CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 December 2010

Adap Malam Pertama

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


DALAM Islam, pernikahan adalah perkara yang agung dan suci. Al-Quran menyebutnya sebagai mitsaqan ghalizan atau ikatan yang kuat. Malah Islam tidak hanya mengatur persoalan hubungan suami dan isteri secara umum. Ia juga mengkaji pelbagai persoalan yang dianggap bersifat peribadi.

Semuanya bertujuan mewujudkan kebahagiaan suami dan isteri dalam hidup berumah tangga.

Menurut penulis buku berjudul Indahnya Malam Pengantin, Ummu Nayla, perkataan itu hanya disebutkan tiga kali dalam al-Quran iaitu, pada perjanjian Allah SWT dengan para Nabi-Nya iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW (dalam surah al-Ahzab ayat tujuh).

Yang kedua semasa Allah mengangkat bukit Thur ke atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa ayat 154).

Sementara yang ketiga apabila Allah menyatakan perihal ikatan pernikahan (surah an-Nisa ayat 21).

Menyentuh soal pernikahan, salah satu perkara yang sering menjadi topik perbualan atau perbincangan malah juga paling banyak mitos berkaitannya ialah bab adab malam pengantin atau malam pertama.

Hakikatnya, pengetahuan berkenaan cara melalui atau melayari malam pertama yang indah dan penuh keberkatan adalah amat penting. Ini kerana, hubungan intim yang dilakukan pada malam tersebut, menentukan kemesraan hubungan intim pada hari-hari akan datang, seterusnya membina keharmonian rumah tangga.

Selain itu, hubungan intim yang dilalui pada malam pertama itu diharap akan dapat melahirkan anak-anak soleh dan solehah, yang mampu menegakkan Islam di muka bumi.

Justeru, setiap umat Islam terutamanya yang bakal bernikah, lebih-lebih lagi pada musim-musim cuti persekolahan hujung tahun ini, perlu memahami adab malam pertama dari perspektif Islam.

Semoga dengan memahaminya, malam pertama dapat dilalui dengan indah dan penuh berkat serta meninggalkan kesan yang mendalam pada hati kedua-dua pasangan mempelai.

Realitinya, ilmu berkaitan malam pertama tidak diajar secara menyeluruh dan tidak mencukupi, apa lagi yang dijelaskan dari sudut pandangan Islam.

Ini berkemungkinan kerana hal ini dianggap sesuatu yang perlu dipelajari sendiri atau diturunkan oleh orang tua-tua kepada bakal-bakal pengantin. Ditambah, topik ini bukannya yang biasa dibincangkan secara terbuka atau terang-terangan.

Padahal, setiap orang yang mahu dan bakal bernikah serta melalui malam pertama perlu mempunyai ilmu yang cukup agar malam pertama dilayari bukan semata-mata aktiviti fizikal tetapi juga sebagai aktiviti mental.

Apabila persetubuhan hanya berfungsi sebagai aktiviti fizikal, apa yang diperoleh oleh pasangan itu hanyalah kenikmatan semasa orgasma. Tidak ada ketenangan hati dan ketenteraman jiwa semasa menjalani kehidupan bersama dalam rumah tangga.

Oleh itu, suami dan isteri perlu menyedari ada keindahan lain di luar daripada persetubuhan yang dapat menyempurnakan kebahagiaan rumah tangga.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah menciptakan kehadiran suami dan isteri sebagai bentuk kebahagiaan. Kehadiran suami ataupun isteri lebih indah daripada jimak.”

Semoga kehadiran suami mempunyai makna yang berharga bagi isteri. Mari kita sama-sama contohi rumah tangga Ali bin Abu Talib dan Fatimah az-Zahra.

Rumah tangga mereka mempunyai gambaran yang mempesonakan. Ali berkata: “Apabila aku memandang isteriku, Fatimah az-Zahra, hilang kesusahan dan kesedihanku.”

Sesungguhnya setiap daripada kita sebenarnya mengharapkan serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat.




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.




Sumber

Seterusnya...

29 December 2010

Untuk Mendapat Zuriat Yang Baik

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات




TIADA yang lebih membahagiakan buat seorang suami selain dikurniakan isteri yang solehah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh kerana Allah memelihara (mereka)”. (Surah an-Nisaa’ ayat 34)

Pernikahan menyingkap segala-galanya. Kelebihan dan kekurangan saling diimbangi dan ditampung bersama hingga mewujudkan keserasian dalam perkahwinan mereka buat selama-lamanya.

Isteri adalah orang penting bagi seorang suami hingga apa saja situasi yang berlaku sama ada ketika berada dalam kesusahan, kebuntuan atau kegembiraan isteri tempat bercerita, mengadu dan meluahkan segala-galanya.



Sebelum mengambil keputusan menyunting pasangan untuk dijadikan teman hidup, seorang lelaki perlu membuat pilihan tepat supaya perkahwinan yang dibina berkekalan.



Malah, keluarga pihak wanita perlu menyegerakan perkahwinan apabila anak mereka dilamar lelaki yang berakhlak mulia, sudah berkemampuan dan dilihat mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa”.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, kedudukannya atau keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung”.

Hadis berkenaan adalah panduan kepada seorang lelaki untuk membina rumah tangganya. Maka lelaki perlu cari dan memilih wanita yang mempunyai asas agama dalam membentuk kebahagiaan dalam rumah tangga.

Terbukti, wanita yang menjadi idaman setiap lelaki adalah yang mempunyai akhlak yang terpuji, berbudi bahasa, lembut pertuturannya, memelihara kehormatannya, bertanggungjawab terhadap urusan rumah tangga serta menjalinkan hubungan baik dengan semua orang di sekelilingnya.

Terus terang dikatakan setiap lelaki mempunyai penilaian berbeza mengenai ‘kecantikan’ yang dimiliki seorang wanita. Kecantikan sebenarnya bermula dari dalaman iaitu mempunyai keimanan serta melakukan perbuatan baik.

Janganlah sesekali menjadi wanita yang lengkap memiliki kecantikan, tetapi digunakan untuk tujuan maksiat dan kemungkaran.

Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dalam soal mencari pasangan hidup kerana ia menentukan kebahagiaan.

Nabi pernah ditanya mengenai sebaik-baik wanita, Baginda bersabda yang bermaksud: “Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Menerusi hadis berkenaan, Rasulullah memberi keutamaan agar memilih calon isteri yang menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya.

Perwatakan lemah-lembut dan penyayang memang tidak dapat dipisahkan daripada wanita. Peranan mereka sebagai ibu berjaya mendidik serta melahirkan anak yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Calon isteri terbaik mungkin dapat dipilih berdasarkan kepada aspek kesuburannya. Ia perlu diteliti supaya kelak isteri mampu melahirkan anak yang ramai.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kahwinlah dengan gadis perawan kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya dan lebih reda dengan yang sedikit”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Tanda atau ‘bayangan’ kesuburan itu boleh diperhatikan melalui keadaan ibu atau adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya ramai peluang untuk melahirkan zuriat yang ramai lebih cerah.

Rasulullah turut menganjurkan supaya lelaki memilih wanita yang masih dara (belum berkahwin) kerana jika ada memilih janda umpamanya mungkin cenderung untuk membandingkan antara suami dan bekas suaminya dulu.

Memilih calon isteri dari kalangan kaum keluarga seperti sepupu pula tidak digalakkan bagi memelihara zuriat, menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan keturunan.

Sabda Baginda lagi: “Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat”.

Kelahiran zuriat yang soleh dan solehah bakal membentuk generasi yang dapat meninggikan syariat Allah serta memakmurkan dunia ini.

Justeru, peranan wanita amat besar kepada pembangunan ummah dan masyarakat dalam membina tamadun dunia.

Islam menetapkan peraturan yang mana antara lelaki dan perempuan itu mesti bersesuaian dari segi kecerdasan, kemahuan dan tingkah lakunya supaya bertambah kuat pertalian jodoh di antara kedua-duanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Perempuan itu pakaian kamu dan kamu pakaian perempuan”. (Surah al-Baqarah ayat 187)

Maka ‘pakaian’ itu perlu bersesuaian dengan badan orang yang memakainya.

Kemudian tidak halal bagi seseorang lelaki menikahi wanita penzina. Namun larangan berkenaan ‘mansuh’ apabila wanita yang pada awalnya seorang penzina, tetapi sudah meninggalkan perbuatan lamanya dan bertaubat.

Menurut Abdullah bin Abbas: “Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Syaibah).

Allah berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah an-Nur ayat 5)

Kesimpulannya, dalam membuat pilihan calon isteri bukan satu perkara remeh kerana hakikatnya suami yang bakal menjaga urusan dan hal ehwal rumah tangga.

Lelaki perlu menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan memilih wanita yang mempunyai ciri-ciri yang baik dan berpegang kepada agama Allah supaya urusan rumah tangga kelak berlangsung dengan baik, terancang serta terurus.

Amalkan bacaan doa seperti: “Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Furqan ayat 74)

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata perkahwinan adalah ikatan amanah iaitu setiap pasangan perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila seseorang lelaki baik mengambil keputusan mengahwini seorang perempuan yang kurang baik, jadi dia bertanggungjawab untuk memperbaiki kekurangan isteri yang dikahwininya.

“Perkara ini memang boleh terjadi kerana walaupun kita sering mendengar bahawa ‘jodoh di tangan Tuhan’ tetapi kita perlu ingat manusia adalah makhluk yang diberikan kemampuan untuk berusaha mendapat sesuatu.

“Berdasarkan pertimbangan yang berbeza-beza pada setiap individu, tidak mustahil seorang itu mendapat pasangan yang kurang baik, tetapi manusia masih lagi boleh melakukan perubahan terbaik dalam hidupnya,” katanya.

Beliau berkata Rasulullah memberi keutamaan kepada aspek agama dalam pemilihan isteri.

“Tetapi ada tiga kriteria lain yang disebutkan baginda iaitu kecantikan, keturunan serta harta yang tidak boleh diketepikan.

“Baginda berpesan jika kamu memilih atas dasar agama maka ia membawa lebih kebaikan. Kerana itu, ulama fiqh membincangkan kriteria pemilihan itu secara lebih meluas dalam skop ‘kafaah’ atau kufu iaitu boleh diambil kira, tetapi tidak jadikan sebagai keutamaan.

“Sifat pemalu yang menjadi fitrah bagi wanita Muslimah mestilah dikekalkan, tetapi bukan bermakna mereka langsung tidak boleh bergaul dengan orang lain,” katanya.

Rahimi berkata Islam melihat ikatan perkahwinan sebagai sesuatu yang sangat suci dengan memberi perhatian kepada proses praperkahwinan supaya kekal sepanjang hayat.

“Antara ruang yang diberikan kepada lelaki ialah boleh melihat wanita yang bertujuan untuk dijadikan isteri (bukan memandang untuk tujuan berseronok).

“Namun begitu, syariat menetapkan panduan dan batas tertentu yang hanya boleh melihat tapak tangan dan muka. Ia lebih kepada ilmu yang disebutkan Imam Syafie sebagai ilmu firasat,” katanya.

Menurutnya jika salah seorang dari pasangan pernah melakukan kesalahan seperti berzina dengan bekas kekasihnya kemudian berkenalan dan berkahwin pula dengan individu yang baik peribadinya, seseorang itu perlu bertaubat daripada kesalahan lama dan berusaha untuk mencari seseorang yang dapat membantu memperbaiki dirinya.

“Ia membuka ruang lebih luas bagi mendapatkan pasangan baik dengan syarat taubatnya adalah taubat nasuha,” katanya.






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

12 November 2010

Suami Larang Isteri ziarah Keluarga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


SOALAN;


Benarkah ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatan terhadap ibu bapa?

JAWAPAN:

Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya;
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”(Surah Al-Isra’ : 23)

Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.

DALIL-DALILNYA;

Pertama: Al-Quran

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka” (Surah An-Nisa’ : 34)

Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya[1]”


ISTIDLAL:

Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.

Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah[2].

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه

Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya[3]”

Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت

Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu[4]”


HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.

Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.

Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.

ISYKAL


PERTAMA:

Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN:

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها

Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya[5]”

KEDUA:

Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN;

Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.

Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ

Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga[6]”

Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com

[1] Sahih Al-Bukhari : 4796.
[2] Syarh Muntaha Al-Iradah : 3/47.
[3] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 7353.
[4] Sahih Al-Jami’ : 660.
[5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
[6] Sunan At-Tarmizi : 1081, sunan Ibni Majah : 1844.




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

08 November 2010

Memilih Calon Menantu Lelaki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Sering kali kita dibacakan maksud sepotong hadith yang berbunyi,"Dikahwini wanita itu(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya,dan agamanya.Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu)wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu" (riwayat Bukhari dan Muslim).


Secara umumnya, hadith ini menyenaraikan ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki
untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,berharta,berdarjat tinggi, dan cantik jelita merupakan pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki.


Namun yang lebih penting, hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri "kuat penghayatan agamanya". Hal ini kerana wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan mempengaruhi kebahagiaan hidup berumah tangga.


Tetapi bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, tentu ada panduan
lain untuk kaum wanita memilih bakal suami mereka.


Memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi seorang wanita, perlu menyelidiki terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya. Hal ini penting kerana menurut kajian , kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila mereka diabaikan suami.


Dalam hal ini, ibu bapa wajib memberikan panduan bagaimana anak perempuan mereka boleh mencari bakal suami. Rasulullah S.A.W ada bersabda yang bermaksud : "Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar."


Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa kriteria seorang suami yang baik ialah mereka yang beragama dan berakhlak mulia. Sifat inilah yang semestinya dijadikan sifat asasi dalam memilih bakal suami sebelum dilihat hal-hal lain. Dua sifat inilah yag sebenarnya menentukan kekufuan pasangan suami isteri itu.


Lelaki yang tidak memiliki kriteria di atas tergolng dalam lelaki fasiq (ingkar kepada suruhan Allah). Jadi , walaupun seseorang lelaki hidup kaya raya, tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga mereka. Hal ini kerana kefasiqan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras ,kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tempat-tempat maksiat, berfoya-foya , dan sebagainya. Tatkala itu hak-hak isteri akan hilang.


Suami yang hidup dalam kefasiqan bermakna mengundang murka Allah. Jika Allah sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumah tangga akan dapat dikecap? Yang pastinya ketenangan serta kebahagiaan hidup berkeluarga tidak akan dinikmati.


Diriwayatkan dalam sebah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali r.a, (cucu Rasulullah S.A.W) untuk meminta nasihat. Katanya, "Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan denagn puteriku?"
Hasan menjawab, "Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah, kerana jika dia menyukai isterinya dia pasti mengasihinya , tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti dia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya).


Di sini, ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap bakal suami anak mereka. Kalau tidak, anak mereka akan menjadi mangsa. Allah S.W.T dan RasulNya membenci sikap ibu bapa itu. Baginda rasul mengingatkan para wali dalam sabdanya yang bermaksud : "Barangsiapa menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri."


Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah S.A.W dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman. Ancaman dalam hadith di atas sepatutnya digeruni oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan.


Sebenarnya, satu malapetaka yang amat besar akan berlaku sekiranya anak gadis kita yang berjiwa bersih,peribadi mulia, dan taat menjalankan suruhan agama dikahwini dengan lelaki fasiq. Berapa ramai gadis yang semasa berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah berbuat maksiat , tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasiq, gadis itu hanyut dalam arus maksiat.


Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh dibawa oleh kesesatan suaminya. Mereka sudah pandai minum arak ,memakai pakaian yang mendedahka aurat ,bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram. Apatah lagi dalam soal ibadah ; solat mudah
ditinggalkan dan puasa diabaikan.


Hal ini berlaku, kerana seorang wanita itu apabila dikahwinkan dengan seorang lelaki, maka dia
akan mengikut suaminya, sekiranya lelaki yang dikahwininya itu baik maka baik la dia dan
sebaliknya maka akan hancur dan musnahlah kehidupannya sehingga mengundang murka Allah.


Memandangkan risiko yang dialami oleh ana gadis itu, amat wajarlah Rasulullah S.A.W menghukum ayah @ wali yang mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki fasiq. Sesungguhnya memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuan sendiri suatu malapetaka yang amat besar.

Jadi, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Hal ini kerana perkahwinan bukan kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi
merupakan "ikatan sosial" yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan.


Hayatilah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud : "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan klimpah kurniaanNya, kerana Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui."






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Perkongsian dari Usah Rasa sangsi

Seterusnya...

07 November 2010

Poligami Boleh Mengatasi Masalah Sosial Ummah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Poligami bukan lagi sesuatu yang luar biasa pada setiap zaman. Islam membenarkan berpoligami sebagai satu pnyelesaian masalah ummah. Bagaimana?


Seseorang suami yang telah berkahwin, masih lagi ingin menjalin hubungan dengan wanita lain, seperti bercouple, bercinta dan seterusnya berzina. Maka untuk mengelakkan perkara ini terjadi , digalakkan suami tadi bernikah dengan kekasihnya itu.


Sepatutnya poligami adalah untuk membantu perempuan lain yang belum berkahwin pada usia yang telah meningkat, bukan kahwin dengan anak dara yang masih cun, berkahwin dengan janda yang perlukan perlindungan, janda yang ada anak yatim untuk dibesarkan.


Antara Sebab-sebab kenapa Islam membenarkan pensyariatan poligami ialah sebagai pembelaan, perlindungan dan tempat yang halal bagi meramaikan umat Muhammad saw.

Sabda baginda: “Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti”

Masyarakat kita punya sikap “perkahwinan adalah penyelesaian segala masalah”. Perempuan belum berkahwin pula rela menjadi isteri nombor dua tanpa memikirkan akibatnya, semata-mata kerana ingin ada suami tempat bergantung? Mereka juga terlalu naif tentang kehidupan berumah tangga sambil mengharapkan suami akan berlaku adil.

‘‘Hanya kerana kebenaran isteri pertama, bukan tiket untuk bahagia pada masa hadapan. Bagi saya, orang belum berkahwin mempunyai satu masalah tapi orang berkahwin mempunyai banyak lagi set masalah. Sebab itu kita banyak mendengar kisah yang tidak elok bagi yang berpoligami – suami tidak adil, buat hal itu dan ini.

‘‘Orang lelaki, sebelum berkahwin janjinya setinggi gunung, tetapi bila sudah dapat apa yang dihajati, segala janji dilupakan. Mereka hanya mahukan apa yang mudah untuk mereka. Segala ketidakadilan mereka pun jarang mendapat pembalasan dari Allah di dunia, semuanya akan dibalas di akhirat. Jadi suami tidak perlu takut jika tidak berlaku adil?

