CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label mentua dan menantu. Show all posts
Showing posts with label mentua dan menantu. Show all posts

15 February 2010

Belajarlah pikat hati mertua

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya).



Sebenarnya ibu mertua amat penting dalam hidup kita. Mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian sama seperti ibu kita. Namun tak dinafikan kadang-kadang ada perbuatan mereka benar-benar meruntun hati dan perasaan kita.

Mari kita ikuti cerita luahan hati seorang  menantu di dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Nama-nama yang dipaparkan sekadar nama rekaan sahaja.

''Dari pengalaman inilah saya ingin berkongsi pandangan dengan pembaca sebagai menantu dan isteri. Walaupun baru berkahwin, tetapi saya telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan. Saya pernah dianiaya, dikasari secara verbal dan fizikal, ditipu, di tomah, dibenci, dimaki, dipinggirkan selama saya berumah tangga.

''Namun kerana ingin jadi isteri yang baik saya banyak bersabar dan ambil keputusan berhenti kerja dan bekerja di tempat hampir dengan suami. Awalnya semua berjalan lancar dan baik, tetapi tak kemudian suami saya Fazli mula menunjukkan belangnya suka keluar malam dan melakukan aktivitinya sama seperti semasa bujang dulu.

''Perbuatannya membuatkan kami kerap bergaduh, sebab dia marah bila ditanya jika pulang dini hari setiap malam. Hingga melupakan tanggungjawabnya kepada isteri dan tidak menyediakan makan minum saya seperti sepatutnya.

''Saya juga pelik kenapa kami sering bergaduh hingga hampir bercerai. Saya juga pelik kenapa saya terlalu emosi. Bertambah tertekan dan kemuncak kemarahan saya apabila Fazli mengadu dan memburuk-burukkan saya kepada ibu saya sendiri.

''Ibu beberapa kali menyuruh saya menceritakan masalah saya, tetapi saya diamkan diri kerana beberapa sebab, pertama kerana saya nak jaga maruah suami di mata keluarga.

''Kedua kerana saya tidak mahu hubungan suami dan keluarga saya renggang apabila mereka tahu perangai Fazli sebenar. Ketiga kerana saya tak mahu keluarga pandang rendah pada Fazli. Jadi saya diamkan perangai buruknya dari pengetahuan keluarga.


Berpindah


''Tak lama kemudian Fazli dapat kerja baru dan berpindah ke KL. Saya ditumpangkan ke rumah kakaknya beberapa bulan sementara menunggu pertukaran saya diluluskan.

''Mulanya saya fikir jika berjauhan tentulah kelakuannya berubah, malangnya lebih teruk lagi. Setiap kali saya memandu ke KL yang jauh itu dia terima kedatangan saya dengan acuh tak acuh saja. Rupanya dia lebih senang hidup macam orang bujang.

''Takdir Allah menentukan tidak sampai enam bulan berjauhan saya jatuh sakit hingga doktor sendiri tak dapat membuat pengesahan yang pasti. Tapi yang pasti demam saya memang panas dan seluruh sendi badan saya terasa sakit seperti dicocok-cocok.

''Fazli bila datang menjengok saya mendakwa saya demam biasa sahaja. Malah memburuk-burukkan saya konon sakit tapi lebih manja. Kerana sedih saya buat keputusan balik ke rumah emak saya.

''Di rumah emak saya sendirian, kerana emak bekerja. Keadaan itu membuatkan penyakit saya bertambah serius, pelbagai perasaan buruk dan menakutkan datang menjelma dalam diri saya. Melihat keadaan saya semakin teruk emak bawa jumpa bomoh yang bergelar ustaz, pelbagailah kepercayaan saya dengar, tapi saya sukar percaya kerana saya dan keluarga lebih rapat dengan perubatan moden.

Tetapi Allah itu Maha Besar, Dia menunjukkan kepada saya bahawa sihir itu wujud dan usah memandang rendah atau menuduh orang tanpa ilmu.

''Kerana penyakit ini juga saya di bawa suami pulang ke rumah emak mertua saya. Ketika itu diri saya seperti orang yang hampir mati. Tetapi emak saya memikirkan saya menghadapi masalah tekanan perasaan, tekanan jiwa, jika tidak dirawat dengan betul saya mungkin boleh hampir kepada gila. Emak tak percaya cerita-cerita hantu, sihir, buatan manusia dan sebagainya.

''Tetapi apabila sampai ke rumah mertua di situ saya merasakan perubahan layanan mereka saya bukan sahaja dihantar berubat malah mereka sentiasa menjaga saya dengan baik. Malah kakak dan adik ipar saya sanggup bercuti dan bergilir-gilir menjaga saya terutama ketika saya sedang mengalami serangan sakit yang teruk.

''Ketika itu saya benar-benar 'berperang' untuk hidup, Saya mahu bebas dari belenggu gangguan yang tidak elok supaya saya dapat membalas jasa mereka. Ketika itu juga keinsafan dan kekesalan datang silih berganti dalam jiwa saya kerana selama ini saya mempunyai persepsi buruk terhadap keluarga mertua saya. Kini saya rasa amat bersyukur kerana dikurniakan mertua yang amat penyayang, memahami dan bertimbang rasa.

''Memang benar kadang-kala saya pernah merasakan mertua saya seolah-olah melebihkan anak lelaki mereka dan menganggap saya menghabiskan wang ringgit anaknya, tetapi itu perkara normal dan tidak sukar difahami.

''Ibu mana yang tak sayangkan anak lelaki mereka yang telah mereka besarkan dari kecil sehingga dewasa? Ibu mana yang tidak bersikap melindungi terhadap seorang manusia yang telah dikenali dan disayangi jauh lebih lama dari kita?

''Menyayangi dan mengasihi mertua kita lebih daripada satu tanggungjawab kerana ia adalah satu perbuatan yang juga mendatangkan 1001 hikmah kepada kita sebagai seorang manusia bergelar wanita. Kini saya benar-benar faham apakah maksudnya 'berkahwin dengan seorang lelaki/ wanita sama seperti mengahwini seluruh keluarganya'.

''Saya juga bangga menyatakan saya terlampau sayangkan keluarga mertua saya terutamanya nenek dan mertua dan saya juga rasa tidak mampu hidup dengan bahagia tanpa kehadiran mereka dalam hidup saya.

''Saya juga bersyukur dengan kejadian yang menimpa diri saya jatuh sakit teruk perangai Fazli telah banyak berubah, dengan izin Allah dia semakin dekat dengan Allah dan saya. Dia menjadi suami yang baik. Perangainya berubah 360 darjah

''Saya amat bahagia hingga saya tidak percaya perangai Fazli berubah kepada yang lebih positif. Saya bersyukur dan percaya dugaan dan ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmah tersendiri.'' Demikian cerita menantu tersebut tentang pengalamannya.

Sykurlah menantu ini mendapat mertua yang baik, cuma sesetengah mertua sahaja yang masih belum berubah. Namun sebagai isteri kita mesti ingat, satu hari nanti dengan izinNya mungkin kita juga menjadi mertua. Ketika itu, jadilah mertua yang terbilang kerana baik disayang dan timbang rasa kita kepada menantu kita.

Dan ingatlah apa juga keburukan yang anda buat hari ini akan datang jua pembalasan keburukan itu ke atas anda ketika anda masih hidup lagi, bukan sahaja di akhirat.





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

30 September 2009

Keharmonian Mentua dan Menantu

Apabila kita bernikah sahaja dengan pasangan kita, secara tidak langsung kita akan terus mendapat ibu bapa mentua. Taraf dan penghormatan kita terhadap ibu bapa mentua ini sama seperti ibu bapa kita sendiri. Ada tanggung jawap yang perlu kita laksanakan terhadapa mereka.

Dalam memperkatakan mengenai Tanggungjawab Menantu Terhadap Ibu Bapa Mentua, hari ini ramai yang salah tanggap mengenai tanggungjawab terhadap mentua.Salah tanggap itu membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mentua sedangkan mereka juga wajar dihormati seperti taraf menghormati ibu bapa sendiri.


Apabila wujud rasa kurang hormat, tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan mungkin tidak berlaku, walhal tanggungjawab menantu perlu ada pada mentua. Menantu lelaki terutama mempunyai tanggungjawab berat terhadap mentua berbeza dengan menantu perempuan.
Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang sangat perlu ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mentua, mereka mesti menghormati ibu mentua diikuti bapa mentua selepas Allah dan Rasul.

Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu, bapa dan juga mentua, justeru tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki.
Mengabaikan seorang daripada mentua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri.

Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami.
Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentua beragama apa sekali pun, sama seperti tanggungjawab anak yang sudah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam.

Bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dengan mentua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dengan isteri. Meskipun di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak lagi tinggal serumah dengan mentua, namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu-mentua tidak lagi terjadi. Hal ini mengingatkan kita bahawa sebagai anggota dari sebuah keluarga, maka mentua dan menantu pasti akan selalu bertemu dan saling berinteraksi, contohnya ketika pulang berhari raya atau ketika si datuk atau nenek berkunjung ke rumah anaknya untuk menjenguk cucu mereka.

Bagaimana jika anda terpaksa tinggal bersama mentua? Apa yang perlu dilakukan terhadap mereka? Mesti ada pro dan kontranya.


Sebagai menantu perempuan kita kena beralah dan menduhulukan mentua. Dalam dalam hirarki kehidupan seorang suami, seorang suami perlu mendahulukan ibu bapanya dari isteri. Suami yang baik akan bertanggungjawap terhadap ibu bapanya , ibu bapa mentua dan dan keluarganya sendiri. Sebagai isteri kita sepatutnya membantu suami untuk menjdai anak dan suami yang soleh.

Sekiranya ada apa-apa, perbincangan dan permuafakatan perlu ada, agar tidak ada hati yang terluka.
Sebagai sorang isteri yg sayangkan suami, mestila kita nak dia jadi seorang soleh . Dan untuk mencapai hasrat menjadikan suami yang soleh, suami itu mesti adalah anak yang soleh terhadap ibu bapanya, salah satu tanggungjawab suami ialah berbakti kepada ibu bapanya. Mak dia tetap no 1 walau bagaimana sayangpun dia pada isteri. Walaupun mak suami tak sebulu dengan kita, kita yg kena membulukan diri bila dengan mentua. Sudah pasti kita tidak mahu kisah iktibar Al-Qamah berlaku pada suami kita. Disebabkan itu jangan kisahlah jika takde peluang tinggal sendiri (dgn family) di rumah sendiri pun. Berkorban lah tinggal dengan mentua, asalkan suami kita diredhai-Nya.

Ada juga mentua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka sehingga anak dan menantu bercerai-berai. Namun tidak dilupakan juga ia adalah berpunca daripada sikap anak itu sendiri yang terlalu bergantung dengan ibu bapa mereka sekalipun telah berumah tangga.

Kebergantungan tersebut sering membuat pasangan merasa, jengkel, marah, kesal, iri hati, cemburu serta bermacam emosi negatif lainnya di mana hal-hal kecik sekali pun dirujuk kepada mentua dan mengikut pilihan mentua. Pasangan tentu sekali akan merasa diabaikan, disingkirkan dan tidak dihargai kerana selalu berada di bawah bayang-bayang mentuanya.

Pasangan akan merasa bahawa posisinya hanyalah sebagai pelengkap yang tidak penting dalam menentukan arah kehidupan keluarganya sendiri.
Dalam beberapa keadaan, kebergantungan si anak tersebut bersifat dua arah. Maksudnya, anak menjadi sumber sense or self dari orang tua (kerana kewujudan anak membuatkan dirinya merasa berguna, diperlukan) sehingga mereka intim terus berperanan sebagai orang tua yang menentukan kehidupan anaknya meskipun si anak tersebut telah dewasa dan berkeluarga.

Kemungkinan juga, seseorang itu sejak anaknya masih kecil telah menanamkan sikap kebergantungan terhadap diri mereka sehingga anak mereka tidak tahu berdikari. Mereka telah bersikap over-protective dan terlalu dominan sehingga menimbulkan rasa kurang percaya terhadap diri sendiri dalam jiwa anak-anak. Mereka memandang bahawa dirinya tidak dapat berbuat apa-apa tanpa orang tua mereka.


Sikap mentua yang begini lambat laun boleh mengakibatkan berlakunya perceraian. Keadaan ini akan lebih ketara sekiranya pasangan tinggal serumah dengan mereka. Walau bagaimanapun kemungkinan mentua boleh menimbulkan kesan negatif ke atas diri pasangan tidak seharunya dijadikan alasan untuk tidak mewujudkan hubungan yang baik dan mesra antara menantu dengan mentua memandangkan kebaikan yang boleh diperolehi daripada mentua itu banyak sekali di mana terdapat kajian-kajian yang telah membuktikan hubungan baik dengan mentua boleh menyumbang ke arah mencapai kebahagiaan rumah tangga.

Persoalannya bagaimana cara menanganinya sehingga hubungan antara menantu dengan mentua dapat berlangsung secara harmoni?

Cara mewujudkan hubungan baik

Pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Jika hanya menunggu pihak lain untuk bertindak, kemungkinan besar penyelesaiannya akan menjadi lebih rumit. Maka bagi mereka yang mengalami masalah dengan mentua atau menantu, ada baiknya meereka mempertimbangkan beberapa saranan berikut:

1. Berdamai dengan diri sendiri :

Ertinya menciptakan suasana tenang dalam diri sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah SWT dan mengenepikan sebarang buruk sangka terhadap mentua. Alihkan fikiran secara total pada hal-hal yang positif. Ingatlah bahawa setiap perselisihan pasti melibatkan lebih dari seorang dan dalam hal ini tidak ada manusia yang dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Oleh sebab itu, jika secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain, maka sekarang belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri.
Ingatlah ungkapan yang mengatakan: “change your thoughts and you will change your world”. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri mereka akan terpengaruh dengan sikap tersebut di mana terdapat pasangan yang dari awal-awal perkahwinan lagi telah menunjukkan sikap yang negatif terhadap mentua.

Sebagai contoh masyarakat selalu melemparkan persepsi yang salah terhadap mentua seperti: mentua harus dijauhi dan tidak perlu diwujudkan hubungan baik dengannya, mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama ataupun menantu tidak boleh tinggal di rumah mentua dan berbagai-bagi prasangka yang lain. Persepsi yang tidak baik ini jika tertanam dalam pemikiran seseorang akan menyebabkan mentua mereka berkecil hati dan mudah tersinggung.

2. Mulailah belajar untuk memahami beberapa perkara seperti:

Setiap keluarga mempunyai budayanya sendiri begitu juga antara menantu dan menantu dan mentua tentunya memiliki budaya keluarga yang berbeza. Yang dimaksud dengan budaya keluarga di sini adalah latar belakang yang seringkali sangat jauh berbeza, sama ada yang menyentuh hal-hal berkenaan tempat tinggal atau pun pengalaman peribadi yang selama ini menjadi pegangan, didikan dan kebiasaan dalam sesebuah keluarga di mana segalanya ini tentu sekali akan membentuk karaktor, sikap dan pembawaan seseorang individu dalam menjalani kehidupan sehariannya dan dalam menghadapi sesuatu masalah.

Dengan lain perkataan, asuhan orang tua atau pun kualiti hubungan yang terjalin antara orang tua dengan anaknya merupakan faktor penting yang boleh mempengaruhi kualiti perkahwinan seseorang di masa akan datang. Hal ini mencakupi perihal pemilihan pasangan, pola interaksi komunikasi suami-isteri dan anak-anak, sikap terhadap pasangan dan persepsinya terhadap peranannya dalam keluarganya.
Dengan itu jika proses sosialisasi dengan orang tuanya tidak begitu baik, segala emosi negatif dari mas lalu akan terbawa-bawa dalam kehidupan rumahtangganya, baik terhadap diri sendiri, pasangannya dan terhadap makna perkahwinan itu sendiri.

3. Menyamakan pasangan dengan ibu atau bapa sendiri :

Seringkali tanpa sedar seseorang akan mencari pasangan dan mentua yang seperti ibunya dan bapanya. Mereka mengharapkan agar pasangannya dan mentuanya memperlakukan dirinya seperti perlakuan ayah dan ibu terhadapnya. Harapan tersebut pada dasarnya tidaklah wajar kerana ia akan mendatangkan masalah yang besar dalam rumahtangga.

Sebaliknya menantulah yang harus mengalah dan melayani mentua mereka seperti ibu bapa mereka sendiri selaku orang yang lebih tua daripada mereka bahkan kedudukan mentua sebenarnya adalah sama seperti ibu dan bapa sendiri.
Menderhaka kepada mentua samalah seperti menderhaka kepada ibu bapa sendiri.

Menantu juga hendaklah menunjukkan sikap bertolak ansur dengan mentua. Mentua seperti individu lain tentunya memiliki sifat kekurangan dan kelebihan tersendiri. Segala sifat mentua ini hendaklah diterima oleh menantu dengan lapang dada.

Kesimpulan

Sesungguhnya mentua adalah orang tua yang membesarkan pasangan kita dan mempunyai pengaruh yang besar dalam hidupnya. Mentua kitalah yang membentuk pasangan kita hingga menjadi peribadi yang mahu mencintai dan menerima diri kita. Oleh itu keserasian dengan mentua adalah antara faktor penting dalam mewujudkan kebahagiaan rumahtangga.

Hormatilah mentua sebagaimana kita menghormati kedua-dua ibu bapa kita iaitu dengan mewujudkan sistem komunikasi yang baik. Ini penting kerana ia bakal menjadi contoh kepada anak-anak apabila mereka menjalani kehidupan berumahtangga kelak. Janganlah membalas sakit hati kita dengan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada mentua. Percayalah rasa hormat yang kita tunjukkan itu akan membuatkan mereka merasakan diri mereka dihargai dan diterima oleh menantu mereka. Dengan demikian hubungan baik dan mesra antara menantu dengan mentua akan mudah terjalin.


Seterusnya...