CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

25 December 2009

Restu Ibu bapa dalam sebuah Perkahwinan


Untuk berkahwin, restu ibu bapa sangat diperlukan.Kenapa? Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga.

Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.


Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu. Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Jadi sekiranya kita tidak mendapat restu mereka, adakah sempurna agama kita jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat redha ibu bapa? Dan jika ibu bapa tidak redha, adakah Allah meredhai anak itu?

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. Kalau berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi.

Dalam soal ini, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek.

Jika Tak Direstui

Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa .

Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

Sering kita terbaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.

Cuba kita renung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa.

Apabila Ibu Bapa Diam

Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang kerana tidak mahu melukakan hati anak. Begitu sekali ibu bapa cuba untuk menjaga hati anak. Biar hati mereka terguris dengan tindakan anak,namun untuk mereka melukakan ,tidak sekali. Adapula anak yang terlebih ajar, sanggup menegking ibu bapa,memarahi ibu bapa kerana tidak setuju dengan pilihan mereka. Sudahlah berkahwin tanpa restu, memarahi pula jika mereka balik, tidak mendapat layanan ibu bapa.

Sepetutnya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.

Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Terdapat ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.

Bawa Berbincang

Hati sudah suka, pasangan ‘ideal’ sudah ditemui tapi ibu bapa pula tidak bersetuju. Bagaimana? Jalan terbaik ialah bawa berbincang.

Perlunya syura atau perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik.Banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan calon pasangan.

Syura yang diadakan dalam keadaan hati bersih dan baik, insya-Allah natijahnya baik, bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa. Sikap berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si anak boleh meluahkan perasaannya.

Terdapat kes ibu bapa sayang pada anaknya tapi kadang-kadang hendak kawal anaknya dalam semua perkara… Bagi anak, dia rasa dikongkong. Dalam soal ini, ayah atau ibu jangan terlalu ketat sebab Sayidina Ali k.w. menyarankan agar kita mendidik anak mengikut zamannya. Minat dan citarasa tak sama. Bagi si anak, dia juga perlu cuba memahami ibu bapa, kerana niat ibu bapa adalah untuk menjaga demi kebaikan anaknya.

Menurutnya, jika si anak merasakan ada kongkongan dalam memilih calon pasangan, dia perlu meluahkan isi hatinya tetapi dengan cara yang tertib dan tenang. Kalau anak diam dan simpan, tidak selesai masalah juga. Memendam perasaan tidak boleh selesaikan masalah. Kena ada proses berterus-terang. Kalau dipendam hingga rasa tertekan, nanti kita akan sakiti hati ibu bapa pula apabila merasakan ibu bapa tidak memahami. Setiap masalah ada penyelesaiannya tapi cara menyelesaikannya perlu betul.

Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila

Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina.

Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka. Terdapat kes anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa yang hatinya perlu dijaga.

Tanggungjawab yang dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu bapa dah kurang.”

Dalam hidup ini, setiap sesuatu akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?

Di bawah ini ummi bawakan hadith untuk rujukan anak-anak berkaitan mendapat restu dan redha ibu bapa di dalam memilih pasangan hidup.


Hadith ke dua belas : Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut.


Sudut Pertama:

Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allahterletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.
2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya),

seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]

Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud d

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud ]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).

19 comments:

~KuRiKu~ said...

owh? tp sy tnya ada sorg ustaz ni, andai kata lah ibu bapa x merestui seorg anak tuk berkahwin padahal dah ckup syarat2 tuk berkahwin, maka wali pada bapanya boleh di pergi pada wali hakim. lawan di mahkamah pun x boleh menang bapanya. jadi kalau ibu bapa x benarkan anak nya berkahwin sampai bila2 adakah kamu akan ikut? antara restu ibu bapa atau restu ALLAh s.w.t mana yg kamu akan pilih? sy confuse juga di situ. seorg ustaz kata, bukanlah ibu bapa yg menentukan dosa pahala kita. andai anak nya melakukan maksiat siapakah yg akan tanggung?

nurul said...

ummi T_T cmne kalau dulu pilihan hati sy pernah janji dgn ayah sy yg die xnk ganggu sy lagi sbb sy tgh blaja..tp time die buat perjanjian 2 sy ade exm keesokan harinye dan strusnye..die lak pegi wt perjanjian supaya ayh sy x bgi pressure kt sy suh menjawab persoalan dpd ayh sy..xnk kasi sy serabut pkir hal ni ngn pkir hal exam lagi..

