CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Mahar. Show all posts
Showing posts with label Mahar. Show all posts

26 December 2009

Mahar perkahwinan


Apabila jodoh ditemukan dan kedua pihak telah bersetuju untuk dinikahkan maka sebagai syarat yang penting dalam pernikahan ialah pihak lelaki dikehendaki memberi hadiah atau mahar kepada pihak wanita. Ini adalah syarat terpenting untuk membuatkan pernikahan itu sah dari hukum syarak. Allah memerintahkan supaya wanita yang akan dikahwini diberi mahar. Allah menyatakan, “Ya Rasul, sesungguhnya kami telah menghalalkan kamu isteri kamu yang telah kamu berikan kepadanya mahar.”

Di dalam ayat yang lain Allah menyatakan, "Dan untuk wanita kamu, berikanlah mereka mahar sebagai hadiah dan jika dia memberi kepada kamu sebahagian dengan kerelaannya, maka makanlah dengan senang hati dan gembira." Allah mewajibkan mahar sebagai hadiah untuk wanita yang dikahwini. Mahar adalah sebagai cinta cintanya sudah diterima.

Apabila cinta atau kasih yang ditawarkan oleh teruna diterima oleh si dara maka sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang memberikannya isteri maka mahar dibayar. Mahar hanyalah tanda, yang penting wanita itu menerima serta membalas cintanya dan bersedia bersamanya mengharungi lautan hidup. Oleh kerana mahar adalah tanda kegembiraan bagi pihak lelaki, maka ianya hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas, tulus, suci dan gembira. Ianya tidak patut diberi sebagai satu bebanan dan tekanan bagi pihak lelaki.

Pihak wanita janganlah menganggapnya sebagai satu tuntutan yang patut dibayar oleh pihak lelaki kerana berjaya meminangnya. Pihak wanita tidak patut menganggap mahar sebagai ganti untuk anaknya. Oleh kerana anak wanita kami berpelajaran tinggi, cantik dan mempunyai kedudukan maka bayaran mahar hendaklah tinggi. Mahar dianggap sebagai bayaran atau harga wanita yang dikahwini.




Allah memberitahu mahar adalah hadiah dari pihak lelaki untuk pihak wanita. Mahar hendaklah dibayar oleh pihak lelaki mengikut kemampuannya. Lelaki hendaklah memberinya dengan penuh perasaan kasih dan tanpa tekanan. Pihak wanita tidak patut membuat tuntutan yang membebankan nya. Jika lelaki itu lelaki yang kaya dan berharta maka maharnya adalah mengikut kemampuannya. Jika dia seorang yang berpendapatan rendah maka maharnya mengikut kemampuannya. Tidak ada had atau batas di dalam memberi mahar. Ianya diberi mengikut kemampuan yang memberi. Mahar boleh merupakan sebentuk cincin emas yang bertatahkan berlian atau hanyalah sebentuk cincin suasa.

Mahar boleh merupakan segenggam barli atau kurma dan boleh juga sepasang kasut. Seorang wanita dari Bani Fajarah dikahwinkan dengan mahar sepasang kasut. Nabi Muhammad bertanyakan dia, sama ada dia berpuas hati dengan mahar hanya sepasang kasut. Wanita itu menjawab dia berpuas hati. Maka Nabi Muhammad membenarkan lelaki itu mengahwininya.

Dari hadis di atas, jelas menunjukkan mahar adalah hadiah dari pihak lelaki dan pihak wanita pula bersetuju menerimanya. Mahar adalah lambang ikatan yang dibuat antara dua insan. Ia tidak patut diberatkan. Apabila mahar dibayar mengikut kemampuan pihak lelaki maka perkahwinan menjadi mudah untuk semua orang. Melakukannya apabila jodohnya telah ditemui. Penzinaan, maksiat akan berkurangan kerana peluang untuk berkahwin dipermudahkan untuk semua orang.

Apa yang memberatkan anak muda yang mempunyai nafsu yang tinggi untuk berkahwin ialah maharnya mungkin rendah tetapi dibebankan dengan hantaran yang tinggi. Bagi melepaskan syahwatnya mereka bercinta dan tidur seperti suami isteri tanpa nikah. Apabila mereka berkahwin, wanita itu sudah tidak ada lagi daranya. Inilah yang berlaku dalam masyarakat yang menyusahkan dan memberatkan pernikahan. Penzinaan menjadi perkara biasa. Lelaki muda pergi berkunjung ke sarang pelacuran untuk memuaskan nafsu. Jangkitan penyakit kelamin seperti AIDS akan merebak seperti api. Masyarakat itu menuju kepada kehancuran.

Kenapa perkahwinan disusahkan dengan hantaran yang tinggi dan mahar dimahalkan. Ini berlaku kerana masyarakat cintakan kebendaan dan kesucian. Mereka mahu nama dan kemegahan daripada taat kepada perintah Allah. Ini terjadi kerana iman lemah dan cinta dunia bersarang dalam hati. Akhirnya masyarakat yang tidak mengamalkan agama pasti akan dihancurkan, oleh amalan mereka sendiri.

Jikalau kita ingin kebaikan dan keberkatan di dalam perkahwinan, maka mudahkan lah ia. Semakin hampir pernikahan itu seperti pernikahan anaknya Nabi Muhammad iaitu Fatimah, maka semakin berkat lah ia. Perkahwinan Ali dan Fatimah dijalankan dengan sederhana sekali. Ali tidak mempunyai apa-apa pun untuk berkahwin. Dia hanya mempunyai sebuah perisai perang (baju besi) yang dijadikan mahar buat Fatimah.

Seterusnya...

18 December 2009

Rendah Maharnya,mudah kahwinnya

Masih berkisar tentang mahar dan hantaran kahwin. Mungkin sekarang ni musim orang kahwin,maka suka ummi bercerita hal ini lagi. Tambahan sekarang ada isu tentang kadar maskahwin di Selangor telah dinaikkan kepada RM300. Jika maskahwin dinaikkan setakat itu sahaja, masih tak jadi beban atau menyukarkan untuk berkahwin.

Yang jadi masalah ialah nilai duit hantaran yang diminta oleh setengah ibu bapa. Tinggi melampaui had dan diluar kemampuan orang bujang yang baru bekerja. Rasanya jika nilai duit hantaran ini tidak terlalu tinggi, ia memang memudahkan perkahwinan orang-orang bujang. Jadi yang menyukarkan adalah ibu bapa anak perempuan.

Berikut beberapa ayat-ayat al-Quran dan hadith menunjukkan mudahnya untuk berkahwin,dan hadith menunjukkan perkahwinan itu perlu dipermudahkan.


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahilah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi” (Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad)

Firman Allah SWT:
“..Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui..” (An-Nur:32)

Hadith Rasulullah lagi,
Dari Ali r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya; “...3 perkara jangan engkau tangguhkan, solat apabila tiba waktunya, mayat apabila telah sampai, bujang apabila ditemukan sekufunya..” (HR Tirmizi).


Hadis Sahl bin Saad r.a:

"Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu.

Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.

Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata:

Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, kahwinkanlah aku dengannya.

Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin.

Sahabat menjawab: Tidak ada!

Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin.

Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: "Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin".

Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.

Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata:
Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya (Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan) maka aku berikannya kepada perempuan tersebut.

Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.

Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ.

Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?

Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermas-kahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz " Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 2554

Seterusnya...

31 October 2009

Pengertian Maskahwin

1. PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )




2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)

Seterusnya...

16 July 2009

Mahar

Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri.




Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.

Jenis mahar

* Mahar misil : mahar yang dinilai berdasarkan mahar saudara
perempuan yang telah berkahwin sebelumnya
* Mahar muthamma : mahar yang dinilai berdasarkan keadaan,
kedudukan, atau ditentukan oleh perempuan atau walinya.


Seterusnya...