CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Pemilihan calon. Show all posts
Showing posts with label Pemilihan calon. Show all posts

08 November 2010

Memilih Calon Menantu Lelaki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Sering kali kita dibacakan maksud sepotong hadith yang berbunyi,"Dikahwini wanita itu(untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya,dan agamanya.Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu)wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu" (riwayat Bukhari dan Muslim).


Secara umumnya, hadith ini menyenaraikan ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki
untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya,berharta,berdarjat tinggi, dan cantik jelita merupakan pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki.


Namun yang lebih penting, hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri "kuat penghayatan agamanya". Hal ini kerana wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan mempengaruhi kebahagiaan hidup berumah tangga.


Tetapi bagaimana pula ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami? Jika hadith di atas memberi panduan kepada kaum lelaki dalam memilih bakal isteri mereka, tentu ada panduan
lain untuk kaum wanita memilih bakal suami mereka.


Memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Lebih-lebih lagi seorang wanita, perlu menyelidiki terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya. Hal ini penting kerana menurut kajian , kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila mereka diabaikan suami.


Dalam hal ini, ibu bapa wajib memberikan panduan bagaimana anak perempuan mereka boleh mencari bakal suami. Rasulullah S.A.W ada bersabda yang bermaksud : "Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar."


Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa kriteria seorang suami yang baik ialah mereka yang beragama dan berakhlak mulia. Sifat inilah yang semestinya dijadikan sifat asasi dalam memilih bakal suami sebelum dilihat hal-hal lain. Dua sifat inilah yag sebenarnya menentukan kekufuan pasangan suami isteri itu.


Lelaki yang tidak memiliki kriteria di atas tergolng dalam lelaki fasiq (ingkar kepada suruhan Allah). Jadi , walaupun seseorang lelaki hidup kaya raya, tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga mereka. Hal ini kerana kefasiqan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras ,kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, tempat-tempat maksiat, berfoya-foya , dan sebagainya. Tatkala itu hak-hak isteri akan hilang.


Suami yang hidup dalam kefasiqan bermakna mengundang murka Allah. Jika Allah sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumah tangga akan dapat dikecap? Yang pastinya ketenangan serta kebahagiaan hidup berkeluarga tidak akan dinikmati.


Diriwayatkan dalam sebah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali r.a, (cucu Rasulullah S.A.W) untuk meminta nasihat. Katanya, "Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan denagn puteriku?"
Hasan menjawab, "Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah, kerana jika dia menyukai isterinya dia pasti mengasihinya , tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti dia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya).


Di sini, ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap bakal suami anak mereka. Kalau tidak, anak mereka akan menjadi mangsa. Allah S.W.T dan RasulNya membenci sikap ibu bapa itu. Baginda rasul mengingatkan para wali dalam sabdanya yang bermaksud : "Barangsiapa menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri."


Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah S.A.W dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman. Ancaman dalam hadith di atas sepatutnya digeruni oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan.


Sebenarnya, satu malapetaka yang amat besar akan berlaku sekiranya anak gadis kita yang berjiwa bersih,peribadi mulia, dan taat menjalankan suruhan agama dikahwini dengan lelaki fasiq. Berapa ramai gadis yang semasa berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah berbuat maksiat , tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasiq, gadis itu hanyut dalam arus maksiat.


Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh dibawa oleh kesesatan suaminya. Mereka sudah pandai minum arak ,memakai pakaian yang mendedahka aurat ,bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram. Apatah lagi dalam soal ibadah ; solat mudah
ditinggalkan dan puasa diabaikan.


Hal ini berlaku, kerana seorang wanita itu apabila dikahwinkan dengan seorang lelaki, maka dia
akan mengikut suaminya, sekiranya lelaki yang dikahwininya itu baik maka baik la dia dan
sebaliknya maka akan hancur dan musnahlah kehidupannya sehingga mengundang murka Allah.


Memandangkan risiko yang dialami oleh ana gadis itu, amat wajarlah Rasulullah S.A.W menghukum ayah @ wali yang mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki fasiq. Sesungguhnya memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuan sendiri suatu malapetaka yang amat besar.