parents sy x kasi kitorg kawen atas alasan msih belajar..pilihan hati sy 2 ustz 26thn..sy 20thn..tapi kami msih suke same suke dan berhubung msih berharap ade jalan penyelesaian..mak sy plak kdng2 penah tnye, marah sy suh sy jwb sy bhubung lagi ke x ngn kawan sy 2..sy diam je x menjawab ye@tidak..sy skit kpla pkir hal ni..klau jwb jdi hal ni makin pnas..sbb sy tau bila mak sy tgh panas xde hal yg bole berbincang.. mmg sy kena serang..mak sy melenting la bile sy x jawab..mak sy mengungkit yg kawan sy penah buat perjanjian dgn ayah sy x nk ganggu sy lagi 2..mak sy ckp die dh mungkir janji..sy diam x ckp pape..

ummi..tp kami bkn nk mungkir janji..kami nk cari jalan penyelesaian lain supaya kami leh kawen dan bawak berbincang..sy plan nk bincang dlm bulan ramadhan x lama lagi..mungkin ade keberkatan..sy dh janji ngn kawan sy kalau pape pn kptusan lps ni sy redha..

adakah sy dan die msih berhubung dan memasang niat utk memujuk ibu bapa sy kembali dikira memungkiri janji atas dasar perjanjian kwn sy dgn ayah sy dahulu??

harap ummi dpt bantu sy..

aSiah~Ibni Majah said...
This comment has been removed by the author.
aSiah~Ibni Majah said...

assalammualaikum ummi, sy harap ummi dapat membantu dalam permasalahan saya, saya telah berkawan dengan seorang lelaki dalam dua tahun.Saya seorang jururawat dan dia seorang guru. pada awal perkenalan kami ibunya tidak membantah, tetapi setelah kami sama-sama sudah bekerja ibunya menetang perhubungan kami atas sebab sy bekerja swasta dan anaknya bekerja sektor kerajaan, dan ibunya juga memberi alasan saya orang selangor dan mereka orang kelantan, untuk menjlankan urusan kerja kahwin akan menjadi sulit...saya sangat tak boleh terima alasan tersebut, bg pihak keluarga saya, keluarga saya merestui perhubungan kami..ibunya seorang yag susah untuk dibawa berbincang, apabila anaknya ajak berbincang ibunya terus melabelkan anaknya sebagai anak derhaka kerana anaknya menentang kemahuannya supaya meninggalkan saya, adakah alasan-alasan ibunya ini kategorui alasan disebabkan syariat?pada pendapat ummi bolehkah saya meminta jasa baik keluarga saya untuk bertemu dengan ibunya untuk bersemuka dan berbincang?

Suhaili Sulaiman said...

salam
situasi saya lain. Ibu bapa saya merestui niat teman lelaki untuk masuk meminang, dan teman lelaki kalau boleh nak masuk meminang secepat mungkin. Tapi sekarang ni tergendala kerana bapanya pula tak mahu restu. Sepatah pun bapanya tak mahu bercakap dengan anak lelakinya. Sedangkan teman lelaki sudah berusia 28 tahun, saya 25 tahun. Kami berdua dah bekerja dengan gaji 4 angka. Si dia buntu dengan kerenah bapanya. Tak tahu lagi bagaimana nak berbincang dengan bapanya bila bapa bertindak bisu seribu bahasa.

Suhaili Sulaiman said...

p/s.. masalah saya complicated. wali saya tak de masalah. dan di sebelah pihak lelaki, si dia tak perlu wali. Ibunya dah setuju. tapi tersangkut pula. mohon bantuan kepada masalah kami.

Suhaili Sulaiman said...

p/s.. masalah saya complicated. wali saya tak de masalah. dan di sebelah pihak lelaki, si dia tak perlu wali. Ibunya dah setuju. tapi tersangkut pula. mohon bantuan kepada masalah kami.

MUNALIZA said...

Maaf kerana lewat menjawap permasalah Suhaili Sulaiman. Saya dah jarang lihat blog saya ini. Saya lebih menumpukan web halaqahnet, forum Islamik yang berkisar masalah agama, bait muslim dan rumah tangga.

Mulakan dengan berziarah. Ajak keluarga pergi ziarah dan berkenalan. Mungkin cik kena pergi ziarah keluarga lelaki, bertemu mak ayah.

