DARIPADA Jabir, katanya dia mendengar Nabi bersabda: "Apabila ada antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya bagi melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya." (Hadis riwayat Muslim)
Perkahwinan adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung, bahkan tempat beristirahat, membina kasih sayang dan mencari keredaan Allah.
Sesungguhnya, manusia perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi dan fitrah dijadikan Allah. Maka atas tuntutan itu, tanpa adanya perkahwinan, manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat.
Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan menggalakkan umatnya berkahwin seperti mana sabda Rasulullah: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu). (Hadis riwayat Bukhari)
Tetapi pada zaman ini perkahwinan telah disukarkan dengan adanya ibu bapa yang meletakkan sejumlah nilai wang yang perlu diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan.Jika nilai jumlah itu berpatutan dan tidak membebankan pihak lelaki, tidak mengapa, tetapi niali yang ditetapkan diluar kemampuan pihak lelaki untuk mengadakannya dalam tempoh masa yang pendek.
Masalah dan persoalan ini mula menjadi sering dan lumrah terjadi di dalam masyarakat hari ini. Sekarang anak-anak telah berfikiran terbuka, sudah ada kesedaran dan fahaman Islam yang jelas. Anak-anak sudah tahu untuk berkahwin bukan lah sesuatu yang sukar, tetapi kesukaran yang dihadapi hanyalah dalam masalah kewangan.
Anak-anak telah bersedia untuk berkahwin, calon sudah ada, yang terhalang hanyalah hanya dalam soal kewangan disebabkan oleh ibu bapa pihak perempuan meletakkan sejumlah nilai wang hantaran yang tinggi. Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini?
Ada lelaki sanggup menarik diri dari meneruskan keinginan berkahwin semata-mata tidak mampu untuk menyediakan sejumlah nilai yang dikehendaki. Daripada maruah tercemar, rasa terhina kerana ketidak upayaan menyediakan nilai wang, maka undur diri adalah lebih baik. Jika sudah sedar ketidakupayaan diri, dan tidak mahu terbeban hutang selepas berkahwinan, maka undur diri merupakan jalan terbaik.
Namun, bagaimana pula pihak gadis? Mereka menjadi mangsa keadaan. Menurut kehendak ibu bapa, mentaati ibu ,mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan keinginan di dalam hati, kesediaan diri untuk menjadi isteri dan ibu telah tertanam dalam diri. Bagaimana perasaan anak yang tercepit di dalam masalah begini?
Apa yang boleh ummi berikan pandangan dan cadangan hanyalah anak gadis perlu berbincang dari hati ke hati dengan ibu bapanya. Anak gadis perlu meluahkan apa yang tersirat di hatinya. Mesti ada keberanian, meluahkan apa yang tersurat dihati bukan bermakna anak gadis melawan atau membantah kehendak ibu bapa mereka.
Berterus terang dengan ibu bapa mengenai segala yang terbuku di dalam hati sendiri kerana mungkin selama ini ibu bapa tidak memahami situasi sebenar.
Anak gadis cuba untuk mentaati ibu bapa, menurut kehendak mereka, menghormati mereka, tetapi jika perkara yang hendak diturut itu merupakan perkara yang menghalang untuk melakukan sesuatu kebaikan kerana ibu bapa terbelenggu dengan adat dan kehendak masyarakat, maka anak gadis berhak untuk bersuara memberikan pandangan. Anak gadis tidak perlu takut atau terlalu hormat pada ibu bapa hingga tidak berupaya meluahkan apa yang tersirat di hati sendiri. Meluahkan apa yang ada dihati bukan bermakna tidak hormat atau melawan kehendak ibu bapa.
Memang kita perlu takut dan hormat terhadap ibu bapa kita, tapi itu tidak bermakna kita langsung tidak boleh menyuarakan pendirian kita. Ia boleh dilakukan tapi perlu dengan kaedah betul iaitu secara berhemah dan tidak menunjukkan penentangan.
Bagaimanapun, agak kurang sesuai untuk anak gadis yang menyatakan perkara ini kepada ibu bapa kerana besar kemungkinan mereka akan tersinggung serta beranggapan anak gadis cuba mengajar mereka. Oleh itu ada baiknya anak gadis minta kerjasama datuk atau nenek untuk menasihatkan ibu bapa dalam hal ini
Jika anak gadis tidak mampu meluahkan sendiri, maka dia boleh meminta orang tengah untuk menyampaikan kehendak hatinya.Mungkin nenek, ibu saudara atau sepupu yang lebih dewasa dan dipercayai boleh membantu menyampaikan kepada ibu bapa mereka.
Perkara ini penting, bak kata bijak pandai ia “bukan apa yang kita katakan tapi bagai mana kita mengatakannya.” Justeru, cari masa dan keadaan sesuai untuk berbincang perkara ini dengan lebih mendalam dengan ibubapa.
Sebenarnya tindakan menetapkan wang hantaran tinggi sehingga membebankan pasangan yang ingin berkahwin adalah perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Islam agama yang mudah dan bersesuaian dengan fitrah manusia dalam segala hal, termasuk dalam urusan perkahwinan. Jadi, jangan kita mewujudkan peraturan yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi jika ia menimbulkan pelbagai masalah.
Seperkara lagi, jangan mudah buruk sangka terhadap ibu bapa. Mungkin mereka tersilap dalam hal ini, namun ummi yakin niat ibu bapa baik iaitu ingin melihat anak gadis hidup bahagia selepas berkahwin dan dia ingin pastikan anak gadis mendapat calon suami berwibawa.Maka mungkin tujuan mereka meletakkan sejumlah nilai wang hantaran tinggi kerana terikut dengan adat atau keadaan semasa. Maka sebagai anak, jalan terbaik ialah memahamkan kepada mereka dengan penjelasan berkaitan syariat Islam sebenar.
Sesungguhnya tiada ibu atau bapa ingin melihat anak mereka derita. Akhir sekali, jangan lupa berdoa dan melakukan solat hajat memohon Allah SWT melembutkan hati ibu bapa supaya lebih memahami situasi sebenarnya.
Semoga perkongsian ini mendapat manafaat kepada semua.
0 comments:
Post a Comment