السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Wali Hakim - Penggunaan Dibolehkan Dalam Situasi Tertentu
Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Wali Hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan;
Pertama: Tidak Ada Wali Nasab.
`Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk Islam dan tiada saudara-maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannya.
Rasulullah saw bersabda:
Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Al-Khamsal).
Kedua: Anak Tidak sah Taraf Atau Anak Angkat.
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga anak angkat. Jika anak angkat itu berasal dari anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.
Sekiranya anak angkat itu berasal dari bapa yang sudah atau keluarga yang sah, maka walinya ialah berdasarkan susunan atau tertib wali yang ada, bukannya bapa angkat.
Ketiga: Wali Yang Ada Tidak Cukup Syarat.
Sekiranya wali aqral: tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali Ab'ad mengikut tertib wali.
Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal - Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
4. Lelaki
5. Adil
6. Merdeka.
Sekiranya satu-satunya wali yang ada tidak itu tidak juga cukup syarat dan tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.
Keempat: Wali Aqrab Menunaikan Haji Atau Umrah.
Dalam kitab Minhaj Taibin dalam bab Nikah menyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah atau maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali aqrab tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Demikian juga sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat hajin atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim).
Oleh yang demikian, jika seseorang perempuan yang hendak berkahwin, hendaklah menunggu sehingga wali itu pulang dari Mekah atau dengan menggunakan wali hakim.
Kelima: Wali Enggan.
Para Fiqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannnya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yaser, ia berkata:
``Saya mempunyai saudara perempuan, Ia dipinang oleh seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk.
Perempuan itu ditinggalkan sampai habis idahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab, :` Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau, dengan dia selama-lamanya.''
Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi s.a.w. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah s.w.t. menurunkan ayat Al-Quran:
Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa idahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya. (Al-Baqarah: 232).
Dalam sebuah hadis yang lain dinyatakan:
Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangggungkan iaitu: Solat, bila telah datang waktunya, janazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya.
(Riwayat At-Timizi dan Hakim).
Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasulullah s.a.w bersabda:
Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).
Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Ariff telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin.
Kadi ketika memutuskan kes itu menyatakan:``Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali Raja dengan alasan:
Pertama : Daripada Aishah r.a. Nabi s.a.w tc bersabda:
``Jika mereka berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.''
(Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tamizi).
Kedua: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar.(Riwayat At-Tamizi).
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
0 comments:
Post a Comment