Jika keluarga cik tak mahu temankan, ajaklah kawan temankan. Mungkin bila ayahnya kenal dan melihat akhlak dan tingkah laku cik, hati ayahnya terbuka untuk merestui.

MUNALIZA said...

Buat makluman semua, saya menghadapi masalah untuk membaca jika ejaan perkataan disingkatkan. Diharap jika ingin bertanya dan mohon pendapat, sila tulis dengan jelas ayatnya, ejaan tidak disingkatkan.


Mohon maaf.

Anonymous said...

Salam..
Bagaimana jika wali sah enggan membenarkan anak perempuan nya berkahwin atas alasan lelaki itu mempunyai masalah kesihatan tetapi ianya bukan penyakit berjangkit..bolehkah wali hakim digunakan dalam situati ini? Harap ummi dapat memberikan pendapat..terima kasih..

MIAONLINESHOP said...

Assalamualaikum,saya ada masalah.saya dan pasangan merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan,tapi disebabkan oleh abg kepada pasangan saya baru sahaja berkahwin pada tahun ini,kami tidak dibenarkan kahwin oleh ibu pihak lelaki atas alasan dia penat dan menjadi tradisi keluarga untuk selangkan perkahwinan selama 2 tahun.saya amat tertekan dengan keadaan ini kerana saya sudah berumur 26 tahun.mohon beri sedikit nasihat bagaimana saya mahu memujuk ibu pihak lelaki.ibunye jenis yang keras kepala dan tidak mahu mendengar pendapat.untuk pengetahuan,hal ini juga telah terjadi pada abangnya yang kahwin sebelum ini,perkhwinan terpaksa ditunda untuk ikut tradisi selang 2 tahun.terima kasih

Wikiminian wacha said...

Assalammualaikum..mohon bertanya pendapat.abg saya ingin mengahwini wanita pilihan hatinya dan wanita itu mmg mempunyai perkara2 yg dituntut oleh syarak dlm calon isteri.tetapi ibu bapa saya tidak merestui dgn alasan tidak dan sebagainya...bahkan ibu saya telah mencarikan calon jodoh utk abg saya walhal abg saya telah mengenalkan calon pilihan hatinya terlebih dahulu sebelum beliau dicalonkan oleh ibu saya.ini menjadikan abg saya keliru dan serba salah kerana abg saya sgt menghormati dan menyayangi kedua org tuanya.akan tetapi soal jodoh dulu ibu saya meminta dia pilih sendiri...namun sekarang?abg saya terpaksa memendam sedih kerana dia takut ibu bapa saya tdak mrestui calon pilihan hatinya.bahkan abg saya telah berjanji pada calon pilihan hatinya utk menikahi nya dan telah pun ada restu dari bakal walinya.tlg jelaskan...saya amat mengasihani abg saya kerana beliau terlalu inginkan calon pilihan hatinya.adakah tanpa restu jodoh ibu bapa saya memberi impak yg tidak baik nanti jikalau abg saya tetap dgn pilihan hatinya??

hana said...

Assalamualaikum..
mcmna dengan parents sya xmerestui dan xsuka pilihan sya sendiri tetapi pilihan sya sendiri mempunyai kelayakan yg baik..cuma parents sya xsuka sya kahwin dengan lelaki tersebut..sya 21thn..dia 26thn.. smpai skrg masalah demi masalah sya hadapi,sya confuse & smpai xtau nk wat pa plak..sya sudah lama kwn ngan dia dalam 6thn..masalahnya skrg, mak sya xsuka family laki 2..2 ja.
harap ummi dpt membantu sya dlm masalah ini...

Bicara Mekna said...

Assalamualaikum..bagaimana cara utk menghubungi puan..ada beberapa perkara utk sy rujuk..terima kasih

NOOR KAMILAH said...

Assalamualaikum..apakah peranan ibu bapa sebelah lelaki bermula dari urusan pinangan hingga walimatul urus? Antara pihak perempuan dan pihak lelaki, siapa yang lebih berhak menentukan tarikh perkahwinan?

LoVe_B2ST_B2TY said...

Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allahterletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

mellyna said...

salam..saya ada masalah macam ni juga..parents lelaki langsung tak boleh terima saya..sedangkan tak pernah jumpa tak pernah kenal saya tapi dia sangat halang hubungan saya..kami dah kawan lama..suka sama suka..parents saya restu hubungan kami..just belah dia memang dapat tentangan..saya tak tahu apa salah saya..mungkin disebabkan keluarga lelaki orang berada saya orang biasa..apa saya perlu buat sedangkan mak ayah saya dah restu dan tunggu kami dihalalkan..mohon penjelasan 😔

Rahmat Husna said...

Assalamualaikum.. sya ada masalah yang lebih kurang sama dengan mellyna, saya juga harap ada jalan penyelesaian selain dari perpisahan. Sekarang kami masih brhubung sebagai kawan, saya masih berharap boleh selesaikan masalah ni. Mohon pendapat dan apa yg patut sya amalkan supaya dpt bernikah dengan lelaki ini.. yg saya tau kluarga dya ckp saya xsetaraf dan xcntik mcm yg mak dya nak.

nuggets said...

Assalamualaikum.

Saya merupakan seorang janda beranak satu. Alasan saya meminta cerai dari bekas suami adalah kerana dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Lepas bercerai dan habis tempoh edah saya mula rapat dengan seorang rakan sekerja. Dan dalam tempoh saya mula membina kehidupan saya selepas bercerai dia banyak membantu. Boleh dikatakan saya bergantung sepenuhnya kepada dia lebih dari keluarga saya sendiri. Dan dia memang tak pernah ada masalah dengan status saya. Dia juga mampu terima dan sayang anak saya. Dia masih bujang dan berumur 30 tahun. Saya pula 32 tahun. Selama tempoh hampir setahun kami memang gembira bersama. Dan saya rasa dialah calon suami dan ayah yang terbaik buat saya dan anak saya. Tapi baru2 ni keluarga dia memaksa dia untuk berkahwin memandangkan umur dia dah mencecah 30. Mereka mula bertanya pada dia sama ada dia sudah punyai calon sendiri. Dan sudah tentu dia ceritakan pasal saya. Tapi setelah mereka tahu status saya seorang janda beranak satu mereka terus terdiam. Sejak dari hari tu mereka seolah2 memulaukan dia. Tiap kali dia ajak berbincang berkenaan hubungan kami mereka sebolehnya akan mengelak. Kami masing2 buntu. Dalam diam keluarga dia sibuk mencari calon untuk dia. Yang saya tahu mereka dah ada 3 orang calon untuk dia pilih. Dia makin keliru dan serba salah. Dia tak sanggup nak lepaskan saya dan dalam masa yang sama dia juga tak mampu nak kecewakan keluarga dia. Kami cuba berbincang tapi tetap buntu. Keluarga dia makin mendesak. Mereka seolah2 tak nak beri peluang langsung kepada kami. Salahkah saya? Hinakah saya kerana saya seorang janda? Saya tak pernah mintak jalan hidup yang macam ni. Rasulullah sendiri berkahwin dengan janda. Jadi apa salahnya? Niat kami baik. Kami nak bina masjid. Bukan nak buat maksiat. Kenapa mereka perlu adili saya dari kisah silam saya. Semua orang pernah buat silap. Saya tau saya tak sempurna tapi sekurang2nya saya cuba untuk buat yang terbaik. Pihak keluarga dia hanya bagi tempoh pada dia sampai awal tahun depan. Maknanya masa kami semakin singkat untuk usahakan sesuatu yang mampu ubah keputusan keluarga dia. Kami makin buntu. Saya kesian pada dia. Saya tau dia serba salah sebab terpaksa jaga hati dua pihak. Pernah sekali dia menangis depan saya. Saya tau dia betul2 tertekan. Perlukah saya beralah sedangkan saya sendiri tak mampu nak terima kalau dia terpaksa kahwin dengan orang lain. Perlukah saya korbankan perasaan saya hanya untuk menjaga hati mereka. Hati saya akan luluh. Saya tak ada lagi tempat untuk bergantung. Macam mana cara untuk saya cuba lembutkan hati keluarga dia. Saya betul2 dalam dilema. Kalaulah saya mampu buat sesuatu untuk ubah keadaan kami sekarang. Tolonglah saya. Saya betul2 tak mampu nak lepaskan dia. Tambahan pula kami rakan sekerja dan hari2 akan berjumpa. Saya cuma nak yang terbaik untuk dia, saya dan anak saya. Tolonglah.