CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

31 December 2009

Lukisan HatiKu


Sabda Rasullah s.a.w: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah Wanita yang solehah.” – Riwayat Muslim, Kitaab al-Ridha.

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri.

Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

Wanita yang beragama sentiasa mentaati ALLAH dan Rasul-NYA. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana ALLAH berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi TUHANnya.





Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.


Melakukan Aktiviti yang Berfaedah


Menuntut ilmu amat penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri dan rumah tangganya. Setiap saat yang berlalu tidak dibiarkan terbuang begitu sahaja. Malah, dipenuhi dengan apa sahaja aktiviti yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan sama ada berbentuk majlis ilmu, membaca bahan bacaan yang melibatkan isu semasa umat Islam atau kitab-kitab muktabar. Ilmu yang diterima bukan sahaja untuk faedah diri sendiri. Malah, dikongsi bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Dia tidak mudah dipengaruh oleh penyakit sosial yang sedang hebat melanda wanita lain di masa kini. Tidak dilalaikan oleh hiburan yang melampau. Tidak pernah terpengaruh dengan sekelilingnya yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran. Sentiasa menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita dan berwaspada terhadap budaya berseronok-seronok yang sedang menyerang muda-mudi masa kini.

Ketika rakan sebaya sedang asyik menikmati masa muda dengan cara berpeleseran, berpacaran, membuat janji temu dengan pasangan masing-masing, dia sibuk dengan kerja-kerja yang berguna untuk agama. Dia banyak menghabiskan masa dengan beribadah, mendirikan solat, menuntut ilmu pengetahuan, berbakti kepada ibu bapa dan mengisi masa senggangnya dengan pelbagai jenis aktiviti yang berfedah.

Keinginan untuk menyintai dan dicintai yang merupakan fitrah manusiawi tidak pernah dinafikan. Namun, kepada ALLAH jualah dia meminta agar dipermudahkan jalan untuk menyintai dengan cara yang halal dan diredhai ALLAH. Jiwa remajanya yang meruntun ke arah itu ditepisnya dengan iman dan takwa serta keyakinannya terhadap ALLAH. Kecintaan kepada ALLAH dan Rasul-NYA serta kegigihan untuk menjauhi segala yang diharamkan oleh ALLAH membantu dia menjalani zaman remaja yang penuh cabaran dengan benteng iman dan takwa.

Mana mungkin dia melayan semua bisikan syaitan ke arah itu. Sedangkan dia amat jelas tentang hukumnya. Dia amat sedar akan batasan hubungan itu. Dalam al-Quran, surah al-Nur ALLAH memerintahkan agar wanita-wanita yang beriman menundukkan pandangan. Melalui sabda Rasulullah s.a.w pula, jelas bahawa baginda melarang berdua-duaan antara dua kaum yang berlawanan jenis kerana syaitan akan mencelah di antara mereka, lalu mendorong ke arah maksiat yang lebih besar, iaitu zina.


Mentaati Ibu Bapa
Kedua-dua ibu bapa ditaati dengan sepenuh hati sebagai memenuhi perintah ALLAH agar berbuat baik kepada mereka dalam perkara makruf. Dia tidak pernah meninggikan suara jauh sekali menyakiti hati kedua-duanya. Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH yang berbunyi:

“Dan TUHANmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan pada-NYA semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik terhadap ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-MU, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka. Tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (mereka, dengan berkata): Wahai TUHANku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dalam memelihara dan mendidikku semasa kecil." – Surah al-Israak: 23 – 24.


Redha dan Syukur dengan Apa yang Ada

Harta benda bukanlah matlamat utama hidupnya. Jika dia diberikan kekayaan, dia bersyukur dan tidak sombong. Malah seboleh mungkin melakukan kebajikan dengan bersedekah kepada yang kurang upaya. Sebaliknya jika dia ditakdirkan miskin, dia juga bersyukur dan bersabar. Dirinya sentiasa sedar bahawa di luar sana masih ramai yang diuji dengan kemiskinan yang lebih dahsyat daripada apa yang dialaminya. Segala yang ditentukan oleh ALLAH buat dirinya diterima dengan penuh redha. Yakin bahawa setiap sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH ke atasnya adalah baik untuk kehidupan dunia dan agamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.

Dia juga sentiasa mengikut teladan wanita-wanita pada zaman sahabat dan salafussoleh. Mereka berjaya melahir dan mendidik generasi yang bijak pandai. Antaranya, dengan mencontohi Fatimah binti Muhammad .a yang sabar menghadapi kemiskinan, mencontohi Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar .a dalam kebijaksanaan dan kecintaan kepada ilmu, mencontohi Ummu Sulaim binti Milhan .a dalam kecintaan dan kesetiaan kepada suami dan kejayaan mendidik, mencontohi Asma bin Abu Bakar .a dalam semangat yang kental dan ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup.


Wanita Solehah Adalah untuk Lelaki Mukmin

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi seorang mukmin sejati melupakan kesemua ciri wanita solehah ini dalam memilih pasangan lalu menilai semata-mata dari sudut paras rupa yang menarik tetapi buruk akhlaknya. Ini amat merugikan suami dan rumah tangga muslim yang bakal dibina.

Segala ciri di atas menggambarkan betapa indahnya sifat wanita solehah. Dan alangkah bahagianya lelaki yang memiliki hati wanita ini. Keindahan ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ratu cantik dunia. Sekalipun pada pandangan manusia lain dia tidak memiliki paras yang cantik.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – Surah al-Nur: 26.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna agama melarang sama sekali seseorang itu memilih calon isteri yang cantik paras rupanya. Tiada siapa menafikan bahawa paras rupa yang menarik boleh menambahkan lagi keinginan seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita. Ini merupakan fitrah dan diperakui oleh agama.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita sekiranya dia dapat melihat wanita itu, dia hendaklah melihatnya agar bertambah keinginannya untuk berkahwin.” – Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Bazzar. Disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Hibban.

Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Paras Rupa Bukanlah Segala-galanya
Namun, apa yang dilarang ialah sikap seorang lelaki mukmin yang mengabaikan pemilihan isteri dari sudut agama kerana mengutamakan rupa paras. Sehinggakan sanggup memilih wanita yang tidak berakhlak semata-mata kerana kecantikannya. Dan mengabaikan wanita mukminah lain yang lebih baik dari segi akhlak.

Ini bersesuaian dengan firman ALLAH yang menyebut bahawa seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik untuk dijadikan pasangan hidup berbanding wanita musyrik. Walaupun rupa paras wanita musyrik itu lebih menawan hati lelaki mukmin.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu." – Surah al-Baqarah: 221.


Isteri Adalah Pemimpin di Rumah Suami
Wanita yang beragama berupaya mendidik anak-anaknya dengan sempurna. Dia tahu dan sedar bahawa dirinya adalah ketua di rumah suaminya. Bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak diberikan didikan agama yang secukupnya. Oleh itu, dia sentiasa memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna dari segi rohani dan jasmani. Jadi, suami yang meninggalkan anak-anaknya bersama isteri kerana mencari rezeki tidak akan bimbang kerana dia sedar bahawa isteri solehah lagi beragama yang dipilihnya itu berupaya menjaga dan mendidik anaknya dengan amanah sepanjang ketiadaannya di rumah.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Paling baik ialah memilih wanita yang mempunyai kedua-dua ciri yang dinyatakan di atas, iaitu cantik dan beragama. Perlulah berupaya menjaga maruah diri dan suami, menggembirakan hati suami, membina keluarga Islam yang harmoni dan membimbing keluarga menuju ALLAH. Namun, jika seorang lelaki berada dalam keadaan di mana dia perlu memilih salah satu daripada di atas, dia hendaklah mengutamakan agama.


Mendidik Isteri Tentang Agama
Mungkin ada di kalangan muslimin yang mengatakan bahawa dia berupaya memberikan didikan agama yang secukupnya kepada bakal isterinya kelak setelah berumah tangga. Lalu memandang remeh usaha mencari wanita yang beragama sebagai calon isteri. Tetapi, tidak ramai yang sedar bahawa bukan mudah mendidik isteri tentang agama dari mula sehingga dia benar-benar faham agama keseluruhannya. Usaha mendidik anak mungkin terbantut kerana isteri itu sendiri masih belum mendalaminya. Ini merumitkan lagi tugas suami kerana terpaksa menghabiskan tenaga yang banyak dalam mencari nafkah, mendidik isteri dan memastikan anak-anak membesar dengan agama yang sempurna.

Sebaliknya, isteri yang telah pun faham dan mengamalkan tuntutan agama dengan baik akan memudahkan tugas suami. Bukan sahaja meringankan beban suami dengan memberikan pelbagai pandangan yang bernas untuk kebaikan rumah tangga, malah anak-anak juga membesar dengan didikan agama yang sempurna. Dan suami tadi tidak perlu lagi memikirkan cara mendidik isteri kerana dia sendiri telah pun faham segala tuntutan agama lalu menerapkannya kepada anak-anak dan rumah tangga.


Paras Rupa, Harta Benda dan Kedudukan Tidak Kekal
Kecantikan paras rupa, harta benda dan darjat keturunan tidak akan berkekalan. Namun, kebaikan dan akhlak yang mulia akan kekal selagi hayat dikandung badan. Sehinggalah ia membawa pelakunya ke syurga.

Antara kelebihan wanita solehah ialah akan sentiasa menghiburkan hati suami, redha dan menghargai pemberian suami serta sanggup bersama suami sama ada ketika susah mahupun senang. Ini kerana, agama menuntut dia melakukan demikian.

Sabda Rasululah s.a.w:
“Tidak boleh bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud seorang manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya kerana hak suami ke atasnya terlalu besar.” – Hadis tsabit riwayat Ahmad dan al-Bazzar.

Sebuah riwayat menceritakan:
“Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia menjawab. Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. Sesungguhnya dia adalah syurga dan neraka kamu.” – Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik.

Wanita solehah memahami hak suami. Dia berusaha menunaikan semua hak itu semata-mata kerana mengharapkan redha ALLAH. Apa sahaja masalah rumah tangga yang dihadapinya akan ditangani secara baik dan terbuka. Dia juga bersedia menerima segala sikap baik dan buruk suami. Serta memohon petunjuk ALLAH agar dipermudahkan segala masalah yang dihadapinya ketika melayari hidup berumah tangga. Dia tidak akan sekali-kali membuka rahsia suami kepada orang lain terutamanya yang melibatkan rahsia di tempat tidur mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan isteri yang mendatanginya, lalu salah seorang mereka mendedahkan rahsia pasangannya.” – Riwayat Muslim.

Mereka sentiasa gembira dan ikhlas menjalankan tugas sebagai isteri semata-mata kerana ALLAH dan yakin terhadap sabda Rasulullah s.a.w bahawa seorang wanita yang melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, menjaga kemaluan dan mentaati suami, dia boleh masuk syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya. (Hadis sahih riwayat Ahmad dan al-Tobrani).

Oleh itu, segala perintah agama dilaksanakan sepenuh hati semata-mata kerana ALLAH. Muslimah yang baik sentiasa memahami bahawa ketaatan yang diberikan kepada suami adalah sebagai melaksanakan perintah ALLAH. Setelah itu dia akan diberikan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Keengganannya berbuat demikian mengundang laknat dan kemurkaan ALLAH.


Tidak Menolak Permintaan Suami
Wanita solehah tidak akan sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut:
“Demi yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha kepadanya.” – Riwayat Muslim.

Dia juga memahami bahawa permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada di atas kenderaan.

Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat yang melanda fikirannya. Dan menenangkan jiwa suaminya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:
“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” - Riwayat Muslim.

Hal ini amat berbeza sekali dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.

Wanita solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya terletak pada redha suami terhadap dirinya.


Antara Suami dan Kerjaya
Setinggi manapun kerjaya yang disandangnya, ia tidak sama sekali menyebabkan tugasnya di rumah diabaikan. Dia sentiasa sedar bahawa ketika berhadapan dengan ALLAH di akhirat kelak, dia akan ditanya sejauh mana dia melaksanakan amanahnya sebagai isteri. Bukan sebanyak mana harta yang berjaya dikumpul sepanjang berkerjaya.

Kalaulah mereka sedar kelebihan yang akan mereka perolehi di akhirat kelak kerana mentaati suami sudah tentu mereka sanggup bersusah payah menunaikan hak suami.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Wahai para wanita, kalaulah kalian mengetahui hak suami ke atas kalian, nescaya salah seorang kalian akan sanggup menyapu debu yang ada pada kedua-dua telapak kaki suami menggunakan kemuliaan kulit mukanya.” – Riwayat Ibn Hibban dan al-Bazzar dengan sanad yang baik dan rijal yang tsiqaat.

Alangkah malangnya wanita yang tidak sedar akan hal ini. Terutamanya setelah berkerjaya. Ramai wanita gagal melakukan tugasnya sebagai ibu dan isteri yang baik sebagaimana yang dituntut oleh agama

Wanita solehah sentiasa sedar akan tanggungjawabya terhadap rumah tangga. Apa sahaja kerjaya yang disandang bukanlah penghalang untuk dia melakukan yang terbaik untuk rumah tangganya. Dia sentiasa sedar bahawa tugasnya terhadap rumah tangga mengatasi kerjayanya. Dan jika berlaku pertembungan antara kedua-dua tugas di atas, dia tidak teragak-agak untuk mendahulukan rumah tangganya berbanding yang lain.


Menjaga Batas Pergaulan

Isteri solehah sentiasa memelihara auratnya ketika berurusan dengan lelaki yang bukan mahram. Cara percakapan dan akhlak sentiasa diawasi agar tidak melanggar batasan syarak. Dia tidak bercakap melainkan perkara yang baik. Jauh sekali mengumpat dan mengeji orang lain. Larangan mengumpat, menghina dan mengejek orang lain yang dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan sunnah sentiasa terpahat dalam hatinya.

Isteri solehah membimbing dan menasihati suami dalam melakukan apa yang terbaik untuk agama dan rumah tangga. Juga memberikan pandangan yang bernas terhadap dakwah dan kerjaya suami. Wanita pertama yang menjadi contoh terbaik dalam hal ini ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan orang pertama yang beriman, membenarkan, menyokong, berkoran jiwa dan raga serta sentiasa bersama baginda di saat-saat sukar baginda dalam menyampaikan dakwah.

Segala kebaikan, sokongan dan pengorbanan beliau ini mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada ALLAH S.W.T. Sehinggakan ALLAH dan Jibril berkirim salam kepada beliau dan menjanjikan sebuah mahligai untuknya di syurga kelak. Hal itu adalah penghargaan ALLAH terhadap segala kebaikan, layanan dan pengorbanannya buat suami tercinta.

Abu Hurairah menceritakan ketika saat wahyu mula-mula turun di mana baginda selalu bertahannuts di Gua Hira':
“Jibril mendatangi Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah mendatangimu. Bersamanya ada bekas yang berisi lauk, makanan atau minuman. Apabila dia mendatangi kamu, maka sampaikanlah kepadanya salam TUHANnya dan daripadaku dan berilah khabar gembira kepadanya tentang sebuah mahligai di dalam syurga yang dibina daripada emas. Tidak ada kesusahan dan keletihan di dalamnya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Sentiasa Bersih dan Kemas

Wanita solehah telah dididik oleh keluarga yang beragama. Dia cintakan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran hidup. Dia akan sentiasa menguruskan rumah tangga mengikut apa yang dipelajari dan dididik kepadanya sejak kecil. Menjaga akidah, amal ibadah, solat, puasa dan memastikan seluruh anggota keluarganya mentaati perintah agama. Dia juga sentiasa berhias untuk suaminya dan memastikan dirinya sentiasa kemas, bersih dan harum ketika berada di hadapan suami.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Antara punca kebahagiaan anak Adam ialah memiliki isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. Antara punca kecelakaan anak Adam ialah isteri yang jahat, rumah yang tidak selesa dan kenderaan yang tidak elok.” – Riwayat Ahmad melalui para perawi yang sahih.

Wanita solehah hanya berhias dan mempamirkan kecantikannya hanya untuk suaminya. Dia tidak mempamerkan di hadapan suami melainkan apa yang cantik dan wangi. Dalam sebuah riwayat diceritakan:
Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu.”– Riwayat Ahmad dan selainnya dan dihasankan oleh al-Albani.

Malang sekali ramai di kalangan wanita memandang remeh perkara ini. Mereka salah faham lalu mempamerkan diri di hadapan suami dalam keadaan kusut masai, berbau, pakaian compang-camping dan sebagainya. Lebih buruk lagi ada yang hanya berkemban sepanjang berada di rumah.

Sebaliknya apabila hendak keluar rumah, mereka berhias secantik mungkin untuk dipamirkan kepada lelaki yang tidak berhak melihatnya. Ini bukan sahaja tidak wajar, malah mengundang dosa besar dan musibah terhadap keharmonian rumah tangga muslim.


Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dalam memilih calon isteri, faktor agama perlulah dijadikan matlamat utama. Jika itu yang dicari, sudah pasti suami akan mendapat segala kebahagiaan dan ketengan di dunia ini sebelum menuju kepada kebahagian yang kekal abadi di akhirat kelak.

Seorang suami memerlukan pembantu yang solehah lagi bijaksana dalam melayari kehidupan berumah tangga. Dengan ini tugas suami dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya menjadi lebih mudah. Dan bahtera rumah tangganya dapat belayar dan berlabuh dengan aturan yang betul dan diredhai ALLAH S.W.T.





Lukisan hatiku isteri solehah

Seterusnya...

29 December 2009

Didik Isteri dengan Kasih Sayang


YANG dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun.

Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri.

Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.




Sebagai orang yang dihormati dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama.

Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).

Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini?


Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh.

Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.

Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaannya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik.

Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”

Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.





Sumber

Seterusnya...

Berlunaklah Mendidik Isteri


Dalam kehidupan berumahtangga sudah tentu tidak dapat dielakkan perselisihan faham antara suami isteri. Sama ada ia berpunca dari suami atau pihak isteri. Namun apa yang penting ialah bagaimana mereka menghadapinya serta menyelesaikan masalah yang menimpa mereka.

Sesetengah suami apabila mendapati isterinya marah- marah, terus tinggalkan isteri tanpa menyelidik apa punca sebenar. Kadang-kadang sampai berhari-hari tidak pulang kerana runsing dengan karenah isteri yang suka mengamuk dan membebel. Tidak kurang juga yang mencari hiburan luar, semata-mata untuk menenangkan fikiran yang runsing itu. Malah ada yang bermain kayu tiga kononnya isteri di rumah tidak pandai melayan, hanya suka marah-marah sahaja.

Kalau begini tindakan yang diambil, sebenarnya ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambah masalah.Suami adalah pemimpin dan guru kepada isterinya. Suami tidak seharusnya hanya mengeluh dan menyalahkan isteri semata-mata tanpa mendidiknya terlebih dahulu. Sebagai suami, di samping tugasnya mencari nafkah untuk seisi keluarga, dia juga wajib mendidik isteri serta anak-anaknya. Dan proses mendidik ini bukan cukup hanya sekali dua dinasihati, tetapi ia memakan masa yang lama.

Pada saat isteri sedang marah-marah, janganlah dihadapi isteri dalam keadaan marah-marah juga. Lebih-lebih lagi jangan menghadapinya dengan kasar, keras atau menghukumnya. Sebab wanita itu lemah, dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok, kalau dikasari ia akan terus bengkok dan mungkin patah. Rasulullah SAW bersabda :

“Hendaklah kamu berlaku dan berbicara baik-baik dengan wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok ialah yang berada di bahagian atas. Jika kamu meluruskannya ia akan patah dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok. Kerana itu hendaklah kamu berlaku dan berbicara baik-baik dengan wanitaSuami hendaklah bijaksana dalam menghadapi ragam isteri serta sentiasa bersabar dan tidak tergesa-gesa mengambil tindakan.Dalam hal ini, Rasullullah SAW merupakan contoh terbaik dan sempurna.Baginda berlaku begitu adil dan baik terhadap isteri-isterinya. Bahkan bagindalah orang yang paling tabah dan sabar menghadapi ragam ketika sedang marah, memperlihatkan rasa cemburu atau di saat sedang berselisih faham dalam sesuatu perkara. Semuanya itu baginda hadapi dengan lemah lembut, penuh berhikmah dan kasih sayang, sambil memberikan peringatan yang baik.




Pernah berlaku wanita seramai 70 orang berkumpul di kediaman isteri Rasulullah SAW, semuanya mengeluh dan saling menyalahkan pelakuan suami masing-masing. Apabila perkara ini diketahui oleh Rasulullah SAW, baginda tidak terus marah malah tetap bersabar. Baginda bersumpah tidak akan menghampiri kesemua isterinya selama sebulan.

Tindakan itu baginda lakukan sebagai pendidikan kepada mereka. Tatkala itu baginda benar-benar pandai meletakkan kesabaran pada tempatnya dan menempatkan kemarahan pada tempatnya. Hasil daripada tindakan itu, kesemua isteri baginda bertaubat dengan bersungguh-sungguh hati menyesali perbuatan mereka. Begitu didikan Rasulullah yang sangat berkesan pada isteri-isteri baginda.

Begitu juga dengan para Sahabat, mereka mengambil sikap sabar apabila ada sesuatu perkara yang tidak kena dengan isteri mereka. Pernah pada satu ketika datang seorang lelaki ke rumah Khalifah Umar Ibnu Khattab r.a untuk mengadukan karenah isterinya. Beberapa saat lamanya dia menunggu si sepan pintu, tiba-tba dia terdengar suara isteri Khalifah Umar sedang marah-marah pada suaminya, tetapi Khalifah tetap diam dan tidak menyahut. Melihatkan keadaan seperti itu lelaki tersebut pergi meninggalkan tempat itu sambil berkata pada dirinya: “Kalau keadaan Amirul Mukminin seperti itu, apa lagilah keadaanku!

Tetapi sebaik sahaja dia hendak melangkah pergi, Khalifah Umar keluar dan memanggilnya. Umar bertanya, “Apakah tujuan kedatnganmu? “Ya Amirul Mukminin, aku datang untuk mengadu kelakuan isteriku. Dia sangat cerewet dan sering menghamburkan kata-kata kesat kepadaku. Akan tetapi apabila aku sampai di depan rumah Amirul Mukminin, aku dengar isteri tuan juga sama dengan isteriku. Kerananya aku lalu berfikir, “Kalau isteri Amirul Mukminin pun seperti itu, apa lagilah isteriku.

Khalifah Umar menjawab: “Aku tabah dan sabar menghadapi kenyataan itu kerana dia telah menunaikan kewajipan dengan baik terhadap diriku. Dialah yang memasak makananku, dialah yang membuat roti bagiku, dialah yang mencuci pakaianku, dialah yang menyusukan anak-anakku, padahal itu bukan merupakan kewajipan baginya.

“Dan dialah juga yang mententeramkan hatiku sehingga aku dapat menjauhkan diriku dari perbuatan yang haram. Kerana itulah aku tabah dan sabar mendengarkan apa sahaja yang dikatakannya mengenai diriku! Lelaki itu menyahut: “Ya Amirul Mukminin, demikian juga isteriku!

Khalifah Umar kemudian menasihatinya: “Saudara, bersabarlah menghadapi isterimu, kerana keadaannya itu hanya sebentar sahaja.

Jadi, para suami hendalah selalu bertolak ansur dan memberi kemaafan sekiranya berlaku krisis dengan isteri. Tidak ada gunanya diikutkan rasa marah kerana marah adalah kunci kepada segala kebencian dan pergaduhan. Tidak rugi kepada orang yang menahan rasa marahnya. Hadis Rasulullah SAW :

“Ada tiga perkara yang jika ada antara kamu yang melakukannya Allah berkenan melimpahkan perlindungan dan rahmat kepadanya serta memasukkannya ke dalam Syurga-Nya. Iaitu orang yang jika yang diberi ia berterima kasih (bersyukur), jika diperlakukan hal yang buruk ia memberi maaf dan jika marah ia dapat menahan diri.

