CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

18 February 2010

Ubat perasaan cemburu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya).



SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian.


Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula.

Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka sahaja.

Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga.

Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.

Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk sebelanga.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri.



Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya seperti yang terungkap semasa akad.

Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan, ributnya pula mampu menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.

Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri

Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan.

Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.

Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.

Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang.

Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21).

Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh kehendak kebendaan atau nafsu.

Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.

Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa.

Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab.

Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.

Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu.

Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri.

Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal.

Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora.





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

17 January 2010

"Jatuh Hati" atau "Jatuh Cinta"?


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.

Ini satu lagi siri kisah cinta insan.....!
Nasihat buat yang taat...

Allah Ta'ala menjadikan sekalian makhluk dari sifat kasihNya (cintaNya). Dan dia juga mencampakkan sifat kasih, cinta ini kedalam hati insan-insan ini....... Agar dengan sifat kasih,cinta ini insan dapat hidup aman damai.

Allah Ta'ala menjadikan sifat ingin mencintai antara lelaki dan wanita TETAPI pada masa yang sama Dia menentukan cara supaya kasih dan cinta yang terjalin melalui cara yang halal dan diredhai Allah agar ianya terbeza dengan haiwan.

Kita perlu bezakan antara 'jatuh hati' atau 'jatuh cinta' kepada seseorang dengan perbuatan 'bercinta' yang dilakukan oleh mereka2 yang terkena hasutan syaitan. 'Jatuh hati' atau 'jatuh cinta' adalah sesuatu diluar kawalan seseorang. Ianya berlaku mungkin disebabkan banyak faktor ; Seperti melihat akhlak yang menyenangkan atau kerana kehalusan budi dsb.

Contoh yang terbaik adalah adalah peristiwa yang berlaku keatas Siti Khadijah رضى الله عنها yang jatuh hati dengan akhlaq junjungan besar Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Iaitu keadaan yang berlaku secara semulajadi didalam hati tanpa dipaksakan. Ini yang dinamakan naluri insan yang dijadikan oleh Allah Ta'ala yang harus berlaku atas setiap insan yang 'normal' keadaan zahir batinnya. Maka segeralah beliau menghantar wakilnya untuk menyampaikan hajat hati beliau kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.





Sementara perbuatan 'bercinta' seperti yang dilakukan oleh remaja2 zaman ini yang terkenal dengan berbagai istilah 'couple' , berdua-duan, 'dating' , makan minum bersama, berbual2 melalui telefon, sms, email dengan ungakpan2 cinta dan seumpamanya adalah daripada dorongan nafsu kejahatan dan hasutan syaitan ternyata HARAMNYA.

Dengan demikian sebaik-baiknya bagi seseorang lelaki yang jatuh hati pada seorang wanita, dan ingin menjadikan dia isterinya hendaklah solat hajat dan istikharah memohon petunjuk Allah Ta'ala samada pilihannya itu baik baginya. Setelah membuat istikharah 3 hari turut2, jika jawapan yang didapatinya 'ya' maka hendaklah memaklumkan kepada ibubapanya tentang hajat hatinya supaya mereka menguruskan pinangan kepada wanita tersebut.

JANGAN sekali-sekali lanjutkan rasa hati dengan perbuatan bercinta yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya. Kerana perbuatan berkasih sayang dan bercinta-cinta ini akan membawa kerosakan pada diri dan bakal zuriat yang akan dilahirkan.



وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
( Al-Isra 32)


Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم,

"Zina mata dengan melihat, kedua telinga zinanya mendengar, lidah zinanya bercakap, tangan zinanya berpegangan, kaki zinanya melangkah dan hati yang berhasrat, membayangi,dan berharap. Semua itu dibenarkan oleh kemaluan atau digagalkannya." (HR Bukhari).


Pesanlah selalu pada diri sendiri dan pada sahabat, anak2 semua :

Benih yang baik dan bersih akan menghasilkan pohon yang subur dan buah yang baik.
Benih yang kering dan rosak akan menghasilkan pohon yang kering kontang dan buah yang busuk.

Wallahu A'lam.

Seterusnya...

07 January 2010

Cinta dan Allah Redha


Pasangan yang sedang bercinta ibarat belangkas, berkepit tak kira siang atau malam. Mereka sudah tidak kisah keadaan disekeliling. Sudah tidak kisah orang lain. Yang dia fikirkan adalah orang yang dicintainya sahaja. Orang kata, lautan api sanggup direnangi, gunung berapi sanggup di daki, hutan belantara sanggup diredah.. Prinsip dan maruah diri sanggup digadai.

Jika ini keadaannya, terus terang ummi katakan,ini bukannya cinta, sebalik sengaja menempuh derita, dan ummi memang tidak mengiktiraf itu sebagai cinta.

Pada ummi, apa namanya cinta jika di akhirat nanti berbalahan? Apa namanya cinta jika di akhirat nanti kedua-duanya terhumban ke neraka? Ketika itu, baru kita tersedar bahawa cinta yang kita kata cinta itu bukan cinta sebenarnya.

Pada ummi, hubungan lelaki perempuan yang boleh kita katakan cinta adalah, apabila Allah redha dengan apa yang dikatakan cinta oleh kita itu. Hubungan yang membawa ke syurga. Hubungan yang menyisih dari neraka.Semasa di dunia hubungan itu membahagiakan walaupun ujian tidak henti melanda.



Bagaimana bercinta dan nak Allah redha?

Jawapan saya mudah. Masa bercinta itu, buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang.

Dalam bercinta, kita dapat lihat bahawa ruang melakukan maksiat sangat banyak. Kita akan terpanggil untuk berdua-duaan, bergayut telefon berpanjangan, ingin bersama keluar makan, ingin tenung menenung bergurauan, dan 1001 macam lagi perbuatan pasangan yang belum kahwin tetapi gaya macam dah kahwin yang hari ini kita boleh lihat dan perhatikan.

Maka, hendak bercinta dalam keadaan yang Allah redha, tinggalkanlah semua itu. Jalankan cinta dengan keimanan, ketaqwaan. Rasa pengawasan yang tinggi dalam melaksanakan hak-hak Allah SWT.

Jadi macam mana cinta kita berjalan?

Mudah. Kalau sudah jatuh hati, pergi selidik dahulu latar belakangnya. Lihat profilnya macam mana. Tidak salah kalau hendak mengkaji hidupnya. Tanya kawan-kawannya. Ini untuk yang rasa nak berhati-hati memilih calon pasangan. Tetapi kalau dah suka sangat, terus terang sahaja. Hantar surat, atau cakap direct. Tak salah.

“Saya suka awak, boleh awak jadi isteri saya?” Mudah. Dosa pun tidak.

Kalau dah setuju, lihatlah keadaan. Nak bertunang dulu ke, nak bersabar dulu ke. Yang penting, selepas ungkap cinta, pergi la ta’aruf dan berkenalan degan keluarganya. Jangan lupa beritahu mak ayah supaya bina hubungan dengan keluarganya.

Kemudian, nak dating? Pergi dating dengan satu famili sekali. Rindu nak jumpa? Pergi ziarah rumah bakal mertua. Habis cerita.

Pada ummi, konsep nak bercinta untuk dapat redha Allah ini mudah. Apa-apa sahaja yang membuatkan kita dengan pasangan kita ke neraka, adalah apa yang perlu kita hindari. Kita tidak mahu bergaduhan di akhirat nanti, salah menyalahkan sesama sendiri.

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)” Surah Az-Zukhruf ayat 67.

Susah la…

Ah…

Ini satu ayat lagi yang keluar. Kenapa susah? Apa yang susah ni, nak apa sebenarnya? Anda tetap nak berdating dua-dua, pegang tangan, manja-manja? Konon-konon taktik ni tak romantik dan sebagainya?

