CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Suami. Show all posts
Showing posts with label Suami. Show all posts

05 April 2011

Suami Panas Baran

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kasih sayang seorang atok pada cucu
Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:


“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)



Lama betul ummi tak sempat nak update laman ni. Sebok bebenor dengan berbagai-bagai urusan. Moga-moga urusan yang ummi sebokkan itu bukan urusan dunia sahaja.


Sejak dua menjak ni,banyak benor luahan hati para forumer di laman web Halaqahnet. Luahan hati kisah perjalanan rumah tangga. Ummi kongsikan di sini, sebagai panduan dan rujukan kepada pembaca agar berusaha menjadikan rumah tangga wangian syurga. Jadikan segala kisah ini sebagai iktibar dan teladan.


Assalamualaikum wbt..

Saya mempunyai dua orang anak dan sekarang sedang mengandung anak ke-3.Saya ingin meminta pandangan dan nasihat bagi masalah yang saya hadapi. Suami saya seorang ustaz dan mempunyai pegetahuan agama yg lebih daripada saya sendiri.Masalahnya ialah sikap panas baran dan suka mengeluarkan perkataan buruk terhadap anak2.Kadang2 saya begitu tertekan bila mendengar perkataan seperti bodoh, siut, jahanam keluar drp mulut suami.

Suami mmg tidak boleh bersabar dengan sikap anak2.Sebagai contoh ketika mengajar anak mengaji ataupun membuat kerja sekolah,mesti dia menengking anak jika anak tersilap sikit.Sehinggakan anak pun tidak mahu belajar bersama suami lagi.Bila dia marah, dia akan baling barang, hempas pintu dan mengeluarkan perkataan yg bukan2.

Sedikit sebanyak benda ni telah mempengaruhi anak sulong saya yg turut memarahi adik nya dengan mengeluarkan perkataan yg sama dengan abahnyer.Sudah puas saya menasihatinya untuk berubah sikap dan bertoleransi dalam mendidik anak2.Sebab setiap perlakuan kita di tonton dan di ikuti oleh anak2.Tetapi dia tetap dengan sikapnya.Kadang2 saya sedih bila mengenangkan anak2 belajar perkataan buruk2 drp ayah mereka sendiri. Harap ada yag sudi memberi sedikit nasihat buat saya.terima kasih.

Pandangan Ummi Munaliza:

Wa'alaikumsalam wbt...

Ketahuilah , manusia ini selalu diuji dengan ilmunya. Ini merupakan ujian Allah kepada suami dan kepada puan. Berdoalah lebih tulus memohon pertolongan Allah memudahkan urusan hidup keluarga puan.

Sesiapa sahaja tidak akan terlepas ujian Allah. Lagi tinggi ilmu seseorang itu,lagi banyak syaitan yang datang bak kata segerombolan untuk menghuru-harakan manusia. Itu memang janji syaitan dengan Allah Ta'ala.

Lagi tinggi ilmu, jenis syaitan yang datang untuk mengacau bilau keharmonian manusia ialah jeneral-jeneral yang terlatih. Mereka menyerang dari berbagai arah. Sebab itu ada banyak pintu-pintu yang mereka boleh memasuki ke dalam hati manusia.


Baca dan dengarlah : Klik Tajuk ini. Pintu Laluan Iblis Masuk ke dalam Hati Manusia

Maka punca ini yang perlu dibaiki dahulu. Jaga pintu-pintu ini . Iblis sentiasa berteleku di hati seorang mukmin. Maksud berteleku ialah, duduk senang lenang di dalam hati manusia. Iblis masuk melalui beberapa pintu. Pintu yang mudah dimasuki ialah pintu hasad dengki , khianat tamak dengan dunia.

Hasad dan tamak kepada dunia tidak pernah menggagalkan rancangan iblis untuk menggoda dan menghancurkan manusia. Perlanggaran batas dan hukum yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Apabila dilanggar maka akan menyebabkan kemurkaan Allah.

Syaitan memang sentiasa mencari peluang di manakah kelemahan diri kita agar kita juga turut dilaknat Allah.

Seorang isteri memang tidak mampu untuk menegur akhlak seorang suami yang jenis panas baran. Silap haribulan, dengan isteri sekali kena maki hamun. Jadi nasihat yang saya mampu berikan ialah, cuba minimakan punca yang boleh membuat suami marah.

Ajar anak sendiri, bila suami ada di rumah ingatkan anak-anak supaya menjauhkan diri dari ayah sehingga ayah itu tersedar kenapa anak-anak tidak mahu bermesra dengan dia. Tujuannya agar suami berfikir dan berubah sendiri.

Sebagai isteri senjata kita hanyalah air mata dan doa. Maka banyakkan berdoa. Merintih dan mengadu kepada Allah akan kegundahan hati kita ini. Semoga ada jalan keluar yang ditunjukkan oleh Allah kepada suami agar panas barannya berkurang.


Pandangan Ummu Fatimah:

Semoga puan terus bersabar. Banyakkan hadiah alfatihah buat suami tak kira masa, masak-masak atau kacau air sambil baca selawat. Selalu sapukan minyak zaitun kat kepala dengan janggut beliau.. Teruskan doa dengan penuh pengharapan untuk suami..

Untuk anak, selalu pujuk dia.. bagitau ayah marah sebab sayang, ayah tak maksud nak cakap macam tu.. Nasihat puan pada anak, supaya anak tak benci pada ayahnya. Dalam hal macam ni, puan kena sabarkan dan tabahkan anak, supaya mereka tak mengalami kecederaan emosi yang lebìh teruk.

Setiap rumahtangga ada ujian, cuma ujian tu tak sama atas tiap-tiap orang. Saya doakan puan terus sabar dan mendidik anak-anak dengan sifat sabar. Sesungguhnya Allah s.w.t bersama orang-orang yang sabar.

Wallahua'lam.


Begitulah antara kisah rumah tangga yang sering berlaku di hari ini. Ujian ini datang kepada sesiapa sahaja, tak kira orang berilmu atau jahil. Cumnya bagaimana seseorang itu menanganinya, adakah mahu mengikut petunjuk al-Quran dan As-sunnah atau ikut cara syaitan.


Semoga entri ini bermanafaat kepada mana-mana isteri yang menghadapi masalah yang sama.


Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

01 February 2010

Suami Yang Pengasih

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.


Setiap isteri amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.

1. Imam Solat
Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.

2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.

3. Suami yang matang

Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.



4. Pandai Memasak
Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.

5. Suami yang ‘independent’
Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti.

6. Mempunyai prinsip dan pendirian
Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga.. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.

7. Menjaga anak-anak bersama isteri
Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.

8. Jadilah suami serba tahu
Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.

Sumber





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

10 July 2009

MENGENALI HATI LELAKI

Isu jodoh perkahwinan sekarang semakin hangat dibicarakan di Baitul Muslim. Di sini saya tertarik untuk berkongsi dgn isteri dan wanita yang bakal mendirikan rumah tangga untuk lebih memahami suami. Rahsia hati seseorang ialah sedalam sebuah lautan yang luas.

Lebih baik seseorang wanita mengahwini lelaki yang mencintainya daripada beliau mencintai lelaki tersebut.

Dipetik dari satu petikan web:

Bagaimana anda menambat hati lelaki,terutama kekasih atau suami sendiri?
Manusia memang tidak mampu meneroka hati dan jiwa manusia. Namun anda boleh
belajar mengenal mereka supaya kebahagian dapat dinikmati bersama. Apa sebenarnya yang harus anda lakukan untuk menambat hati lelaki?

Terima lelaki agar dia menerima anda : Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain "Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terimalah dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda tahu ialah mengenai lelaki, dan bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan lain, yang mungkin tidak anda sukai dan tidak menyukai anda.

Fahamilah lelaki agar dia memahami anda : Cuba memahami perangai sedia ada pada
sesorang lelaki yang menyesuaikan perangai itu dengan diri anda. Ianya adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.

Berubah untuk menikmati perubahan : Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

Sanggup memberi untuk menerima : Di atas segala-galanya, apa yangpenting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki.Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda beri.

Percaya untuk dipercayai : Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang mudah. Bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukan lah payah. Apabila lelaki sudah tidakpercayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

Menangkan lelaki untuk menang : Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah perkahwinan, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan menyuarakan. Kuasa isteri pula adalah sama ada bersetuju atau tidak.
Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan itu akan menjadi porak-peranda.

Sifat negatif akan membuah kesan negatif : Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat demikian, walau bagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan anda. Andalah yang sepatutnya berubah.

Bertanggung jawab dan menikmati kesan tanggung jawab : Sebenarnya tanggung jawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini makin maju. Begitu juga dengan tanggung jawab suami kepada isteri. Selagi anda menjalankan tanggung jawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau apa pun.

Kritikan akan membuahkan kritikan : Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirtinya. Ia juga bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki. Menjejaskan rasa kepentingan diri. Dan menyebabkan lelaki merasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkriti anda pula.

Beri kepada lelaki apa yang dia mahu :Dia akan melakukan apa saja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oleh lelaki (i) kehendak seks, dan (ii) kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia didunia dan akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.

Tunjuk minat tulin terhadap lelaki : Dia akan menujukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri, juga mengenai kerjanya
ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia pada anda.

Senyum itu tanda kasih yang tak perlu dibayar : Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk
senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan pada anda itu, begitulah juga nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyum menyebabkan lelaki suka pada anda.

Panggillah lelaki dengan panggilan manja
: Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada lembut, begitu pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.

Hormati dia sebagai lelaki
: Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya, dan bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadi diri lebih terhormat.

Dunia Lelaki Yang Berbeza Dari Wanita : Seorang lelaki tidak sama denganseorang wanita. Lelaki juga tidak akan menjadi wanita, dan begitulah sebaliknya. Ramai wanita menganggap lelaki sukar difahami, begitu jugalah pendapat lelaki. Berikut dinyatakan bebarapa sifat lelaki secara umum agar anda mudah memahami mereka:

Hidup Lelaki Lebih Mudah : Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding dengan wanita. Kerana itu lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasa oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki faham. Tetapi, lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah, dan secara berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.

Bahasa Lelaki Adalah Berlainan : Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir dari kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada apa
yang dimaksudkan. Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukan berbanding dari apa yangdikatakan. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.

Lelaki Suka Membisu
: Wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.

Lelaki Tidak Kompleks : Jika terdapat semua tanda yang menunjukan bahawa seorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki berfikiran primitif, tetapi lelaki memag sedemikian. Wanita selalu menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah.

Jangan Paksa Lelaki : Bila wanita mendesak lelaki mendedahkan perasaanya, mungkin wanita itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Malah adalah
lebih baik jangan bertanya dan menyelidik sampai ke akar umbi. Malah apa yang penting wanita itu perlu membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca tetapi tidak melakukannya, mungkin pada masa itu fikirannya sedang kacau.

Lelaki Berahsia Dengan Lelaki Lain : Tidak sebagaimana wanita yang lebih mudah untuk bercerita masalah yang dihadapinya kepada wanita lain, harapan dan kebimbangan yang dirasainya dan pelbagai cerita peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya lelaki memerlukan kekuatandan keberanian yang maksima.

Lelaki Pentingkan Kejujuran : Sepertimana wanita, lelaki juga pentingkan kejujuran. Jika lelaki tahu yang kekasihnya atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal-hal rahsia yang lainnya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Seorang suami mahu isterinya menyimpan
rahsia-rahsia rumahtangganya.

Lelaki Perlu Keselesaan Perasaan : Wanita sering menganggap lelaki sukar difahami. Sebenarnya ini juga anggapan lelaki pada wanita. Berikut dinyatakan beberapa sifat umum lelaki agar kita lebih memahaminya.

Lelaki tidak suka dikritik : Jangan mengkritik lelaki, memainkan jika wanita itu bersedia untuk bertikam lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan. Mengkritik di belakangnya, contohnya kepada saudara atau rakannya, mungkin dapat mengelakkan konfrantasi serta merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara tersebut disampaikan kepadanya.

Cara baik mengkritik lelaki adalah dengan cara berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan dan ia jarang dilakukan oleh wanita. Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila menegur, perbincangan itu ringkas, tidak emosi dan tepat. Untuk mengkritik lelaki eloklah kiranya kritikan itu digabung dengan sedikitpujian.

Lelaki juga mahukan sokongan
: Bila lelaki menghadapi masalah dan mengadu pada wanita, wanita harus memberitahu lelaki itu bahawa dia masih diperlukan. Lelaki mahukan keselesaan perasaan dan sokongan serta kata-kata lunak seperti: "saya cintakan abang.."
atau "Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap bersama abang…"

Lelaki dan ego : Ramai lelaki menunjukkan egonya pada dua masa, pertama di dalam kerka dan kedua di ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suami atau kekasihnya.Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta itu. Lelaki mahu wanita memberitahubahawa sumbangannya diiktiraf dan dinilai. Jika anda tidak menyatakan kepadanya, siapa lagi? Jika anda mempertingkatkan ego lelaki, ia kan membuatkan lelaki merasa senang dan setiap orang disekelilingnya akan mendapat faedah, terutamanya yang dicintainya.

Lelaki mesra tanpa beremosi : Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi dan mengasihi sebagai balasan. Intimasi emosional, bersatunya jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ianyabukan satu proses sahaja.

