannya tergantung kepada kebijaksanaan kita. Baki persediaan yang belum siap disediakan boleh dibuat sepanjang jalan menuju hari pernikahan atau selepas pernikahan.

Persediaan dan pembaikan diri hendaklah dilakukan bukan bermula jauh sebelum hari pernikahan dan tamat di majlis akad nikah sahaja tetapi ia berlangsung dan tidak akan pernah berhenti hingga suatu noktah yang pasti iaitu mati. Cuma persediaan sebelum hari pernikahan perlulah lebih intensif untuk mencapai peratusan persediaan yang memadai.

Persediaan material?

Persediaan material penting kerana realitinya kita hidup di zaman materialistik. Mahu tidak mahu memang kita terpaksa menghadapi realiti dunia ini. Walaupun secara teorinya kita boleh memilih untuk melangsungkan pernikahan dan majlis pernikahan kita secara yang ringkas sahaja, tetapi ianya hanya satu kenyataan yang tidak mudah untuk dilaksanakan.


Ya, memang kita mahu mudah dan ringkas, tidak membazir, serta menggunakan kekayaan untuk hal lain yang lebih penting contohnya seperti infaq untuk belanja dakwah, tarbiah atau derma kepada rakyat dan mujahidin Palestin. Tetapi hakikatnya perjalanan hidup kita tidak ditentukan oleh diri kita sendiri sahaja.

Umumnya kita yang menentukan perjalanan hidup kita tetapi proses ke arah membuat keputusan itu bukan dibuat oleh kita sahaja.
Keputusan yang dibuat melibatkan orang-orang lain yang mempunyai kuasa atau setidak-tidaknya pengaruh ke atas kita atau hubungan istimewa dengan kita yang menyebabkan tidak sopan untuk kita tidak mengendahkan atau menolak ke tepi atau tidak mempertimbangkan langsung pandangan, cadangan, kehendak dan suruhan mereka. Mereka boleh jadi ibu bapa kita (yang mempunyai kuasa atas kita), dan sanak saudara kita (yang mempunyai hubungan istimewa dengan kita dan secara adabnya kita mesti menghormati mereka).

Namun jika kita berpegang pada prinsip keseimbangan, insyaAllah kita tidak akan terlalu mudah terlarut dengan desakan mereka hingga berlaku pembaziran dan di sisi yang lain kita tidak akan terlalu berkeras dalam pendirian kehendak kita hingga mengguris hati mereka. Mereka adalah orang-orang yang dekat dan berkait dengan kita.

Kita tidak boleh selesa dengan banyaknya material kerana mungkin ianya tidak cukup. Kita juga tidak boleh terlalu takut jika kita tidak mempunyai banyak harta.
Persoalan utama dalam menjayakan Bait Muslim ini bukan pada banyak atau sedikitnya harta tetapi pada bagaimana kita akan mengurus harta itu?

Jika kita mengurus berdasarkan prinsip yang utama diutamakan dan yang tidak penting dikebelakangkan atau dilupuskan terus dari senarai. Insyaallah material kita akan terguna secara baik dan memadai tidak kiralah ianya banyak atau sedikit. Oleh itu, tidak pelik apabila kita melihat orang yang kurang material daripada kita telah dapat berkahwin dan hidup bahagia, sedang kita yang banyak material masih merasa tidak cukup dengan apa yang sudah kita ada.
Ia bukan pada banyak dan sedikitnya harta tetapi bergantung kepada cara menguruskannya. Sekalipun banyaknya material tidak menjadi syarat untuk memulakan Bait Muslim, tetapi material mestilah mencukupi untuk memulakan Bait Muslim. Tidak kisah sama ada ia banyak atau sedikit kerana yang penting ia mencukupi. Apa ukuran mencukupi?

Ia subjektif.
Banyaknya harta cenderung untuk mencapai status ‘cukup' material. Tetapi berapa banyak orang yang ada banyak harta tetapi hartanya itu tidak cukup-cukup untuk menampung hidupnya. Masalah ini disebabkan oleh sikap dan cara kita mengurus harta. Sedikit harta cenderung untuk mendapat status ‘tidak cukup' material tetapi berapa banyak orang yang sedikit hartanya dapat hidup sejahtera, baik dan bahagia. Pokoknya bukan pada sedikit atau banyaknya harta, tapi pada bagaimana mengurusnya. Jika ternyata harta ada sedikit dan memang terbukti tidak mencukupi, bagaimana pula?

Bukankah Islam menyuruh untuk berusaha. Jika berusaha yang sedikit jadi banyak dan yang tidak cukup akan jadi cukup, insyaAllah.
Yang tidak ada bukan rezeki. Rezeki telah dijanjikan Allah untuk setiap mahkluknya. Tetapi rezeki tidak datang bergolek. Yang tidak ada, yang perlu diadakan dan yang perlu dibuat ialah USAHA. Dengan berusaha, insyaAllah akan dapat rezeki dan akan cukup material. Nak usaha apa? Itu pun masih terbuka luas peluangnya. Yang penting, mahu berusaha dan terus berusaha. InsyaAllah rezeki akan datang, baik bergolek, melayang, berjalan atau berlari.