Rasulullah SAW juga bersabda “Siapa yang sabar menghadapi perlakuan buruk isterinya, Allah akan memberinya balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Nabi Ayub atas ketabahannya menghadapi cubaan dan sikap isterinya, manakala isteri yang sabar menghadapi perlakuan buruk suaminya, Allah akan memberinya balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Asiah, isteri Firaun.

Bagi para suami yang selau runsing memikirkan sikap isterinya yang buruk itu, bersabarlah kerana ia akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Namun, jangan dibiarkan terus sikap isteri yang suka mengamuk itu, berusahalah dan sentiasa mohon kepada Allah moga-moga diberikan kekuatan untuk mendidik isteri.



Sumber

Seterusnya...

Strategi Mendidik Isteri


Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:

“lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”

Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri - makhluk yang kuat perasaannya.

Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.



Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita.

Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf.

Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah saw. Tatkala Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda Rasulullah saw.

Suatu hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.

Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, “Kami sengaja mahu Rasulullah saw mendoakan untuk kami.”

Begitu Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah menjawab, “Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya, “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisyah supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata, “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti,”

Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama Siti Aishah. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.

Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela,Katrina dan lain-lain).

Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.

Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.

Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”

Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.

Firman Allah swt, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-Ashr

Dari Abdullah bin Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: ” Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…”

Seterusnya...

27 December 2009

Riwayat hidup Saidatina Fatimah Az Zahra


Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s. a. w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r. a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah s. a. w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah s. a. w. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.



Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu." Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?" Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s. a. w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s. a. w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah. Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya

Buat renungan semua: Orang yang berfikiran besar banyak memperkatakan ilmu Orang yang berfikiran sederhana banyak memperkatakan peristiwa Orang yang berfikiran rendah banyak memperkatakan manusia Orang yang berfikiran cetek banyak memperkatakan diri mereka

Nabi SAW bersabda, ada 4 perkara yang dipandang baik, tetapi 4 lagi dipandang lebih baik :
1. Sifat malu dari lelaki adalah baik, tetapi dari perempuan adalah lebih baik,
2. Adil dari setiap orang adalah baik, tetapi dari pemimpin adalah lebih baik,
3. Bertaubat dari orang tua adalah baik, tetapi dari orang muda adalah lebih baik,
4. Derma dan sedekah dari orang kaya adalah baik, tetapi dari orang fakir adalah lebih baik.

Sekian
Sumber Artikel.

Pesanan ummi:

 
Sanggupkah kita menjadi seperti Siti Fatimah. Maharnya cuma 400 Dirham hasil jualan baju besi Syaidina Ali kepada Abu Bakar.


Fatimah Zahra(sa) dalam ibadah, solat, puasa, doa dan perkara-perkara yg bersangkutan dengan Maknawi mempunyai makam yang cukup tinggi. Dia adalah seorang isteri yang berkelayakan dalam urusan rumahtangga, memadai dengan hidup sederhana, tidak meminta-minta dari suaminya, bersama-sama dalam segala hal dan sentiasa berada disisi Imam Ali (as) di dalam kesusahan dan kesedihan.Dia adalah model kesetiaan dan ketabahan serta amat bijak dalam mendidik anak-anak, beliau adalah seorang Ibu Mithali. Dia sentiasa menghormati ayahandanya, suami dan orang lain serta sentiasa bekerjasama dengan pembantu rumah dalam membuat kerja-kerja rumah.

Tidak berpaut pada dunia dan merupakan ahli infaq yang senantiasa bersedekah dan sanggup berkorban apa sahaja.sebagai contoh, Baju perkahwinannya sendiri juga telah diberikan kepada orang yang telah datang didepan pintu rumahnya.

Beliau tidak pernah menolak untuk membantu dari segi harta orang-orang yang memerlukan dan telah menjadi kebiasaan untuk hidup. Sederhana jauh dari kesenangan dan kekayaan serta menjalani hidup dengan keindahan akhlak, kasih sayang dan kerjasama.

Berhijab, sifat malu dan kesucian Sayyidah Zahra (sa) menjadi buah mulut semua orang.walaupun apabila berdepan dengan orang buta dia tetap memelihara hijabnya.Hidupnya penuh keberkatan tidak pernah disia-sia. (….usianya pendek, tetapi penuh dengan usaha. Dari kecil lagi demi menyampaikan dan mempertahankan agama yang hak, Zahra berjalan seiring dengan ayahnya, Beliau penolong yang penyayang dalam membuat kerja-kerja rumah, Zahra penolongnya Ali(as).Pada malam yang sunyi dan penuh rahsia, Zahra bersujud menyembah Tuhan. Tidak walau sedetik dan seketika pun ingatan Zahra terpisah dari Tuhannya.)


Di hadapan lelaki buta Sayyidah Fatimah (as) melindungi dan memelihara maruahnya.Rasul Allah bertanya kepadanya, “Mengapakah anda berhijab,sedangkan orang itu buta?” Zahra (as) memberi responnya dengankan, “Walaupun dia tidak nampak saya,tetapi saya melihatnya,serta dia boleh mencium bauku” pantas Rasulullah (saw) bersabda, “saya naik saksi bahawa kamu adalah cebisan dari diriku.Amru bin Dinar meriwayatkan dari Aisyah berkata: " Tidak pernah aku melihat seseorang pun yang lebih benar daripada Fatimah salamullah 'alaiha selain daripada ayahnya."[Hilyatul-awliya, Juzuk 2, hlm. 41]



Seterusnya...

Isteri ~ keredhaan suami adalah keredhaan Allah


Ingin ummi berkongsi dengan pembaca budiman sebuah kisah teladan seorang isteri solehah. Kali pertama membaca kisah ini, membuatkan hati menjadi begitu hiba sehingga mengalirlah si air mata.

Mudah-mudahan kisah ini dapat memberikan isteri motivasi dan semangat baru untuk meningkatkan ketaatan terhadap suami (terutamanya kepada diri saya sendiri).

