Kali ini ummi bawakan panduan untuk suami isteri. Kiranya ini bab dah berumah tangga. Kesianlah juga, asyik cerita macamana nak memulakan rumah tangga saja, hingga orang yang dah berumah tangga terabai pula. Kita berumah tangga ini ibaratkan kita memulakan pelayaran. Kita ada matlamat yang nak di tuju. Paling kurang kita mahu sampai dengan selamat pelabuhan yang kita impikan.
Maka semasa dalam pelayaran itulah, kita mungkin akan berhadapan dengan dugaan angin, laut dan juga kelasi-kelasi yang turut membantu kita belayar. Termasuk juga keadaan badan kapal, bahan makanan, air dan engin kapal juga. Semua itu kita perlu ada ilmu , dan bijak mengendalikan. Dan kita boleh kata pelayaran yang berjaya kerana kapten/nakhodanya berpengalaman, sedangkan kita ini baru saja memulakan pelayaran, pelayaran pertama, memang tidak ada pengalaman. Ha... disinilah pentingnya peranan orang tua, peranan catatan pengalaman pelayaran orang lama yang kita boleh jadikan panduan dan iktibar. Makanya, laman ummi ini, lebih banyak memuatkan pengalaman dan catatan orang lama untuk entri-entri akan datang. Ummi mahu anggap ramai yang sudah berumahtangga dan telah mula belayar, namu dalam pelayarn ada taufan, badai yang melanda. Maka kita berkongsi untuk mengatasi masalah itu.
Ummi mulakan dengan panduan bagaimana untuk menghargai pasangan. Pasangan kita semasa tidor, suka dan duka. Pasangan kita yang jadi ibu kepada anak-anak kita. Ini untuk panduan kepada suami menghargai isteri. Akan datang panduan isteri untuk mengahrgai suami...
1. Isteri adalah manusia
Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.
2. Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu-isu semasa boleh dijadikan sebagai 'ice-breaking'. Kemudian, berbincanglah tentang hal rumahtangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri tentang problem kerjanya. Malah isteri tentu berminat hendak mengetahui 'gosip' pejabat selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat mengenali karektor rakan-rakan pejabat suami secara tidak langsung.
3. Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari.
4. Menganggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cerminan diri anda sendiri. Kemana jua anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan menjadi bahagia.
5. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal. Cukup sekadar seutas jam ataupun sehelai tudung sempena meraikan hari lahir . Jika 'budget' anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti "Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini".
6. Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh ataupun mesih jahit, pihak suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun, jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat, simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan bahawa anda adalah suami yang amat menghargai pengorbanan isteri.
7. Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Maka suamipun perlu membantu. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum.
8. Isteri bukan pembantu rumah
Kebanyakan suami menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah tanggungjawab isteri seratus peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja-kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan bahawa wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu sahaja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja-kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.
9. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya. Kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat-tempat peranginan yang menarik seperti Genting Highlands ataupun Fraser Hills. Walaupun ia nampak remeh, tetapi setiap isteri pasti akan menghargai saat-saat manis sewaktu berehat di situ.
10. Ciuman khas untuk isteri
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat setelah begitu penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.
14 September 2009
Menghargai Isteri
Posted by MUNALIZA at 6:23:00 AM
Labels: suami isteri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Best sangat bila kita dihargai. Semoga para suami membaca post ini dan jadikan rutin harian anda untuk isteri tercinta.
Post a Comment