Setiap manusia bergantung kepada intimasi emosional untuk seimbang dan gembira, paling kurang ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Tempat di mana lelaki berbeza dari wanita ialah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segiseks tanpa kemesraan emosi. Janinan atau hubungan antara dua perkara ini, iaitu kemesraan cinta berahi (seks) dan kemesraan emosi cinta kasih (emosi) tidak penting pada ramai lelaki.

Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah pada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding dengan wanita. Lelaki lebih cepat mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan seks yang lebih memuaskan. Tetapi jika tanpa emosi seks boleh dilakukan juga oleh lelaki.Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik semulajadi antara lelaki dan wanita. Bila keperluan kemesraan emosi wanita tidak dipenuhi samaada sebelum atau selepas kemesraan seksual, kekecewaan akan melanda wanita. Tetapi tidak lelaki.

Lelaki suka menyelerak : Lelaki bersifat suka menyelerak barang-barang dan berharap isteri akan mengemaskannya. Kadangkala lelaki mahu isterinya bersifat sebagai ibunya.Walaupun pada kebanyakan ketika lelaki adalah pembuat yang memulai atau meneruskan sesuatu, adakalanya lelaki mahu dijaga oleh seorang 'ibu'. Dia menunjukkan kemahuannya itu secara tak langsung dengan menyelerak.

Lelaki diumpan menerusi matanya :Mata lelaki dianggap pembangkit ghairah paling utama. Kemudian itu barulah sentuhan, hiduan dan pemikiran rasional memainkan peranan. Untuk menghangatkan hubungan, wanita perlu menghiasi dirinya dengan keindahan. Ini boleh membangkitkan keghairahan lelaki. Lelaki cenderung untuk mencari keghairahan penglihatan, sedangkan wanita bangkit keghairahannya dari bacaan dan kesan terhadap imaginasinya.

Pujuklah Ia Walaupun Terpaksa : Lelaki tidak meminati wanita? Ituadalah satu pembohongan. Tidak ada lelaki tidak berminat atau tertarik untuk mengenali mana-mana wanita. Lelaki dijadikan sebagai makhluk yang akan memulakan sesuatu. Berbanding dengan wanita yang dijadikan dengan perasaan malu yang lebih menebal daripada lelaki

Seterusnya...

Kriteria suami pilihan

1. Berkemampuan
Mampu yang dimaksudkan, berupaya menyediakan tempat tinggal, saraan hidup yang biasa mengikut suasana sekarang, serta pakaian untuk menutup aurat. Perkara-perkara ini wajib dilaksanakan suami dan kegagalan menyempurnakannya boleh mendatangkan kesan buruk dan mudah berlaku perceraian.


Hadis Nabi dari Abu Hurairah yang bermaksud:
"Wahai permuda-pemuda; barang siapa diantara kamu bernikah, maka hendaklah ia bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu."[Riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim]

2. Melindungi.
Sanggup melindungi wanita daripada segala bahaya dan kecelakaan yang menimpa kerana apabila seorang wanita rela dinikahi, bererti ia rela melepaskan dirinya daripada ayah bonda yang selama ini menjadi tempat pergantungan hidup. Kini berpindah kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya.

3. Pandai menjaga darjat diri.
Apabila bercakap dikota dan diamalkan. Selain daripada itu suami yang baik akan sentiasa mengajak isteri ke arah kebaikan, menjauhkan yang mungkar dan mendahului perbuatan itu.

4. Berkebolehan didalam urusan rumahtangga.
Kebolehan memasak, menjahit juga membasuh akan membantu kerana lelaki yang biasa membuat kerja begini, tidak akan membebankan isterinya membuat kerja rumah sekiranya isteri tiada kemampuan.

5. Mempunyai penuh kepercayaan kepada perempuan dan tidak mudah bersangka buruk.
Biasanya apabila suami bertugas mencari nafkah maka isteri akan menjaga segala amanah harta dan anak di rumah. Sekiranya suami tidak mempunyai kepercayaan kepada isteri, ini bererti suami akan sentiasa menyangka buruk.

6. Rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta isteri.
Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Allah sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa usaha sedangkan kejayaan dicapai melalui usaha.

7. Pemaaf.
Sifat ini adalah sebahagian daripada sifat terpuji Rasullah ketika menegakkan agama Islam. Oleh itu suami bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak.

8. Berketurunan baik.
Mempunyai akhlak dan budi bahasa mulia, berpegangan agama lagi rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan seperti gila atau penyakit merbahaya yang boleh membawa kepada kesengsaraan hidup.

Seterusnya...

Kriteria Suami Pilihan

1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.

Seterusnya...