Ah… Nak romantik? Nak buat macam suami isteri, lepas kahwin la. Ini jalan, untuk bercinta sebelum kahwin. Jadi kena buat gaya sebelum kahwin la. Kalau nak sentuh-sentuh, nak dua-dua kat taman, nak bonceng motor sama-sama, lepas kahwin la.

Di sinilah yang membezakan mereka yang serius bercinta untuk redha Allah, dengan mereka yang bercinta main-main. Kerana ada juga yang bercinta bagai nak rak, tapi akirnya bukan berkahwin pun.

Orang yang faham cintanya adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT, akan melihat masa hadapannya jauh. Dia akan lihat bahawa dia akan jadi suami/isteri kepada orang lain, dia akan jadi ayah/ibu kepada anak-anak, dia akan jadi ketua/pembantu keluarga, dan di akhirat kelak mereka akan menjadi yang dipertanggungjawabkan atas apa yang terjadi dalam keluarga mereka.

Mereka ini, tak akan bercinta untuk seronok-seronok sahaja.Bercinta tidak semestinya akhirnya jadi suami isteri. Selagi belum berniksh, buksn itu suami atau isteri kita.

“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mukminun ayat 115.

Maka, adakah dengan kefahaman ini kita yang hendak bercinta kerana Allah akan melakukan apa yang Allah tidak suka dalam perjalanan cinta kita? Malah kita akan percepatkan perkahwinan kita bagi mengelakkan banyak perkara yang Allah benci.

Kalau betul nak romantik sangat, Cepatlah bernikah tu. Habis cerita.

Kemudian sambung cinta kita dengan bercinta selepas kahwin.

Tapi kalau orang tanya, bercinta sebelum kahwin itu boleh atau tidak?

Ya boleh. Bagaimana? Seperti yang di atas tu... Selain itu, tak boleh.


Cuba kita buat perancangan sebelum bercinta.Jangan bila jumpa sahaja orang yang kita suka terus ungkap "i love you", "are you love me?" Ada buat perancangan ke? Ada nampak tak cinta ini macam satu projek untuk dapat redha Allah SWT? Atau bila dah suka, pakai redah aja?

Lihat firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” Surah Al-Hasyr ayat 18-20.

Sebab itu, ramai yang menafsirkan cinta itu buta. Bagi ummi, ‘cinta buta’ itu tak termasuk dalam cinta. Cinta itu sepatutnya menghidupkan dan menjelaskan. Itulah dia cinta orang yang beriman.

Bagi yang benar bercinta untuk dapat redha Allah, pastinya membuat perancangan akan cintanya. Macam mana dia nak approach, macam mana dia nak berkenalan, macam mana dia nak melamar, macam mana dia berkahwin, macam mana dia nak bina keluarganya, dengan apa dia nak sara keluarganya, dan sebagainya.

Siapa yang bila bercinta fikir semua ini? Ha… anda nampak beza orang serius dengan orang yang tidak serius?

Anggapkan bercinta ini ibarat nak menduduki peperiksaan. Kalau orang ambil peperiksaan, dan ada niat nak berjaya, mereka pulun tak kira siang malam. Studi sampai lewat malam. Ada yang sampai termuntah-muntah. Semata-mata nak berjaya.

Tetapi kenapa orang yang kata nak bercinta untuk dapat redha Allah, yang bercinta kerana nak bahagia dunia akhirat, tak ada perancangan, tak ada usaha yang kemas, tak mati-matian dalam menjalankan apa yang Allah nak atas jalan percintaan ini?

Hairan dan sangat-sangat hairan.

Jika dua orang yang bercinta, dan mereka hanya fikirkan keseronokan diri mereka sahaja, hakikatnya mereka telah zalim kepada cinta itu, diri mereka, keluarga mereka, dan masa hadapan mereka. Mereka yang telah melangkah larangan Allah SWT dalam alam percintaan ini hakikatnya telah mencampakkan diri mereka ke arah kehancuran. Mereka telah menolak kebahagiaan.

Oh, ada yang berkata begini :

“Saya bercinta ikut syariat’, tapi perkahwinan saya gagal. Kawan saya, dating-dating, couple-couple, tapi perkahwinan mereka sampai sekarang kekal”


Kita tidak boleh menilai baik itu apa yang manusia kata baikdan kita tidak menilai buruk itu apa yang manusia kata buruk. Sepatutnya kita menilai baik itu apa yang Allah kata baik. Dan juga menilai buruk itu degan apa yang Allah kata buruk.

Dalam bercinta juga demikian.

Kita nak cinta yang Allah redha. Cinta yang Allah senang.

Cinta yang menembus ke syurga.

Bukan cinta yang terhenti sekadar di dunia.

Seterusnya...

11 December 2009

Sirna Cita-cita Dek Kelam Cinta

Dalam cinta ada cita-cita dan dalam cita-cita ada cinta. Kadangkala cinta terangkum dalam kebesaran cita-cita. Tetapi ada kalanya cita-cita tersulam dalam keindahan cinta. Tetapi buat seorang pelajar: Dahulukanlah cita-cita... Justeru ia lebih konkrit, realistik dan diberi prioriti berdasarkan realiti dan diri semasa anda.

Anda mungkin kehilangan cinta dalam memburu cita-cita, tetapi usah risau. Apa yang hilang itu hakikatnya bukan CINTA tetapi cinta. Dan setelah cita-cita anda tercapai... cinta yang sebaik-baiknya dan semurni-murninya akan berada di hadapan anda.

Pada ketika itu belai dan suburkanlah pohon cinta itu dengan baik kerana sudah cukup layak untuk itu. Baja harta, air taqwa, cahaya ilmu dan tanah iman sudah menjadi milik anda. Tetapi awas, jika cinta didahulukan daripada cita-cita... anda mungkin kecundang, kerana cinta itu belum teguh. Sekerat jalan ia mungkin patah. Lalu anda akan terjerumus dalam lembah 'frust' dan kecewa.

Dan katakanlah cinta anda dan si dia mampu bertahan sehingga ke hujung tetapi apabila sampai ke hujung... anda tidak punya apa-apa lagi untuk menyuburkan pohon cinta itu. Anda ketandusan taqwa, ketandusan ilmu, kekurangan harta untuk membina sebuah perkahwinan yang baik. Kerana apa? Rupa-rupanya anda silap, dalam mengejar cinta anda telah mengabaikan cita-cita.

Ya, bermula dengan sesuatu yang jelas dan utama. Mulakanlah dengan cita-cita. Justeru usia di tahap anda, cita-cita itulah yang jelas nyata. Cintailah cita-cita anda!

(Petikan daripada buku Tentang Cinta oleh Pahrol Mohd Juoi terbitan Telaga Biru, cetakan pertama Januari 2006)


Sering benar kita membaca dan mendengar semasa belajar , ramai siswa siswi terperangkap dalam percintaan dan yang lebih mengharukan mereka menjadi pasangan intim semasa belajar. 'Pasangan bercouple' , kesana kemari bersama-sama seperti pasangan suami isteri tetapi tidak tinggal bersama. Mereka belajar di perpustakaan, pergi kuliah, pergi makan, pergi bershopping bersama-sama. Kemana akhirnya hubungan mereka ini?

Jika diakhiri dihadapan kadhi melalui ijab dan kabul, tidak mengapa, tetapi jika hampir ke hujungnya, 'kejemuan' merubah hati, dan terputus setakat ini, inilah yang amat dikesali. Setelah kesana kesini bersama-sama, tinggal 1 semester sahaja lagi,telah terputus, jika yang meninggalkan tidak merasai apa-apa kerana dirinya memang telah bersedia,bagaimana pasangan yang kena tinggal? Tidak merana hingga mengakibatkan terjejas projek tahun akhir?

Sebab itulah mengapa tidak digalakkan untuk bercinta, berpasangan ke hulu ke hilir, selain menjejaskan pelajaran kerana kelalaian sendiri, berpasangan ke hulu ke hilir bersama ini juga adalah haram di sisi agama Islam. Mana boleh lelaki dan perempuan selalu berdua-duaan,walaupun mereka kata bukan bersunyi-sunyian, "kami di khalayak ramai", tetapi bagaimana untk mengawal hati?

Selepas bertemu,mesti diringi dengan sms dan ym jika ada kemudahan internet. Apa bicara di sini, tiada siapa yang tahu. Kadang kala kata di sini yang lebih mengegarkan rasa di hati. Contoh ungkapan yang biasa tetapi boleh melahirkan rasa luar biasa bagi pasangan ber'couple' ini.

....saya nak beradulah...

...ok have a nice dream....

....jangan gatal2 ye....

....i'm coming...

....ok i'm waiting....

dan banyak lagi tak payah lah rasaya nak sebut semuanya.

Apa yang kita perhatikan perkataan2 yang diluahkan walaupun belum keterlaluan tetapi memadai untuk membangkitkan nafsu syahwat dimana ianya merupakan senjata yang cukup untuk meruntuhkan jiwa yang tenang.Ini semua adalah mukadimmah untuk syaitan menjalankan misi mereka.

Sekali pandang memang tak de apa2 ucapan/penulisan tu. Mungkin ada yang berkata...ala kami ni gurau2 saja. Ye, di sinilah kita silap....oleh kerana sudah saling mengenali maka boleh bergurau . Namun ia tetap tidak boleh kerana penulisan mempunyai kesan yang sama dengan ucapan bahkan dalam setengah keadaan ianya mungkin lebih kuat pengaruhnya.

Sebab itu gurauan antara lelaki dan wanita bukan muhrim ditegah dalam semua keadaan!

Mengapa?

Kerana akibat daripadanya sangat besar didalam hati :

1. Ingatan tentang gurauan itu akan sentiasa bermain2 didalam ingatan.
2. Ingatan ini akan membawa kepada bayangkan rupa wanita/lelaki
3. Ingatan ini akan sering datang dan mengganggu dalam solat dan ibadah lain

Dalam kebanyakan keadaan seseorang tidak akan sedar gangguan ini kerana dia telah buai dalam perasaannya sendiri.

Ini juga memberikan kesan terhadap pelajaran dan ilmu yang dituntut.Sedikit sebanyak mengurangkan keberkatan, walaupun ada setengah-setengah pasangan kata prestasi pelajaran kami makin meningkat kerana saling memberikan motivasi. Mungkin juga Allah menguji dengan istidraj.

Ada pihak yang mentakrifkan istidraj sebagai anugerah Allah kepada hamba yang tidak diredai-Nya dan nikmat tersebut datang dalam pelbagai bentuk antaranya kejayaan yang cemerlang, kuasa, kemewahan harta benda, kedudukan di sisi masyarakat, pengaruh serta pangkat.

Jadi sebagai seorang hamba yang takut kepada Allah mereka akan menjauhi hubungan yang lebih membawa kepada kelalaian dan kelekaan hati walaupun prestasi pelajaran mereka meningkat.

Jika mahu berpasangan,bernikah sahaja. Bernikah ketika belajar tidak menjadi kesalahan. Asalkan pasangan,keluarga saling faham memahami antara tanggung jawap dan keperluan. Boleh dipermudahkan dengan perbincangan antara dua keluarga , bukan perbincangan antara 2 pasangan itu sahaja.

Ummi tertarik dengan satu ungkapan ini, oleh seorang pelajar, yang baru bernikah dengan pasangannya. Ummi bertanya kenapa bernikah sekarang (baru sahaja berta'aruf) sedangkan selepas bernikah akan berjauhan semula,seorang akan menyambung belajar di Mesir, seorang akan melanjutkan pengajian di Indonesia.