‘‘Pada saya pandangan mereka yang mendakwa isteri pertama kedekut kerana tak izin suami berpoligami adalah pandangan cetek dan berkepentingan. Saya percaya, apa yang isteri takutkan bukan pasal berkongsi suami, tetapi memikirkan nasib dan masa depan anak-anak yang terpaksa berkongsi kasih.

‘‘Ada yang salahkan isteri pertama biarkan suami berzina. Kenapa tidak salahkan suami yang berzina? Tak izin suami kahwin tak bermaksud suami ada lesen buat dosa? Mana tanggungjawab suami terhadap agama dan keluarga? Berzina tetap jadi dosa orang berzina. Isteri tak pikul dosa suami. Suami tidak seharusnya ada kekasih.

‘‘Pemahaman yang cetek mengenai ketaatan isteri terhadap suami dalam Islam juga penyebab kenapa poligami kita banyak masalah. Tidak ada ayat al-Quran atau hadis mengatakan isteri yang benarkan suami berkahwin lagi akan dapat payung emas di syurga. Ini peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu untuk lembutkan hati isteri. Sama seperti tidak ada dalam al-Quran dan hadis yang mengatakan syurga terletak di bawah tapak kaki suami. Syurga hanya milik Allah dan amal ibadah yang di lakukan untuk mendapat keredaan Allah.


Setiap perkara yang dilakukan jika bukan berniat kerana Allah.. maka keredhaan dan keberkatan tidak akan ditemui bersama perjalanan hidupnya. Dalam hal poligami juga menuntut keikhlasan si suami dalam melaksanakannya. Ibadah yang betul ialah apabila si suami melaksanakan poligami berlandaskan sunnah dan syariat yang digariskan menurut Islam. Contohnya, si suami yang berpoligami itu berniat ikhlas untuk membantu wanita yang tiada tempat bergantung (kerana tidak berkahwin sehingga usia semakin lanjut).

Sebaliknya jika si suami sekadar ingin menambah koleksi isteri bagi menurut kehendak hawa nafsu dek kerana kecantikan dan kepuasan semata-mata maka ia sudah tergelincir daripada landasan ibadah yang disunnahkan. Banyak perkara lagi yang harus diambil kira oleh si suami, termasuklah bersifat dan bersikap adil kepada semua isterinya dalam pemberian nafkah zahir dan batin. Semestinya memikul keadilan ini adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan ke atas diri setiap insan kelak.

Kelangsungan hidup berpoligami ini juga tidak sepatutnya menjadi rahsia antara isteri-isteri si suami yang berpoligami itu kerana ini menyentuh soal kejujuran. Apabila kejujuran tidak wujud dalam sesebuah rumahtangga, maka ketidakjujuran itu sendiri boleh menjadi senjata pemusnah ramahtangga yang dibina. Tambahan lagi, tidak semua isteri sanggup bermadu dan berkongsi kasih-sayang dengan orang lain. Sebab itu poligami mesti didasari oleh kejujuran, keikhlasan dan keadilan. Bukan mudah sebenarnya untuk menggalas dan memikul tugas dan tanggungjawab berpoligami ini. Jika sikap sedemikian tidak wujud, dikhuatiri ia membawa kehancuran dan kegagalan rumahtangga.

Oleh itu, adalah tidak wajar menganggap poligami sebagai penyelesai kepada masalah sosial jika poligami yang dilaksanakan itu tidak berlandas pada trek yang sebenar. Malah ia mungkin menambah kepada satu bentuk masalah sosial yang baru apabila berlaku pergelutan dalam rumahtangga akibat ketidakpuasan hati sebelah pihak, atau antara satu sama lain.



Oleh itu , Pertama sekali kena jelas apakah niat dan matlamat perkahwinan tu, tak kira la pada kali pertama perkahwinan atau perkahwinan seterusnya. Jika dari awall niatnya tidak betul, maka goyah la perkahwinan itu

Jika perkahwinan tidak disandarkan pada Allah, maka perasaan sayang dan cinta akan pudar setelah berkahwin nanti, tambahan pula jika berkahwin atas dasar, kecantikan, harta dan keturunan.


Jika hal permasalahan sosial ini seperti kes-kes rogol dan perzinaan yang berleluasa di mana saja diserahkan kepada kaum isteri yang sudah merasa secure bersama suami mereka, mereka tidak akan membenarkan suami mengambil siapa saja yang lain sebagai madu mereka. Hampir tiada di kalangan isteri yang akan dengan senang hati meredhai dan 'membenarkan' suami menikahi perempuan lain walaupun boleh dikatakan semua orang telah faham bahawa salah satu penyelesaian masalah tadi ialah dengan lelaki mengahwini perempuan-perempuan itu.


Namun begitu, kaum isteri ini juga tidak senang dengan masalah yang berlaku di sekeliling mereka itu. Tiada siapa yang inginkan perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi jika ianya berlaku kepada anak pinak atau sanak saudara sendiri. Instead, mereka akan meletakkan, dan menaruh harapan kepada pihak pemerintah untuk menyelesaikannya, tetapi 'jangan diusik suami mereka'.


Dalam keadaan ini, siapakah pula pemerintah itu? Bukankah suami juga merupakan pemimpin dan pemerintah? (Lihat An-Nisaa ayat 34).


Dalam ayat itu, Allah Taala mengangkat kaum lelaki sebagai pemimpin kepada kaum perempuan, dan BUKAN pemimpin hanya kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan sahaja. Maknanya, kepimpinan lelaki kepada kaum perempuan itu TIDAK hanya tertakluk kepada rumahtangganya sahaja. Maknanya, lelaki juga bertanggungjawab kepada masalah yang berlaku di persekitaran rumahtangganya juga.

Tidak mustahil untuk Allah Taala menyoal kaum lelaki di Mahsyar kelak, tentang apa yang sudah mereka buat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di depan mata mereka, sedangkan mereka sudah diberi segala kemampuan dan sudah diangkat sebagai pemimpin oleh Allah Taala sendiri. Atau, adakah kaum lelaki itu ‘takutkan bini’?



Hakikatnya poligami dibenarkan untuk membela nasib wanita. Wanita yang perlukan bantuan seperti janda dan anak dara yang agak lanjut usianya. Namun hakikatnya semua perkara bergantung kepada niat kita sama ada baik atau sebaliknya. Namun...Bukan mudah untuk berkahwin tapi tak susah.


Akhirn kalam, poligami adalah salah satu jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial tetapi bukan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan permasalahan sosial...kerana setelah meneliti punca permasalahan sosial itu sendiri ialah peningkatan industri hiburan, siaran2 hiburan yang semakin banyak di media2, pendedahan aurat2 secara berleluasa, pergaulan bebas antara bukan mahram, lambakan kompleks2 hiburan, disko, kelab joget dan pub, alat2 pencegah hamil yang mudah didapati seperti kondom dan pil pencegah hamil.. Pada pandangan saya wajar sekiranya semua punca-punca gejala sosial ini diberi perhatian serius...



wallahualam...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

04 November 2010

Kenapa Pertunangan Perlu dirahsiakan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.


Pertunangan masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.


Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana masih belum sah menjadi suami isteri.


Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.


Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.


Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.


Dalam tempoh bertunang ini adalah disarankan, pasangan bertunang supaya mencari ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunangan langkah permulaan kepada alam perkahwinan.


Ikatan pertunangan diamalkan masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.


Dari Jabir bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu melamar perempuan, jika ia bisa memandang bahagian tubuhnya yang menarik untuk dinikahi, hendaknya ia lakukan." Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan perawi-perawi yang dapat dipercaya. Hadits shahih menurut Hakim.


Bermakna,sekadar lihat muka dan tangan,hati telah terdetik untuk menikahi, maka lamarlah dia untuk dijadikan isteri. Harus melihat bakal suami dan isteri malah disunatkan melihat berulang-ulang kali.Hal ini supaya mereka berpuas hati dengan pilihan yang dibuat dan untuk mengelakkan sebarang penipuan.Anggota yang sunat dilihat ialah muka dan tapak tangan.Muka melambangkan kecantikan.Tangan menunjukkan kesuburan.Perhubungan orang yang bertunang masih dikira sebagai hukum ajnabi(orang asing).


Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.


Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.


Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata: Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Beliau bersabda: "Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat." Riwayat Ahmad. Hadits shahih menurut Ibnu Hibban.


Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.


Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.


Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.


Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.


Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya.


Maka tidak seharusnya seseorang lelaki atau perempuan itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Seterusnya...

02 November 2010

Di Ambang Keretakkan Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Kali ini, ingin ummi kongsikan bersama satu kisah rumah tangga yang tiba-tiba rasa kasih sayang dan cinta menjadi pudar. Cinta sebelum berkahwin yang intim dan mesra bukan lah satu jaminan hidup bahagia selepas berumah tangga. Melahirkan zuriat bukan juga menjadi menyambung kasih sayang yang telah bersemi.


Dimana salah dan silapnya,kita baca bersama-sama dan nasihat yang mampu ummi berikan. Memang sejak akhir-akhir ini,ummi banyak berhadapan dengan pelbagai kisah rumah tangga yang pincang dan retak. Di dalam ummi mengusahakan pembinaan Baitul Muslim, ummi juga selalu ditimbuni dengan permasalahan rumah tangga yang menuju kepada keruntuhan jika tidak dibantu dengan nasihat dan kaunseling.


Ummi memang akan berusaha untuk mengelakkan dari terjadinya perpisahan dan perceraian walaupun itu adalah jalan terakhir dan memang sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Jadi selain membina rumah tangga, ummi juga akan membantu mereka yang menghadapi masalah dalam rumah tangga agar dapat dielakkan rumah tangga yang telah dibina itu roboh dan runtuh.




Bacalah bersama-sama:


Saya sudah bekahwin selama 2 tahun dan mempunyai seorang anak yang tak sampai setahun lagi umurnya. Disebabkan saya dan anak sering hidup terabai akibat sikap suami yang terlalu menumpukan pada kerjaya/rakan/saudara berbanding isteri dan anak, lama-kelamaan hidup saya bosan dan mula tawar hati terhadap suami.


Setiap hari saya bertanya pada diri sama ada saya berkahwin dengan orang yang betul?


Saya pernah bersabar, ajak suami berbincang, ajak dia keluar bercuti bersama, tapi nampaknya tiada hasil. Saya sudah putus asa dan tiada lagi cinta untuk suami.

Bila terfikir tentang anak, saya bersabar lagi. Tapi bila difikirkan semula, apa kena mengena suami dengan anak? Anak saya tak mahu pun dipegang oleh bapanya. Saya fikir, adalah lebih baik saya menjadi ibu tunggal saja. Setakal dapat title 'janda' tu, saya tak kisah. Mana tahu, ada orang lain yg nak kat saya, boleh saya mencari bahagia yg lain.


Kini saya rasa terperangkap dalam perkahwinan ini. Saya melakukan kerja2 rumah, menggosok baju suami dan menyiapkan makan suami, melayan kerenah saudara-mara suami (saya berhijrah dari selatan untuk tinggal bersama suami di utara), tetapi secubit kasih sayang suami pun saya tak dapat rasakan.


Saya sudah merasakan bahawa rumah tangga saya tak dapat diselamatkan lagi. Hanya saya seorang yg berusaha untuk mencari keserasian dengan suami, tapi suami langsung tidak memahami hati saya, apatah lagi cuba untuk serasi dengan saya. Mohon nasihat.


Nasihat yang mampu ummi berikan:



Janganlah menambah bilangan ibu tunggal, janda atau anak dara. Saban hari saya menangis bila ada gadis,janda , ibu tunggal memohon pertolongan minta dicarikan jodoh.


Jika kita sudah bersuami, peliharalah rumah tangga sebaik-baiknya. Kasih sayang boleh dipupuk. Ingatlah waktu selepas akad, waktu malam pertama dan indahnya waktu bersama.


Jika sudah bercerai, hidup sendiri, semua tu tak akan berulang lagi. Kasih sayang bukan boleh dibeli atau dikutip merata tempat. Bukan berkahwin dengan orang yang salah jika itu jodohnya.


Banyakkan bersabar, bertenang dan cuba kembali kepada Allah. Redha dengan apa yang Allah berikan. Mungkin bulan hanya berlindung sekejap dibalik awan. Maka dalam masa bulan berlindung itu, carilah Allah. Jangan peduli apa yang hati mahukan kerana apa hati mahukan sesuatu yang Allah tidak suka adalah hasutan syaitan.


Banyakkan berdoa,mohon suatu hari nanti suami tersedar akan kasih sayang isteri. Puan jangan fikir apa yang puan buat,berbakti pada suami itu sia-sia. Walaupun suami tidak menyatakan ,menunjukkan kasih sayangnya, sebenarnya dia tetap sayangkan puan.


Jika suami tidak sayang, dia tidak akan lafaz akad nikah, dia tidak akan sentuh puan dimalam pertama. Cumanya , ada lelaki ego, ada lelaki sukar untuk menunjukkan kasih sayang. Lafaz sayang itu terlalu mahal dan berat dilidahnya. Ianya cuma terukir di hati sahaja.


Dia mengutamkan keluarga , saudara maranya , itu sudah bagus. Dan sebagai isteri,puan kena taat dan ikut apa yang suami suka. Jika suami suka mengutamakan keluarganya, puan pun ikut jadi puan tidak akan rasa terpinggir.


Sebaliknya,jika hati puan tidak rela dan tidak suka, maka ini yang puan rasa. Puan kata 'Suami tidak peduli pada puan dan mengutamakan keluarganya.' Sepatutnya puan kena ikut apa saja yang suami suka, apa suami cinta dan minati. Tidak rugi jika kita korbankan hati demi mentaati suami kerana ganjaran yang Allah berikan maha hebat.


Belum terlambat jika puan buka hati semula untuk meminati apa yang suami suka. Puan korbankan perasaan sendiri dan ikut segala kesukaan suami. Puan layan saudara mara suami dengan ikhlas. Puan layan suami dengan ikhlas. Puan taati suami dengan ikhlas. InsyaAllah itu akan jadi ibadah yang dipandang oleh Allah dan puan akan rasai nikmatnya di dalam hati.



2 tahun adalah tempoh yang sangat singkat dan puan belum kenal hati budi suami. Saya akui sendiri,saya hanya kenal benar-benar suami saya setelah 10 tahun berkahwin. Dan nikmat berkahwin itu saya rasai selepas 10 tahun hingga kini menjangkau 26 tahun.


Sebelum 10 tahun, puan akan lalui berbagai rasa dan dugaan. Cubalah bersabar, dan cuba juga berubah persepsi dan sikap kepada negatif kepada postif terhadap minat suami.


Cubalah dulu melakukan dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. " Ya Allah ,aku lakukan ini kerana perintah MU,mentaati suami adalah wajib, maka bantulah aku, mudahkan jalan bagi ku agar aku taat kepadanya"


Dalam ummi menasihati masalah rumah tangga wanita ini, ada pula yang mencelah untuk bertanya;


Kalau tak kenal-kenal jugak suami tu macamana pulak ummi, ada masalah ke kalau tak kenal suami, atau berpura2 kenal suami ke macamana bila dah tak berapa kenal buat2 tak kenal pun tak mengapa ke atau macamana?
Sambung ummi :

Sebab tak cukup kenal, maka kita sentiasa berusaha untuk mentaati suami. Menjaga diri agar tidak melakukan apa yang suami tidak suka. Berusaha meminati apa yang suami suka. Jangan hati kita menentang atau melawan kerana jika dilawan dalam hati syaitan akan tumpang jadi nasi tambah.


Kita taat pada suami kerana ia perintah Allah. Sebab itu tidak boleh merajuk dengan suami. Jika merajuk dengan suami bermakna mendahulukan hati dari Allah. Bagaimana? Mentaati suami adalah perintah Allah. Allah suruh. Tapi kita merajuk dengan suami. Maknanya kita dahulukan hati kita dari mendahulukan perintah Allah.


Sambung wanita itu pula :

Semua pun suruh saya bersabar. Mak saya pun suruh saya bersabar. Rindu sgt kat mak, dah setahun lebih tak dapat balik kampung. Rasanya last balik kg masa lepas kawin dulu2. Tu pun sebab ambil barang.


Utk pengetahuan, saya juga bekerja. Saya pun penat bekerja. Kami sama2 kerja gomen yg waktu bekerja ialah ofis hour. Tapi kenapa suami mesti pulang ke rumah 1,2 pagi? Kenapa sampai kena tidur kat ofis? Dia pergi menjaja kat pasar malam ke? Gaji kami lebih kurang ja. Setakat anak baru sorang, kereta pun saya yg bayar, kami tak lah sengkek sangat. Tapi nasib saya mendapat suami yg workaholic.


Saya tak kisah kalau dia tak balik rumah langsung sepanjang minggu atau sebulan sekalipun, tapi apalah salahnya tanya hal anak (kalau menyampah kat saya ni pun). Takde ke perasaan nak tanya anak dah baik sakit ke? anak masuk wad ke?


Selama ni pun, saya dah rasa dah jadi ibu tunggal tu mcm mana. Pergi balik hospital bawak anak naik turun lif, pergi pasar beli barang dapur sambil kendong anak.

Boleh tak bagitahu kat saya, apa nikmatnya mempunyai seorang suami? apa faedahnya saya mempunyai title isteri? boleh bgtau tak?

Bersabar puan...
banyakkan bersabar...
Cubalah berkomunikasi dengan suami...
luahkan perasaan masing-masing tapi jangan sampai bertengkar pulak...
berbincang elok-elok...
bersabar lah...



Sambungnya lagi :


Suami ni jenis pandai bercakap. Dia dulu ada masuk pidato pidato ni. Saya ni pulak, tak pandai langsung. Cakap sikit, dah nak nangis. Sikit2 emo. Biasanya, setiap kali perbincangan, mesti suami yg menang.


Dan ini keputusan yang wanita ini ambil akhirnya :



Bila difikir2 balik, saya malas nak naik turun mahkamah utk uruskan permohonan cerai. Kalau dia tak nak ceraikan saya, biarlah saya digantung tak bertali seumur hidup. Saya pun dah takde hati nak kawin kawin ni dah. Jaga dan didik anak yg sorang tu supaya jangan jadi macam ayah dia, supaya jadi anak soleh, berbakti kepada agama dan negara tanpa melupakan keluarga sendiri.


Lagi pun yang berbeza hanyalah title janda atau isteri. Apa yang saya faham:


Kebaikan jadi isteri dalam situasi saya: dari segi pahala, lebih mudah dapat atas restu suami.


Kebaikan jadi janda: tak payah uruskan makan pakai suami. Uruskan diri dan anak saja. Boleh balik kampong jumpa mak ayah.


Jadi, saya pilih pahala. Saya harap, suatu hari nanti mak ayah akan datang jengok saya di sini, sebab saya memang tak boleh ke sana.


Sedihkan jika berhadapan dengan masalah begini. Walaupun wanita ini memilih untuk bersabar, tapi selama mana ia mampu bersabar jika tiada usaha sebelah pihak untuk memperbaiki hubungan di dalam rumah tangga. Tidak ada komunikasi 2 hala.


Semoga menjadi iktibar...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

13 October 2010

Diberikan peluang untuk berkahwin dengan mualaf

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Ummi terkesan apabila membaca luahan hati seorang mualaf. Dan lebih terkesan apabila memikirkan dengan siapa mereka bersaudara untuk meneruskan kehidupan hingga akhir hayat. Kita pun tahu, iman itu ada kalanya tinggi dan rendah. Perlu ada saudara, teman dan sahabat untuk memberikan peringatan.



Kita baca sama-sama luahan hatinya:


Kerana yakin ku dengan islam, aku tinggalkan ibu bapaku, aku tinggalkan kampung halaman ku hanya kerana Islam yang bersinar di hati ini. segala kesukaran aku tempuh dengan tabah bagi mencari cahaya yang telah dilimpahkan oleh Allah di hati ini.


Kerana aqeedah aku tinggalkan jahiliyah,
Kerana aqeedah aku terus berkelana,
Kerana aqeedah aku berjuang mencari kebenaran,
Kerana aqeedah aku terus menuntut ilmu agar menuntun aku kepada ALLAH YANG ESA.

Hidayah Allah, cukup berharga dan membahagiakan. Islam nya aku bukan kerana keturunan...




Nasihat buat Yang Baru Menerima Hidayah dan kepada yang telah lama mendapat hidayah...

Bagi mengukuhkan akidah, banyak langkah yang boleh kita lakukan antaranya ialah melakukan banyak perkara sunat seperti membaca Al Quran, solat tahajud dan bersedekah. Dalam keadaan kita melakukan aktiviti begini, jiwa dan hati kita akan terasa tenteram serta tenang. Keadaan ini akan menggalakkan diri kita untuk menambahkan amalan-amalan sunat dan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan akidah. Walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilakukan, tapi dengan melakukan dengan permulaan yang sedikit dan melakukannya setiap hari adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.

Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT juga boleh mengukuhkan akidah seseorang. Dalam kehidaupan harian kita, kita tidak pasti sama ada kita melakukan dosa atau tidak. Contoh dalam melakukan amalan seperti Solat, belum tentu kita khusyuk sepenuhnya. Jadi ini boleh mendatangkan dosa atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan pahala. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang maksum dari melakukan dosa sentiasa memohon keamunan, inikan kita yang tidak terlepas dari melakukan dosa.

Selain itu, bagi mengukuhkan akidah kita mestilah sentiasa mendalami pengetahuan dan ilmu keagamaan kita agar pengaruh-pengaruh dari luar tidak dapat mempengaruhi kita. Dalam suasana dunia yang semakin canggih, kita tidak akan terlepas daripada menerima pelbagai pengaruh sama ada baik atau buruk. Kenyataannya sekarang, ramai manusia yang bertambah cerdik, bijak dan pandai sehinggakan kepintaran mereka itu digunakan untuk membuatkan diri mereka terkenal. Ada segelintir manusia yang sudah terlalu pandai menganggap merekasebagai tuhan, rasul dan utusan-utusan tuhan. Dengan cara mendalami pengetahuan agama, kita akan mampu untuk menepis kenyataan ini agar tidak terpengaruh dan dalam masa sama akan meningkatkan kepercayaan serta keimanan kepada Allah SWT.

Mengukuhkan akidah bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, ia perlukan kekuatan iman. Ini adalah asas utama dalam mengukuhkan akidah. Persoalan iman dan akidah mestilah ditangani dengan sebaik-baiknya agar pada masa akan datang, anak-anak yang akan mewarisi kehidupan akan dapat hidup dalam suasana yang penuh harmoni, aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak. Apa yang penting sekarang adalah peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak bermula dari rumah. Pendidikan asas agama penting untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan. Pendidikan dari rumah akan berlanjutan ke peringkat sekolah dan pada peringkat ini, guru-guru turut terlibat dalam mendidik anak-anak, terutamanya mendidik agama itu sendiri.


Selain itu cara mengukuhkan aqeedah, menikahi mereka juga merupakan satu cara membantu mengukuhkan aqeedah mereka. Maka ummi buka satu topik di laman web Halaqahnet untuk mendapatkan padangan sekiranya diberikan peluang menikahi atau bernikah dengan mereka.


Kita kongsi untuk membacanya:

Sekiranya anda diberikan peluang untuk berkahwin dengan mualaf, adakah anda setuju atau menolak. Jawaplah dengan tulus.

Adakah masih anda mahu melihat rupa parasnya, duit dalam bank dan keturunannya. Jika anda membuat bandingan pada agama, agamanya sudah pasti kurang dari anda sebab anda dah 20 tahun lebih berada di dalam agama Islam sedangkan dia baru setahun jagung.

Mahukah anda menjadi pembimbing kepada mereka sekiranya diberikan calon mualaf?

Terima kasih jika anda sudi menjawap dan memberikan pendapat serta pandangan.


Pandangan 1 : Pearlady
Kalau tanya pendapat saya... saya ok je.tp tetap kena minta persetujuan keluarga coz bukan kita je yg akan berkongsi budaya mereka tetapi family kita juga...so dlm hal ni, biarlah perkahwinan 2 mendapat restu ibu bapa supaya senang di kemudian hari.

walaubagaimanapun, pasangan yg hendak berkahwin dengan muallaf perlu memastikan mereka mempunyai kekuatan ilmu, amal dan iman kerana biarlah yg menarik itu lebih kuat daripada yg ditarik...hal ini kerana kita tidak mahu berlaku perkara yg sebaliknya yg mana kita yg membimbing ditarik pula ke agama mereka ataupun muallaf tersebut tidak kekal lama dalam agama islam...nauzubillah


Pandangan 2 : Rina79
Berkawin dengan mualaf?
Hmmm...saya akan terima
klu itu sudah jodoh yang Allah tentukan untuk saya
Saya bukannya seorang yang pandai dalam ilmu2 agama ni
hanya tau basic2 jer
tapi insyaAllah
klu si dia ingin belajar, kami akan belajar sama2
kadang2 orang yang baru mengenal islam nih lebih islamnya dari mereka yang dilahirkan dalam islam
insyaAllah
klu si mualaf itu sudi memperbaiki diri dan belajar lagi ilmu2 agama
maka perjalanan itu lebih mudah dan diberkati olehNYa


Pandangan 3 : Munawarrah_Cinta
Kalau saya diberikan peluang?? Kalau sayalah kan.. saya kan.. bagi saya bukan menjadi satu masalah yang besar untuk saya menerima seorang mualaf dalam hidup saya. Ya, tanggungjawab besar. Untuk mendidik dia dalam Islam.. Sedangkan saya sendiri masih belajar. Namun, saya akan berusaha memberikan tunjuk ajar disamping turut sama-sama belajar dengan dia. Mencari guru untuk dia dan menerapkan nilai hidup Islam dalam keluarga kami. InsyaAllah..

Isteri berdirinya disisi suami.. dia yang menjadi tongkat tatkala suami meraba dalam gelap, saat suami tersungkur.. saat suami terjatuh. Apatah lagi seorang Muallaf. Lagi 1, suami tugasnya membimbing isteri.. namun, isteri yang dapat membawa suami ke jalan yang benar akan masu syurga lebih dulu daripada suami.. Jadi, alangkah beruntungnya saya kalau diberikan peluang sedemikian.


Pandagan 4 : otramen_mebius22
Tak salah & memang digalakan kerana membawa mereka kepada kebenaran...

Namun sedih, ada kawan2 yang mualaf, sampai dah kahwin 5 -10 tahun pun sholat tak buat, nak baca bismillah & bagi salam pun masih gagap....

Kita yang bawa mereka kepada Islam, tangungjawap kita mendidik mereka...namun, ditempat saya (Sarawak), sekarang ada ramai jugak mualaf; dah cerai, jadi kafir balik....sebab tak lama dulu seorang kawan yang mualaf, dah cerai, sekarang masuk balik gereja....soal ni bukan salah dia pada pokok nya tapi kita yang tak didik mereka...

Banyak kesabaran & dugaan bila kahwin dengan mualaf, yang penting jangan putus asa...sama2 belajar.


Pandangan 5 : Anazahra
Secara jujur, saya gementar juga... Kerana saya juga masih bertatih2, banyak yang perlu belajar.. Dan juga perlu seiring membimbing dia.. Tapi jika itu jodohnya saya terima.

Apa2pun, jika bernikah dengan muallaf perlukan kesabaran yang tinggi, perlu lemah lembut, melayan dia bagai anak kecik, kerana mungkin banyak yang dia tidak faham mengenai Islam. Tetapi janganlah sampai menafikan status dia sebagai suami... Disini, perlu saling menasihati dan saling memahami... Si suami faham status dia sebagai muallaf (yang dibimbing - perlu banyak belajar) dan si isteri kena faham status dia sebagai isteri (yang membimbing). Isteri perlu ada kekuatan dalaman yang kuat.. Sentiasa memberikan sokongan kepada suami untuk sama2 belajar dan terus belajar mendalami Islam, sentiasa mengingatkan bahawa hidup ini hanya kerana Allah, pernikahan ini hanya kerana Allah.

Sangat sedih apabila, jika dia bernikah dengan kita tetapi akhirnya putus ditengah jalan dan dia kembali menjadi asal (kembali ke agama asal). Kita sebagai isteri perlu ada mind setting di dalam kepala, "aku akan bimbing suamiku ini sehingga suami ku ini menjadi muslim yang soleh"


Itu lah pandangan dari hati tulus mereka jika diberikan peluang berkahwin dengan mualaf. Maka kita sebagai orang Islam baka/genetik ini yang bertanggung jawap untuk sama-sama belajar dan bimbing membimbing jika kita juga tidak mempunyai ilmu, maka bersama-sama belajar. Kita akan dapat sokong menyokong antara satu sama lain.

Seterusnya...

23 July 2010

Sayangi ibu, bapa, mentua sama rata

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




JIKA Allah menurunkan hidayah, segeralah bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita pernah menderhaka kepada mereka?


Maka ziarahilah pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka.


Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa. Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat.


Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini.


Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Allah? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa? Pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.


Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Rasulullah meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa.


Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka.


Sebenarnya, golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua. Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggung hati ibu bapa kita.


Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya? Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya.


Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung. Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri.


Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa kerana itu memang wajar. Sebaliknya, anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.


Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah adalah ibu bapanya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.


Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya. Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang, Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru.


Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya menggambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pesanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.


Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa baginda. Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda berpesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.


Semoga menjadi iktibar, teladan dan panduan di dalam melayari rumah tangga bahagia. Kebahagiaan itu lahir apabila kita beruapaya membahagiakan orang-orang yang kita sayangi.



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

21 July 2010

RUMAHKU SYURGAKU




PENDAHULUAN


Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa.

Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumahtangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan.


Dalam pembentukan masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, institusi kekeluargaan yang hamoni sewajarnya ia diberi perhatian utama.



KONSEP DAN FALSAFAH 'RUMAHKU SYURGAKU'


‘RUMAHKU SYURGAKU’ ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek yang ditekankan ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.



Huraian Konsep Dan Falsafah ‘Rumahku Syurgaku’

1. Membina Kebahagiaan

Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: 'Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati'. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan. Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.

Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: 'Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.


Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:

(a) Niat Yang Baik

Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang.


(b) Perbuatan Yang Baik

Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang baik. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain.

Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.

Maksudnya: 'Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya'. (al-Mukminun: 1-11)


2. Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan

Hidup dalam erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tanpa kualiti.

Ilmu pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama; Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas.

Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia. Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolihi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya sahaja. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:

Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Menurut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.' (Riwayat Ibnu Majah)


Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan yang sangat-sangat dititik beratkan oleh Islam supaya setiap orang mencarinya, tidak kira dalam apa bidang pun selagi ia mendatangkan kebaikan dan diredhai oleh Allah S.W.T.


Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.


Ibu bapa selaku pengemudi keluarga sewajibnya mempunyai perancangan dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan.


Dari segi piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah, mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan amal ibadat. Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain. Perkara-perkara ini merupakan asas yang wajib dipelajari dan dihayati oleh setiap anggota keluarga.


Di samping fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain. Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut. Apabila seorang sahaja mengetahuinya, pada masa itu gugurlah kefardhuannya ke atas orang lain, tetapi sekiranya tidak ada seorang pun yang mempelajari sesuatu ilmu itu, maka semua orang adalah berdosa.


Hal-hal seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan. Kesedaran hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara.


Setiap ahli keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga, kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak maju.


Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a. pernah berpesan:

'Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu, sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.'


3. Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga

Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga.


(a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah

Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam. Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.


Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .


Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.


(b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah

Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28:

Maksudnya: '(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.'


Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam.

Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.

Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.


(c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai

Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain.


Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak.


(d) Makan Bersama Sekeluarga

Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga.


Ibu bapa harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat, menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.


Sebagai contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan membaca ‘bismillah’ bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: 'Ya Allah berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah'.
(Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni)


Semasa makan bersama keluarga, anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan makan atau minum kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut:

Maksudnya: Daripada Huzaifah r.a. katanya: 'Apabila kami bersama-sama Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan tersebut terlebih dahulu.' (Riwayat Muslim)


Ibu bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak gelojoh dan lain-lain.


(e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah

Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh.


Ucapan salam ialah doa seseorang kepada seseorang yang lain supaya sentiasa berada di dalam suasana kebaikan dan keselamatan dan juga merupakan penghubung kasih sayang di antara sesama manusia. Oleh itu ibu bapa wajar mempraktikkan salam ini supaya dapat diikuti anak-anak mereka.


(f) Minta Keizinan Masuk Bilik

Setiap ibu bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 58:

Maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.' (An-Nur : 58)


4. Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga

Rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka.

Antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah:


(a) Tolong Menolong dan Bantu Membantu Dalam Keluarga

Setiap ahli keluarga berkewajipan untuk mendisiplinkan diri bagi melaksanakan tugas masing-masing. Umpamanya suami atau bapa berkewajipan mencari nafkah atau melakukan kerja-kerja yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri atau ibu melakukan kerja- kerja yang agak ringan dan sesuai dengan kemahiran wanita. Begitu juga dengan anak-anak diberikan tugas-tugas tertentu sesuai dengan peringkat umur dan kesanggupan fizikal mereka. Satu program gotong royong di antara ahli keluarga seperti membersihkan rumah patut diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ia boleh mewujudkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab di kalangan ahli keluarga. Melalui program ini rumah sentiasa bersih dan kesihatan dapat dijaga. Allah mengasihi orang-orang yang mengamalkan kebersihan.


(b) Hubungan Kejiranan Yang Baik

Kesejahteraan dalam keluarga bukan hanya diperolihi hasil dari hubungan antara anggota dalam keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling juga patut diberi perhatian. Perhubungan kejiranan yang intim akan wujud jikalau semua ahli keluarga berkesempatan untuk berbual-bual mesra, bertukar-tukar fikiran, bergurau senda dan beramah mesra antara satu sama lain. Oleh itu setiap keluarga wajar meluangkan satu masa untuk berinteraksi dengan jiran khususnya jiran yang paling hampir.


(c) Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah

Selain berbaik-baik dengan jiran tetangga, setiap keluarga juga wajar memiliki beberapa kemahiran. Dalam Islam ilmu dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam rumahtangga. Kemahiran seperti ini perlu bagi setiap ahli keluarga supaya mereka berupaya melakukan sendiri kerja-kerja seperti membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada rumah. Memasang dan menukar mentol lampu, membaiki kebocoran paip air dan lain-lain. Di samping itu ahli keluarga hendaklah mempunyai kemahiran asas di dalam membaiki kenderaan yang dipunyai oleh keluarga seperti kereta, motosikal, basikal dan seumpamanya. Ini adalah bersesuaian dengan kehendak negara untuk mewujudkan masyarakat yang bekerja dan berkemahiran.


(d) Mengadakan Aktiviti Rekreasi

Dalam rumahtangga perlu juga ada suasana hiburan dan rekreasi dalam keluarga. Ia boleh menimbulkan kesan positif ke arah kesihatan mental dan fizikal. Jenis-jenis hiburan pula mestilah yang tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap keluarga juga wajar mengatur program rehlah ke tempat-tempat rekreasi atau lawatan di dalam atau luar negeri mengikut kemampuan keluarga tersebut. Aktiviti ini akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam keluarga.


5. Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Keluarga

Kebahagiaan rumahtangga tidak akan tercapai jika sekiranya terdapat ahli-ahli keluarga sering mengidapi penyakit. Ibu atau bapa yang tidak sihat tidak dapat menguruskan rumahtangga dengan sempurna. Manakala anak-anak yang sakit pula tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik. Oleh kerana kesihatan tubuh badan menjadi soal penting dalam hidup seseorang dan memerangi penyakit adalah satu tugas yang wajib di dalam Islam, maka Islam telah menggariskan beberapa panduan yang berkaitan dengan kesihatan seperti berikut;


(a) Makan Makanan Yang Halal

Islam menggesa umatnya supaya memakan benda-benda yang baik dan halal serta melarang memakan benda-benda yang merbahaya dan merosakkan kesihatan. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 114:

Maksudnya: 'Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan Dia semata-mata.' (An-Nahl : 114)


Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 172 :

Maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-NYA.'


Oleh yang demikian, setiap ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang makan minum keluarganya dan memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut keluarganya itu daripada sumber rezeki yang halal.


(b) Makan Makanan Yang Bermutu Dan Berkhasiat

Penjagaan kesihatan dari segi penyimpanan, penyediaan, penghidangan makanan dan keperluan pemakanan perlu dititikberatkan. Penyediaan makanan dan pemakanan perlu dirancang dengan teliti supaya kuantiti dan kualiti zat makanan itu seimbang dengan keperluan setiap keluarga. Seorang ibu wajib menyediakan makanan yang berzat dan berkhasiat. Dalam pemilihan kandungan zat makanan ia tidak semestinya diambil dari bahan-bahan yang mahal tetapi yang penting makanan itu berkhasiat dan tidak memudaratkan kesihatan.


(c) Elakkan Makan Makanan Yang Tidak Bersih

Islam menyuruh umatnya memakan makanan yang baik dan melarang memakan makanan yang tidak bersih. Orang yang mementingkan kesihatan, sentiasa memastikan makanan yang diperolehi dan dimakan oleh keluarganya adalah bersih dan halal. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 115:

Maksudnya: 'Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa). Sesungguhnya Allah Amat Pengampun Lagi Amat Mengasihani.'


