- “Artinya : Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi”. (Hadist Riwayat Thabrani dan Hakim).
JIKA diamati sekarang ini, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira nama, pangkat, darjat dan status, berkahwin di Selatan Thailand sama ada di wilayah Songkhla, Narathiwat atau Pattani. Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ketika saya berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bahawa di Majlis Agama Islam Narathiwat saja lebih 10 pasangan dinikahkan sehari.
Kalau betul angka itu, bermakna isu ini amat serius dan ia amat membimbangkan. Persoalannya, apakah sebab atau faktor menyebabkan individu tertentu ini mengambil 'jalan singkat' tanpa mengira kesannya dari sudut perundangan serta hukum syarak.
Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam apatah lagi bagi individu yang sudah mempunyai isteri. Wujud pelbagai faktor menyebabkan mereka ini bernikah di luar negara. Antaranya, alasan masalah keluarga.
Ini merangkumi suami, wali sengaja enggan menikahkan atas pelbagai alasan wali sendiri, ibu bapa atau ahli keluarga tidak merestui pernikahan itu disebabkan masih dalam alam pengajian, tidak seketurunan atau keluarga sudah ada calon mereka sendiri.
Kesan ketidakizinan keluarga ini menyebabkan hasrat pasangan bernikah melalui 'proses biasa' tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bernikah di luar negara bagi menyelesaikan permasalahan mereka.
Selain itu, sebilangan pasangan bernikah di luar negara bagi tujuan poligami, kerana sudah mempunyai isteri lain sama ada satu isteri, dua atau tiga. Undang-undang di negara kita menetapkan bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu, perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.
Namun demikian ada pasangan mengambil jalan mudah untuk nikah di luar negara atas alasan kerana tentangan isteri sedia ada, tidak mahu isteri sedia ada mengetahui atau mengelak diketahui pihak tertentu seperti majikan atau keluarga.
Selain itu, faktor kewarganegaraan juga dikatakan menyumbang kepada penyebab pernikahan luar negara ini. Keadaan di Malaysia pada masa ini ialah ada warganegara asing yang datang berkunjung atau warganegara Malaysia ke luar negara sama ada kerana melancong, belajar, bekerja atau menjalankan urusan perniagaan.
Hal ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Hasil hubungan itu, sebilangan mereka yang melangsungkan akad nikah di luar Malaysia tanpa iebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alasan seperti sedang berada di negara berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing itu adalah pernikahan poligami.
Faktor undang-undang juga dikatakan berperanan kepada penyumbang berlakunya pernikahan luar negara. Peraturan pernikahan melalui Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diguna pakai di seluruh negeri di Malaysia, antara lain bertujuan menyusun atur dan mengawal isu berkaitan dengan perkahwinan, perceraian dan hal yang bersangkutan dengannya.
Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat beranggapan peruntukan undang-undang yang ditetapkan adalah ketat dan ia menyusahkan dan membebankan. Umpamanya peraturan mensyaratkan setiap pasangan yang hendak bernikah mengisi borang dan melengkapkannya, menghadiri kursus pra perkahwinan, mendapatkan surat akuan bujang, surat akuan mastautin surat pengesahan HIV, surat pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemegang penduduk tetap, menghadiri temubual dan sebagainya yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.
Malah bagi kes tertentu, ia akan dirujuk ke Mahkamah Syariah dan kelulusan seperti wali enggan, permohonan poligami dan kes yang bersangkutan dengan perceraian. Bagi sesetengah pasangan, peraturan ini sangat membebankan dan menjadi penghalang utama hasrat mereka untuk menjadi pasangan suami isteri. Sebagai langkah alternatif, bernikah di luar negara dengan anggapan prosesnya lebih mudah berbanding di dalam negara sendiri.
Sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih oleh pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran untuk melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.
Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah, pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu, setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil bagi mengurangkan masalah baru yang bakal timbul akibat pernikahan itu.
Dari segi perundangan pula, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Seksyen 23(1) mengenai poligami memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan Mahkamah Syariah terlebih dulu.
Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran itu, maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia satu rekod yang mensahihkan perkahwinan berkenaan, bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak. Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah nanti.
Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara mudah terutama sekali jika ia dilakukan di luar negara, tanpa)wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.
Oleh Peguam Syarie : Mohamad Isa Abd Ralip,
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
0 comments:
Post a Comment