Jadi, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Hal ini kerana perkahwinan bukan kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi
merupakan "ikatan sosial" yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan.


Hayatilah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud : "Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan klimpah kurniaanNya, kerana Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui."






Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Perkongsian dari Usah Rasa sangsi

Seterusnya...

12 April 2010

Wanita Mulakan Langkah Pertama

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jika seorang wanita berkata kepada seorang lelaki, “Sudikah awak mengahwini saya..?” Apakah pandangan kita? Mungkin apa yang terlintas di hati kita ialah, “Ya Allah, tak malunya wanita ini..” Situasi seperti ini boleh dianggap sebagai satu fenomena yang biasa dalam masyarakat kita terutama masyarakat Melayu kerana sejak zaman dahulu kala bahawa perempuan tidak dibenarkan memulakan langkah pertama dalam perhubungan, seterusnya ke alam perkahwinan kerana perkara ini dianggap memalu dan menjatuhkan martabat seorang wanita.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, apabila pihak wanita yang memulakan langkah pertama untuk merisik, masyarakat kita lazimnya akan memandang serong dan menyebarkan tanggapan yang kurang baik. Malah seakan-akan menjadi satu kemestian bahawa hanya pihak lelaki sahaja yang berhak untuk merisik dan meminang.

Perkara seperti ini tanpa disedari menjadi punca kenapa wanita berkahwin lambat atau lebih hebat dipanggil ´andartu´ dan ´andalusia´. Dan kerana anggapan seperti ini menyebabkan ramai di kalangan wanita yang terpaksa duduk di rumah sambil menunggu pinangan sahaja daripada mereka lebih berusaha untuk mencari jodoh. Asalkan tidak menyalahi syariat Islam, apa salahnya kalau wanita juga berusaha untuk memikat lelaki.

Di dalam Islam, amalan merisik dan meminang bukan hanya dilakukan oleh pihak lelaki. Malah di dalam al-Quran turut dinyatakan kisah seorang ayah yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa untuk dikahwini. Kisah ini disebut dalam surah Al-Qashash, ayat 27. Seorang ulama masa kini, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, semasa mentafsirkan ayat ini juga turut membawakan contoh-contoh lain di dalam sejarah Islam yang menunjukkan wakil pihak wanita mengemukakan tawaran untuk dijodohkan dengan mana-mana lelaki. Contohnya, Saidina Umar yang menawarkan anaknya Hafsah untuk dijodohkan dengan Abu Bakar dan Usman. Malah seandainya wanita itu sendiri menghantar pinangan sekalipun, ia tidak patut dipandang serong kerana Ummul Mukminin Khadijah juga merisik Rasulullah s.a.w. tetapi melalui orang tengah.



Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 menunjukkan pada 1981 sehingga 1990, 43.2 peratus golongan muda iaitu 20 hingga 34 tahun belum berkahwin. Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin dengan 68.5 peratus daripadanya adalah wanita. Perangkaan itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita. Pada tahun 1991, lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun). Pada tahun 2000 pula, lelaki (28.6 tahun) dan bagi wanita pula (25 tahun). (majalah Milenia Muslim)

Terdapat beberapa faktor yang menjuruskan kepada masalah ´andartu´ atau ´andalusia´ ini; antaranya ialah janji manis daripada pasangan untuk berkahwin yang kemudiannya berakhir dengan tragedi penipuan, penderaan, perkosaan serta sikap lelaki yang suka berfoya-foya, menyebabkan wanita sukar untuk menerima lelaki lain dalam hidup mereka.

Faktor lain ialah revolusi pendidikan, peluang pekerjaan kepada wanita yang terbuka luas, tanggungjawab untuk menyara ahli keluarga, ada juga sesetengah wanita yang memilih kriteria yang terlalu ideal untuk calon suami, mementingkan kerjaya dan menganggap perkahwinan satu kongkongan, terpengaruh dengan kisah kegagalan perkahwinan yang sering disiarkan dalam media-media dan penderaan dalam rumah tangga merupakan suatu trauma kepada wanita.

Tanggapan buruk masyarakat terhadap wanita yang berkahwin lambat, ´andartu´ dan ´andalusia´ perlu diubah kerana masa kini ramai wanita yang berstatus bujang walaupun umur sudah menjangkau usia lewat 30-an sudah berjaya dalam hidup dan mampu menandingi keupayaan dan kebolehan lelaki dalam sesuatu perkara.

Masyarakat seharusnya melihat daripada sudut yang lebih positif kerana golongan ini memberi sumbangan yang banyak dari sudut ekonomi kerana ramai diantara mereka telah berjaya dalam kerjaya, mampu mengumpul harta dan wang simpanan yang banyak jika dibandingkan dengan rakan yang sebaya mereka, hal ini secara tidak langsung ini mampu menyumbang kepada kepesatan ekonomi melalui bidang-bidang yang mereka ceburi.

Dari sudut sosial, sumbangan mereka amat besar terhadap keluarga kerana membantu meringankan beban keluarga dengan menghantar wang kepada ibu bapa dan belanja untuk membiayai pelajaran adik-adik malah mereka ini lebih prihatin terhadap masalah keluarga dan memberikan sepenuh perhatian terhadap kebajikan keluarga dan masyarakat sekeliling sekali gus memperbaiki taraf sosial keluarga mereka.

Oleh sebab itu, masyarakat perlu mengubah cara pemikiran yang menganggap wanita tidak boleh memulakan langkah pertama untuk mencari pasangan kerana perkara ini dapat membantu mereka daripada mendapat gelaran andartu dan andalusia. Bagi wanita yang ingin memulakan langkah pertama mestilah berani menerima risiko dan perlu bersedia dengan cabaran yang akan ditempuhi dalam proses mencari pasangan.

Tetapi mestilah berpandukan cara yang betul, tidak bercanggah dengan agama dan yang paling mustahak tidak dipandang serong atau dianggap sebagai perempuan murahan. Apa yang penting sindrom ´malu´ untuk memulakan langkah pertama, akhirnya menyebabkan wanita menempuh satu corak hidup yang memungkinkan mereka terpaksa memilih samada untuk terus bergelar ´andartu´ dan ´andalusia´ ataupun menjawat status sebagai isteri muda.

Walau siapa pun yang memulakan langkah dahulu, yang pasti jodoh pertemuan ditentukan Allah.





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

05 April 2010

Pilih pasangan soleh dalam berumahtangga

PERKAHWINAN adalah fitrah semula jadi manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan memberi kasih. Namun begitu, ramai yang sering terlupa bahawa pemilihan jodoh amat dititikberatkan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya.Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Bagi mereka yang merancang mendirikan rumah tangga, aspek pemilihan jodoh yang tepat berupaya menjadikan perkongsian hidup dengan pasangan kelak baik atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah.

Apa gunanya sekiranya kehidupan selepas berumah tangga menjadikan diri lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah. Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah?





Dengan mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak yang baik serta dapat menjadi contoh teladan kepada anak. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.

Ramai mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga itu? Adakah dengan kekayaan kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Lihat saja berapa banyak sebenarnya kes perceraian berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang mempunyai kemewahan hidup?

Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya? Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga. Antara ciri isteri solehah adalah apabila dia taat kepada Allah, Rasulullah dan suaminya. Selain itu, dia menjaga solat lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga adalah isteri yang solehah. Suami yang soleh juga adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah dengan tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami perlu banyak bersabar, selain menunjukkan contoh yang baik serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

Dan ingatan untuk para isteri janganlah ada terselit di dalam hati 6 sifat ini:

1. Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2. Wanita Mananah: suka membangkit-bangkit terhadap suami. wanita ini sering menyatakan,”Aku membuat itu keranamu”.

3. Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4. Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5. Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.
Dicatat oleh Imam Al-Ghazali





Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

28 February 2010

Peranan ibu bapa membina keluarga bahagia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
Firman Allah SWT : “Hai sekalian manusia,bertaqwalah kamu kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namanya kamu saling meminta satu sama lain dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisa’:ayat 1).


Ibu bapa ada peranan untuk membahagiakan anak-anaknya baik sebelum berkahwin mahupun setelah berkahwin. Sebab itulah dalam Islam ada peruntukan tentang wali mujbir, wali yang ada kuasa paksa dalam soal mengahwinkan anak perempuannya.

Peruntukan itu banyak membantu ibu bapa untuk memberi kebahagiaan kepada anak-anak gadisnya. Ibu bapa yang menentukan bakal suami anaknya kerana anak gadis pada waktu itu tidak ada kesempatan untuk mencari bakal suaminya seperti sekarang.

Kini, zaman sudah tidak sama, anak gadis sudah bebas keluar masuk rumah, mereka juga ada peluang untuk memilih bakal suami mereka. Anak gadis yang baik akan memaklumkan kepada ibu bapanya tentang lelaki pilihan itu. Tatkala itu ibu bapa ada hak untuk mengenali lelaki itu dengan memanggil dia datang ke rumah. Bapa boleh pada masa itu membuat sedikit kajian tentang kemampuannya bakal menantunya.
Jika bapa berpuas hati, dia boleh meminta lelaki itu membuat peminangan secara rasmi. Tetapi kalau dia tidak berkelayakan, bapa ada kuasa menolak dan melarang hubungan anaknya dengan lelaki itu. Sebaliknya dia boleh mencadangkan dengan lelaki lain. Inilah maksud wali mujbir dalam membahagiakan anaknya.

Apabila anak gadisnya berkahwin, kuasa mutlaknya sudah berpindah tangan kepada suaminya. Anak gadisnya tidak wajib taat kepada kedua ibu bapanya lagi sebalik wajib taat kepada suaminya. Namun, anaknya dan menantunya tetapi wajib menghormati ibu bapa dan mentua masing-masing.




Bagaimanapun peranan ibu bapa tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka tetap wajib memantau perjalanan rumah tangga anak mereka. Mereka masih wajib memberi tunjuk ajar dalam hal rumah tangga anak menantunya.

Dalam hal ini jika berlaku sebarang krisis rumah tangga, ibu bapa atau keluarga terdekat perlu mengambil tanggungjawab menasihati anak masing-masing. Mereka perlu mencari puncanya agar krisis itu tidak berpanjangan.

Perlu dijelaskan di sini, apabila kedua-dua pihak bertemu puncanya, besan terbabit perlu berbincang bagi mengungkai segala yang menjadi duri dalam daging itu. Dalam ini perlu dielakkan, mentua menyalahkan menantu kerana lazimnya cara itu akan membawa keretakan yang lebih parah.

Sebenarnya dalam Islam, mana-mana anak yang hendak dikahwinkan, wajib ibu bapa mengajar anaknya baik lelaki atau perempuan tentang perkara yang menjadi rahsia kebahagiaan rumah tangga. Dalam hal ini, pengalaman ibu bapa wajib diperturunkan kepada anaknya.

Jika semua ini dapat dihayati, pastilah kebahagiaan rumah tangga dapat dibina dengan sebaiknya.




Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

10 January 2010

Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati?


Di dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”




Pada zaman nabi, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Kerana sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”[1]. Kisah ini direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadith hassan sahih.

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan yang besar kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadith riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!.” Ditanyakan, “siapakah yang Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab, “Orang yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk syurga.”[3]

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Hadith-hadith Rasulullah dalam pemilihan jodoh.


Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [4] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.

Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [5]

Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia” sebanyak tiga kali. [6]

Wallahu’alam

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1110, hassan sahih
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1822, sahih
[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : 4628

Rujukkan
~~~~~~
Uts Shamsuri Hj Ahmad, audio mukhadimmah Kuliah Kitab Bahrul Mazi 7, http://www.savefile.com/files/1135075

[4] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, #2661.
[5] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1004. Bertaraf hassan.
[6] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1005. Bertaraf hassan.

Seterusnya...

03 January 2010

Perempuan Meminang Lelaki?


Selalunya lelaki yang harus memulakan dahulu. Pihak lelaki yang merisik khabar, kemudian jika isyarat “lampu hijau” diberikan, maka menyusullah rombongan peminangan. Lelaki meminang wanita. Bagaimana jika sebaliknya, pihak wanita pula yang merisik khabar, kemudian menghantar rombongan meminang? Wanita meminang lelaki. Ah, janggal. Tidak pernah dibuat orang. Begitulah sempitnya adat berbanding keluasan syariat. Justeru dalam sejarah Islam, pihak wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah.

Siti Khadijah meminang Rasulullah. Sayidina Umar pernah “meminang” Sayidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah (tetapi Siti Habsah kemudiannya menjadi isteri Rasulullah SAW). Pada zaman kegemilangan Islam, kedua-dua cara dipraktikkan. Sama ada wanita melamar lelaki atau lelaki melamar wanita. Tidak ada istilah perigi cari timba seperti yang diungkapkan oleh adat atau budaya masyarakat hari ini. Kebenaran kerap kali nampak janggal (untuk dimulakan) sebab ia bertentangan dengan budaya. Tetapi kita perlukan keberanian untuk melakukan anjakan paradigma, seterusnya perubahan sikap… biarpun terpaksa menanggung risiko dituduh tidak tahu malu!




Perlu diingat kekadang adat dan syariat boleh diselaraskan. Namun adakalanya adat bertentangan dengan syariat. Maka pada ketika itu hendaklah diutamakan syariat kerana adat hanya berasal daripada pemikiran dan perasaan manusia manakala syariat bersumberkan wahyu Ilahi. Adat relatif sifatnya – boleh berubah mengikut zaman dan perubahan minda manusia. Tetapi syariat bersifat mutlak, tetap relevan dan signifikan sampai bila-bila.

Tidak dinafikan kekadang adat bersumberkan ajaran agama. Namun apabila selera nafsu dan kecelaruan fikiran berlaku, sering syariat menjadi mangsa pengubahsuaian yang mencemarkan kesuciannya. Adat “membatalkan air sembahyang”, kenduri walimah secara keterlaluan (hingga menyebabkan pembaziran dan sikap menunjuk-nunjuk), mas kahawin yang berjumlah beribu-ribu ringgit, adalah antara contoh bagaimana sesuatu yang mulanya berasalkan kehendak syariat telah bertukar menjadi kehendak nafsu. Sering berlaku, yang sunat dianggap seperti wajib. Manakala yang wajib pula dianggap remeh dan dipinggirkan.

Kepada ibu bapa pihak wanita, malah wanita itu sendiri, jangan takut untuk merubah budaya. Kita mesti berani melawan arus. Hubungan Allah s.w.t. dan sesama manusia saling berkaitan. Marilah kita jaga hubungan kita dengan Allah s.w.t., untuk mendapat kekuatan menyelesaikan masalah manusia. Kita tidak boleh lagi terikat dengan cara-cara konvensional sahaja untuk menyelesaikan masalah ummah. Oleh itu, jika ada seorang lelaki yang anda percayai layak menjadi calon suami yang soleh, ambillah tindakan untuk mula merisik dan melamarnya. Jika diterima, alhamdulillah. Jika ditolak, tidak mengapa. Usah berasa malu kerana anda bukan melakukan sesuatu yang salah dan haram di sisi agama.

Sekalipun ditolak, pihak wanita atau wanita itu sendiri sebenarnya telah melakukan satu usaha yang mulia malah mengikuti jejak langkah Sayidina Umar yang menawarkan puterinya untuk Sayidina Abu Bakar. Bukankah pinangan Umar juga ditolak dengan baik oleh Sayidina Abu Bakar? Namun kemudiannya Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah sendiri sudi memperisterikan Siti Habsah. Jadi bagaimana dengan anda? Tidak mustahil natijah yang sama mungkin anda alami… insya’ Allah s.w.t., Allah s.w.t. tidak akan mengecewakan para hamba yang komited mengikut syariatNya.