(d) Makan Secara Berlebihan Akan Memudaratkan kesihatan

Ibu bapa diingatkan supaya tidak memberi makanan atau minuman secara berlebihan kepada keluarganya, tetapi makanan itu hendaklah disediakan secara sederhana, sekadar memenuhi keperluan tenaga, kesihatan dan pembesaran. Waktu makan hendaklah diatur dan janganlah dibiasakan makan tidak tentu masa kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Dalam hubungan ini Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31:

Maksudnya: '...Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.'


(e) Mencegah Penyakit

Sesebuah keluarga hendaklah sentiasa melihat tanda-tanda penyakit yang ada pada keluarganya, supaya ia dapat dicegah lebih awal. Kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan imunisasi hendaklah segera dibawa ke klinik mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam Islam langkah pencegahan penyakit adalah sangat dititikberatkan. Peka terhadap pencegahan penyakit adalah antara ciri utama kepada sesebuah keluarga bahagia. Anak-anak hendaklah sentiasa dididik supaya menjaga kebersihan dan mengelakkan daripada benda-benda kotor. Seelok-eloknya di dalam rumah hendaklah disediakan sebuah kotak pertolongan cemas, sebagai persediaan apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini atau kecemasan.


(f) Menjaga Kebersihan Diri

Satu lagi unsur penting dalam penjagaan kesihatan ialah menjaga kebersihan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara. Oleh yang demikian untuk membina keluarga yang sihat dan sejahtera, kebersihan tubuh badan amat dititik-beratkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Ibn Abbas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,'Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya.' (Riwayat at-Tabarani)


Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.' (Riwayat at-Tabarani)


Dalam hadith yang lain:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, 'Rasulullah s.a.w. memotong kukunya dan mencukur misainya pada hari jumaat sebelum baginda mengerjakan sembahyang.' (Riwayat at-Tabarani)


Daripada ayat al-Quran dan hadith yang dibentang di atas dapat difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah dilakukan oleh setiap ahli keluarga kerana ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam.


Selain daripada itu setiap ahli keluarga juga perlu menjauhi kekotoran yang berpunca daripada najis. Oleh itu Islam menuntut setiap anak lelaki dan perempuan dikhatankan supaya terhindar dan jauh daripada kuman atau penyakit yang boleh memberi kesan kepada kesihatan alat kelamin. Demikian juga Islam mewajibkan beristinjak atau bersuci untuk membersihkan diri daripada sebarang najis dan kotoran apabila selesai membuang air.


Bagi perempuan yang didatangi haid atau najis, mereka hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri supaya tidak dicemari oleh darah haidnya. Mereka hendaklah segera bersuci apabila tempoh haid atau nifasnya tamat.


Salah satu bahagian tubuh badan yang perlu dan penting dijaga ialah rambut. Setiap ahli keluarga perlulah menjaga kebersihan rambut supaya ia kelihatan kemas dan rapi. Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Sesiapa yang mempunyai rambut maka hendaklah ia merapikannya.' (Riwayat Abu Daud)


Rambut adalah ibarat mahkota seseorang. Oleh yang demikian ia perlulah dijaga dan diurus dengan sebaik-baiknya, disapukan minyak atau ubat yang sesuai supaya cantik, bersih dan menyenangkan mata memandang. Rambut yang berbau busuk amat mengaibkan.


Setiap ahli keluarga juga perlu menjaga kebersihan tangan lebih-lebih lagi ketika hendak menghadapi makanan atau minuman. Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: 'Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rsulullah s.a.w. bersabda, 'Apabila salah seorang daripada kamu hendak makan, maka hendaklah ia membasuh tangannya.' (Riwayat Ibnu ‘Adi)


Daripada hadith di atas, dapat difahamkan bukan tangan sahaja yang perlu bersih malah termasuklah mata, hidung, mulut, kaki dan sebagainya, kerana anggota-anggota tersebut adalah termasuk di dalam anggota-anggota wuduk yang mesti dijaga kebersihannya.


Selain daripada kebersihan tubuh badan dan anggota-anggota lahir, setiap ahli keluarga perlu juga menitik beratkan kebersihan pakaian. Walaupun tujuan ialah untuk menutup aurat tetapi kebersihannya perlu juga dijaga. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Muddathir ayat 4 :

Maksudnya: 'Dan pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan.'


Kebersihan pakaian menjadi salah satu daripada syarat sah ibadat sembahyang. Oleh yang demikian ia perlu dijaga supaya tidak terkena sebarang kekotoran dan najis. Keluarga yang bahagia adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa menghiasi diri dengan pakaian kemas dan bersih. Kebersihan pakaian juga adalah lambang personaliti mulia seseorang Islam.


6. Mengukuh dan Menjaga Ekonomi Rumahtangga

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu keperluan dalam kehidupan rumahtangga, lebih-lebih lagi apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Pada hari ini boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh sebab itulah Islam menyuruh umatnya supaya kuat bekerja mencari wang dan harta, membina kehidupan yang maju dan kuat supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran.


Dalam rumahtangga, bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari hakikat ini. Di samping menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada anak isteri supaya hidup mereka terbimbing, dia juga harus kuat berusaha mencari wang dan harta agar dengan wang dan harta itu keluarganya dapat memenuhi sekurang-kurangnya tiga keperluan asasi kehidupan, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Bekerja mencari wang dan rezeki, selain untuk memenuhi keperluan hidup, juga dapat menguatkan sesuatu umat, sebab apabila sesebuah keluarga itu mantap ekonominya, ia akan membantu menguatkan kedudukan bangsa dan negaranya.


Selain memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumahtangga, setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pambaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa riya’ atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Islam menyuruh umatnya supaya hidup secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolihi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi ialah untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga kata pepatah 'beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.'


7. Mewujudkan Keselesaan Dan Keindahan Dalam Rumahtangga

Rumah adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula dari rumah. Setiap keluarga mestikah mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti ruang dapur, tandas dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: 'Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik (solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.' (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam Islam telah ditentukan bahawa kanak-kanak mempunyai tempat tidurnya sendiri. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa melatih kanak-kanak tidur berasingan apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun. Di waktu itu tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan hendaklah diasingkan supaya tidak timbul sesuatu perkara yang tidak baik. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Ibnu Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Suruhlah anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan sembahyang) apabila berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur mereka.' (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Selain daripada mempunyai ruang-ruang yang cukup, hiasan rumah adalah satu ciri penting untuk mewujudkan keluarga bahagia dan menjadikan rumah itu sebuah syurga. Ini kerana setiap insan di dunia ini inginkan sesuatu yang indah., cantik dan menarik. Hal ini adalah selaras dengan anjuran Islam kerana agama Islam sendiri amat mementingkan aspek keindahan dan kebersihan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Sesungguhnya Allah itu cantik Ia sangat sukakan yang indah dan cantik.' (Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)


Keindahan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah daripada semua aspek bukan sahaja tertumpu kepada aspek keindahan dan kebersihan alam sekitar, bandar dan pejabat-pejabat sahaja malah termasuklah keindahan dan kebersihan dalam rumahtangga dan sekitarnya. Amalan menjaga kebersihan adalah bermula daripada rumahtangga dan apabila dihayati dengan sepenuhnya akan wujudlah amalan penjagaan kebersihan di luar rumah.

Oleh yang demikian untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Islam seperti berikut:


(a) Sentiasa Menjaga Keindahan Dan kebersihan Dalam dan Luar Rumah

Rumahtangga yang bahagia ialah rumahtangga yang sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan di luar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana dan tidak tenteram. Sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Saad r.a. katanya: 'Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya.' (Riwayat at-Tabarani)


Kebersihan kawasan dan halaman rumah adalah penting untuk mengelak daripada sebarang bentuk pencemaran seperti bau busuk, asap, sampah sarap, pokok-pokok liar, takungan air yang tidak terurus dan sebagainya. Halaman rumah sewajarnya dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang rendang, pokok-pokok bunga yang berwarna-warni serta harum baunya dan pohon-pohon hijau yang merimbun bagaikan taman-taman yang indah dan mempesona, rapi, teratur dan bersih. Keadaan ini harus dikekalkan supaya ahli keluarga sentiasa dapat menikmatinya. Persekitaran yang indah dan bersih juga perlu bagi pertumbuhan fizikal dan jiwa anak-anak. Persekitaran yang kotor bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai penyakit, malah mereka yang tidak mampu untuk mewujudkan hiasan luaran yang mungkin memerlukan belanja yang agak besar, memadailah dengan menjaga kebersihannya.


(b) Menghiasi Rumah Dengan Peralatan Dan Perhiasan Yang Diredhai Allah S.W.T.

Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga, ia perlulah dihiasi dengan perhiasan dan peralatan supaya dapat meyerikan lagi suasana dalaman sesebuah rumah. Sebaik-baik peralatan dan perhiasan ialah yang sederhana, kerana Islam menuntut umatnya supaya melakukan sesuatu perkara itu mengikut kemampuan masing-masing. Janganlah terlalu boros sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran dan membebankan seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: Dari Ibnu Al-Harith r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, '... dan sebaik-baik perkara ialah secara sederhana.' (Riwayat al-Baihaqi)


Peralatan dan perhiasan dalam rumah hendaklah disusun dengan kemas dan rapi supaya ia kelihatan cantik dan menyerikan. Ia akan dapat menawan hati setiap ahli keluarga tinggal dengan aman dan bahagia. Hiasilah ruangan dalaman rumah dengan barang-barang, ukiran atau gambar-gambar yang diredhai Allah S.W.T. Jauhilah daripada menghiasi rumah dengan benda-benda yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Rumah-rumah yang dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dan hiasan-hiasan lain yang bermanfaat yang diredhai oleh Allah S.W.T. akan mendapat berkat dan rahmat daripada Allah S.W.T.