"Saya tak suka bercouple2 ni...walaupun jauh, tapi dia memudaratkan..sebab memikirkan sebuah perkara yang belum halal...imam syafi'i berkata:

شكوت إلى وكيع سوء حفظي # فأرشدني إلى ترك المعاصي
فأخبرني بأن العلم نور # ونور الله لا يهدي للعاصي

"aku mengadu ke Syaikh Waqi' tentang lemahnya hafalan ku # maka dia berpesan kepada ku untuk meninggalkan maksiat.

Dia mengakhabari aku bahawa ilmu itu cahaya # dan cahaya Allah tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang bermaksiat..."

Sebab itu saya tak nak delay2 pernikahan...if dah ada yang sesuai, then terus kahwin jer..walaupun tinggal jauh..sebab kalau tak kahwin, asyik terfikir2 wajahnya, gambarnya, suaranya, habis ilmu saya lari semua..."

Begitulah ungkapan orang beriman yang takutkan Allah. Semoga mengambil iktibar dari tulisan ummi kali ini.


Ya Allah, jadikan kami muslimah solehah

Seterusnya...

25 October 2009

Luluskah Cinta Saya?

"Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya.

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan.

Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya.

Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.


Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut .

Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri.

Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi; seperti memuji, mencium, menghormati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam :

surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik),

al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar),

al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal),

at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih),

as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya),

al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat),

an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa),

al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan

al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”)

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang.

Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan,

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya.

Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni.

Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan.

Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini. Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24,

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku,
dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”


wallahua'lam.



Seterusnya...

11 July 2009

Menerima yang tidak sempurna

Wahai anak-anakku

Apa yg membuatmu tertarik pada seseorang?

Apa yg membuatkanmu memutuskan untuk mencintai seseorang dengan segala kekurangannya?

Apa yg membuatkanmu memilih seseorang menjadi pendampingmu?

Aduhai… jawapan pertanyaan ini pasti telah ada didalam hatimu, dengan segala pertimbangan dan pemikiran yang dalam atau mungkin kamu hanya asal memilih/memutuskan?. Dan padahal sebelum memutuskan pilihanmu, kamu tentu menyedari bahawa masih banyak orang lain yang lebih menarik, lebih pandai, lebih kaya, lebih alim daripada pasanganmu tetapi mengapa kamu tetap memilih untuk mencintainya?

Dan perlu kamu ketahui perasaan cinta, simpati, tertarik, akan selalu datang dalam berbagai kesempatan pada kehidupan kita. Tetapi mengapa kamu tetap memilih untuk mencintainya

Mungkin kamu sudah tahu, mencari seseorang yang sempurna sesuai keinginan hati itu sukar, jadi mengapa kamu tetap mencarinya? Ini bukanlah suatu keputus asaan tapi mengapa kamu tidak mencari yang seseorang yang tidak sempurna kemudian menjadikannya menjadi sempurna sesuai hatimu?. Dan perlu kamu ketahui, kita hadir di kehidupan ini tentunya bukan untuk mencari seseorang yang sempurna untuk dicintai tetapi untuk belajar mencintai orang yang tidak sempurna dengan cara yang sempurna.

Maka sudah menjadi tugasmulah wahai anak-anakku, jika pasanganmu belum bersinar, maka tugasmulah memancarkan cahayanya. Jika pasanganmu belum sempurna, maka tugasmulah yang membuatnya sempurna menurut hatimu. Jangan kau menuntut untuk mendapatkan bidadari/pemimpin (bidadara ke ek?) yang sempurna, tapi binalah dan tuntunlah pasanganmu agar menjadi bidadari/pemimpin yang sempurna menurutmu. Dan akhirnya semua yang kamu inginkan akan menjadi sempurna tentulah kerana keberadaanmu secara bersama.

“Ya Rabb.... Aku tidak meminta seorang yang sempurna, namun aku meminta seorang yang tidak sempurna, sehingga aku dapat membuatnya sempurna dimataMU..".

Ya Rabb.... Jika orang lain memohon kepada-Mu untuk menikah dengan orang yang mereka cintai, maka aku memohon kepada-Mu, lapangkan hatiku untuk mencintai orang yang kelak menikah denganku.."

http://asyzsufi.multiply.com/?&preview=&item_id=52&page_start=40

Seterusnya...

10 July 2009

KENAPA LELAKI SANGGUP BERBELANJA TINGGI UNTUK MENDAPAT SEORANG ISTERI?

Kenapa seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri?

Seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri kerana untuk mengisi permintaan hati (fitrah)nya yang ingin kepada belaian dan penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta pengurusan dirinya oleh isteri. Dan lebih jauh dari itu untuk mendapatkan anak dan keriangan dalam rumahtangga. Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang ada dalam diri semua lelaki dan tidak boleh tidak, wajib dipenuhi.

Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan kesunyian dalam ruang dada si suami itu. Kalau begitu tiadalah bermakna lagi rumahtangga, isteri dan anak-anak padanya. Suami tidak akan bahagia dan hatinya tidak akan tenang sekalipun rumahnya besar, wangnya bertimbun dan dililiti dengan segala kemewahan.

Seorang lelaki sanggup berbelanja tinggi untuk mendapatkan seorang isteri kerana:

Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan anak pinak berkecamuk, tidak terurus. Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu bila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri dari memenuhi kehendak dan kemahuan suami.

mahukan seorang perempuan hatinya kalau bersih dari nafsu, rela menyerahkan apa saja khidmat pada suami, suka berhias untuk suami, meletakkan dirinya sebagai "hak" suami dan rela untuk berkhidmat pada bila-bila masa. Untuk itu, mungkin berbagai-bagai pengorbanan perlu dibuat misalnya: Memasak sendiri di rumah, dengan masakan yang boleh memuaskan hati suami. Menjaga anak-anak dengan pendidikan yang sebaik-baiknya. Menjaga kesihatan diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa diminati suami. Membina akhlak yang mulia semoga dengannyalah suami akan terhibur dan terelak dari rasa marah dan tawar hati. Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina rumahtangga bahagia. Isteri yang bijak, berilmu dan tahu cara-cara membentuk kebahagiaan sahaja yang berjaya.



خير النساء أحسنهن وجوها أرخصهن مهورا
أخرجه أبن حبان من حديث أبن عباس
Ertinya : “ Sebaik-baik wanita adalah yang elok rupanya dan
yang paling rendah kadar maharnya


" ابركهن اقلهن مهرا "
Ertinya : “ Seberkat-berkat wanita ialah paling sedikit maharnya”

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya :
Ertinya : “ Di antara dalil keberkatan seorang wanita adalah
mudah proses perkahwinannya dan sedikit maharnya."

Seterusnya...

Cinta Sejati Selepas Pernikahan

CINTA adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Cinta memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah orang yang diberi cinta dan mampu menyingkap rasa cinta dengan tepat dan menurut syariah.

Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredai Allah. Nabi Muhammad SAW meninggalkan resipi cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: “Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘salihah’ supaya orang yang salih akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. Kita wajib ingat bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Surah al-Imran, ayat 14)

Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Pakar psikologi, Prof Madya Dr Mat Saat Baki, pernah menulis: “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan.”

Tetapi jika tidak berhati-hati, cinta boleh membutakan mata hati kita. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Hendaklah kita benar-benar memejamkan mata dan memelihara kemaluan, atau nanti Allah benar-benar akan menutup rapat matamu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Cinta yang selalu menjadi dugaan dan membawa padah ialah cinta yang cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin menggelorakan hawa nafsu, makin berkurang rasa malu dan akhirnya terlanjur. Inilah paling merbahaya. Dari sinilah bermulanya fenomena cinta terlarang, seks tanpa nikah yang merosakkan generasi dan mencemar keturunan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al Isra', ayat 32)

Islam tidak melarang atau mengekang manusia daripada rasa cinta tetapi mengarahkan cinta berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. Jika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati kerana seperti minum air laut, semakin diminum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah.

Cara untuk mengendalikan rasa cinta adalah dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Jika kita tewas, nafsu yang akan memperdayakan kita.

Seterusnya...