Usah berasa malu untuk menjadi “perigi” yang mencari “timba”. Malu yang sedemikian tidak kena pada tempat dan perkaranya. Sayang sekali, kekadang malu kita tidak merujuk kepada syariat. Ketika ramai kaum wanita tidak malu mendedahkan aurat, bergaul bebas dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat… apakah anda harus berasa malu mengikut syariat dan menyusuri langkah-langkah para salafussoleh untuk mendapatkan jodoh terbaik untuk anda?

Bukan Sekadar Perigi Cari Timba


 Satu sketsa perbualan suami isteri...

“Kekadang bimbang juga memikirkan, bagaimana agaknya nak menentukan jodoh anak kita nanti?” Luah saya kepada isteri.

“lambat lagi bang, anak kita baru di tahun pertama… ikut kebiasaannya ada tiga atau empat tuhun lagi,” pintas isteri saya, mententeramkan.

“tapi soal jodoh ni tak tentu. Sering juga… tup, tup jadi! Macam kita dulu,” usik saya.

Kami bernikah sewaktu saya masih belajar – pada tahun kedua pengajian. Isteri saya tersenyum. Jelas “mesej” usikan saya mula menerjah hatinya.

“macam mana kalau kita mula amalkan prinsip “perigi cari timba”?” cadang saya.

“eh, malulah. Nanti orang kata anak kita tak laku,” jawabnya. Dia memang begitu. mesti ada kontranya. Tapi ini sudah dikira macam mesyuarat. – pasti ada “give and take”nya.

“balik-balik apa orang kata… mulai sekarang cuba kita buat anjakan paradigma – apa tuhan kata. Tuhan kita hanya satu, mudah kita nak patuh. Kalau manusia kan beribu… mana satu yang kita nak dengar dan ikut?” balas saya.

“tapi dalam masyarakat, kalau dapat jaga kedua-duanya sekali, kan baik?”

“masyarakat boleh berubah. Kita kena ubah persepsi mereka dengan apa yang ditentukan oleh Tuhan. Insya’ Allah s.w.t., lama-kelamaan tak ada konflik lagi antara prinsip agama dan budaya masyarakat.”

“dah mulalah tu… kita fikir kecil, dia dah mula melarat ke persoalan yang besar. Takut tak faham saya,” usiknya.

“macam nilah, perigi cari timba… memang suatu yang luar biasa. Biasanya timba yang cari perigi. Itu biasa. Tetapi sesuatu yang dah biasa tak semestinya sentiasa betul dan tidak boleh diubah. Dan sesuatu yang “luar biasa” bukan semestinya tak betul. Sekurang-kurangnya ia boleh dicuba,” jelas saya.

“maksud abang?”

“budaya hanya berasaskan sistem nilai yang selama ni diamalkan secara berterusan. Ia tidak selama-lamanya relevan…”

“apa yang lebih relevan?”

“syariat. Hukum daripada Tuhan. Ia sesuatu yang mutlak… relevan sampai bila-bila.”

“kaitannya dalam soal ini?”

Nampaknya isteri saya mula terpancing dalam “persoalan” besar ketika membincangkan soal kecil. Namun saya rasa itu perlu, kerana kita perlu kembali ke akar sesuatu persoalan bukan sekadar berlegar-legar di ranting dan dahannya sahaja.

“dalam soal meminang ini, Islam tidak menetapkan siapa yang harus memulakan dahulu… timba cari perigi ke atau perigi cari timba. Yang mana pun boleh asalkan prinsip peminangan itu menepati syariat.”

“maksudnya?”

“boleh sahaja perempuan meminang lelaki. Seperti Siti Khadijah meminang Nabi. Sayidina Umar juga pernah meminang Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Usman untuk dijodohkan dengan anaknya. Dan boleh juga lelaki meminang wanita seperti Abul Ash pernah melamar Zainab puteri Nabi Muhammad…”

“ertinya, kedua-dua cara okeylah. Perigi cari timba, atau timba cari perigi… sayang, selama ni kita cuma amalkan satu cara sahaja.”

“kenapa satu cara? Sebab malu dikatakan orang anak kita tak laku?” usik saya lagi.

“bukan malu tu sahaja… tetapi bagi anak perempuan juga ada rasa malunya. Malu nak buka mulut, apalagi nak mula langkah melamar lelaki… isy, saya pun malu.”

“malu tu sesuai dengan syariat tak? Kalau syariat membenarkan kenapa harus malu. Benar-benarkah malu kita tu memang patut malu, atau malu tak bertempat?”

“kenapa abang kata begitu?”

