CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

24 June 2010

Mentaati Suami

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Apabila seseorang perempuan itu telah menjadi isteri kepada seorang lelaki, tidak kira berpoligami atau tidak, dia mesti berusaha untuk mentaati Allah, taat kepada suami, berusaha memperoleh keredaannya seberapa boleh, kerana suami adalah syurga baginya dan dalam masa yang sama suami juga boleh menjadi neraka baginya: Rasulullah ada bersabda yang bermaksud mana-mana perempuan (isteri) mati, pada hal suaminya meredainya, dia akan masuk syurga.

Dalam hadis lain dijelaskan apabila seorang perempuan itu menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan dan mentaati suami dan memelihara maruah diri maka dia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu syurga menurut kehendaknya.

Mengenai ketaatan isteri yang wajib dilakukan terhadap suaminya, Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Burung-burung di udara dan ikan paus dalam air, juga malaikat di langit, matahari juga bulan memohon keampunan bagi perempuan yang taat setia kepada suaminya, selagi isteri tadi dalam keredhaan suaminya.


Mana-mana perempuan yang mengingkari suaminya, maka ke atasnya laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya, manakala perempuan yang kelihatan masam muka pada pandangan suaminya, maka dia, adalah dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia menggembirakan dan memohon keredaannya. Begitu juga perempuan yang keluar dari rumah tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya sehingga dia balik.

Tanggungjawab dan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh isteri terhadap suami adalah jelas di mana ketaatan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah, begitu juga dengan apa yang mesti dilakukan oleh suami. Andainya seorang isteri itu diperintahkan agar mentaati suami dan mencari keredaannya, suami juga diperintahkan agar belas dan bertimbang rasa kepada isteri, berlemah lembut juga bersabar terhadap perilaku isteri. Dalam masa yang sama suami wajib menyempurnakan atau menunaikan hak isteri seperti memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, perbelanjaan anak-anak dan sebagainya seperti dijelaskan dalam firman Allah dalam surah an-Nisa: 19.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa baginda Rasulullah menjelaskan; Sebaik-baik kamu (suami) ialah mereka yang berbuat baik kepada keluarganya. - Hadis riwayat Ibn Majah.

Menurut satu riwayat oleh at-Turmuzi, seperti yang tersebut dalam kitab al-Iman, baginda ada bersabda yang bermaksud sebaik-baik kamu, ialah orang yang lebih berlemah lembut terhadap keluarganya. Rasulullah sangat berlemah lembut terhadap isteri-isteri baginda.



Dalam peristiwa Israk Mikraj, baginda Rasulullah telah diperlihatkan keadaan neraka dan mendapati kebanyakan penghuninya adalah wanita. Rasulullah menyatakan hal demikian berlaku kerana mereka sedikit ketaatannya kepada Allah, rasulnya, juga kepada suami di samping banyak berhias, yang disebut sebagai at-tabarruj di mana apabila keluar rumah, mereka berpakaian paling cantik, berhias dan memperelok diri, lalu keluar, menyebabkan timbul fitnah akibat perbuatannya. Biarpun dia sendiri mungkin selamat atau terpelihara daripada fitnah, tetapi orang lain tidak selamat.

Perbuatan isteri keluar rumah tanpa izin dan kerelaan suami dengan meninggalkan anak-anak bertujuan supaya suami tidak boleh keluar rumah kerana terpaksa menjaga anak-anak juga merupakan perbuatan mengingkari perintah Allah dan ketaatan terhadap suami.

Baginda ada menyatakan empat golongan wanita yang akan masuk syurga dan empat yang lain dalam neraka. Empat golongan yang masuk syurga ialah perempuan yang menjauhkan diri daripada perbuatan haram, taatkan Allah dan suaminya, banyak anak, tetap sabar, qana'ah dengan hidup sederhana bersama suami dan ada rasa malu.

Ketika suaminya tiada, dia memelihara kehormatan diri dan hartanya dengan penuh kesabaran dan ketika suaminya ada dia menjaga lidahnya. Perempuan kematian suaminya pada hal dia mempunyai anak kecil, lalu dia menyediakan diri berbakti untuk anak-anak, memeliharanya, tidak berkahwin lagi takut kehilangan mereka.

Adapun empat golongan perempuan yang akan menjadi penghuni neraka ialah, pertama, mereka yang lancang atau jahat lidahnya terhadap suami. Tidak memelihara diri ketika suaminya tiada, tetapi ketika suaminya ada, dia menyakitinya dengan lidahnya.

Kedua ialah perempuan yang membebankan suaminya dengan beban yang tidak upaya dilakukan oleh suami. Ketiga ialah perempuan yang tidak menutup auratnya daripada lelaki dan keluar rumah dalam keadaan berhias, manakala golongan keempat ialah perempuan yang tidak mengambil berat, kecuali makan, minum dan tidur, tidak minat sembahyang, juga tidak taatkan Allah, rasulnya juga tidak taatkan suami. Wanita seperti ini, andainya keluar dari rumah tanpa izin suami, mereka adalah dalam keadaan tercela, dan akan menjadi penghuni neraka kecuali ia bertaubat.

Lemah lembut



Seorang telah datang untuk menemui Saidina Umar r.a kerana hendak mengadu tentang tingkah-laku isterinya, lalu dia berdiri di hadapan pintu rumah beliau, menunggunya keluar. Ketika itu dia mendengar isteri Umar sedang meleter bercakap panjang. Pada hal Umar diam sahaja, tidak melawan cakap, lalu lelaki tadi beredar. Dia terfikir, “kalaulah begini keadaan Umar, seorang lelaki yang tegas dan keras dan seorang amirul ‘l-Mukminin, bagaimana pula hal aku?”

Umar keluar dan melihat lelaki tadi sedang membelakangkan pintu rumahnya beredar pergi, lalu ia memanggilnya, bertanyakan apa hajatnya. Lelaki itu menjawab, “ya amiru ‘l-mukminin, saya datang hendak mengadu tingkah-laku isteri saya dan menunggu tuan. Saya mendengar kata-kata isteri tuan, lalu saya hendak beredar pergi. Kalaulah keadaan seperti ini berlaku kepada tuan, kenapa pula saya tidak boleh bersabar!”

Umar menjawab, “saudara! sesungguhnya saya telah membebankan ke atasnya tanggungjawab saya. Dia memasak makanan untuk saya, membuat roti, membasuh pakaian, menyusu anak untuk saya, pada hal semuanya itu bukan sesuatu yang wajib dilakukan olehnya. Kerananya hati saya tenang, selamat daripada benda haram. Sepatutnya tugas itu saya lakukan!”

Mendengarkan kata-kata itu, lelaki itu berkata “ya amirul Mukminin, isteri saya pun sama macam itu,” Sayyidina Umar berkata: “Bersabarlah. Ia tak lama!”


Di dalam rumah tangga cubaan sering terjadi, kemungkinan apa yang berlaku adalah cubaan Allah. Apabila Allah menurunkan cubaan, Allah memberi kekuatan iman kepada kita, iaitu sabar, lalu akhirnya Allah meletakkan kita pada maqam yang tinggi di akhirat kelak.

Jika kita hanya merintih, menangis, merayu dan mendayu pada Ilahi. Sesungguhnya, malaikat Jabril itu ditugaskan untuk menunaikan hajat manusia. Apabila seorang kafir itu meminta, Allah memerintahkan Jibril menunaikan permintaannya, kerana Allah tidak mahu mendengar keluhan dan kemahuannya, Dan apabila seorang yang beriman itu memohon, merintih, Allah memerintahkan malaikat Jibril menahan daripada menunaikan permintaannya, kerana Allah terlalu rindu mendengar suaranya.

Besar kemungkinan bahawa rintihan, doa dan tadaruk kita merupakan suara-suara yang Allah rindu mendengarnya dan Allah akan mengatasi masalah kita akhirnya seperti termaktub di loh mahfuz. Allah yang memberi cubaan, penyakit dan sebagainya dan hanya Allah jua yang mengatasinya.




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



0 comments: