CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label suami teladan. Show all posts
Showing posts with label suami teladan. Show all posts

12 November 2010

Suami Larang Isteri ziarah Keluarga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


SOALAN;


Benarkah ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatan terhadap ibu bapa?

JAWAPAN:

Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya;
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”(Surah Al-Isra’ : 23)

Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.

DALIL-DALILNYA;

Pertama: Al-Quran

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka” (Surah An-Nisa’ : 34)

Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya[1]”


ISTIDLAL:

Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.

Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah[2].

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه

Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya[3]”

Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت

Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu[4]”


HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.

Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.

Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.

ISYKAL


PERTAMA:

Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN:

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها

Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya[5]”

KEDUA:

Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN;

Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.

Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ

Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga[6]”

Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com

[1] Sahih Al-Bukhari : 4796.
[2] Syarh Muntaha Al-Iradah : 3/47.
[3] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 7353.
[4] Sahih Al-Jami’ : 660.
[5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
[6] Sunan At-Tarmizi : 1081, sunan Ibni Majah : 1844.




Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

23 October 2009

Perlihatkan Sayang Kepada Isteri

Suami tidak harus memandang kecil soal menyuarakan dan memperlihatkan kasih sayang kepada isteri. Ramai suami memandang kecil soal ini atau merasakannya kurang penting.

Pengalaman saya, perkara kecil itulah yang menjadi masalah besar, suami tidak seharusnya memendam perasaan cinta dan kasih sayang itu hanya dalam hati, tapi perlu diluahkan dengan kata-kata dan juga melalui perbuatan.

Hakikatnya, isteri tahu bahawa suaminya menyayangi dirinya tapi hanya dalam hati yang tidak diluahkan dengan kata-kata.

Perasaan cinta dan sayang sebagai anugerah Allah itu akan lebih bermakna dan lebih meninggalkan kesan di hati isteri jika diungkapkan melalui kata-kata atau dengan tindakan.

Berdasarkan pengalaman saya apabila suami mengungkapkan kata ‘sayang’, ‘rindu’ dan seumpamanya, segala penat lelah dan perasaan marah akan terpadam begitu sahaja. Begitu bermakna dan berharganya ucapan langsung dari seorang suami.

Pernah sekali saya dan suami berselisih faham. (Memang lah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hati manusia dalam jiwa yang berbeza, pasti ada juga pasang surutnya) Suami saya hantar SMS, saya simpan sampai berbulan-bulan.



Dalam konteks tanggungjawab, memberi kasih sayang juga termasuk tanggungjawab suami ke atas isteri, tapi ada di kalangan suami yang tidak mengambil berat tanggungjawab tersebut.

Suami seharusnya sedar akan amanat Allah kepadanya, kerana mereka merupakan pemimpin kepada wanita.

Semua isteri terdetik di hatinya menginginkan sesuatu yang sempurna dari suami mereka termasuk luahan kasih sayang, walau seburuk mana pun wanita itu. Ini memandangkan bahawa wanita dianugerahi naluri yang lembut, ingin sentiasa dibelai, dimanja, ditatang dan dikasihi. Elemen-elemen sebegini sudah sebati dalam diri wanita terutama yang bergelar isteri.

Jika dilihat sifat wanita pula, lumrahnya mempunyai nafsu yang sukar dikawal. “Bila ada baju baru, nak kasut baru, tudung baru dan sebagainya baru…"

Dalam menghadapi pelbagai bentuk perasaan yang bermain-main di dalam dada, wanita perlu banyakkan bersabar, kerana tidak ada elemen lain yang lebih baik selain bersabar.

“Allah akan sentiasa menguji kita dengan pelbagai perasaan; perasaan takut, cemas, berang dan sebagainya.”

Wahai para isteri bercita-citalah untuk menjadi isteri solehah...


Seterusnya...

MENGASIHI ISTERI

Dan Akhir kalam , ini tips ummi untuk para suami....

PETUA MENGASIHI ISTERI

1. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan "I Love You".

2. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.

3. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.

4. Tolong terbalikkan stokin atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci. Tolong buang sampah tanpa disuruh.