Persediaan akal?

Persediaan akal meliputi pemilikan pengetahuan. Pengetahuan yang sepatutnya ialah pengetahuan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan Bait Muslim. Bukan pengetahuan dalam aspek tertentu sahaja seperti pengetahuan ibadat sahaja atau pengetahuan membesarkan anak sahaja atau pengetahuan mencari harta sahaja. Ya, memang banyak yang nak kena diketahui.

Di sinilah kemahiran pengurusan pengetahuan sangat diperlukan.
Ilmu yang diperlukan untuk diguna dalam masa terdekat perlulah dicari dan dipelajari segera. Ia perlu diutamakan untuk dipelajari berbanding ilmu-ilmu lain yang masih belum sampai masa untuk menggunakannya. Ilmu yang tidak diperlukan dalam masa terdekat disimpan dulu sebagai niat baik yang penuh dengan keazaman serta dicatat dalam senarai perancangan ilmu untuk dipelajari nanti.

Utamakan pelajaran ilmu yang penting berbanding pelajaran ilmu yang tidak seberapa penting. Dalam masa terdekat dengan tarikh pernikahan, ilmu dalam banyak bidang rumah tangga diperlukan. Sebagai bakal suami, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab suami diperlukan. Sebagai bakal isteri, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab isteri diperlukan. Selain ilmu tentang peranan, ilmu tentang hak juga perlu diketahui, seperti hak suami dan hak isteri.

Walau bagaimana pun, untuk kebahagiaan rumahtangga kesungguhan kepada melaksanakan peranan dan tanggung jawab masing-masing jauh lebih penting daripada kesungguhan menuntut hak masing-masing. Ilmu tentang hak adalah untuk mengelak daripada dizalimi sahaja. Ilmu tentang peranan pula adalah untuk memastikan kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita dengan adil dan sempurna. Jika kedua-dua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta memberikan dan menjaga hak pasangan masing-masing, insyaallah kehidupan akan aman dan bahagia.

Banyak lagi bidang-bidang ilmu yang perlu dipelajari contohnya ilmu mencari nafkah zahir, ilmu membelanjakan nafkah, ilmu nafkah batin, ilmu komunikasi dalam rumah tangga, ilmu tentang peribadi pasangan, ilmu keselamatan, ilmu kesihatan, ilmu kepenggunaan, ilmu ibadat dan ilmu akhlaq. Pelbagai cara untuk mencari ilmu tetapi yang paling senang ialah dengan membaca. Membaca yang dimaksudkan bukanlah membaca bahan bacaan sebarangan, tetapi membaca bacaan yang memang tepat untuk dibaca. Bagaimana mengetahui tepat atau tidak untuk dibaca? Buatlah penilaian, bertanyalah kepada orang yang lebih berpengalaman dan mintalah cadangan daripada yang pakar. Selain membaca, perkongsian pengalaman dan dialog lewat perbualan biasa juga sangat bermanfaat.

Persediaan rohani?


Sebelum sampainya tarikh pernikahan, atau jika tarikh pernikahan telah berlalu tetaplah terus melatih diri dengan menyemai dan menyuburkan sikap yang baik dan membuang sikap yang buruk dalam diri. Biarlah sikap baik tumbuh menggantikan tempat sikap buruk. Pada masa bujang, sikap yang baik mungkin senang kita amalkan dan sikap buruk kita pula tidak menjelma keluar kerana tidak pernah diusik sesiapa.

Sikap buruk mungkin ada, tetapi ia tersimpan rapi kerana tidak ada ujian atau cubaan yang mengganggunya. Tetapi, apabila sudah berkahwin, banyak ujian dan dugaan hadir dalam hidup sehingga ia mengganggu sikap buruk yang selama ini terpendam dan kita akan mendapati banyak sikap buruk pada diri kita selepas kita menikah.

Oleh itu, latihlah diri kita dengan sikap baik setiap masa dan bersungguh-sungguh bersikap baik agar pada saat genting atau saat keletihan selepas kita telah bernikah, iaitu saat kita benar-benar menjadi diri kita yang sebenar, saat kita benar-benar diuji dengan cubaan berat, sikap-sikap baik itu tidak tertanggal dari diri kita, masih melekat pada kita dan kita masih ber'amal dengannya seperti biasa biarpun kehidupan kita telah berubah, contohnya kita menjadi makin sibuk, atau makin penat, atau makin banyak cabaran hidup mendatang.

Maklumlah kalau semasa bujang, kita hanya mengurus diri kita sendiri maka kita tidaklah terlalu sibuk dan tidaklah terlalu penat. Tetapi apabila kita telah bernikah kita telah megurus dua orang manusia yang berlainan jantina dan berlainan latar belakang kehidupannya. Pastilah kita menjadi lebih sibuk dan lebih penat.

Oleh itu, latihlah diri kita membuang sikap-sikap buruk dalam diri kita sementara kita belum bernikah.
Kalaupun kita telah bernikah, teruskanlah istiqomah membuang sikap-sikap buruk dalam diri kita. Sikap buruk kita boleh jadi pelbagai dan banyak, tetapi boleh jadi juga beberapa dan sedikit. Tetapi pokoknya kita tidak mahu sikap buruk ada pada diri kita biarpun satu kerana satu sikap buruk sekali pun mempunyai risiko yang besar untuk mengganggu gugat kebahagiaan rumah tangga apatah lagi banyak sikap buruk yang kita miliki. Contoh sikap buruk ialah sangat mudah berprasangka buruk, hasad, tidak mahu mengalah, cemburu buta tuli yang melampau, terlalu sensitif atau manja, pemarah dan pendendam.

Jika pada masa bujang lagi kita telah ada banyak sikap buruk, maka buanglah cepat-cepat kerana sesudah menikah ia lebih senang berkembang dengan subur berbanding masa bujang sebelum kahwin.
Membuang sikap buruk bukan mudah, malah susah dan memakan masa. Tetapi kesusahan itulah mujahadah. Oleh sebab itu, teruslah bermujahadah membuang sikap buruk selepas nikah dan sekalipun telah lama bernikah. Perubahan itu mungkin walaupun susah. Disebabkan ia memakan masa, maka ia perlulah dibuang segera bermula sekarang.

Sekalipun jika masa bujang kita hanya ada beberapa sikap buruk saja, janganlah beranggapan ia sedikit dan boleh dibuang dengan senang apabila mendekati tarikh pernikahan atau setelah menikah.
Setelah menikah, ia bukan lagi medan masa yang utama untuk membuang sikap buruk. Ya, tidak dinafikan membuang sikap buruk masih perlu dan masih boleh dibuat selepas pernikahan, tetapi ia bukanlah lagi medan fokus utama setelah menikah. Banyak lagi kerja lain yang lebih penting yang perlu dibuat. Membuang sikap buruk menjadi kerja sampingan saja kerana banyak lagi kerja lain yang lebih utama yang perlu diutamakan.

Menunggu masa selepas menikah untuk bermula membuang sikap buruk adalah perjudian yang sangat besar risikonya kerana peluang membuang sikap buruk tidak secerah sebelum menikah lagi sekalipun peluang itu masih ada. Selepas kahwin, peluang itu masih ada tetapi sempit. Sebelum kahwin, peluang itu memang ada dan luas. Pilihlah antara peluang yang ‘masih ada' atau ‘memang ada', dan pilihlah antara sempit dan luas.
Jika anda belum menikah, manfaatkanlah masa bujang ini sebaiknya untuk membuat persiapan dan apa yang perlu. Uruslah masa anda dengan bijak. Jangan biarkan sesaat pun masa anda terbazir dengan hal tidak berfaedah, kelak selepas kahwin anda akan menyesal. Selepas mati anda lagi menyesal kerana akan ditanya di sana. Sudahkah anda bersedia? Untuk berkahwin dan untuk menjawab di Padang Mahsyar.

Seterusnya...

10 August 2009

Anakku...

Tanggungjawab mendidik anak-anak


BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.

Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.

Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.

Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.

Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".

Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.

Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.

Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.

Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).

Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)

Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.

Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.

Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.

Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.

Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"

Mengeluh

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.

Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."

Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.

Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.

Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.

Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.

Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)

Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)

Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.

"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.

Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."

Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:

Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Seterusnya...

03 August 2009

Menjaga Rahsia Rumah tangga

Rumah tangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti. Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak, rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah tangga mereka. Cukuplah sekadar menyediakan makan pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih sayang dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang sudah tua. Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak, sumbang mahram dan seumpamanya.


Mengawal Sikap
Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.
Hakikat Rahsia
Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya seperti: 1. Rahsia khusus: Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga. 2. Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan: Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana. Tersalah memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui tutur kata atau perilaku mereka. 3. Rahsia Harta Benda: Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani) Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (Bukhari dan Muslim) 4. Rahsia Bilik Tidur: Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir rahsia rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktu waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur. 5. Rahsia Berhubung Soal Maruah: Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34) Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti: i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya. ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah. iii. Pasangan menduakan suami atau isteri. iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain. 6. Rahsia Berhubung Nafkah: Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia tersebut. Jika Sudah Terpaksa Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan perasaan dan menceritakan rahsia pasangan kepada orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumah tangga terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga. Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul oleh suaminya. Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul kerana geram). Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga iaitu Rasulullah s.a.w. Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang. Maka beberapa perkara harus diambil kira iaitu: i) Merujuk Kepada Orang Yang Sesuai Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah tangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala. ii) Membuka Rahsia yang sesuai Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan. iii) Merujuk kepada Hakam “Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi. Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35) Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah. iv) Merujuk kepada mahkamah Ini merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh membuat keputusan ke atas masa depan rumah tangga tersebut di mana rahsia rumah tangga terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah. Mengambil Iktibar: Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid. Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya. Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”

Seterusnya...