Salman al-Farisi r.a berkata bahawa suatu ketika Fatimah r.an.ha mengunjungi Rasulullah saw. Ketika ia memandang ayahnya, tiba-tiba ia menangis. Rasulullah saw bertanya,”Apa yang menimpamu wahai puteriku?” Fatimah r.aha menjawab, “Semalam aku dan suamiku (Ali r.a) bergurau senda sehingga menimbulkan ucapan yang mengakibatkan dia memarahiku. Aku sangat menyesal dan sedih.

Aku berkata: “Wahai kekasih dan sayangku, maafkanlah kesalahanku padamu. Hal ini telah ku lakukan sambil mengelilinginya sebanyak 70 kali. Hingga akhirnya, dia memaafkan dan tersenyum kepadaku. Namun aku masih tetap takut kepada Tuhanku.”



Dalam sebuah hadis Rasulullah saw telah bersabda;"Wahai puteriku, demi Allah yang telah mengutusku dengan hak, seandainya engkau meninggal dunia sebelum suami mu memaafkanmu, maka aku tidak akan menyembahayangkan jenazahmu. Wahai puteriku, keredhaan suami adalah keredhaan Allah, dan kemarahannya adalah kemarahan Allah.

Walaupun seorang isteri tekun beribadah seperti Maryam binti Imram, tetapi jika suaminya tidak redha kepadanya, maka Allah tidakak an menerima amal ibadahnya. Amal ibadah yang terbaik bagi seorang isteri adalah kesetiaan kepada suami, dan bercumbu rayu dengannya."

Moral of the story:

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Rasulullah saw, telah menunjukkan bahawa menyakiti hati suami atau tidak mentaati suami merupakan satu dosa yang sangat besar.

Walaupun si suami tidak melayan isterinya dengan layanan yang baik, jika isterinya terus menunjukkan ketaatan kepada suaminya, pamerkan lebih banyak kasih sayang kepada si dia, banyakkan berdoa dan terus bersabar, insyaAllah, hati suami yang pada mulanya keras, bisa terlentur dek kelembutan isterinya.

Apatah lagi, jika kita yang bertuah ini kerana telah diberikan oleh Allah swt dengan suami yang penyayang, berganda-ganda lagi lah ketaatan yang harus kita berikan kepada suami kita.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw telah bersabda;"Seorang isteri yang mengerjakan solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menjaga amanah suaminya, maka Allah swt akan memasukkannya ke dalam syurga melalui pintu mana sahaja yang disukai."


Dalam sebuah hadis Rasulullah saw telah bersabda;"Apabila seorang suami pulang ke rumah dalam keadaan gelisah dan tidak tenteram, kemudian sang isteri menghiburkannya, maka ia akan mendapat setengah pahala jihad*"
*Orang yang berjihad di jalan Allah swt, pahalanya adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).

Semoga kita sama-sama dapat amalkan dan sampaikan perkara ini kepada orang lain.
Sumber

Seterusnya...

26 December 2009

Mahar perkahwinan


Apabila jodoh ditemukan dan kedua pihak telah bersetuju untuk dinikahkan maka sebagai syarat yang penting dalam pernikahan ialah pihak lelaki dikehendaki memberi hadiah atau mahar kepada pihak wanita. Ini adalah syarat terpenting untuk membuatkan pernikahan itu sah dari hukum syarak. Allah memerintahkan supaya wanita yang akan dikahwini diberi mahar. Allah menyatakan, “Ya Rasul, sesungguhnya kami telah menghalalkan kamu isteri kamu yang telah kamu berikan kepadanya mahar.”

Di dalam ayat yang lain Allah menyatakan, "Dan untuk wanita kamu, berikanlah mereka mahar sebagai hadiah dan jika dia memberi kepada kamu sebahagian dengan kerelaannya, maka makanlah dengan senang hati dan gembira." Allah mewajibkan mahar sebagai hadiah untuk wanita yang dikahwini. Mahar adalah sebagai cinta cintanya sudah diterima.

Apabila cinta atau kasih yang ditawarkan oleh teruna diterima oleh si dara maka sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang memberikannya isteri maka mahar dibayar. Mahar hanyalah tanda, yang penting wanita itu menerima serta membalas cintanya dan bersedia bersamanya mengharungi lautan hidup. Oleh kerana mahar adalah tanda kegembiraan bagi pihak lelaki, maka ianya hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas, tulus, suci dan gembira. Ianya tidak patut diberi sebagai satu bebanan dan tekanan bagi pihak lelaki.

Pihak wanita janganlah menganggapnya sebagai satu tuntutan yang patut dibayar oleh pihak lelaki kerana berjaya meminangnya. Pihak wanita tidak patut menganggap mahar sebagai ganti untuk anaknya. Oleh kerana anak wanita kami berpelajaran tinggi, cantik dan mempunyai kedudukan maka bayaran mahar hendaklah tinggi. Mahar dianggap sebagai bayaran atau harga wanita yang dikahwini.




Allah memberitahu mahar adalah hadiah dari pihak lelaki untuk pihak wanita. Mahar hendaklah dibayar oleh pihak lelaki mengikut kemampuannya. Lelaki hendaklah memberinya dengan penuh perasaan kasih dan tanpa tekanan. Pihak wanita tidak patut membuat tuntutan yang membebankan nya. Jika lelaki itu lelaki yang kaya dan berharta maka maharnya adalah mengikut kemampuannya. Jika dia seorang yang berpendapatan rendah maka maharnya mengikut kemampuannya. Tidak ada had atau batas di dalam memberi mahar. Ianya diberi mengikut kemampuan yang memberi. Mahar boleh merupakan sebentuk cincin emas yang bertatahkan berlian atau hanyalah sebentuk cincin suasa.

Mahar boleh merupakan segenggam barli atau kurma dan boleh juga sepasang kasut. Seorang wanita dari Bani Fajarah dikahwinkan dengan mahar sepasang kasut. Nabi Muhammad bertanyakan dia, sama ada dia berpuas hati dengan mahar hanya sepasang kasut. Wanita itu menjawab dia berpuas hati. Maka Nabi Muhammad membenarkan lelaki itu mengahwininya.

