CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

20 February 2010

Peraturan dan Syarat Berpoligami

Sejak akhir-akhir ini Forum Halaqahnet dihujani dengan isu poligami, luahan hati isteri pertama dan isteri  kedua. Berbagai kisah dan iktibar terdapat dalam topik Antara Isteri Pertama dan Isteri Kedua.

Kebanyakkannya isu adalah kepincangan dalam pelaksanaan berpoligami oleh suami sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada isteri kedua.

Oleh kerana tidak mahu masalah berpanjangan walaupun keadilan yang diharapkan tidak nampak bayang,  mengalah dan bersabar adalah jalan mulia yang mampu meraka lalui demi mempertahankan rumah tangga yang telah terbina.

Maka di sini , ummi terpanggil untuk menulis peraturan dan syarat berpoligami oleh seorang lelaki yang ummi ambik sumbernya dari Berita Harian. Penulis artikel itu adalah seorang Peguam Syarie.

Hakikatnya, poligami adalah amalan yang dibenarkan dalam Islam. Cuma, pada masa sama, wanita yang hidup bermadu hendaklah celik ilmu dalam hal berkaitan hak nafkah sama ada untuk diri sendiri atau anak.

Hakikatnya, keharusan beristeri lebih seorang menurut syariat Islam dibatasi peraturan dan syarat ketat bagi memastikan hukum asal perkahwinan yang selari dengan keperluan zahir batin umat manusia tidak dijadikan alat pemuas nafsu semata-mata. Kegagalan mematuhi peraturan itulah menjadi punca institusi rumah tangga yang mengamalkan poligami dipandang sinis oleh golongan ‘anti-poligami’ seterusnya diberi label sebagai ‘amalan pelik yang menindas wanita’.

Antara syarat bagi seorang lelaki yang ingin mengamalkan poligami ialah berkemampuan menanggung nafkah zahir dan batin isteri sedia ada serta bakal isteri. Begitupun, Abu al-‘Aynayn dalam buku al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam berpandangan sebarang penambahan (nafkah zahir dan batin) boleh diberikan kepada isteri tertentu dengan syarat dipersetujui isteri lain.

Syarat lain ialah mampu berlaku adil kepada semua isteri yang dinikahi. Konsep keadilan ini menjangkaui maksud asalnya - meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sebaliknya, ia merangkumi segenap sudut kehidupan berumahtangga termasuk aspek komunikasi, tingkah laku dan perbuatan, tutur kata serta akhlak baik.



Tidak terkecuali hak nafkah berupa pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam dan musafir tanpa wujud pilih kasih antara isteri yang ada. Suami juga disyaratkan agar tidak menunjukkan secara jelas perbezaan kasih sayang antara isteri yang dikahwini. Dalam konteks penyediaan tempat tinggal, sebaik-baiknya hendaklah diasingkan isteri itu bagi mengelak perselisihan keluarga dan perasaan cemburu di kalangan mereka.

Selain itu, Islam menyarankan lelaki yang mengamalkan poligami agar menentukan kadar giliran bermalam yang adil antara isterinya tanpa mengira status sebagai isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami menanggung dosa sekiranya memberikan giliran lebih banyak kepada seorang isteri berbanding isteri lain. Namun, kelonggaran boleh diberikan pada malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diganti semula kepada isteri lain.

Pihak mahkamah dalam memberi pertimbangan terhadap permohonan poligami akan mengambil kira beberapa perkara antara lain termasuk sama ada perkahwinan dicadangkan itu patut dan perlu, kemampuan pemohon mengikut syarak dalam aspek penyediaan nafkah, keupayaan pemohon memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut syarak dan sama ada perkahwinan yang dicadangkan itu akan menyebabkan dharar syarie kepada semua isteri.

Bagi mengelak penganiayaan terhadap wanita khususnya isteri yang dimadukan tanpa kebenaran mahkamah, AUKIWP memperuntukkan penalti bagi mana-mana lelaki yang melanggar seksyen 23 di atas. Hukuman jika sabit kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya seperti diperuntukkan dalam seksyen 123 akta sama.

Ironinya, di sebalik peruntukan undang-undang sedia ada, kes poligami tanpa kebenaran mahkamah terus berlaku. Demi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai implikasi tindakan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah, setengah Hakim Syarie mengambil pendekatan berani dengan mengenakan hukuman yang jarang dipraktikkan di Mahkamah Syariah iaitu hukuman penjara.

Malangnya, timbul pula kritikan di sana sini mengatakan Mahkamah Syariah bersikap zalim terhadap orang yang ingin ‘mendirikan masjid’. Realitinya, perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah mendatangkan kesan buruk lebih besar jika membabitkan jurunikah tidak bertauliah atau melalui sindiket. Jika ini berlaku, pihak terbabit akan berdepan masalah berat termasuk isu kesahihan pernikahan dan status isteri muda serta anak hasil perkahwinan berkenaan.

Lebih malang sekiranya suami meninggal dunia sebelum pengesahan nikah dilakukan menyebabkan isteri muda dan anak dinafikan hak menerima pusaka disebabkan ketiadaan bukti pernikahan. Implikasi sosial seperti keruntuhan akhlak anak juga tidak terkecuali berikutan pernikahan yang menyalahi undang-undang.

Namun, undang-undang negara tetap menyediakan ruang dan peruntukan yang bertujuan membela nasib wanita serta anak. Bagi isteri yang tidak menerima layanan adil oleh suami sama ada membabitkan situasi beristeri lebih atau tidak, undang-undang menggariskan suami berkenaan boleh dikenakan tindakan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Peruntukan seksyen 128 AUKIWP selaras dengan kehendak syarak yang menekankan pentingnya wanita dilayan adil dan dilindungi daripada penyalahgunaan amalan poligami ini. Selain itu, bagi wanita bergelar isteri yang tidak lagi mampu mempertahankan rumah tangga, lantaran kemelut hidup berpoligami maka peruntukan undang-undang memberinya hak untuk menuntut cerai secara fasakh.

Peruntukan ini jelas terkandung di dalam seksyen 52 AUKIWP yang menggariskan antara alasan fasakh termasuklah suami menganiayainya iaitu antara lain jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum syarak. Justeru, jika isteri terbabit berasakan haknya dicabuli dan tidak diperlakukan dengan adil lantaran berkongsi suami, maka jalan keluarnya adalah menerusi peruntukan fasakh.

Dalam dunia moden serba canggih hari ini di mana ilmu pengetahuan dapat diakses dengan mudah, isu poligami seharusnya tidak lagi dilihat daripada perspektif sempit yang biasanya dipengaruhi sistem nilai masyarakat Melayu. Jika tidak, ia akan menjadikannya satu persoalan yang begitu bercelaru.

Kecelaruan tanggapan masyarakat terhadap amalan berpoligami khususnya di kalangan masyarakat negara ini wajar diperbetulkan melalui pendidikan mengenai kebaikan berpoligami bagi menyelesaikan dilema berpanjangan mengenai isu ini.

Menurut Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dalam satu seminar berkaitan poligami pada 2003, masalah poligami tidak boleh diselesaikan dengan mengetatkan lagi undang-undang seperti diinginkan kebanyakan pergerakan wanita di negara ini. Kesannya lebih buruk apabila lelaki yang ingin berkahwin lari ke negara sempadan dan perkahwinan itu tidak didaftarkan semula di negara ini. Akibatnya wanita dan anak menjadi mangsa apabila timbul masalah kelak.


Semoga menjadi panduan kepada mana-mana lelaki atau perempuan yang ingin menjalani hidup berpoligami.


Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

0 comments: