CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label pembubaran perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label pembubaran perkahwinan. Show all posts

18 January 2011

Talak ~ Lafaz Sharih dan Lafaz Kinayah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Masih ummi ingin bicara bab talak. Ini kerana ramai sangat yang kurang jelas dan seperti mempermain-mainkan lafaz itu.

Talak ini ada banyak cara yang menyebabkan ia jadi sah. Ada lafaz secara jelas, ada lafaz secara sindiran.



TALAK


Pengertian Talak

Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud "menceraikan" atau "melepaskan".Mengikut istilah syara' ia bermaksud, "Melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian".


Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya, maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan iddah . Jika semasa isteri di dalam iddah kedua pasangan ingin berdamai, mereka boleh rujuk semula tanpa melalui proses pernikahan. Sebagaimana firman Allah swt di surah At Talak ayat 2 yang bermaksud,


"Maka rujuklah mereka dengan cara yang baik atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula"



Jenis-jenis Lafaz Talak


Lafaz talak terbahagi kepada dua:

1. Talak Sharih
2. Talak Kinayah.

Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".

Contoh lafaz yang Sharih:

1. Aku ceraikan kau dengan talak satu
2. Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
3. Hari ini aku ceraikan kau

Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.


Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:

1. Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
2. Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
3. Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi

Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.


Contohnya kes ini :


Situasinya begini....Seorang suami mempunyai 2 orang isteri secara rahsia iaitu Puan A dan Puan B. Walaubagaimanapun, tembelang si suami pada suatu hari terbongkar apabila Puan A terserempak si suami ini bersama Puan B. Walaubagaimanapun apabila disoal, si suami menafikan bahawa Puan B ini adalah isterinya. Soalannya, adakah jatuh talak pada Puan B tersebut apabila si suami tidak mengaku bahawa Puan B adalah isterinya di hadapan Puan A?


Jawapan;

Penafian suami tentang status seorang wanita sebagai isterinya atau ucapannya "Dia bukan isteriku" bergantung kepada niat suami kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah talak (yakni lafaz yang boleh difahami dengan maksud talak dan bukan talak), bukan termasuk dalam lafaz Sharih (yakni lafaz yang tidak difahami melainkan dengan maksud talak, iaitu lafaz cerai atau lafaz talak itu sendiri). Jika suami bermaksudkan talak/cerai dengan penafian atau ucapan tersebut, jatuhlah talak. Jika tidak berniat talak, tidaklah jatuh talak.



Jenis-jenis Talak

Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:

1. Talak Raj'ie
2. Talak Battah
3. Talak Bain
4. Menjatuhkan talak tiga sekaligus
5. Talak Sunni
6. Talak Bid'i



1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.



2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.



3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Talak Bain Kubra
2. Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

1. Talak yang diputuskan oleh Hakam
2. Talak melalui Khulu'
3. Talak yang difasakhkan oleh Hakim


4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.


5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.


6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

1. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
2. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
3. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.

Ingatlah jangan ambik mudah perkara ini, kerana ia melibatkan nasab dan keturunan sekiranya telah melafaz secara kinayah  tetapi ada  niat, namun kerana kejahilan, terus sahaja bersama-sama walaupun telah lebih 3 kali melafazkannya di dalam masa yang berlainan. Untuk kali pertama dan kedua, jika masih dalam tempoh edah, maka boleh dianggap rujuk bila bersama-sama sehingga melahirkan anak, tetapi jika kali ke3, tanpa sedar dan masih bersama sedangkan talak telah jatuh untuk kali ke 3, tidak boleh rujuk lagi.


Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com/ar/ref/100997/)


Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

17 January 2011

Tidak Ada Persefahaman

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Entah kenapa ummi paling tidak gemar bila ada masalah di dalam rumah tangga,pasangan mengambil jalan mudah dengan merancang untuk bercerai. Contohnya masalah ini,tidak ada persefahaman di dalam urusan rumah tangga. Kecik saja tetapi dibesarkan tanpa cuba untuk berbincang dan memahamkan pasangan dan memahami pasangan.


Perceraian bukan satu jalan penyelesaian. Mungkin ada situasi memang itu jalan keluarnya tetapi mesti ada usaha-usaha untukberdamai terlebih dahulu.



Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.


Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,




"Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang ma'ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik"



Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syar'ie, maka haram ke atasnya bau syurga" Riwayat : Abu Daud


Perkara di atas ini berlaku juga terhadap suami yang menceraikan isterinya, tanpa ada sebab-sebab atau alasan yang kuat sehingga isteri terasa dizalimi atau menceraikannya dengan cara penganiayaan. Begitu juga haram bagi suami menceraikan isterinya sewaktu sedang haid atau sewaktu isteri dalam keadaan suci tetapi telah dicampurinya.





Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

03 January 2011

Talak Ketika Marah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Sering benar ummi ditanyakan soalan begini. Maka untuk rujukan semua pembaca, ummi paparkan di sini soalan dan jawapannya...


ummi,
macam mana pula kalau suami tu cakap...
"awak boleh pergi la rumah orang tua awak tu...tak payah lagi duduk dengan saya"
Padahal isteri tidak ada niat nak balik pun dan ucapan itu dibuat ketika suami sedang marah.
Talak jatuh ke ummi?


Maka jawapanya :

Talak tak jatuh jika dibuat dalam keadaan marah. Dalam keadaan marah,di anggap akal tidak waras.

Mengenai talak orang yang marah ini, ada sebuah hadits yang diriwayatkan dari Aisyah Radhiyallahu 'anha, ia bercerita, aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam bersabda,

لاَ طَلاَقَ وَ لاَ عِتَاقَ فِيْ إغْلاَقِ

"Tidak ada talak dan juga pemerdekaan budak dalam keadaan ighlaq" (HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Al Hakim)

Imam Ahmad dalam sebuah riwayat mengemukakan, "Kata Ighlaq berarti marah." Yang demikian itu merupakan nash Ahmad yang diceritakan Khalal dan Abu Bakar dalam kitab asy Syaafi dan Zaadul musafir. Demikianlah Imam penafsiran Ahmad.

Di dalam kitabnya, Sunnah Abu Dawud, Abu Dawud mengemukakan, "Aku kira yang dimaksud adalah marah." Dan ia telah menulis satu bab khusus, yaitu "Talak yang dijatuhkan ketika sedang marah." Abu Ubaid dan beberapa ulama lainnya menafsirkan kata ighlaq itu sebagai paksaan. Dan ada juga ulama yang menafsirkannya dengan pengertian tidak waras.



Marah ada tiga jenis:

1. Marah yang menghilangkan akal sehingga yang bersangkutan tidak menyadari apa yang dikatakannya. Dalam keadaan seperti ini talaknya tidak dianggap sah tanpa ada perbezaan diantara para ulama.


2. Marah yang masih dalam batas kesadaran, tidak menghalangi yang bersangkutan dari memahami apa yang dikatakannya. Dalam keadaan seperti ini talaknya dianggap sah.


3. Marah yang menguasai diri dan memuncak namun tidak menghilangkan akal secara keseluruhan. Namun terhalang antara dirinya dengan niatnya sehingga ia menyesal atas apa yang ia lakukan apabila kemarahannya telah mereda. Keadaan ini masih dipersoalkan. Namun pendapat yang mengatakan talak dalam keadaan ini tidak jatuh adalah lebih tepat dan lebih terarah.


Islam tidak mensyari’atkan talak (perceraian) pada setiap waktu dan setiap keadaan. Sesungguhnya talak yang diperbolehkan sesuai dengan petunjuk Al Qur’an dan As-Sunnah.

Adalah hendaknya seseorang itu pelan-pelan dan memilih waktu yang sesuai. Maka tidak boleh mencerai isterinya ketika haid, dan tidak boleh pula dalam keadaan suci sedangkan ia mempergaulinya. Jika ia melakukan hal itu maka talaknya adalah talak yang bid’ah dan diharamkan. Bahkan sebagian fuqaha’ berpendapat talaknya tidak sah, karena dijatuhkan tidak sesuai dengan perintah Nabi SAW Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang melakukan perbuatan tanpa dilandasi perintah kami maka itu tertolak (tidak diterima).”

Dan wajib bagi seseorang yang mentalak bahwa dia dalam keadaan sadar. Apabila ia kehilangan kesadaran, terpaksa, atau dalam keadaan marah yang menutup ingatannya sehingga ia berbicara yang tidak ia inginkan, maka menurut pendapat yang shahih itu tidak sah.

Berdasarkan hadits, “Tidak sah talak dalam ketidaksadaran.” Abu Dawud menafsirkan hadits ini dengan ‘marah’, dan yang lain mengartikan karena ‘terpaksa’. Kedua-duanya benar.

Dan hendaklah orang yang mencerai itu bermaksud untuk mencerai dan berpisah dari isterinya. Adapun menjadikan talak itu sebagai sumpah atau sekedar menakut-nakuti, maka tidak sah menurut pendapat yang Shahih sebagaimana dikatakan oleh sebagian ulama salaf dan ditarjih oleh Al ‘Allamah lbnul Qayyim dan gurunya Ibnu Taimiyah.

Jika semua bentuk talak ini tidak sah maka tetaplah talak yang diniati dan dimaksudkan yang berdasarkan pemikiran dan yang sudah dipelajari sebelumnya. Dan ia melihat itulah satu-satu jalan penyelesaian untuk keselamatan dari kehidupan yang ia tidak lagi mampu bertahan. Inilah yang dikatakan Ibnu Abbas, “Sesungguhnya talak itu karena diperlukan.”


Sumber: Diadaptasi dari Syaikh Salim bin 'Ied al-Hilali, Al-Manaahisy Syar'iyyah fii Shahiihis Sunnah an-Nabawiyyah, atau Ensiklopedi Larangan menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, terj. Abu Ihsan al-Atsari (Pustaka Imam Syafi'i, 2006), hlm. 3/81-83.

Seterusnya...

02 November 2010

Di Ambang Keretakkan Rumah Tangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Kali ini, ingin ummi kongsikan bersama satu kisah rumah tangga yang tiba-tiba rasa kasih sayang dan cinta menjadi pudar. Cinta sebelum berkahwin yang intim dan mesra bukan lah satu jaminan hidup bahagia selepas berumah tangga. Melahirkan zuriat bukan juga menjadi menyambung kasih sayang yang telah bersemi.


Dimana salah dan silapnya,kita baca bersama-sama dan nasihat yang mampu ummi berikan. Memang sejak akhir-akhir ini,ummi banyak berhadapan dengan pelbagai kisah rumah tangga yang pincang dan retak. Di dalam ummi mengusahakan pembinaan Baitul Muslim, ummi juga selalu ditimbuni dengan permasalahan rumah tangga yang menuju kepada keruntuhan jika tidak dibantu dengan nasihat dan kaunseling.


Ummi memang akan berusaha untuk mengelakkan dari terjadinya perpisahan dan perceraian walaupun itu adalah jalan terakhir dan memang sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Jadi selain membina rumah tangga, ummi juga akan membantu mereka yang menghadapi masalah dalam rumah tangga agar dapat dielakkan rumah tangga yang telah dibina itu roboh dan runtuh.




Bacalah bersama-sama:


Saya sudah bekahwin selama 2 tahun dan mempunyai seorang anak yang tak sampai setahun lagi umurnya. Disebabkan saya dan anak sering hidup terabai akibat sikap suami yang terlalu menumpukan pada kerjaya/rakan/saudara berbanding isteri dan anak, lama-kelamaan hidup saya bosan dan mula tawar hati terhadap suami.


Setiap hari saya bertanya pada diri sama ada saya berkahwin dengan orang yang betul?


Saya pernah bersabar, ajak suami berbincang, ajak dia keluar bercuti bersama, tapi nampaknya tiada hasil. Saya sudah putus asa dan tiada lagi cinta untuk suami.

Bila terfikir tentang anak, saya bersabar lagi. Tapi bila difikirkan semula, apa kena mengena suami dengan anak? Anak saya tak mahu pun dipegang oleh bapanya. Saya fikir, adalah lebih baik saya menjadi ibu tunggal saja. Setakal dapat title 'janda' tu, saya tak kisah. Mana tahu, ada orang lain yg nak kat saya, boleh saya mencari bahagia yg lain.


Kini saya rasa terperangkap dalam perkahwinan ini. Saya melakukan kerja2 rumah, menggosok baju suami dan menyiapkan makan suami, melayan kerenah saudara-mara suami (saya berhijrah dari selatan untuk tinggal bersama suami di utara), tetapi secubit kasih sayang suami pun saya tak dapat rasakan.


Saya sudah merasakan bahawa rumah tangga saya tak dapat diselamatkan lagi. Hanya saya seorang yg berusaha untuk mencari keserasian dengan suami, tapi suami langsung tidak memahami hati saya, apatah lagi cuba untuk serasi dengan saya. Mohon nasihat.


Nasihat yang mampu ummi berikan:



Janganlah menambah bilangan ibu tunggal, janda atau anak dara. Saban hari saya menangis bila ada gadis,janda , ibu tunggal memohon pertolongan minta dicarikan jodoh.


Jika kita sudah bersuami, peliharalah rumah tangga sebaik-baiknya. Kasih sayang boleh dipupuk. Ingatlah waktu selepas akad, waktu malam pertama dan indahnya waktu bersama.


Jika sudah bercerai, hidup sendiri, semua tu tak akan berulang lagi. Kasih sayang bukan boleh dibeli atau dikutip merata tempat. Bukan berkahwin dengan orang yang salah jika itu jodohnya.


Banyakkan bersabar, bertenang dan cuba kembali kepada Allah. Redha dengan apa yang Allah berikan. Mungkin bulan hanya berlindung sekejap dibalik awan. Maka dalam masa bulan berlindung itu, carilah Allah. Jangan peduli apa yang hati mahukan kerana apa hati mahukan sesuatu yang Allah tidak suka adalah hasutan syaitan.


Banyakkan berdoa,mohon suatu hari nanti suami tersedar akan kasih sayang isteri. Puan jangan fikir apa yang puan buat,berbakti pada suami itu sia-sia. Walaupun suami tidak menyatakan ,menunjukkan kasih sayangnya, sebenarnya dia tetap sayangkan puan.


Jika suami tidak sayang, dia tidak akan lafaz akad nikah, dia tidak akan sentuh puan dimalam pertama. Cumanya , ada lelaki ego, ada lelaki sukar untuk menunjukkan kasih sayang. Lafaz sayang itu terlalu mahal dan berat dilidahnya. Ianya cuma terukir di hati sahaja.


Dia mengutamkan keluarga , saudara maranya , itu sudah bagus. Dan sebagai isteri,puan kena taat dan ikut apa yang suami suka. Jika suami suka mengutamakan keluarganya, puan pun ikut jadi puan tidak akan rasa terpinggir.


Sebaliknya,jika hati puan tidak rela dan tidak suka, maka ini yang puan rasa. Puan kata 'Suami tidak peduli pada puan dan mengutamakan keluarganya.' Sepatutnya puan kena ikut apa saja yang suami suka, apa suami cinta dan minati. Tidak rugi jika kita korbankan hati demi mentaati suami kerana ganjaran yang Allah berikan maha hebat.


Belum terlambat jika puan buka hati semula untuk meminati apa yang suami suka. Puan korbankan perasaan sendiri dan ikut segala kesukaan suami. Puan layan saudara mara suami dengan ikhlas. Puan layan suami dengan ikhlas. Puan taati suami dengan ikhlas. InsyaAllah itu akan jadi ibadah yang dipandang oleh Allah dan puan akan rasai nikmatnya di dalam hati.



2 tahun adalah tempoh yang sangat singkat dan puan belum kenal hati budi suami. Saya akui sendiri,saya hanya kenal benar-benar suami saya setelah 10 tahun berkahwin. Dan nikmat berkahwin itu saya rasai selepas 10 tahun hingga kini menjangkau 26 tahun.


Sebelum 10 tahun, puan akan lalui berbagai rasa dan dugaan. Cubalah bersabar, dan cuba juga berubah persepsi dan sikap kepada negatif kepada postif terhadap minat suami.


Cubalah dulu melakukan dengan ikhlas dan tulus kerana Allah. " Ya Allah ,aku lakukan ini kerana perintah MU,mentaati suami adalah wajib, maka bantulah aku, mudahkan jalan bagi ku agar aku taat kepadanya"


Dalam ummi menasihati masalah rumah tangga wanita ini, ada pula yang mencelah untuk bertanya;


Kalau tak kenal-kenal jugak suami tu macamana pulak ummi, ada masalah ke kalau tak kenal suami, atau berpura2 kenal suami ke macamana bila dah tak berapa kenal buat2 tak kenal pun tak mengapa ke atau macamana?
Sambung ummi :

Sebab tak cukup kenal, maka kita sentiasa berusaha untuk mentaati suami. Menjaga diri agar tidak melakukan apa yang suami tidak suka. Berusaha meminati apa yang suami suka. Jangan hati kita menentang atau melawan kerana jika dilawan dalam hati syaitan akan tumpang jadi nasi tambah.


Kita taat pada suami kerana ia perintah Allah. Sebab itu tidak boleh merajuk dengan suami. Jika merajuk dengan suami bermakna mendahulukan hati dari Allah. Bagaimana? Mentaati suami adalah perintah Allah. Allah suruh. Tapi kita merajuk dengan suami. Maknanya kita dahulukan hati kita dari mendahulukan perintah Allah.


Sambung wanita itu pula :

Semua pun suruh saya bersabar. Mak saya pun suruh saya bersabar. Rindu sgt kat mak, dah setahun lebih tak dapat balik kampung. Rasanya last balik kg masa lepas kawin dulu2. Tu pun sebab ambil barang.


Utk pengetahuan, saya juga bekerja. Saya pun penat bekerja. Kami sama2 kerja gomen yg waktu bekerja ialah ofis hour. Tapi kenapa suami mesti pulang ke rumah 1,2 pagi? Kenapa sampai kena tidur kat ofis? Dia pergi menjaja kat pasar malam ke? Gaji kami lebih kurang ja. Setakat anak baru sorang, kereta pun saya yg bayar, kami tak lah sengkek sangat. Tapi nasib saya mendapat suami yg workaholic.


Saya tak kisah kalau dia tak balik rumah langsung sepanjang minggu atau sebulan sekalipun, tapi apalah salahnya tanya hal anak (kalau menyampah kat saya ni pun). Takde ke perasaan nak tanya anak dah baik sakit ke? anak masuk wad ke?


Selama ni pun, saya dah rasa dah jadi ibu tunggal tu mcm mana. Pergi balik hospital bawak anak naik turun lif, pergi pasar beli barang dapur sambil kendong anak.

Boleh tak bagitahu kat saya, apa nikmatnya mempunyai seorang suami? apa faedahnya saya mempunyai title isteri? boleh bgtau tak?

Bersabar puan...
banyakkan bersabar...
Cubalah berkomunikasi dengan suami...
luahkan perasaan masing-masing tapi jangan sampai bertengkar pulak...
berbincang elok-elok...
bersabar lah...



Sambungnya lagi :


Suami ni jenis pandai bercakap. Dia dulu ada masuk pidato pidato ni. Saya ni pulak, tak pandai langsung. Cakap sikit, dah nak nangis. Sikit2 emo. Biasanya, setiap kali perbincangan, mesti suami yg menang.


Dan ini keputusan yang wanita ini ambil akhirnya :



Bila difikir2 balik, saya malas nak naik turun mahkamah utk uruskan permohonan cerai. Kalau dia tak nak ceraikan saya, biarlah saya digantung tak bertali seumur hidup. Saya pun dah takde hati nak kawin kawin ni dah. Jaga dan didik anak yg sorang tu supaya jangan jadi macam ayah dia, supaya jadi anak soleh, berbakti kepada agama dan negara tanpa melupakan keluarga sendiri.


Lagi pun yang berbeza hanyalah title janda atau isteri. Apa yang saya faham:


Kebaikan jadi isteri dalam situasi saya: dari segi pahala, lebih mudah dapat atas restu suami.


Kebaikan jadi janda: tak payah uruskan makan pakai suami. Uruskan diri dan anak saja. Boleh balik kampong jumpa mak ayah.


Jadi, saya pilih pahala. Saya harap, suatu hari nanti mak ayah akan datang jengok saya di sini, sebab saya memang tak boleh ke sana.


Sedihkan jika berhadapan dengan masalah begini. Walaupun wanita ini memilih untuk bersabar, tapi selama mana ia mampu bersabar jika tiada usaha sebelah pihak untuk memperbaiki hubungan di dalam rumah tangga. Tidak ada komunikasi 2 hala.


Semoga menjadi iktibar...






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

20 July 2010

Taklik Sebuah Pernikahan







ADAKAH TAKLIK BERULANG SELEPAS AQAD BARU?


Soalan;
Assalamualaikum Ustad, saya nak bertanya pasal talak taklik. Sekiranya seseorang itu bertaklik dan berlaku spt yang di sebut maka jatuhlah talak. Tapi persoalannya, tidak berlaku seperti yang di taklikkan dan telah berlaku nya perceraian secara lafaz atas sebab sebab lain. Kemudian selepas suatu
waktu pasangan setuju untuk bersatu semula, bagaimana dengan taklik yang sebelumnya dalam hubungan lalu. Apakah sudah batal? Terima Kasih.





Jawapan;

Menurut ulamak (termasuk dari mazhab Syafi’ie dan Ahmad); taklik itu akan kembali apabila berlaku aqad baru kecuali bagi dua keadaan;

1. Jika semasa isteri terpisah dari suaminya perkara yang ditaklik terjadi, maka taklik itu tidak akan kembali selepas aqad kerana apa yang telah ditaklik telahpun berlaku. Contohnya; seorang berkata kepada isterinya; “Jika engkau bercakap dengan abang engkau, dengan sendiri engkau tertalak”. Kemudian berlaku penceraian antara dia dan isterinya dan tamat eddah. Kemudian mereka berdua berkahwin semua dengan aqad baru. Jika semasa tempoh perpisahan (iaitu tempoh antara selepas iddah dan akaq semula) apa yang ditaklikkan berlaku (iaitu isterinya telah bercakap dengan abangnya), maka apabila berlaku aqad semula taklik tadi tidak akan kembali kerana apa yang ditaklikkan telahpun terjadi.

2. Jika penceraian berlaku dengan talak tiga, maka apabila wanita yang diceraikan kembali semula kepada suaminya dengan aqad baru (iaitu setelah ia berkahwin dengan lelaki lain), taklik tadi tidak akan kembali sama ada - semasa tempoh meeka berpisah- berlaku apa yang ditaklikkan atau tidak berlaku.

Kesimpulannya, taklik tidak akan terbatal sekalipun berlaku penceraian di mana ia akan kembali selepas aqad baru kecualilah jika apa yang ditaklikkan berlaku semasa tempoh perpisahan atau penceraian dengan talak tiga.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Takmilah al-Majmu’, Syeikh Dr. Mahmud Matriji, bab as-Syart fi at-Talaq, 18/347.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, kitab al-Khulu’, 7/64.
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 75042.


Dari Laman,
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/07/adakah-taklik-berulang-selepas-aqad.html

Seterusnya...

15 December 2009

Kenapa Rumahtangga Goyah?

Selalunya golongan yang disebut-sebut tidak puas dalam hubungan seksual ini adalah para suami. Namun kalangan lelaki yang menghadapi ketidakpuasan seksual ini jarang pula ingin meluahkan masalah yang dihadapi. Sehingga kadangkala menimbulkan keraguan pada si isteri. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan ketidakpuasan lelaki dalam hubungan seksual mereka yang sekali gus menjadi punca keretakan sesebuah perkahwinan. Antara faktor-faktornya :

Terlalu cepat mengambil keputusan berkahwin

Keadaan ini akan menyebabkan si lelaki kurang bersedia menjalani liku-liku hidup berumahtangga. Sekiranya mendirikan perkahwinan pada usia yang masih muda tidak mustahil mereka masih belum matang terhadap masalah rumahtangga dan juga masalah seksual yang dihadapinya. Justeru minat terhadap seks akan menurun dan rumahtangga mula goyah.

Belum mengenali sifat sebenar isteri

Lelaki yang masih belum mengenali sikap isteri yg sebenar sebelum berkahwin akan menjadi terkejut ataupun tidak terbiasa dengannya.Isteri yg kelihatan lembut sebelum berkahwin mungkin seorang wanita garang lagi tegas sehingga suami hilang nafsu seksual terhadapnya.



Jodoh dipilih oleh orang tua

Tidak mustahil ada suami yang langsung tidak menyentuh isterinya berbulan-bulan kerana wanita yg dikahwininya bukan pilihan hatinya. Apalah ertinya berumah tangga sekiranya tiada hubungan seksual. Sekiranya berlarutan tidak mustahil juga rumah tangga yang dibina ini akan retak.

Kurangnya pengetahuan tentang masalah seksual rumah tangga

Walaupun mungkin sudah bertahun-tahun berumah tangga namun ada lelaki yang tidak mengetahui tentang masalah seksual yang dihadapinya.Ia dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan sehingga akhirnya membawa ketidakpuasan isteri pula. Dari sinilah hubungan suami isteri akan berasa dingin.

Tertarik pada fizikal isteri semata-mata

Walaupun pasangan yang cantik atau tubuh badan yg menarik tidak akan menjamin kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Sebaliknya cara layanan isteri terhadap suami lah yang akan memastikan kebahagiaan rumah tangga apatah lagi jika si isteri pandai melayan nafsu seks pasangannya. Sekiranya penampilan fizikal saja yang cantik namun sifat serta karakter isteteri sebaliknya maka ia memberi kesan pada suami terhadap seks.

Sikap dominan pasangan dalam rumah tangga

Isteri yang dominan, garang, tegas atau dengan kata lain ‘queen control’ membuat lelaki merasa terkongkong dan tak bebas. Akhirnya dia akan mencari kepuasan diluar rumah dan caranya mungkin tidak betul seperti berfoya-foya bersama wanita.

Hasrat ditolak isteri

Ketika suami menginginkan hubungan seksual, isteri pula menolak atas pelbagai alasan. Sekiranya lelaki menginginkan seks pada waktunya tapi hasratnya tidak dipenuhi, maka akan timbul idea untuk mencari kepuasan ditempat lain selain dari isterinya.Walaupun hanya dilakukan sekali namun ia pasti akan menggoyahkan rumah tangga jika diketahui oleh pasangan.

Soalan:
"Apakah hukumnya sikap isteri yg selalu mengelak utk bersama dgn suaminya?"

Jawapan :
"Haram dan berdosa bagi isteri yang menolak permintaan suaminya untuk mengadakan hubungan jenis.Isteri hendaklah memohon ampun dan maaf dan menjelaskan sebab-sebab ia menolak untuk melakukan demikian dan berusahalah berubat dengan doktor Pakar Perubatan Sakit Puan jika sakit"


Berkahwin kerana nafsu

Perkahwinan yang hanya dibayangi oleh nafsu berahi semata-mata tidak akan mampu bertahan. Ikatan perkahwinan akan longgar jika aspek lain dalam perkahwinan tiada antara pasangan seperti kasih sayang,kepercayaan dan sebagainya.

Sikap kaku pasangan

Isteri dituntut untuk lebih bersedia dan kreatif terhadap masalah seks jika ingin mahu pasangan bertahan dalam perkahwinan. Menurut lelaki, lelaki sangat menyukai jika pasangannya tak bersikap kaku dalam menangani masalah seksual mahupun ketika menjalani hubungan seksual itu sendiri.

Sikap kasar isteri

Wanita sinonim dgn kelembutan. Itulah yang dicari oleh seorang suami terhadpap isterinya. Sekiranya isteri bersikap kasar sepanjang masa, maka suami yg mulai bosan akan mencari kelembutan yg tidak didapati dari isteri melalui wanita lain di luar rumah.

Fantasi seksual suami tidak diperoleh

Lelaki mempunyai fantasi seksnya sendiri dan kadang-kadang fantasi tersebut berlebihan. Bila isteri tidak dapat memenuhi fantasi seks tersebut mereka mula merasa, pasangannya tidak sesuai dengan apa yang menjadi fantasinya selama ini. Ini membuat hubungan rumah tangga berada diambang kehancuran.

Sikap ego dan nafsu yang terlalu tinggi

Sikap ego yang tinggi begitu juga nafsu seks turut menjadi penyebab masalah seks dalam rumah tangga. Suami selalu tidak merasa puas dalam hubungan seksualnya. Ini juga menjadi punca lelaki mencari kepuasan seksual diluar rumah.

Namun semua ini akan dapat dielakkan jika kita selalu bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita, redha dengan seadanya yang telah ditetapkan oleh Allah. Perkara-perkara ini boleh diperbaiki dengan bimbingan dan tunjuk ajar kepada isteri jika mereka tidak tahu dan tidak bijak dalam memberi layanan seks sepeti yang diingini oleh pasangan.

Segalanya mesti kembali kepada apa yang telah agama Islam dan syariat tetapkan. Bukan langsung tidak ada jalan mengatasi atau penyelesaian menurut syariat Islam.

Seterusnya...

03 November 2009

Munakahat : Ruju'

Janganlah fikirkan jika telah terlepas talaq itu maka putus segala hubungan dan tanggungjawap. Jangan fikir bila talaq sudah jatuh, maka kasih sayang terus putus. Sebab itu Islam mengadakah tempoh iddah. Tempoh iddah yang berbeza antara satu keadaan dengan keadaan yang lain. Semuanya ada hikmah tersendiri.

Dengan kasih sayang Allah, ada tempoh iddah kepada pasangan yang telah terjatuh talaq. Mana tahu masih ada rasa sayang dan ingat manis. Maka dalam tempoh iddah inilah,pasangan boleh untuk bersatu semula tanpa nikah dan dipanggil ruju'. Apakah ruju'?

# Ruju‘ dari segi bahasa bererti kembali.
# Manakala dari segi syara‘ pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu ‘iddah yang bukan talaq ba’in.
# Ruju‘ adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu ‘iddah isteri.

Ketahuilah, bahawa ruju' tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah ijma' ulama seluruhnya. Ruju' ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya tertakluk kepada suami.

Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :

"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"

Tiada sebarang peruntukan oleh Allah swt dan RasulNya untuk wanita dalam hal tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin ruju' kembali. Imam Ibn Qudamah berkata :

والمراجعة أن يقول لرجلين من المسلمين : اشهدا أني قد راجعت امرأتي . بلا ولي يحضره , ولا صداق يزيده . ..وجملته أن الرجعة لا تفتقر إلى ولي , ولا صداق , ولا رضى المرأة , ولا علمها . بإجماع أهل العلم ;

Ertinya : Ruju' adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini ruju' kembali dengan isteriku"

Tanpa diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya, sesungguhnya ruju' tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si isteri dan tidak juga disyaratkan mesti pemakluman kepada isteri, ia adalah dengan ijma' seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e as-Sonaie', Al-Kasani)

Makanya bila seorang suami ingin ruju'semula kepada isteri yang telah dilafazkan talaq, wanita tidak ada hak untuk berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"


DALIL HARUS RUJU‘
* Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (ruju‘) akan isteri-isteri di dalam masa ‘iddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.”
(Surah Al-Baqarah, 2:228)

* ·Allah subhanahu wata‘ala juga berfirman:
Maksudnya:
“Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddah, ruju‘lah mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik).”
(Surah At-Talaq, 65:2)

* Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada ‘Umar ketika dikhabarkan bahawa anaknya (‘Abdullah) telah menceraikan isterinya ketika haidh maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Suruh anakmu supaya dia rujuk kepada isterinya.”
(Maksud Al-Hadith)

RUKUN RUJU‘

* Ruju‘ mempunyai tiga rukun iaitu:

1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).

2. Murtaji‘ iaitu suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu.

3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.

SYARAT-SYARAT RUJU‘

1. Suami:

a) Hendaklah seorang yang berakal.

b) Baligh.

c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.

d) Tidak murtad.

2. Isteri:

a) Hendaklah yang sudah dicampuri.

b) Mestilah yang diceraikan dengan talaq raj‘iyy. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khul‘ dan juga talaq tiga.

c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.

3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah ruju‘ dalam masa yang tertentu sahaja.

4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Ruju‘ disyari‘atkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq raj‘iyy meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam ‘iddah. Tetapi perlu diingat bahawa ruju‘ hendaklah dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.


PROSEDUR RUJU‘

1. Jika selepas perceraian yang boleh diruju‘kan (dalam ‘iddah raj‘iyy) dan ruju‘ telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju‘kan tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkenaan dalam tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh peruju‘kan berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya dalam borang yang ditetapkan.

2. Bagi pihak-pihak yang ingin memohon ruju‘ atas persetujuan bersama semasa di dalam ‘iddah raj‘iyy, pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah bersama isteri dan dua orang saksi lelaki.

3. Setiap ruju‘ yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah memastikan pemohon mengemukakan sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syari‘ah berkaitan sebelum ruju‘ dijalankan.

4. Apabila Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berpuashati bahawa ruju‘ tersebut berlaku secara sah dari segi hukum syara‘, baharulah pendaftaran atau permohonan ruju‘ diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan, salinan resit pendaftaran kes perceraiannya di Mahkamah atau Sijil Cerai yang asal.

5. Pendaftaran atau permohonan ruju‘ hendaklah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah.

6. Setiap ruju‘ yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut akan diambil oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam Buku Daftar Cerai Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan.

7. Pemohon yang telah didaftarkan ruju‘ mereka akan diserahkan kepada mereka Surat Keterangan Ruju‘ (Borang 2D) dan direkodkan di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Ruju‘.

8. Butir-butir peruju‘kan tersebut hendaklah dicatitkan dan disimpan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah dalam Buku Daftar Ruju‘ (Borang 2E).

Seksyen 48. Ruju' (http://www2.esyariah.gov.my/)

(1) (a) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan peruju'an telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju'an itu dan butir-butir yang berkaitan dengannya kepada Pendaftar bagi mukim masjid di mana mereka bermukim. Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan jika berpuas hati bahawa peruju'an telah berlaku mengikut Hukum Syara' hendaklah mendaftarkan peruju'an itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya Sijil Cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Keterangan Ruju' dalam borang yang ditetapkan. Ia hendaklah juga menyerahkan satu salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai yang disimpan olehnya;

(b) Mana-mana pihak yang tidak melaporkan peruju'an itu dalam tempoh yang ditentukan kepada Pendaftar itu, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau dihukum penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya sekali.


(2) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar itu, ia hendaklah merekodkan dalam Sijil Cerai bilangan daftar dan butir-butir Keterangan Ruju' itu dan hendaklah menghantar Sijil Cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan Keterangan Ruju' itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu membuat satu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu. Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah kemudiannya menyerahkan salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam buku Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya berhubung dengan perceraian itu.

(3) Jika perceraian itu boleh diruju'kan telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu dan melafazkan ruju'.

(4) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan suami melafazkan ruju' dan jika isteri bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan subseksyen (5) hingga (15) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(5) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Ruju' dalam borang yang ditetapkan.


Seterusnya...

02 November 2009

TA'LIQ, DAN LI'AN

PENGERTIAN TA‘LIQ

Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.


SYARAT TA‘LIQ

Syarat jatuh cerai ta‘liq :

1. Suami: Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.

2. Belum berlaku: Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.

3. Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

* Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
* Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.


PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

* Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut:

1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.

2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.

3. Menyakiti tubuh badan isteri.

4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.



PENGERTIAN LI‘AN

* Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.
* Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
* Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
* Firman Allah subhanahu wata‘ala:

“Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.”
(Surah An-Nur, 24:6-9)


KESAN LI‘AN

* ·Berdasarkan Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menegaskan bahawa:

“Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”

* Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.
* Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.
* Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.
(Riwayat Daruqutni)

Seterusnya...

TALAQ , FASAKH DAN KHULU'

Terdapat beberapa jenis pembubaran perkahwinan di dalam Islam seperti berikut;

1. Talaq.
2. Fasakh.
3. Khul`
4. Ta`liq
5. Li`an


PENGERTIAN TALAQ

Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan.

Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala, bermaksud:
“Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.” (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

RUKUN DAN SYARAT TALAQ

1. Suami. Syarat-syarat suami ialah:

a) Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah, tidak jatuh talaq jika belum berkahwin atau setelah bercerai dan habis ‘iddah.

b) Hendaklah dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika sekiranya gila, pengsan, mengigau dan pitam kecuali mabuk yang disebabkan meminum minuman keras dengan sengaja.

c) Baligh.

d) Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika diugut menceraikan isteri.

2. Isteri. Syarat-syarat isteri:

a) Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah semasa diceraikan.

b) Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.

3. Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:

a) Lafaz sarih (terang), iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas. Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan seperti berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”, “Aku lepaskan kau” dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.

b) Lafaz kinayah (lafaz kiasan), iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat menceraikan isterinya.

4. Qasad (niat).

HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.

3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.

4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khul‘ (tebus talaq).


PEMBAHAGIAN TALAQ

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Talaq raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).

2. Talaq ba’in, ia terbahagi kepada dua:

a) Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khul‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

c) Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

i. Setelah selesai ‘iddah si isteri.

ii. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.

iii. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.

iv. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.


PENGERTIAN FASAKH

* Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.


SEBAB FASAKH

* Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:

1. Sebab yang merosakkan akad.

a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.

b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.

2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.

b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.

c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.

* Manakala dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka 2002, Seksyen 53 menegaskan lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.

2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.

8. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

a) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya.

b) Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.

c) Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

d) Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

e) Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

f) Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara‘.

9. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.

HIKMAH FASAKH

1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.



KHUL‘ (TEBUS TALAQ)

PENGERTIAN KHUL‘

* Khul‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
* Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
* Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHUL‘
* Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:229)

SYARAT SAH KHUL‘

* Syarat sah khul‘ adalah seperti berikut:

1. Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khul‘ bukan dipaksa.

2. Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.

3. Lafaz khul‘: Hendaklah disebut dengan terang.

4. Bayaran khul‘: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.

* Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khul‘, tetapi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

* Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)


PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI KHUL‘

· Di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 49 ada menerangkan bahawa:

Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai denagn tebus talaq, Mahkamah hendaklah selepas sejumlah tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, menasihatkan suami itu melafazkan perceraian dengan tebus talaq mengikut hukum syara‘, dan perceraian itu adalah bain sughra dan tidak boleh diruju‘kan.

Seterusnya...