5. Bila keluar out station, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang kita sudah selamat sampai.

6. Tunjukkan kepimpinan yang baik, suami adalah ketua rumahtangga dan pendidik.

7. Berdiskusi dari semasa kesemasa, jangan ketepikan pendapat isteri.

8. Sentiasa kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

9. Sokong pendapat isteri sekiranya beliau bertentangan dengan pendapat orang lain, tetapi hendaklah secara rational bukannya mengiyakan semuanya......
sekiranya pendapat isteri anda salah.... betulkan.


10. Urut-mengurut isteri atau seumpamanya dari masa kesemasa.

11. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.

12. Sabar dan tenang bila mendengar cerita dan masalah isteri.

13. Pamerkan kasih sayang bila dikhalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkan beliau jauh bila berjalan.

14. Bila berpegang tangan, jangan biarkan tangan longlai.

15. Buatkan air minuman atau seumpamanya sekali-sekala.

16. Bila makan diluar, jangan harapkan isteri sahaja yang memilih tempat untuk makan.

17. Sabar bila isteri terlambat sedikit atau dengan tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.
18. Beri perhatian yang lebih pada isteri dari orang lain dikhalayak ramai.

19. Lebihkan isteri anda dari anak-anak.

20. Belikan hadiah kecil dari semasa kesemasa seperti minyak wangi dan jam Kad-kad ucapan juga dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dengan isteri.

21. Bila Hari Raya tiba nanti jangan hanya bagi 'angpau' kepada anak-anak sahaja . Tetapi bagilah juga kepada isteri anda. Tak kira lah berapa jumlahnya dan tak kisahlah samada dia bekerja atau surirumah tangga sahaja. Anda pasti seronok lihat isteri gembira.

22. Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutamanya dari orang yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka. Bila mereka rasa terhibur dan bahagia mereka akan menjadi seorang pasangan yang amat setia dan cinta sepenuh hati. Sekiranya kasih sayang yang mutlak telah didambakan kepada orang yang disayanginya, segala pengorbanan akan dilakukan tanpa memberi sebarang nilai-itulah perempuan.

23. Gunakan sepenuhnya teknologi yang ada dizaman sekarang. Seringlah menelefon atau menghantar e mail untuk bertanyakan khabar atau paling minima mengucapkan ‘Hai’ untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu. Bagi mereka walaupun satu ungkapan atau satu ayat, ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan begitu bahagia menerimanya.

24. Berkongsilah masalah dengan mereka, cuba dengar pendapat mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berasa yang mereka itu penting dalam diri kamu dan diperlukan.

25. Jangan kamu ambil remeh temeh pada perkara yang amat penting bagi mereka. Mereka sangat kuat ingatan terhadap tarikh-tarikh penting, contohnya hari ulangtahun. Apa salahnya buat ‘surprise’ sekali sekala kepada orang yang kita sayangi. Mereka akan dapat rasakan yang kamu betul-betul menyayanginya.

26. Perempuan terkenal dengan sifat manjanya. Mereka sering ingin melakukan sesuatu bersama orang yang disayangi. Mereka akan meminta bantuan kamu walaupun mereka mampu melakukannya. Jangan menolak sekiranya kamu tiada halangan ketika itu. Inilah masanya untuk kamu menonjolkan ke’macho’an kamu!

27. Pujuklah mereka dan tenangkan mereka sekiranya mereka dalam kesusahan. Ketika ini mereka benar-benar inginkan kamu disisi mereka.

28. Jangan kedekut memberi pujian kepada mereka kerana mereka berhak mendapat pujian.

29. Berbincanglah kamu selagi kamu boleh berbincang dan berbincanglah bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan kamu menggunakan kuasa veto kamu dalam membuat keputusan.

30. Cuba memahami keinginannya dan kemahuannya. Sesetengah perempuan tidak suka menyatakan secara terus terang tentang apa yang mereka inginkan, kadang-kadang mereka suka berkias dan memberi contoh ‘cerita orang lain’ kepada kamu. Jadi kamu kenalah peka dan gunakan kepakaran kamu untuk memenangi hati mereka.

31. Jangan lupa, mereka juga ada ego yang terselit di celah-celah kelembutan mereka. Apabila mereka terancam atau tercabar.. lahirlah sifat amarah, cemburu dan cepat merajuk. Masalah akan timbul bagi mereka yang suka memendam terhadap sesuatu yang mereka tidak puas hati. Mereka akan ‘meletup’ pada suatu hari. TETAPI kamu jangan sama-sama meletup. Kamu juga jangan lupa dalam diri kamu wujud satu sifat kepimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam keadaan yang terkawal Cari sebab mengapa ia terjadi dan bawa berbincang. Ditahap ini kesabaran, toleransi dan komunikasi amat penting. Lakukan dalam keadaan ketika mereka sudah 'sejuk'. Mungkin kamu juga boleh 'cool'kan diri kamu dengan berfikir secara positif contohnya mengapa mereka cemburu… itu kerana mereka SAYANGkan kamu!

Seterusnya...

15 September 2009

Suami Soleh, Suami Teladan

Entri hari ini pula cerita tentang suami soleh. Apakah ciri-ciri suami yang soleh dan suami teladan. Ada beza dua tu. Maka teruskan lah membaca untuk mengenal ciri-ciri suami soleh dan suami teladan.

Ciri-ciri suami yang soleh ialah:
a. Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu yang di luar kemampuan isteri.
b. Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.

c. Jangan mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.
d. Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya.

e. Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.

f. Bertanggungjawab mendidik akhlak keluarganya.
g. Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah SWT.
h. Menjaga hati dan perasaan isteri.

i. Mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.

k. Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan.

l. Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai pemimpin.

m. Memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan.

n. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.

o. Memberikan kasih sayang dan berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan bersama.


Ciri-ciri Suami Teladan
a. Suami yang tidak sanggup melihat isterinya meringankan perintah Allah.

b. Suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya. Selalu menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan tanggungjawab yang sesuai dengan kemampuannya. Ia selalu berterus terang dengan isterinya. Jika ia mempunyai kekurangan, ia akan menyatakan kepada isterinya.

c. Suami yang soleh yang sentiasa menjalankan perintah Allah.

d. Suami yang menganggap isterinya sebagai kekasih dan sahabat. Tidak mudah cemburu. Mempunyai keyakinan dan menaruh kepercayaan terhadap isterinya.

e. Suami yang bijaksana, suami yang sanggup menjadi pemimpin rumahtangga.

f. Suami yang baik, tidak menyembunyikan rahsia yang tidak disenangi isterinya. Apabila berkata-kata dengan isterinya dengan cara lembut dan bersopan santun.

g. Suami yang bersikap mahu memaafkan dan membetulkan kesalahan isterinya.

h. Suami yang soleh, selalu membimbing isterinya, menghiburkan isterinya,berbincang-bincang, menghargai pandangan isterinya dan sebagainya.


Suami yang layak menjadi pemimpin
a. Pengetahuan agama yang sempurna - untuk membimbing ahli keluarganya mengamalkan ajaran agama sebagai panduan hidup.
b. Tubuh badan yang sempurna - sanggup melaksanakan tanggungjawabnya dengan kesempurnaan anggotanya. Ini bermaksud selagi mampu memenuhi keperluan zahir dan batin.

c. Membelanjakan sebahagian harta - mencari nafkah untuk menyara hidup ahli keluarganya

d. Akal fikiran yang sempurna - berfikiran positif.


Kewajipan Suami Dalam Rumahtangga

1. Memenuhi mas kahwin isteri secara sempurna
2. Memberi nafkah kepada isteri
3. Menggaulinya dengan baik
a. Memberi nafkah sesuai dengan kemampuan.

b. Sentiasa berbincang dengan isteri dalam segala hal.

c. Mengajak isteri bergurau senda, berlaku lemah lembut kepadanya, menghiburkan isteri supaya hatinya sentiasa gembira.

d. Memaafkan kesalahan isterinya apalagi terhadap isteri yang berbudi pekerti mulia.

e. Di hadapan isteri hendaklah menunjukkan keindahan dan kebaikan kerana isterinya juga menyenangi apa yg disenangi oleh suaminya.

f. Membantu isteri dalam urusan rumahtangga terutama apabila isteri sakit atau sibuk dengan pekerjaannya.

g. Tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya di hadapan umum.

h. Melindungi isteri dari api neraka.