Dari hadis di atas, jelas menunjukkan mahar adalah hadiah dari pihak lelaki dan pihak wanita pula bersetuju menerimanya. Mahar adalah lambang ikatan yang dibuat antara dua insan. Ia tidak patut diberatkan. Apabila mahar dibayar mengikut kemampuan pihak lelaki maka perkahwinan menjadi mudah untuk semua orang. Melakukannya apabila jodohnya telah ditemui. Penzinaan, maksiat akan berkurangan kerana peluang untuk berkahwin dipermudahkan untuk semua orang.

Apa yang memberatkan anak muda yang mempunyai nafsu yang tinggi untuk berkahwin ialah maharnya mungkin rendah tetapi dibebankan dengan hantaran yang tinggi. Bagi melepaskan syahwatnya mereka bercinta dan tidur seperti suami isteri tanpa nikah. Apabila mereka berkahwin, wanita itu sudah tidak ada lagi daranya. Inilah yang berlaku dalam masyarakat yang menyusahkan dan memberatkan pernikahan. Penzinaan menjadi perkara biasa. Lelaki muda pergi berkunjung ke sarang pelacuran untuk memuaskan nafsu. Jangkitan penyakit kelamin seperti AIDS akan merebak seperti api. Masyarakat itu menuju kepada kehancuran.

Kenapa perkahwinan disusahkan dengan hantaran yang tinggi dan mahar dimahalkan. Ini berlaku kerana masyarakat cintakan kebendaan dan kesucian. Mereka mahu nama dan kemegahan daripada taat kepada perintah Allah. Ini terjadi kerana iman lemah dan cinta dunia bersarang dalam hati. Akhirnya masyarakat yang tidak mengamalkan agama pasti akan dihancurkan, oleh amalan mereka sendiri.

Jikalau kita ingin kebaikan dan keberkatan di dalam perkahwinan, maka mudahkan lah ia. Semakin hampir pernikahan itu seperti pernikahan anaknya Nabi Muhammad iaitu Fatimah, maka semakin berkat lah ia. Perkahwinan Ali dan Fatimah dijalankan dengan sederhana sekali. Ali tidak mempunyai apa-apa pun untuk berkahwin. Dia hanya mempunyai sebuah perisai perang (baju besi) yang dijadikan mahar buat Fatimah.

Seterusnya...

25 December 2009

Restu Ibu bapa dalam sebuah Perkahwinan


Untuk berkahwin, restu ibu bapa sangat diperlukan.Kenapa? Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga.

Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.


Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu. Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Jadi sekiranya kita tidak mendapat restu mereka, adakah sempurna agama kita jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat redha ibu bapa? Dan jika ibu bapa tidak redha, adakah Allah meredhai anak itu?

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. Kalau berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi.

Dalam soal ini, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek.

Jika Tak Direstui

Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa .

Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

Sering kita terbaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.

Cuba kita renung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa.

Apabila Ibu Bapa Diam

Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang kerana tidak mahu melukakan hati anak. Begitu sekali ibu bapa cuba untuk menjaga hati anak. Biar hati mereka terguris dengan tindakan anak,namun untuk mereka melukakan ,tidak sekali. Adapula anak yang terlebih ajar, sanggup menegking ibu bapa,memarahi ibu bapa kerana tidak setuju dengan pilihan mereka. Sudahlah berkahwin tanpa restu, memarahi pula jika mereka balik, tidak mendapat layanan ibu bapa.

Sepetutnya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.

Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Terdapat ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.

Bawa Berbincang

Hati sudah suka, pasangan ‘ideal’ sudah ditemui tapi ibu bapa pula tidak bersetuju. Bagaimana? Jalan terbaik ialah bawa berbincang.

Perlunya syura atau perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik.Banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan calon pasangan.

Syura yang diadakan dalam keadaan hati bersih dan baik, insya-Allah natijahnya baik, bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa. Sikap berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si anak boleh meluahkan perasaannya.

Terdapat kes ibu bapa sayang pada anaknya tapi kadang-kadang hendak kawal anaknya dalam semua perkara… Bagi anak, dia rasa dikongkong. Dalam soal ini, ayah atau ibu jangan terlalu ketat sebab Sayidina Ali k.w. menyarankan agar kita mendidik anak mengikut zamannya. Minat dan citarasa tak sama. Bagi si anak, dia juga perlu cuba memahami ibu bapa, kerana niat ibu bapa adalah untuk menjaga demi kebaikan anaknya.

Menurutnya, jika si anak merasakan ada kongkongan dalam memilih calon pasangan, dia perlu meluahkan isi hatinya tetapi dengan cara yang tertib dan tenang. Kalau anak diam dan simpan, tidak selesai masalah juga. Memendam perasaan tidak boleh selesaikan masalah. Kena ada proses berterus-terang. Kalau dipendam hingga rasa tertekan, nanti kita akan sakiti hati ibu bapa pula apabila merasakan ibu bapa tidak memahami. Setiap masalah ada penyelesaiannya tapi cara menyelesaikannya perlu betul.

Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila

Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina.

Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka. Terdapat kes anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa yang hatinya perlu dijaga.

Tanggungjawab yang dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu bapa dah kurang.”

Dalam hidup ini, setiap sesuatu akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?

Di bawah ini ummi bawakan hadith untuk rujukan anak-anak berkaitan mendapat restu dan redha ibu bapa di dalam memilih pasangan hidup.


Hadith ke dua belas : Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut.


Sudut Pertama:

Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allahterletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.
2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya),

seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]

Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud d

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud ]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).

Seterusnya...

23 December 2009

‘Kahwin lari’ undang pelbagai implikasi


KITA perlu berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui kehancuran rumah tangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan Allah serta Rasul.

Adab dan batas itu mesti dipatuhi semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum. Kepada isteri, jika ditakdirkan suami berkahwin lain sama ada dengan pengetahuan atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan.

Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan suami, kita mesti kembali kepada qada dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiri pun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya.


Nabi Muhammad SAW ketika berpesan kepada sepupunya Ibn Abbas bersabda yang bermaksud: “Ingatlah jika seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang ditulis oleh Allah untukmu. Dan jika mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang sudah ditulis oleh Allah ke atasmu.”


Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:

l. Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

2. Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.

Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

l. Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.

sumber

Seterusnya...

22 December 2009

Membina Kebahagiaan Berpoligami


Hari ini berhenti dahulu bercerita mengenai poligami. Kesian pada orang yang jiwa raganya terdera kerana masih belum berkahwin tapi ummi sogokkan pula cerita tentang poligami untuk menjadi isteri kedua.

Ummi sebenarnya nak buka minda dan ubah persepsi masyarakat bahawa menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat tidak salah dalam Islam. Jika cara dan kaedah untuk seorang lelaki itu berkahwin menurut cara dan syariat Islam. Seperti perkahwinan pertama, di dahului dengan merisik, meminang,bertunang (walaupun sekejap untuk urusan persediaan borang nikah)dan diiringan dengan bernikah. Majlis nikah ini, tidak perlulah buat besar, cukup sekadar memaklumkan orang ramai, dan jika tidak ada gangguan emosi, isteri-isteri dan anak-anak lain sebaiknya hadir untuk memberikan sokongan dan mengeratkan ukhuwwah di dalam keluarga.




Sesungguhnya perkahwinan itu adalah suatu yang sangat indah, samada yang berkahwin itu pada yang pertama atau kedua atau lain2nya. Kerana Allah Ta'ala memberitahu manusia betapa indahnya perkahwinan melalui KalamNya yang suci.....

".....Supaya kamu tenteram dengannya..."

Jika cara dan kaedah yang betul, menepati syariat maka, isteri-isteri akan rasa bahagia kerana hak mereka sebagai isteri tidak dinapikan. Dan rasanya isteri yang baru dinikahi pun tidak akan terlalu berkira. Tambahan jika dengan isteri pertama, ada ramai anak, masa dengan anak-anak juga adalah sebahagian tanggung jawap yang perlu dipenuhi. Dan semestinya anak-anak tadi berada di rumah isteri pertama,maka akan kelihatan seseolah suami tadi melebihkan masa dengan isteri pertama. Maka akan kelihatan seseolah suami tidak adil dalam pemabhagian masa.

Sepatutnya, seorang isteri kedua, atau ketiga atau ke empat melihat ini dengan rasional, bukan dengan emosi.Isteri-isteri yang berada di bawah seorang suami ialah wanita-wanita yang sangat istimewa. Inilah wanita-wanita yang telah melalui segala macam ujian yang tidak dilalui oleh wanita-wanita lain. Inilah wanita-wanita yang sangat cekap untuk membezakan yang mana fitnah, dan yang mana benar. Inilah wanita-wanita yang telah berjaya meletakkan perasaan cemburu mereka pada tahap yang sebenarnya. Inilah wanita-wanita yang telah melalui satu proses penjurusan perasaan dan hati hanya kepada Allah Taala.

Dalam poligami, tiada siapa yang boleh menolong suami atau isteri dalam mencapai ketenangan hati, tidak adik beradik, tidak ipar duai, tidak ibu bapa, tidak saudara mara. Yang ada hanya Allah Taala, satu-satunya tempat doa dipanjatkan, dengan penuh harapan agar Allah Taala menganugerahkan kebahagiaan seperti yang dijanjikan.

Sedikit ummi catatkan pengalaman seorang isteri kedua...


Jom kita kongsi bersama-sama...

Pengalaman sebagai isteri kedua.
Antara pantang larang utama jika hati ingin bahagia dlm rumah tangga poligami ialah elakkan mencerca isteri lain dihadapan suami kita. Seorang lelaki dan suami yang baik tidak pernah suka isterinya diperlekehkan hatta isterinya salah sekalipun. Inilah selalu yang dilupai oleh para isteri sama ada isteri pertama, kedua dan seterusnya.

Jika kita ingin menegur isteri lain sekalipun, tegur dan beri cadangan membina agar suami rasa anda sedang membantunya membina rumahtangga bahagia. Bukan merendah-rendahkan isteri suami kita tersebut kerana suami akan merasakan bahawa anda sedang mencabar kewibawaan dan maruahnya.

Tiada manfaat sekiranya kita merendah-rendah pihak lain dimata suami hanya kerana untuk menarik perhatian suami terhadap kita. Mungkin tindakan tersebut akan memberikan impak sebaliknya kepada kita iaitu suami akan lebih menyampah, sakit hati dgn tindakan kita merendah-rendahkan isterinya, pilihan hatinya kerana beliau juga tidak suka dan tidak mahu mana-mana isteri-isterinya direndah-rendahkan oleh orang lain hatta oleh isterinya sendiri terhadap isterinya yang lain..

Oleh itu.. janganlah kita memasang jerat untuk diri kita sendiri.. jika ini yang berlaku.. percayalah.. anda tidak akan bahagia dan akan terus memendam rasa... isilah baki umur yang kita tidak tahu byk mana yang ada dgn membahagiakan diri kita dan suami.. jgn biarkan masa yng singkat yg kita ada ini dgn perbalahan dan perselisihan faham dgn suami semata-mata kerana kita inginkan perhatian suami.. entah-entah esok lusa kita dipanggil Ilahi.. entah-entah esok lusa.. suami kita dipanggil pergi..

wallahu'alam.

Ambillah peringatan, jadikan Al-Quran, As-Sunnah, dan pengalaman sahabat dari keadaan rumahtangga yang pernah mereka lalui sebagai panduan berguna untuk kita belayar mengharungi gelora di dalam rumahtangga. Memang di dalam melayari rumah tangga sekali sekala pasti ada ribut,taufan dan badai yang melanda. situasi ini bukan sahaja di dalam rumah tangga poligami sahaja, yang monogami pun mengalami juga.

Tengok tu, tak mahu cerita bab poligami, akhirnya , panjang lebar juga entri kali ini mengenai poligami. Maaf ya,anak-anak, dah terlanjur hingga ke bawah sini ummi bercerita pasal poligami. Yang baik jadikan teladan yang tidak elok jadikan sempadan.

Seterusnya...