“sebab, banyak lagi perkara yang mesti malah wajib dimalukan tetapi wanita kita dah tak malu lagi. Sepatutnya wanita kita malu berpeleseran, malu mendedahkan aurat, malu bergaul bebas, malu melakukan aksi-aksi tidak bermoral di khalayak ramai… itu sepatutnya dimalukan. Bukan malu nak melamar lelaki.”

“tapi, macam mananya?”

“lamarlah secara terhomat. Melalui perantara. Menerusi situasi dan kondusi yang terpelihara. Eh, tak susahlah. Susah lagi nak mendedahkan aurat, bergaul bebas dan lakukan aksi tak bermoral tu… malukah Siti Khadijah ketika melamar Rasulullah?”

“betul kata abang, susahnya sebab luar biasa…”

“perkara yang biasa asalnya pun luar biasa juga. Kena dilakukan dengan niat membaiki keadaan. Yang timba cari perigi boleh diteruskan, yang perigi cari timba kena mulakan!”

“apa halangannya?”

“halangan ilmu. halangan budaya. halangan dalaman-syaitan dan nafsu.”

“jadi kita perlu sampaikan ilmu, kemudian berani merentas budayalah ya?”

“bemula dengan melawan syaitan dan nafsu. Syaitan ingin menyempitkan jalan kebaikan dengan meluaskan jalan kejahatan. Nafsu pula menghasut kepada yang buruk dengan menserabutkan yang baik.”

“tetapi tidak ke lelaki rasa hebat sangat, perempuan yang melamar dia? Macam low class sangat perempuan ni. Macam takut sangat jadi Andalusia…”

“tinggi atau rendah martabat diukur pada nilaian Tuhan, bukan rasa-rasa kita. Tidak hina mengikut syariatNya. Bila meminang lelaki itu diharuskan, maka itu pastinya tidak akan merendahkan martabat wanita. Dan kita kena yakin bahawa hinanya kaum wanita mahupun lelaki kerana melanggar syariat.”

“jadi nantinya lelakilah yang letakkan harga hantaran, belanja hangusnya?”

“itu tidak termasuk dalam prinsip Islam. Yang wajib hanya mas kahwin. Itu tetap dari lelaki untuk wanita. Yang wajib akad nikah… walimah, kenduri-kendara itu sunat sahaja. Jadi pandai-pandailah berunding bila lelaki dah terima lamaran wanita.”

“pelik ya bang…rasa macam aneh pulak.”

“sebab dah banyak amalan dalam budaya kita yang tidak tepat mengikut ukuran syariat. Yang wajib, dipandang remeh. Yang harus, macam wajib. Yang haram dianggap penting. Yang sunat, dilupakan. Kita kena ubah semua tu, walaupun kekadang dipandang serong pada awalnya.”

“susah, kalau orang tak faham…”

“sebab tu kita kena sampai-sampaikan. Sampaikan apa yang benar. Kemudian cuba jadi role-model kepada apa yang kita sampaikan tu. kan aneh, dulu kita kahwin tanpa bercinta?” ujar saya.

Dia senyum lagi.

“jadi apa yang abang bimbangkan lagi?”

“siapa agaknya yang akan kita lamar nanti…”

“itu tugas kita ke, anak perempuan kita?”

“itulah… takut kita ada calon, dia ada calon…”

“apa susahnya, kita berundinglah nanti.”

Seperti biasa, dia menenangkan.

“entah-entah masih timba cari perigi?” usik isteri saya.

“terpulanglah, kita tawakkal sahajalah. Yang penting, kita didik anak kita baik-baik. Mudah-mudahan dapat suami yang soleh… walau apa jua kaedah pertemuannya.”

Itulah persoalan terasnya. Siapa anak perempuan kita, solehkah dia? Siapa calon menantu kita, solehkah dia?

Soal “perigi cari timba”? itu soal kedua, soal kaedah sahaja…

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas r.a.:

Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah SAW

Dan berkata: “ya Rasulullah! Apakah baginda memerlukan daku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “dia lebih baik daripada mu nak! wanita itu senang kepada Nabi SAW dan menawarkan dirinya!”

(riwayat Bukhari)

Sepintas Lalu,

- dalam soal meminang, Islam tidak menetapkan siapa yang harus memulakan dulu asalkan prinsip peminangan itu menepati syariat.

- Kenapa harus malu jika syariat membenarkan. Malu biar bertempat.

- Lamar secara terhormat, melalui perantara, menerusi situasi dan kondisi yang terpelihara.

- Halangan ilmu, halangan budaya dan halangan dalaman-syaitan dan hawa nafsu.



Sumber

Seterusnya...

