CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

29 April 2011

Damai Selepas Sengketa Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Sengketa, krisis rumah tangga perlu segera dirungkai agar tidak melarat kepada perceraian. Jangan biarkan rumah tangga anda runtuh hanya disebabkan keegoaan masing-masing dan tidak mahu mengalah. Rendahkan hati, akui kesilapan dan perbaiki kesilapan bersama-sama. Masing-masing perlu memberikan peluang,jangan mengharapkan kesempurnaan pasangan sehingga menutup kelemahan diri sendiri.


HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.


Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan redha dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.


Sering kedengaran para isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.


Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.


Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.


Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.


Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.


Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.


Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.


Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)


Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.


Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.


Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.


Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.


Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.


Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.


Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.


Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.


Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.


Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.



Firman Allah yang bermaksud: “Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226)


Perkongsian artikel dari : epondok



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.






Seterusnya...

27 April 2011

Tidak dilayan isteri bukan alasan untuk curang


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tertarik apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri tidak bertanggungjawab menjadi punca suami melakukan hubungan sulit.


Beliau mendakwa, ada masanya bila suami ‘ada keinginan’ tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana ‘sedang masak’ atau ‘sedang bersiap untuk ziarah saudara-mara’. Dalam Islam, katanya, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami.


Ibrahim mendakwa, kerana tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.


Tidak pasti berkaitan kajian yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Perlu dikemukakan statistik berkaitan sebelum kita dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami.


Memang ada di kalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.


Persoalan yang timbul dari kenyataan itu adakah kebanyakan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangani masalah sebegini?


Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen tertentu saja.


Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi, realitinya isteri itu turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumah tangga dan anak secara eksklusif digalas isteri.


Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang berkerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga.


Semua ini sebenarnya tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak.


Sekiranya semua ini disediakan oleh suami , pada masa itu, isteri wajib menuruti apa saja kehendak suami.


Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan datang begitu saja. Ia sebenarnya juga disertakan dengan tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka saja.


Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat.


Amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.


Jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumah tangga mereka, sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain juga tidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.


Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isteri supaya tidak derhaka kepada suaminya.


Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan kepada suami itu memukul isterinya bagi tujuan mengajar.


Bagaimanapun pukulan itu hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit.


Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.


Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, adalah disarankan tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial.


Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum mengatakan orang lain bersalah.


Isteri solehah iaitu isteri yang taat dan patuh terhadap suaminya, kepatuhannya itu bukanlah di dalam kemaksiatan. Taatnya isteri terhadap suami mencakupi memenuhi segala keperluan suaminya seperti menghiasi diri demi suaminya, menjaga dirinya daripada perbuatan curang, senantiasa menjaga rahsia keluarga serta menjaga harta benda suami dengan baik. Ia selalu merasa ikhlas dan puas dengan bahagian yang diterimanya daripada suaminya. Sebaliknya ia tidak pernah menuntut sesuatu yang diluar batas kemampuan suami untuk mengadakannya.

Sebagai seorang isteri harus bertanggungjawab dalam pengurusan rumahtangga, baik dalam membina dirinya sendiri mahupun untuk membina anak-anaknya ke arah kemajuan ummah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya'. (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

05 April 2011

Suami Panas Baran

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kasih sayang seorang atok pada cucu
Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:


“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)



Lama betul ummi tak sempat nak update laman ni. Sebok bebenor dengan berbagai-bagai urusan. Moga-moga urusan yang ummi sebokkan itu bukan urusan dunia sahaja.


Sejak dua menjak ni,banyak benor luahan hati para forumer di laman web Halaqahnet. Luahan hati kisah perjalanan rumah tangga. Ummi kongsikan di sini, sebagai panduan dan rujukan kepada pembaca agar berusaha menjadikan rumah tangga wangian syurga. Jadikan segala kisah ini sebagai iktibar dan teladan.


Assalamualaikum wbt..

Saya mempunyai dua orang anak dan sekarang sedang mengandung anak ke-3.Saya ingin meminta pandangan dan nasihat bagi masalah yang saya hadapi. Suami saya seorang ustaz dan mempunyai pegetahuan agama yg lebih daripada saya sendiri.Masalahnya ialah sikap panas baran dan suka mengeluarkan perkataan buruk terhadap anak2.Kadang2 saya begitu tertekan bila mendengar perkataan seperti bodoh, siut, jahanam keluar drp mulut suami.

Suami mmg tidak boleh bersabar dengan sikap anak2.Sebagai contoh ketika mengajar anak mengaji ataupun membuat kerja sekolah,mesti dia menengking anak jika anak tersilap sikit.Sehinggakan anak pun tidak mahu belajar bersama suami lagi.Bila dia marah, dia akan baling barang, hempas pintu dan mengeluarkan perkataan yg bukan2.