4. Cemburu hanya kerana agama dan kehormatan

Cemburu ini bermaksud, menjaga isteri dari segala sesuatu yang berbentuk pandangan, perkataan atau perasaan. Secara umum lelaki bersifat :
- berani dan gagah perkasa

- ingin menolong yang lemah
- ingin berkuasa

- kasar dan tamak

manakala wanita bersifat :

- lemah lembut

- pemalu

- mempunyai perasaan yang halus

- bersopan santun

- penyabar.


Sifat-sifat ini adalah bersesuaian dengan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing.

5. Membimbing isteri

Di samping memiliki sifat-sifat yang baik, wanita juga mempunyai sifat buruk yang kadangkala merupakan sifat asal ataupun dari pengaruh luaran. Diantaranya:
a. Mudah lupa dalam mengingati Allah. Kesibukan dengan harta kekayaan dan anak-anak kadang-kala membuat wanita lengah akan perintah Allah. Kelalaian ini akan memberi peluang kepada hawa nafsu menguasainya.
b. Mudah terpengaruh oleh tipu daya dunia. Kemilauan dunia sering membuat wanita terpedaya.

c. Sering bersikap bangga dan bermegah-megah kepada orang lain

Dengan memahami sifat isteri, suami boleh membimbing dan menasihati isteri. Suami pula sepatutnya tahu bagaimana cara membetulkan isteri. Tersilap cara akan mengakibatkan perselisihan. Perselisihan dalam rumahtangga dapat dikurangkan sekiranya pasangan mengamalkan perangai yang baik seperti :
1. Janganlah suami dan isteri marah pada masa yang sama.
2. Jangan mengeluarkan suara yang kuat antara satu sama lain.

3. Jika ada seorang yang harus menang dalam perselisihan, maka biarkanlah ia menang.

4. Jika harus mengkritik pasangan, lakukanlah dengan sikap kasih sayang.

5. Jangan mengungkit kembali kesalahan-kesalahan lalu.

6. Lebih baik tidak mempunyai masa untuk orang lain daripada tidak mempunyai masa terhadap pasangan.

7. Jangan tidur jika ada perselisihan belum diselesaikan.

8. Berkata sesuatu yang manis atau pujian pada pasangan kita sekurang-kurangnya sekali sehari.

9. Jika bersalah, akuilah kesalahan dan meminta maaf.

10. Jangan lupa bahawa perselisihan terjadi akibat dua orang dan biasanya orang yang bersalah paling banyak berbicara.



6. Membimbing anak

Seorang suami yang adalah suami yang tidak mengabaikan tanggungjawabnya antaranya:

a. Memberikan nama yang baik bagi anaknya.

b. Memberi nafkah.

c. Bertanggungjawab atas pendidikan anak dan sebagainy
a.

Keperibadian Suami yang menjadi Impian isteri
1. Penuh dengan kerinduan dan kasih sayang
2. Persaan mencintai

3. Gagah dan berakhlak mulia

4. Kaya dan bijaksana

5. Memberikan cahaya dalam kehidupan

6. Menegakkan kebenaran

7. Mulia di sisi Allah


Suami yang penuh dengan sentuhan kasih

Ada 10 nasihat untuk suami dalam memahami hubungannya dengan isteri :

1. Bersikap tegas dan lemah lembut terhadap isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalulanya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi "boss". Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi pujian terhadap isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepada pasangannya, "Adakah engkau cinta padaku? " Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan batas tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

4. Menghindari kritikan terhadap isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri.
Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya iaitu:

a. Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah

b. Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada perasaan kecewa dan tekanan batin.

c. Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama.

d. Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirinya sendiri

e. Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak.

f. Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan perceraian.

5. Memperhatikan sesuatu yang romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita,hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami isteri yang ingin selalu di samping suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga perasaan aman dalam kehidupan isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami gelora jiwa isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya, maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai org yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina kerjasama yang baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi keperluan peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Seterusnya...