CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

28 January 2011

Antara Suami dan Ibu Bapa


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



Soalan; 

Assalamualaikum...Saya ada satu kemusykilan. Jika seorang anak perempuan yang telah berkahwin dan suami anak perempuan tadi tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga anak perempuan tadi ( mertuanya ), dan sekiranya keluarga si isteri ini tadi ingin mengadakan majlis untuk anak perempuannya tetapi suami bagi anak perempuan ini melarang isterinya dari menghadiri majlis tersebut dan kesannya sekiranya si isteri ini tidak menghadiri majlis tersebut maka akan mengaibkan ibubapanya dan sekiranya dia hadir ke majlis yang di adakan oleh ibubapanya maka adakah hukumnya nusyuz, kerana melanggar perintah suami? apa pula hukumnya ke atas anak perempuan tadi sekiranya tidak hadir dan melukakan hati ibu bapanya? harap dapat di perjelaskan. sekian terima kasih.


Jawapan;

Bagi seorang wanita yang telah berkahwin, antara suami dan ibu-bapa adalah dua insan paling utama dalam hidupnya. Kedua-dua mereka wajib ditaati, dihormati dan dijaga hubungan dan pertalian dengan mereka. Namun apabila berlaku pertembungan antara arahan suami dan arahan ibu-bapa (atau keluarga), ketaatan kepada suami adalah lebih utama dari ketaatan kepada dua ibu-bapa. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah yang menceritakan;


Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim dan beliau mensahihkannya dan al-Bazzar dengan sanad yang baik).

Walau bagaimanapun, hendaklah arahan suami bukan dalam bentuk yang memudaratkan ibu-bapa si isteri seperti arahan supaya isteri tidak menziarahi ibu-bapanya secara sepenuhnya, arahan supaya isteri tidak memberi belanja kepada ibu-bapanya yang miskin (sedangkan dia mampu), arahan jangan menziarahi/menjaga ibu-bapa yang uzur/sakit (sedang tiada orang lain dapat menggantinya) dan yang seumpamanya. Arahan-arahan tersebut bertentangan dengan arahan Allah yang memerintahkan supaya anak (sama ada lelaki atau perempuan) berbakti/berterima kasih kepada ibu-bapanya dan melayani mereka dengan baik. Firman Allah (bermaksud);

"Berterima kasihlah kepadaKu dan kepada dua ibu-bapamu..." (Surah Luqman, ayat 14).

"Sembahlah Allah dan jangan mensyirikan sesuatu denganNya, dan berbuat baiklah kepada dua ibu-bapa" (an-Nisa', ayat 36).

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu-bapa" (Surah al-Isra', ayat 23)

"Dan bergaullah dengan mereka berdua di dunia dengan cara yang baik" (Surah Luqman, ayat 15).

Arahan manusia -termasuk suami- hanya harus ditaati jika tidak melanggari perintah Allah. Arahan agar memutuskan silaturrahim dengan ibu-bapa dan mengabaikan mereka jelas bertentangan dengan perintah Allah, kerana itu tidak wajib dipatuhi. Arahan tersebut jika ditolak/diengkari oleh isteri tidaklah menyebabkan ia menjadi nusyuz.

Imam as-Shan'ani ketika mengulas hadis tadi (yakni hadis yang menegaskan ketaatan kepada suami lebih diutamakan dari ketaatan kepada ibu-bapa) beliau berkata; hadis tersebut adalah khusus jika tidak menimbulkan mudarat kepada dua ibu-bapa. Jika tidak, maka hak ibu-bapa adalah diutamakan ke atas hak suami bagi menselarikan antara hadis-hadis berkaitan" (Subulus-Salam, jilid 2, kitab al-Jami', bab al-Birr wa as-Silah).

Apa yang kita kemukakan di atas merupakan pandangan jumhur ulamak (yang terdiri dari mazhab Hanafi dan Maliki) iaitu; tidak harus suami menghalang isteri dari menziarahi ibu/bapanya terutamanya pada saat-saat mereka memerlukan bantuan dan perhatian anak mereka. Jika isteri membantah larangan suami seperti itu, tidaklah ia berdosa atau dan menjadi isteri yang nusyuz.

Tidak dinafikan di sana segolongan ulamak (antaranya mazhab Syafiie) yang berpandangan; suami mempunyai hak untuk menghalang isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menziarahi dua ibu-bapanya, melawat mereka ketika sakit, malah untuk menziarahi jenazah mereka. Isteri wajib mentaati arahan tersebut walaupun dari sudut hukum arahan sebegitu adalah berdosa jika suami tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk bertindak demikian. Mereka berdalilkan hadis dari Anas yang menceritakan;


Seorang lelaki keluar bermusafir dan ia menegah isterinya keluar rumah. Ditakdirkan Allah bapa isterinya sakit, lalu ia mohon dari Rasulullah untuk keluar menziarahi bapanya. Baginda berkata; "Bertakwalah kamu kepada Allah dan janganlah menyanggahi perintah suami kamu". Lalu Allah memberi wahyu kepada Rasulullah bahawa bapa wanita itu telah diampunakan Allah dengan kerana ketaatannya kepada suaminya. (HR Imam at-Thabrani dalam al-Mu'jam al-Ausat). 


Namun menurut ulamak-ulamak hadis; sanad hadis ini adalah dhaif dan tidak harus dijadikan hujjah apatah lagi bagi perkara yang bersalahan dengan kehendak al-Quran tadi. Oleh itu, pandangan yang rajih ialah yang pertama tadi.

Merujuk kepada masalah yang dikemukakan dalam soalan di atas, keadaan tidaklah terlalu mendesak untuk si isteri pulang ke rumah ibu/bapanya. Ia sekadar kenduri sahaja. Oleh itu, bagi kes tersebut isteri tetap wajib menurut kehendak suami. Berusahalah memujuk suami supaya memberi keizinan. Jika ia tetap berdegil tidak mahu mengizinkan, tidak ada jalan lain melainkan taat dan patuh kepada arahan suami untuk mengelak dari menjadi isteri yang nusyuz. Mengenai hajat ibu-bapa, tidaklah berdosa menolaknya dalam kes ini kerana bagi wanita yang telah bersuami, menjaga hak suami lebih utama dari hak ibu-bapa sebagaimana ditegaskan oleh Nabi dalam hadis di awal tadi. Ia boleh menghubungi mereka -melalui telefon atau sebagainya- untuk memohon maaf dan menjelaskan situasi yang berlaku. Permohonan maaf itu juga termasuk dalam berbuat baik kepada ibu-bapa mengikut yang terdaya dilakukan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, juz 23, hlm. 56.
2. az-Zawaaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 285-290.
3.Subulus-Salam, jilid 2, kitab al-Jami', bab al-Birr wa as-Silah).




Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

18 January 2011

Talak ~ Lafaz Sharih dan Lafaz Kinayah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Masih ummi ingin bicara bab talak. Ini kerana ramai sangat yang kurang jelas dan seperti mempermain-mainkan lafaz itu.

Talak ini ada banyak cara yang menyebabkan ia jadi sah. Ada lafaz secara jelas, ada lafaz secara sindiran.



TALAK


Pengertian Talak

Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud "menceraikan" atau "melepaskan".Mengikut istilah syara' ia bermaksud, "Melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian".


Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya, maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan iddah . Jika semasa isteri di dalam iddah kedua pasangan ingin berdamai, mereka boleh rujuk semula tanpa melalui proses pernikahan. Sebagaimana firman Allah swt di surah At Talak ayat 2 yang bermaksud,


"Maka rujuklah mereka dengan cara yang baik atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula"



Jenis-jenis Lafaz Talak


Lafaz talak terbahagi kepada dua:

1. Talak Sharih
2. Talak Kinayah.

Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".

Contoh lafaz yang Sharih:

1. Aku ceraikan kau dengan talak satu
2. Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
3. Hari ini aku ceraikan kau

Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.


Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:

1. Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
2. Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
3. Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi

Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.


Contohnya kes ini :


Situasinya begini....Seorang suami mempunyai 2 orang isteri secara rahsia iaitu Puan A dan Puan B. Walaubagaimanapun, tembelang si suami pada suatu hari terbongkar apabila Puan A terserempak si suami ini bersama Puan B. Walaubagaimanapun apabila disoal, si suami menafikan bahawa Puan B ini adalah isterinya. Soalannya, adakah jatuh talak pada Puan B tersebut apabila si suami tidak mengaku bahawa Puan B adalah isterinya di hadapan Puan A?


Jawapan;

Penafian suami tentang status seorang wanita sebagai isterinya atau ucapannya "Dia bukan isteriku" bergantung kepada niat suami kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah talak (yakni lafaz yang boleh difahami dengan maksud talak dan bukan talak), bukan termasuk dalam lafaz Sharih (yakni lafaz yang tidak difahami melainkan dengan maksud talak, iaitu lafaz cerai atau lafaz talak itu sendiri). Jika suami bermaksudkan talak/cerai dengan penafian atau ucapan tersebut, jatuhlah talak. Jika tidak berniat talak, tidaklah jatuh talak.



Jenis-jenis Talak

Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:

1. Talak Raj'ie
2. Talak Battah
3. Talak Bain
4. Menjatuhkan talak tiga sekaligus
5. Talak Sunni
6. Talak Bid'i



1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.



2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.



3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Talak Bain Kubra
2. Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

1. Talak yang diputuskan oleh Hakam
2. Talak melalui Khulu'
3. Talak yang difasakhkan oleh Hakim


4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.


5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.


6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

1. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
2. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.

Ingatlah jangan ambik mudah perkara ini, kerana ia melibatkan nasab dan keturunan sekiranya telah melafaz secara kinayah  tetapi ada  niat, namun kerana kejahilan, terus sahaja bersama-sama walaupun telah lebih 3 kali melafazkannya di dalam masa yang berlainan. Untuk kali pertama dan kedua, jika masih dalam tempoh edah, maka boleh dianggap rujuk bila bersama-sama sehingga melahirkan anak, tetapi jika kali ke3, tanpa sedar dan masih bersama sedangkan talak telah jatuh untuk kali ke 3, tidak boleh rujuk lagi.


Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com/ar/ref/100997/)


Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

17 January 2011

Tidak Ada Persefahaman

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Entah kenapa ummi paling tidak gemar bila ada masalah di dalam rumah tangga,pasangan mengambil jalan mudah dengan merancang untuk bercerai. Contohnya masalah ini,tidak ada persefahaman di dalam urusan rumah tangga. Kecik saja tetapi dibesarkan tanpa cuba untuk berbincang dan memahamkan pasangan dan memahami pasangan.


Perceraian bukan satu jalan penyelesaian. Mungkin ada situasi memang itu jalan keluarnya tetapi mesti ada usaha-usaha untukberdamai terlebih dahulu.



Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.


Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,




"Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang ma'ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik"



Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syar'ie, maka haram ke atasnya bau syurga" Riwayat : Abu Daud


Perkara di atas ini berlaku juga terhadap suami yang menceraikan isterinya, tanpa ada sebab-sebab atau alasan yang kuat sehingga isteri terasa dizalimi atau menceraikannya dengan cara penganiayaan. Begitu juga haram bagi suami menceraikan isterinya sewaktu sedang haid atau sewaktu isteri dalam keadaan suci tetapi telah dicampurinya.





Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

09 January 2011

Jangan Jadi Superwomen

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



Sekiranya kita diluahkan suatu masalah, menjadi pendengar yang baik kepada sebuah masalah rumah tangga,berhati-hatilah. Takut jika sering benar menjadi pendengar yang setia kepada seorang suami, anda akan terjebak rasa simpati yang akan menumbuhkan tunas kasih.


Jangan cuba-cuba menyemai kasih di antara suami isteri yang bermasalah, dimana puncanya adalah dari menjadi pendengar yang setia. Sering sangat terjadi, dari simpati telah menjadi sayang dan akhir menjadi punca runtuhnya sebuah rumah tangga. Dalam rumah tangga mereka hanyalah terdapat salah faham, atau dalam proses untuk penyesuai, atau dalam proses untuk saling memahami, tetapi kerana kerapnya anda berada di antara mereka tunas kasih menjadi subur.


Elakkan diri untuk menjadi hero atau superwomen kerana anda bukan jadi pendamai sebaliknya mungkin akan memusnahkan rumah tangga itu. Kalau ada antara mereka ingin bercerita, katakan pada mereka, pergi cari kaunseling, pergi cari ustaz, pergi mengadu kepada mak ayah atau saudara mara. Jangan letakkan diri anda di dalam dilema. Katakan tidak !


Cuba baca dua kisah ini untuk dijadikan teladan. Yang sakit dan merana adalah anda, bukan dia. Dia sudah dapat nikmat berumahtangga tetapi masih mahu menabur kasih pada anda. Dia sudah dapat yang halal tetapi masih menagih kasih pada yang haram.


Setelah dia berkahwin katakan anda pernah berkasih dengan seorang lelaki, tiba-tiba yang dinikahinya orang lain. Walau seribu sebab yang dia beri kenapa di berkahwin dengan orang lain, itu hanyalah alasan.

Kisah 1

Saya dan Y(bkn nama sbnr) pernah bercinta selama 3 tahun .Tetapi , dalam masa yang sama , pergaduhan antara kami sering berlaku disebabkan perselisihan faham namun selepas itu, kami akan berdamai semula . Cuma gaduh sementara . Tanpa pengetahuan saya , dia sudah pun bertunang dan sudah berkahwin dalam tempoh kami bercinta .Kini , rumah tangga mereka tidak bahagia .Dia meluahkan perasaan dan berkata kesilapan dia berkahwin dengan perempuan itu . Perlu ke saya memaafkan dia dan menerima semula?


Kisah 2

Sejak kebelakangan ini saya mengalami tekanan yang agak di luar kawalan, kerana masalah yang sukar di ceritakan. Sampaikan 1 tahap saya hampir putus asa dengan apa yang terjadi.

Saya mempunyai seorang teman lelaki. Hubungan kami hampir 4 tahun. Baru2 ini dia dipaksa berkahwin dgn pilihan keluarganya. Saya gembira dalam sakit.Walaupun dalam keadaan terpaksa dia tetap menuruti kehendak org tuanya kerana dia bukanlah org yang suka melawan kedua org tuanya.

Sekarang saya tertekan, samada untuk pegang cintanya atau buang cintanya kerana saya akan sakit jika saya buat kedua2nya. Dia mahukan saya menunggunya.Dia berjanji tidak akan sia2kan saya. Saya jadi kecewa. Memang kami berjanji untuk hidup bersama selepas apa yang kami lalui.

Saya korbankan perasaan saya untuk biarkan dia berkahwin supaya dia tidak derhaka kepada orang tuanya.

Kini selepas berkahwin dia masih lagi menghubungi saya seperti biasa, dan berjanji untuk menjaga saya. Dia mahukan tempoh masa dari saya untuk selesaikan semuanya. Saya tidak terlalu kejam. Saya tidak minta penceraian daripada dia dan isterinya, saya cuma mahu dia kembali kepada saya, kerana saya amat sayangkan dia.


Apa agaknya nasihat yang paling sesuai untuk mereka ini? Di sini ummi letakkan beberapa pandangan dari halaqian di dalam Laman Forum Halaqahnet.



Pandangan untuk Kisah 1.

Pandangan ummi sendiri:

Maafkan dia, tetapi tidak perlu menerima dia semula. Nasihatkan dia agar berusaha untuk membahagiakan rumah tangga sendiri. Belum tentu juga jika berkahwin dengan saudari dia boleh bahagia. Bahagia tu subjektif. Yang membahagiakan rumah tangga tu adalah Allah. Bagaimana hubungan nya dengan Allah,hubungan dengan ibu bapanya dan hubungan dengan isterinya?


Jangan campuri dan menaruh simpati kepada dia.Jika saudari mula rasa kasihan, itulah yang jadi punca nya. Iblis telah membunga-bunga di dalam hatinya dan hati saudari kerana berjaya meruntuhkan sebuah masjid. Jangan...

Perasaaan simpati dan prihatin cik abby kepada masalah dalaman rumah tangganya akan mengakibatkan lebih parah hubungan memperbaiki rumah tangga dan hubungan dengan isterinya. Sebaiknya cik abby tinggalkan saja lelaki tu...

Kalau dia kata "kesilapan dia berkahwin dengan perempuan itu ",bermakna dia seperti menuduh Allah silap dalam memberikan dia jodoh. Jodoh dia tu, adalah dalam rencana Allah.Cumanya Allah datangkan sedikit ujian untuk dia bersabar menghadapi dan bersabar dalam mencari jalan keluar. Tapi berkasih semula dengan saudari bukan jalan keluar yang Allah redha. Maka jangan saudari cuba untuk memberikan simpati kepada aduan dan luahan hatinya.

Kembali kepada Allah, taati Allah dan RasulNYA.



Pandangan Untuk Kisah 2

Pandangan dari wanikecik

Bercinta bukanla tiket untuk menuju ke alam perkahwinan. Semua yang berlaku 4 tahun lepas, jadikan sebagai pengajaran. Berpijak di bumi nyata.

Kekasih saudari sekarang sudah menjadi suami orang. Walau apa pun yang dijanjikannya, Saudari perlu berfikir panjang sebelum buat apa-apa keputusan. Tentang isterinya tu, biarlah dia yang mendidik supaya menjadi lebih baik.

Dia tak ada apa hak dan tanggungjawab ke atas saudari. Tapi hak dan tanggungjawab dia sekarang ke atas isterinya. Dahulu mungkin isterinya adalah orang ketiga (sebelum berkahwin dengannya), tapi sekarang saudari adalah orang ketiga yang masuk dalam hubungan antara dia dan juga isterinya.
Jodoh setiap manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jodoh bekas kekasih saudari adalah isterinya sekarang. Terima hakikat tersebut.

Allah telah menetapkan jodoh saudari bukan dengan dia. POSITIFLAH terhadap Allah. Saudari akan rasa lebih tenang.

Hidup kita singkat je. Belajar dari pengalaman. Mulakan buku baru dalam hidup anda. Banyak-banyakkanlah berdoa kepada Allah. Minta petunjuk dan rahmat dari-NYa.



Pandangan dari hafizz_Adnan

sudahlah tu..jangan buang masa yang tak berfaedah..laki tu kalau abaikan bini sebab lebih sayangkan orang lain akan ditanya dihadapan ALLAH akan tanggungjawabnya..memberi janji2 palsu...ahhh mengapa mudah sangat wanita zaman kini diperlakukan sebegini..jangan buat tambah dosa maksiat die dengan ckap i luv u la,i syg la,i rindu..

kalau kita sayang seseorg tak bermakna kita perlu bersama dia..kebahagian dia dan keluarga sudah cukup buat kita...

solat lah..sesungguh solat itu mencegah perbuatan fakhsya dan mungkar..Islam ini bukan hanya niat dalam hati sahaja..tapi perlu kepada perlaksanaan perbuatan..

jadilah muslimah sejati..
carilah cinta hakiki bukan cinta manusia yang boleh dijual beli...


Pandangan dari Ummu_Fatimah


Dalam hal ni, saudari memang perlukan kuasa 'magic' yakni kekuatan dan ketabahan. Kuasa 'magic' ni datangnya dari Allah. Memandangkan kekasih tak nak lepas saudari, means saudari kena jadi 'bionic women'

1st n foremost, saudari Wajib faham yang kekasih saudari telah jadi suami orang.. Sekalipun dia merayu, memujuk macamne sekalipun, saudari TERPAKSA ingatkan dia yang dia adalah suami orang.. Dia dah ada tanggungjawab. Dan tanggungjawab dia pada isteri lebih utama. Dalam keadaan ni, saudari bagaikan duri dalam daging. Nak tarik sakit, biarkan lagi sakit..

2nd.. saudari kena relaks.. Cool.. Dia suami orang. Jodoh, tak siapa boleh duga. Mungkin juga dia jodoh saudari, sape tahu, kan? Kalau saudari ada yakin yang ini, pasti saudari akan usaha hingga titik akhir. Tapi mungkin juga dia bukan jodoh saudari, kalau ini yang berlaku? Terpaksa juga saudari redha walaupun ia makan masa..

Jam akan berputar, hari akan berganti.. Apa yang bakal berlaku seminit lagi, hanya Allah yang tahu.. Apa yang Diha nak kena buat sekarang? Kembalilah kepada Allah.. Semua yang telah berlaku, sedang berlaku, akan berlaku.. DIALAH ALLAH YANG MENGATURNYA.. Bukan Diha, Bukan Hanif dan Bukan isteri Hanif.. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali...


Cinta ni hanya mainan perasaan..saudari tarik nafas panjang2.. Sebutlah Allah.. :-)


Inilah contoh beberapa kisah dan nasihat kepada mereka yang terjerumus di dalam masalah rumah tangga suami isteri. Jangan jadi orang ketiga yang konon mahu jadi penyelamat atau superwoman!



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

08 January 2011

Sebuah Rumahtangga dan Sebuah Masjid

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Selalu kita dengar ungkapan ini,bila ada orang berhasrat ingin mendirikan rumah tangga. "Saya nak bina masjid", atau " jika ada orang yang cuba mengugat sebuah rumah tangga dikatakan ingin meruntuh atau merobohkan masjid."


Kenapa ada bandingan antara membina rumah tangga dengan membina masjid? Ada persamaankah antara kedua-dua? Mari kita lihat bandingan sebuah rumah tangga dan sebuah masjid.



Bandingan membina masjid dengan rumah tangga dari segi konsep dan falsafah.

1. Masjid dibina kerana Allah SWT. Dilarang membina masjid dengan niat-niat yang lain. Begitulah dalam membina rumahtangga, tidak boleh dengan niat lain. Terpesong niat akan dengan mudah memusnahkan rumahtangga. Umpamanya niat berumahtangga hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan naluri atau sekadar hendak melepaskan nafsu semata-mata. Niat-niat yang tidak murni ini awal-awal lagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Tuhan tidak pimpin dalam menjalani hidup berkeluarga. Hilang keberkatan dari Tuhan. Hasilnya rumahtangga itu tidak akan tenteram. Amat perlu diingat bahawa tanda sebuah keluarga yang hilang keberkatan ialah apabila suasana tidak tenteram, sering marah-marah, sering bertengkar, hilang kasih sayang, mementingkan diri sendiri, hidup nafsi-nafsi.


2. Arah kiblat semua masjid adalah tepat. Arah kiblat yang salah membatalkan sembahyang. Semua anggota keluarga mesti memiliki niat dan arah kehidupan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT melalui rumahtangga dan hidup berkeluarga. Barulah rumahtangga itu akan melahirkan orang-orang yang mudah sepakat, bermuafakat, seia sekata, saling memiliki rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Andainya niat berumahtangga itu tidak tepat, ibarat masjid salah kiblat. Biarpun berjaya juga dibendung dari timbulnya krisis, namun rumahtangga itu hakikatnya sudah berpecah belah.Untuk sementara waktu mungkin boleh bertahan. Dan mungkin juga masih boleh bertahan kerana belum ada sebarang cabaran atau gangguan. Lazimnya sadikit saja cabaran yang melanda akan mudah rapuh dan terbarai.


3. Masjid adalah tempat membesarkan Allah SWT. Ertinya rumahtangga adalah saluran anggota keluarga membesarkan Allah SWT. Bukan tempat membesarkan dunia, nafsu dan syaitan. Rumahtangga yang sering berkrisis adalah berpunca kerana dalam diri masing-masing subur cinta dunia, subur perangai syaitan, bertunjangkan nafsu dan tabiat haiwan semata-mata. Cinta dunia, angkara nafsu dan syaitan adalah punca dunia porak peranda dan tidak ada noktah dari bermusuh dan berperang. Inilah juga akibat yang bakal ditanggung oleh rumahtangga yang memiliki faktor yang serupa. Iaitu rumahtangga yang Tuhan tidak dipedulikan, Tuhan terpinggir, Tuhan tidak dibawa bersama dalam kehidupan.


4. Masjid adalah tempat ibadah. Tempat beramal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Masjid bukan tempat hingar bingar, bukan tempat kelakar dan lucu dengan hilai ketawa berdekah-dekah, bukan pasar yang riuh rendah tanpa haluan dan bukan juga arena konsert atau tempat menonton sebarang permainan. Ini bukan bererti tiada kegembiraan dan gurau senda dalam rumahtangga. Namun semuanya berlaku dengan penuh berdisiplin, kaya dengan adab sopan, tata susila dan ketertiban. Suasana yang aman tenteram seolah-olah dalam suasana menjaga ibadah. Seperti mana dalam masjid tiada maksiat, kemungkaran pertengkaran, kata nista, maki hamun, sumpah seranah, bertegang leher, maka begitulah suasana dalam rumahtangga.


5. Masjid adalah tempat berlakunya pengajian, majlis ilmu,nasihat menasihati dan peringatan. Secara khususnya atau rasminya adalah Khutbah Jumaat. Begitulah keadaan yang seharusnya berlaku dalam rumahtangga.Terutamanya suami, selaku ketua keluarga mesti mampu menjadi imam sembahyang, mengadakan majlis pengajian yang ringan-ringan terutama di bidang fardhu ain,adab-adab dan membaca Al-Quran. Juga mesti mampu memberi tunjuk ajar dan peringatan kepada anggota keluarga.


6. Masjid adalah tempat manusia merendah diri, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bermaafan.Demikianlah sewajarnya terjadi dalam rumahtangga.Hidup dengan ketiadaan ego dan sombong, berkasih sayang,saling selamat dan menyelamatkan, saling menghiburkan, prihatin, setia dan bela membela. Yang tua mengasihi, manakala yang muda menghormati. Yang tidak tahu diberi tunjuk ajar, yang bersalah meminta maaf dan yang tidak bersalah memberi maaf.


7. Bangunan masjid itu merupakan gabungan berbagai komponen dan bahan binaan. Gabungan yang lengkap itulah menjadikan sempurnanya sebuah masjid. Ditambah lagi dengan berbagai ukiran yang menambahkan lagi cantiknya sesebuah masjid. Dalam konteks rumahtangga, ianya bukan setakat ikatan antara dua orang atau sepasang suami isteri itu saja. Lebih dari itu bermula dari ikatan dua orang suami isteri, terjalin hubungan antara keluarga kedua-dua pihak. Sanak saudara antara kedua pihak bertukar menjadi ikatan kekeluargaan yang lebih besar. Termasuk juga selepas perkahwinan itu akan mendapat anak, seterusnya menantu pula, maka bertambah lagi anggota keluarga. Selepas anak-anak dan menantu- menantu, datang pula cucu-cucu. Cucu-cucu pula berkahwin maka bertambah lagi jumlah anggota keluarga. Seluruh ikatan kekeluargaan itu perlu dijaga agar kekal tidak terungkai bahkan kekal utuh. Begitu besarnya fungsi rumahtangga.


Cuba bayangkan andainya berlaku perceraian antara suami isteri. Maka perceraian itu diibaratkan meruntuhkan masjid. Selain hilang peranan yang diibaratkan masjid, putus pula segala ikatan kekeluargaan antara dua pihak. Seolah-olah seluruh bangunan masjid itu runtuh. Walaupun bercerai itu tidak berdosa, namun ianya ibarat runtuhnya sebuah masjid, kesan negatif dari perceraian itu amat besar. Perceraian akan memberi kesan kepada retaknya ikatan dalam keluarga keseluruhannya.


Seperti mana masjid perlu ada penjagaan berterusan agar kekal berfungsi maka begitulah juga rumahtangga perlu sangat dijaga agar kekal hingga akhir hayat. Kalau runtuh masjid maka tiada lagi tempat tumpuan masyarakat untuk melaksanakan berbagai aktiviti kepada Tuhan mahu pun sesama manusia, demikianlah juga sekiranya runtuh rumahtangga maka akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat.


8. Masjid amat dijaga kebersihan dan kesuciannya. Habuk,debu, sawang semuanya disingkirkan. Najis memanglah sangat diawasi. Tahi cicak pun tidak boleh ada. Ini kesucian yang bersifat lahir. Orang-orang yang memasuki masjid turut menjaga kesucian batin. Masing-masing berusaha mengawasi gerak hati agar tidak menjalar sifat mazmumah sepanjang berada dalam masjid. Ertinya, sedikit sebanyak berusaha juga membuat penyucian hati. Kerana hati memang terasa diawasi oleh Allah SWT. Dengan harapan perasaan atau rasa diawasi oleh Allah SWT itu dapat dibawa keluar dari masjid.


Sama juga fungsi rumahtangga. Tempat di mana anggota keluaga menjadikannya gelangang mujahadah untuk membuang dan membakar sifat mazmumah, sekaligus menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Juga dengan harapan sifat-sifat mahmudah dapat di bawa bersama ketika berada di luar rumah bersama masyarakat. Kalau setiap keluarga berbuat perkara yang serupa, maka kesannya ialah anggota masyarakat terdiri daripada manusia yang baik-baik. Aman damailah pula masyarakat dan negara.





Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.




Seterusnya...

06 January 2011

Wanita lamar lelaki amalan terpuji

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.


Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya.

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.


Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?


Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Seterusnya...

03 January 2011

Talak Ketika Marah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Sering benar ummi ditanyakan soalan begini. Maka untuk rujukan semua pembaca, ummi paparkan di sini soalan dan jawapannya...


ummi,
macam mana pula kalau suami tu cakap...
"awak boleh pergi la rumah orang tua awak tu...tak payah lagi duduk dengan saya"
Padahal isteri tidak ada niat nak balik pun dan ucapan itu dibuat ketika suami sedang marah.
Talak jatuh ke ummi?


Maka jawapanya :

Talak tak jatuh jika dibuat dalam keadaan marah. Dalam keadaan marah,di anggap akal tidak waras.

Mengenai talak orang yang marah ini, ada sebuah hadits yang diriwayatkan dari Aisyah Radhiyallahu 'anha, ia bercerita, aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam bersabda,

لاَ طَلاَقَ وَ لاَ عِتَاقَ فِيْ إغْلاَقِ

"Tidak ada talak dan juga pemerdekaan budak dalam keadaan ighlaq" (HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Al Hakim)

Imam Ahmad dalam sebuah riwayat mengemukakan, "Kata Ighlaq berarti marah." Yang demikian itu merupakan nash Ahmad yang diceritakan Khalal dan Abu Bakar dalam kitab asy Syaafi dan Zaadul musafir. Demikianlah Imam penafsiran Ahmad.

Di dalam kitabnya, Sunnah Abu Dawud, Abu Dawud mengemukakan, "Aku kira yang dimaksud adalah marah." Dan ia telah menulis satu bab khusus, yaitu "Talak yang dijatuhkan ketika sedang marah." Abu Ubaid dan beberapa ulama lainnya menafsirkan kata ighlaq itu sebagai paksaan. Dan ada juga ulama yang menafsirkannya dengan pengertian tidak waras.



Marah ada tiga jenis:

1. Marah yang menghilangkan akal sehingga yang bersangkutan tidak menyadari apa yang dikatakannya. Dalam keadaan seperti ini talaknya tidak dianggap sah tanpa ada perbezaan diantara para ulama.


2. Marah yang masih dalam batas kesadaran, tidak menghalangi yang bersangkutan dari memahami apa yang dikatakannya. Dalam keadaan seperti ini talaknya dianggap sah.


3. Marah yang menguasai diri dan memuncak namun tidak menghilangkan akal secara keseluruhan. Namun terhalang antara dirinya dengan niatnya sehingga ia menyesal atas apa yang ia lakukan apabila kemarahannya telah mereda. Keadaan ini masih dipersoalkan. Namun pendapat yang mengatakan talak dalam keadaan ini tidak jatuh adalah lebih tepat dan lebih terarah.


Islam tidak mensyari’atkan talak (perceraian) pada setiap waktu dan setiap keadaan. Sesungguhnya talak yang diperbolehkan sesuai dengan petunjuk Al Qur’an dan As-Sunnah.

Adalah hendaknya seseorang itu pelan-pelan dan memilih waktu yang sesuai. Maka tidak boleh mencerai isterinya ketika haid, dan tidak boleh pula dalam keadaan suci sedangkan ia mempergaulinya. Jika ia melakukan hal itu maka talaknya adalah talak yang bid’ah dan diharamkan. Bahkan sebagian fuqaha’ berpendapat talaknya tidak sah, karena dijatuhkan tidak sesuai dengan perintah Nabi SAW Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang melakukan perbuatan tanpa dilandasi perintah kami maka itu tertolak (tidak diterima).”

Dan wajib bagi seseorang yang mentalak bahwa dia dalam keadaan sadar. Apabila ia kehilangan kesadaran, terpaksa, atau dalam keadaan marah yang menutup ingatannya sehingga ia berbicara yang tidak ia inginkan, maka menurut pendapat yang shahih itu tidak sah.

Berdasarkan hadits, “Tidak sah talak dalam ketidaksadaran.” Abu Dawud menafsirkan hadits ini dengan ‘marah’, dan yang lain mengartikan karena ‘terpaksa’. Kedua-duanya benar.

Dan hendaklah orang yang mencerai itu bermaksud untuk mencerai dan berpisah dari isterinya. Adapun menjadikan talak itu sebagai sumpah atau sekedar menakut-nakuti, maka tidak sah menurut pendapat yang Shahih sebagaimana dikatakan oleh sebagian ulama salaf dan ditarjih oleh Al ‘Allamah lbnul Qayyim dan gurunya Ibnu Taimiyah.

Jika semua bentuk talak ini tidak sah maka tetaplah talak yang diniati dan dimaksudkan yang berdasarkan pemikiran dan yang sudah dipelajari sebelumnya. Dan ia melihat itulah satu-satu jalan penyelesaian untuk keselamatan dari kehidupan yang ia tidak lagi mampu bertahan. Inilah yang dikatakan Ibnu Abbas, “Sesungguhnya talak itu karena diperlukan.”


Sumber: Diadaptasi dari Syaikh Salim bin 'Ied al-Hilali, Al-Manaahisy Syar'iyyah fii Shahiihis Sunnah an-Nabawiyyah, atau Ensiklopedi Larangan menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, terj. Abu Ihsan al-Atsari (Pustaka Imam Syafi'i, 2006), hlm. 3/81-83.

Seterusnya...