Sedikit sebanyak benda ni telah mempengaruhi anak sulong saya yg turut memarahi adik nya dengan mengeluarkan perkataan yg sama dengan abahnyer.Sudah puas saya menasihatinya untuk berubah sikap dan bertoleransi dalam mendidik anak2.Sebab setiap perlakuan kita di tonton dan di ikuti oleh anak2.Tetapi dia tetap dengan sikapnya.Kadang2 saya sedih bila mengenangkan anak2 belajar perkataan buruk2 drp ayah mereka sendiri. Harap ada yag sudi memberi sedikit nasihat buat saya.terima kasih.

Pandangan Ummi Munaliza:

Wa'alaikumsalam wbt...

Ketahuilah , manusia ini selalu diuji dengan ilmunya. Ini merupakan ujian Allah kepada suami dan kepada puan. Berdoalah lebih tulus memohon pertolongan Allah memudahkan urusan hidup keluarga puan.

Sesiapa sahaja tidak akan terlepas ujian Allah. Lagi tinggi ilmu seseorang itu,lagi banyak syaitan yang datang bak kata segerombolan untuk menghuru-harakan manusia. Itu memang janji syaitan dengan Allah Ta'ala.

Lagi tinggi ilmu, jenis syaitan yang datang untuk mengacau bilau keharmonian manusia ialah jeneral-jeneral yang terlatih. Mereka menyerang dari berbagai arah. Sebab itu ada banyak pintu-pintu yang mereka boleh memasuki ke dalam hati manusia.


Baca dan dengarlah : Klik Tajuk ini. Pintu Laluan Iblis Masuk ke dalam Hati Manusia

Maka punca ini yang perlu dibaiki dahulu. Jaga pintu-pintu ini . Iblis sentiasa berteleku di hati seorang mukmin. Maksud berteleku ialah, duduk senang lenang di dalam hati manusia. Iblis masuk melalui beberapa pintu. Pintu yang mudah dimasuki ialah pintu hasad dengki , khianat tamak dengan dunia.

Hasad dan tamak kepada dunia tidak pernah menggagalkan rancangan iblis untuk menggoda dan menghancurkan manusia. Perlanggaran batas dan hukum yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Apabila dilanggar maka akan menyebabkan kemurkaan Allah.

Syaitan memang sentiasa mencari peluang di manakah kelemahan diri kita agar kita juga turut dilaknat Allah.

Seorang isteri memang tidak mampu untuk menegur akhlak seorang suami yang jenis panas baran. Silap haribulan, dengan isteri sekali kena maki hamun. Jadi nasihat yang saya mampu berikan ialah, cuba minimakan punca yang boleh membuat suami marah.

Ajar anak sendiri, bila suami ada di rumah ingatkan anak-anak supaya menjauhkan diri dari ayah sehingga ayah itu tersedar kenapa anak-anak tidak mahu bermesra dengan dia. Tujuannya agar suami berfikir dan berubah sendiri.

Sebagai isteri senjata kita hanyalah air mata dan doa. Maka banyakkan berdoa. Merintih dan mengadu kepada Allah akan kegundahan hati kita ini. Semoga ada jalan keluar yang ditunjukkan oleh Allah kepada suami agar panas barannya berkurang.


Pandangan Ummu Fatimah:

Semoga puan terus bersabar. Banyakkan hadiah alfatihah buat suami tak kira masa, masak-masak atau kacau air sambil baca selawat. Selalu sapukan minyak zaitun kat kepala dengan janggut beliau.. Teruskan doa dengan penuh pengharapan untuk suami..

Untuk anak, selalu pujuk dia.. bagitau ayah marah sebab sayang, ayah tak maksud nak cakap macam tu.. Nasihat puan pada anak, supaya anak tak benci pada ayahnya. Dalam hal macam ni, puan kena sabarkan dan tabahkan anak, supaya mereka tak mengalami kecederaan emosi yang lebìh teruk.

Setiap rumahtangga ada ujian, cuma ujian tu tak sama atas tiap-tiap orang. Saya doakan puan terus sabar dan mendidik anak-anak dengan sifat sabar. Sesungguhnya Allah s.w.t bersama orang-orang yang sabar.

Wallahua'lam.


Begitulah antara kisah rumah tangga yang sering berlaku di hari ini. Ujian ini datang kepada sesiapa sahaja, tak kira orang berilmu atau jahil. Cumnya bagaimana seseorang itu menanganinya, adakah mahu mengikut petunjuk al-Quran dan As-sunnah atau ikut cara syaitan.


Semoga entri ini bermanafaat kepada mana-mana isteri yang menghadapi masalah yang sama.


Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...