CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

27 April 2011

Tidak dilayan isteri bukan alasan untuk curang


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tertarik apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri tidak bertanggungjawab menjadi punca suami melakukan hubungan sulit.


Beliau mendakwa, ada masanya bila suami ‘ada keinginan’ tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana ‘sedang masak’ atau ‘sedang bersiap untuk ziarah saudara-mara’. Dalam Islam, katanya, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami.


Ibrahim mendakwa, kerana tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.


Tidak pasti berkaitan kajian yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Perlu dikemukakan statistik berkaitan sebelum kita dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami.


Memang ada di kalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.


Persoalan yang timbul dari kenyataan itu adakah kebanyakan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangani masalah sebegini?


Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen tertentu saja.


Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi, realitinya isteri itu turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumah tangga dan anak secara eksklusif digalas isteri.


Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang berkerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga.


Semua ini sebenarnya tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak.


Sekiranya semua ini disediakan oleh suami , pada masa itu, isteri wajib menuruti apa saja kehendak suami.


Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan datang begitu saja. Ia sebenarnya juga disertakan dengan tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka saja.


Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat.


Amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.


Jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumah tangga mereka, sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain juga tidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.


Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isteri supaya tidak derhaka kepada suaminya.


Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan kepada suami itu memukul isterinya bagi tujuan mengajar.


Bagaimanapun pukulan itu hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit.


Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.


Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, adalah disarankan tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial.


Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum mengatakan orang lain bersalah.


Isteri solehah iaitu isteri yang taat dan patuh terhadap suaminya, kepatuhannya itu bukanlah di dalam kemaksiatan. Taatnya isteri terhadap suami mencakupi memenuhi segala keperluan suaminya seperti menghiasi diri demi suaminya, menjaga dirinya daripada perbuatan curang, senantiasa menjaga rahsia keluarga serta menjaga harta benda suami dengan baik. Ia selalu merasa ikhlas dan puas dengan bahagian yang diterimanya daripada suaminya. Sebaliknya ia tidak pernah menuntut sesuatu yang diluar batas kemampuan suami untuk mengadakannya.

Sebagai seorang isteri harus bertanggungjawab dalam pengurusan rumahtangga, baik dalam membina dirinya sendiri mahupun untuk membina anak-anaknya ke arah kemajuan ummah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya'. (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)



Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

1 comments:

Anonymous said...

ada juga yang isteri minta suami pula taknak, pakai seksi pun buat taktau aje..mcm tunggul...isteri ni duk tunggu la suami ajak...buat apa kahwin kalau taknak beri nafkah batin seksa isteri aje...