CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

09 February 2010

Pertunangan ada ikatan perjanjian

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam. MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

PERTUNANGAN bukan sekadar adat yang boleh diambil ringan kerana pertunangan adalah perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama. Oleh itu, janji hendaklah dikota.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu.” (Surah Al-Maidah, ayat 1). Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuk perjanjian untuk berkahwin yang dibuat ketika bertunang tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara yang mana mereka sudah bersetuju.” (Sahih Muslim).

Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam sesebuah masyarakat di mana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan. Adat pertunangan boleh diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

Diriwayatkan oleh Iman Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik di sisi Allah.”

Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya.



Tindakan putus hubungan tidak haram tetapi tidak digalakkan.

Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, maka kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh memutuskan pertunangan.

Namun begitu, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan mereka demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui apabila berlakunya putus tunang secara tidak munasabah maka mereka berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah. Jika tiada sebab munasabah, perjanjian seperti itu tidak harus dibatalkan.

Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan ‘jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.’

Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan tali pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.

Pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga wang yang sudah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis barang boleh dituntut akibat pembatalan pertunangan? Pihak yang dimungkiri berhak menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati bagi membuat persediaan bagi perkahwinan.

Jika pihak yang dimungkiri membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan, maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak yang memungkiri sebagai ganti rugi.

Antara persediaan boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan perkahwinan yang ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-apa persediaan perkahwinan seperti tempahan khemah dan sebagainya. Pihak yang dimungkiri berhak membawa tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan ganti rugi berdasarkan kepada peruntukan di atas.

Mengikut peruntukan seksyen itu, pemberian pertunangan merujuk kepada pemberian diberi semasa majlis pertunangan atau pemberian yang boleh ditakrifkan sebagai pemberian persediaan perkahwinan.

Oleh itu, bagi pemberian yang diberikan sebelum pertunangan, pemberian berkenaan bukanlah pemberian pertunangan sebaliknya hadiah atau pemberian sebelum wujudnya pertunangan, justeru ia tidak boleh dituntut di mahkamah.

Pemberian diberikan sebelum pertunangan boleh ditakrifkan sebagai hadiah atau hibah. Menurut pandangan ulama Syafie, hadiah pada hakikatnya adalah pemberian (hibah).

Oleh itu, pihak yang membuat pemberian tidak seharusnya menarik balik apa yang diberikan setelah pihak penerima menerima barang, kecuali bapa yang boleh menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya.

Bolehlah dikatakan ia adalah sekadar hadiah semasa proses pikat-memikat dan pemberian itu sebagai satu cara untuk memikat dan menawan hati pihak yang satu lagi dengan membuat pelaburan kebendaan.

Oleh kerana pertunangan bukan perkahwinan, cuma janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh membatalkan pertunangan mereka. Ini kerana selagi akad tidak wujud, tanggungjawab dan pertanggungjawaban juga tidak wujud.

Daripada segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Maka tidak seharusnya seseorang lelaki itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan, kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Persoalan lain, adakah pihak dimungkiri boleh menuntut ganti rugi am akibat rasa dirinya dianiaya dan dimalukan oleh tindakan suatu pihak lagi. Peruntukan undang-undang tidak memperuntukkan perenggan berkaitan tuntutan keaiban yang boleh dituntut oleh pihak yang dimungkiri.






Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

0 comments: