CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

18 January 2011

Talak ~ Lafaz Sharih dan Lafaz Kinayah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Masih ummi ingin bicara bab talak. Ini kerana ramai sangat yang kurang jelas dan seperti mempermain-mainkan lafaz itu.

Talak ini ada banyak cara yang menyebabkan ia jadi sah. Ada lafaz secara jelas, ada lafaz secara sindiran.



TALAK


Pengertian Talak

Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud "menceraikan" atau "melepaskan".Mengikut istilah syara' ia bermaksud, "Melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian".


Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya, maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan iddah . Jika semasa isteri di dalam iddah kedua pasangan ingin berdamai, mereka boleh rujuk semula tanpa melalui proses pernikahan. Sebagaimana firman Allah swt di surah At Talak ayat 2 yang bermaksud,


"Maka rujuklah mereka dengan cara yang baik atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula"



Jenis-jenis Lafaz Talak


Lafaz talak terbahagi kepada dua:

1. Talak Sharih
2. Talak Kinayah.

Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".

Contoh lafaz yang Sharih:

1. Aku ceraikan kau dengan talak satu
2. Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
3. Hari ini aku ceraikan kau

Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.


Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:

1. Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
2. Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
3. Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi

Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.


Contohnya kes ini :


Situasinya begini....Seorang suami mempunyai 2 orang isteri secara rahsia iaitu Puan A dan Puan B. Walaubagaimanapun, tembelang si suami pada suatu hari terbongkar apabila Puan A terserempak si suami ini bersama Puan B. Walaubagaimanapun apabila disoal, si suami menafikan bahawa Puan B ini adalah isterinya. Soalannya, adakah jatuh talak pada Puan B tersebut apabila si suami tidak mengaku bahawa Puan B adalah isterinya di hadapan Puan A?


Jawapan;

Penafian suami tentang status seorang wanita sebagai isterinya atau ucapannya "Dia bukan isteriku" bergantung kepada niat suami kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah talak (yakni lafaz yang boleh difahami dengan maksud talak dan bukan talak), bukan termasuk dalam lafaz Sharih (yakni lafaz yang tidak difahami melainkan dengan maksud talak, iaitu lafaz cerai atau lafaz talak itu sendiri). Jika suami bermaksudkan talak/cerai dengan penafian atau ucapan tersebut, jatuhlah talak. Jika tidak berniat talak, tidaklah jatuh talak.



Jenis-jenis Talak

Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:

1. Talak Raj'ie
2. Talak Battah
3. Talak Bain
4. Menjatuhkan talak tiga sekaligus
5. Talak Sunni
6. Talak Bid'i



1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.



2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.



3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Talak Bain Kubra
2. Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

1. Talak yang diputuskan oleh Hakam
2. Talak melalui Khulu'
3. Talak yang difasakhkan oleh Hakim


4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.


5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.


6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

1. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
2. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.

Ingatlah jangan ambik mudah perkara ini, kerana ia melibatkan nasab dan keturunan sekiranya telah melafaz secara kinayah  tetapi ada  niat, namun kerana kejahilan, terus sahaja bersama-sama walaupun telah lebih 3 kali melafazkannya di dalam masa yang berlainan. Untuk kali pertama dan kedua, jika masih dalam tempoh edah, maka boleh dianggap rujuk bila bersama-sama sehingga melahirkan anak, tetapi jika kali ke3, tanpa sedar dan masih bersama sedangkan talak telah jatuh untuk kali ke 3, tidak boleh rujuk lagi.


Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com/ar/ref/100997/)


Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



2 comments:

Unknown said...

Terima kasih tuan/puan blogger atas maklumat mengenai lafaz taklik kinayah.Moga Allah merahmati anda.

Anonymous said...

Salam.. sy wan. Sy ada satu soalan. Kalau suami yg cerai lafaz soreh / sharih tanpa niat dan kerana paksaan. Apakah ia jatuh talak?