8. Berkomunikasi Secara Baik

Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumahtangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititik beratkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 122:

Maksudnya: 'Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia...'


Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur perhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Ketika seimbang aspek ini akan membawa kepincangan.


Secara mudah komunikasi dapatlah difahamkan sebagai satu proses interaksi antara dua orang atau lebih. Hasilnya manusia akan memperolehi persefahaman, kesenangan, perubahan sikap, perhubungan yang baik dan tindakan yang harmoni.


Untuk mencapai tahap kesempurnaan di dalam sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing. Peranan seorang bapa berbeza dengan peranan seorang anak. Bapa mempunyai tugas untuk memastikan keperluan fizikal dan spiritual keluarganya dipenuhi. Dalam konteks ini, setiap individu hendaklah mengetahui kelebihan dan kelemahan diri masing-masing. Saiyidina Umar r.a. pernah berkata:

'Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Kesedaran dan penerimaan seseorang tentang sifat dirinya menjadikan ia dapat melaksanakan fungsi perhubungan dengan lebih sempurna.'


Seorang bapa bertanggungjawab menjaga kesejahteraan ahlinya. Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Daripada ibnu amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab kepada jagaannya.' (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dengan menerima hakikat ini menjadikan bapa berkenaan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut secara ikhlas. Implikasinya beliau akan menjalin hubungan dengan orang lain lebih bermakna. Berikutan dari itu persoalan apakah kesan perlakuan kita terhadap orang lain juga penting. Apakah akan berlaku kepada sesebuah keluarga jikalau seorang bapa tidak melaksanakan tugas tersebut. Begitulah juga dengan peranan ibu dan anak. Ia harus di laksanakan dengan berkesan kerana dengan terlaksana peranan dan tanggungjawab komunikasi yang baik, ia akan mengelakkan sesebuah keluarga daripada konflik.


Bagi mengekal dan meningkatkan perhubungan di dalam keluarga, aspek kemahiran komunikasi adalah penting. Kebanyakan orang tidak begitu peka dengan keperluan ini. Malah agak malang terdapat golongan yang merendahkan unsur komunikasi ini. Mungkin sikap ini ada hubungan dengan yang kurang tepat berkenaan hadith Rasulullah s.a.w.


Maksudnya: 'Daripada Amirul Mukminin Abi hafs Umar bin Al-Khattab katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Setiap perkara itu adalah berdasarkan niat.' (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Daripada fahaman hadith di atas apa yang penting ialah niat. Jikalau niat seseorang mahu menyakiti seseorang sudah cukup baginya tidak menegur sapa atau tersenyum kepada seseorang. Maka terjadilah di dalam sesebuah keluarga kurang bertegur sapa dan gurau senda. Seorang bapa seharusnya pandai mengambil hati isteri dan anak-anak serta memilih cara yang baik untuk membuat teguran. Begitu juga dengan anak sepatutnya mempunyai cara yang paling baik untuk berkomunikasi dengan ibu dan bapa mereka.


Untuk mencapai keharmonian di dalam perhubungan keluarga adalah satu perkara yang agak sukar. Begitu juga usaha untuk mengekalkan tahap perhubungan yang bermakna antara ahli keluarga. Kadang-kadang keharmonian perhubungan dapat dinikmati hanya untuk suatu tempoh masa sahaja, selepas itu perhubungan menjadi masalah yang serius kepada ahli keluarga. Dalam hubungan ini motivasi adalah perlu. Motivasi ialah suatu daya untuk meningkatkan pencapaian di dalam sesuatu aspek. Jikalau di dalam soal perhubungan kekeluargaan apakah jambatan yang menjadikan ahli keluarga berupaya mengekalkan keharmonian. Inilah soalan yang perlu dicari jawapannya oleh setiap ahli keluarga.


Suatu perkara yang tidak kurang penting di dalam rumah ialah kebolehan ahli-ahli keluarga berkenaan menyelesaikan konflik di antara ahli-ahli. Kadang kala berlaku seorang bapa tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Ini menjadikan anak-anak beranggapan bapanya tidak mengambil berat tentang diri mereka. Sikap bapa yang sedemikian menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan ahli rumah. Anak akan menjauhkan diri dari keluarga. Di dalam hal tertentu bapa akan bertindak terhadap kesalahan anak-anak. Jikalau ini berlaku konflik akan timbul dan berkembang dalam keluarga berkenaan.


Dalam keadaan demikian bapa sebagai ketua keluarga hendaklah mengambil inisiatif mendekati anak dan cuba memahami masalah yang dihadapi oleh mereka. Pendekatan yang harus digunakan ialah pendekatan ‘hikmah’ iaitu pendekatan yang berasaskan keadaan yang diharuskan oleh syarak. Di dalam kebanyakan hal bolehlah dikatakan pendekatan tanpa paksaan dan kekerasan, tetapi ini tidak bererti kedua pendekatan ini bukan dari method hikmah.


9. Mewujudkan Pergaulan Suami isteri Yang Baik

Kasih sayang dan toleransi dalam keluarga adalah penting. Kedua-dua elemen ini perlu diwujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan.


Pembentukan keluarga bermula dengan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami dan isteri perlulah meletakkan aspek kasih sayang dan belas kasihan, sebagai asas dalam kehidupan berumahtangga. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan, sesuatu ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia seperti yang diharapkan, malah ia akan mengubah haluan kepada kehancuran. Firman Allah di dalam al-Quran, surah ar-Rum ayat 21, iaitu:

Maksudnya: 'Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.'


Kasih sayang dan belas kasihan atau 'mawaddah wa rahmah' seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas memberi maksud bahawa perhubungan ibu bapa sebagai suami isteri hendaklah berdasarkan kepada lunas-lunas keredhaan Allah S.W.T., sentiasa kasih mengasihi, bertolak ansur, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sifat suka bermaaf-maafan sebagai amalan yang berterusan. Sehubungan ini juga Allah telah memberikan panduan sepertimana yang termaktub dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 19:

Maksudnya: '... Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).'


Pergaulan yang baik atau 'mu’asyarah bil-ma’ruf' seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas bererti pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai Allah, jauh daripada kemungkaran, kemaksiatan, penganiayaan, kezaliman dan seumpamanya.


10. Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak

Apabila perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam keadaan 'ma’ruf' (baik) maka benih kasih sayang pasti akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya. Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan kehidupan mereka sendiri.


Kasih sayang dan belas kasihan ibu bapa terhadap anak-anak sebenarnya bermula dalam kandungan lagi. Bagi ibu-ibu yang sedang mengandung, mereka digalakkan memakan makanan yang baik dan berzat, mengamalkan tingkah laku yang mulia, selalu membaca al-Quran, sentiasa berdoa kepada Allah memohon kebaikan kepada anaknya dan lain-lain amalan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Islam. Begitu juga bagi bapa, mereka hendaklah sentiasa mendampingi isteri mereka, sama-sama berkongsi kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh isteri, tidak berlaku kasar dan benci kepada isteri dan sentiasa berdoa kepada Allah memohon keselamatan kepada isteri dan bayi yang bakal dilahirkan. Begitulah seterusnya apabila anak itu lahir ke dunia, kasih sayang perlu diberikan supaya pembentukan sahsiah mereka menjurus ke arah manusia yang sempurna, berakhlak mulia seterusnya dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.


Tidak dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang paling ideal dan tepat untuk diikuti. Ibu bapa seharusnya menyedari hakikat ini dan berazam mengamalkan segala kebaikan untuk keluarga mereka. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah r.a., sabda baginda:

Maksudnya: 'Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.' (Riwayat at-Tirmizi)


Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: 'Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.' (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)


11. Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa

Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa. Sebab yang demikian ialah, walaupun tidak diperintah untuk mengasihi anak, secara otomatis ibu bapa tentu mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, dimana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa.


Mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana ia harus berbuat baik terhadap ibu bapanya. Dalam hal ini Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:

Mendengar kata mereka.

Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.

Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.

Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.

Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.

Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.

Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.

Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.

Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.

Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.

Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka.


12. Memupuk Kasih Sayang Dan Toleransi Dalam Keluarga

Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi di dalam keluarga. Cara utama ialah melalui pengetahuan dan didikan agama yang cukup. Selain melalui pendidikan secara formal yang diterima di sekolah-sekolah, setiap ahli keluarga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi melalui tunjuk ajar, contoh teladan, nasihat dan kaunseling serta kawalan yang berkesan. Mereka bukan sahaja disuruh supaya sayang menyayangi sesama ahli keluarga, malah juga kepada binatang peliharaan dan harta benda di rumah. Mereka hendaklah selalu diberi ingat bahawa Allah sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri.


Sebaliknya Allah benci kepada orang-orang yang sering bergaduh, bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci membenci sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutamanya ibu bapa hendaklah segera mencari jalan mengatasinya.


Jelaslah bahawa kasih sayang dan semangat toleransi adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya tiap-tiap rumpun keluarga itu tidak mewujudkan satu ikatan yang baik dan harmoni, maka kedudukan sesebuah masyarakat itu akan pincang, justeru bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan. Begitulah pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan.

KESIMPULAN

Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan perancangan yang rapi dan sikap positif untuk melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.






Abdullah Fahim

Seterusnya...