03 December 2009

Alhamdulillah, petunjuk yang baik,cuma...

Di Forum Halaqah.net Board Bait Muslim , ada seorang halaqian meluahkan rasa hati antara berkahwin dengan pasangan yang katanya mendapat "petunjuk dari Allah" tetapi tidak direstui oleh ibu bapa. Maka ummi kupas di sini untuk menjawap soalan halaqian terbabit. Semoga mendapat manafaat kepada semua, bila bertemu masalah yang sama.


Assalamualaikum,

ana sebagai warga yang baru di halaqah ini, ingin bertanya pendapat antum, insyAllah ana telah bersedia untuk berkahwin dan mendapat petujuk yang baik dari Allah swt tentang calon ana, cuma sebagai anak sulung, calon tersebut tidak dipersetujui oleh ibu bapa ana dengan memberi alasan calon tersebut orang jauh. Sebagai anak yang memiliki fitrah ingin berkahwin dengan calon tersebut, bagaimana pendapat antum? syukran."


Jawapan dari ummi...

Antara "mendapat petujuk yang baik dari Allah swt " dengan mentaati ibu bapa mana yang lebih utama?

Jika kita lihat apa yang di maksudkan "mendapat petujuk yang baik dari Allah swt", ada kah anda yakin ia benar-benar petunjuk dari Allah? Cuba kita faham huraian kata - kata dari kalam hikmah Ibnu Athaillah Askandary ini ,

Kalam Hikmah Ibnu Atthaillah AskandaryBagi hamba-hamba Allah SWT, yang selalu patuh dan taat pada menjalankan ajaran-ajaran agamanya, di dalam hidupnya pasti akan timbul sewaktu-waktu suatu "keputusan hati" atau dengan kata lain "ketetapan hati" pada sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.

Contohnya, ketetapan hati untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang menurut kita adalah baik pada pandangan agama, untuk menjaga kita jangan sampai jatuh pada sesuatu yang tidak diridhai oleh agama. Ketetapan hati yang kita buat adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti petunjuk melalui mimpi yang bukan dikacau atau diganggu syaitan dan Iblis. Seseolah mimpi itu datangnya dari Malaikat.

Keadaan ini akan dilalui oleh seorang hamba Allah yang soleh dan taat, dan keputusan hati itu datang dengan perantaraan ilham yang betul-betul dari Allah SWT.


Saya ingin bertanya adakah anda betul betul telah tergolong manusia di atas, sehingga layak menyatakan apa yang anda dapat itu petunjuk dari Allah? Orang yang soleh dan taat kepada Allah (maksud taat ialah buat apa yang Allah dan RasulNya suruh dan tinggalkan apa yang Allah dan RasulNya larang) pun kadang teruji antara keputusan hati dengan ketetapan hati, apa tah lagi kita manusia biasa.

Jika anda meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan orang yang anda rasa jodoh anda dan mengengkari ibu bapa,anda bukan lah layak digolongkan dalam kumpulan orang yang taat kepada Allah dan RasulNya. Ibu bapa ada alasan -alasan tersendiri kenapa mereka menolak calon itu.



Cuba baca ini :

Hadith : Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut.

Sudut Pertama:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:" Tidak ada nikah kecuali dengan wali."[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadith berikut memperincikan maksud hadis di atas: "Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali)."[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Kupasan hadith:


Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.
2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya),

seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]

Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud ]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).


Seterusnya...

Menuju Alam Perkahwinan

Bunga 'kuluput ditemui di Sabah merupakan sejenis tumbuhan melata, yang mana berbunga putih atau merah jambu dan buahnya diselaputi debu kegunaan lain kuluput: meneutralkan keracunan, merawat gout.

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K' diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu "Kenal", "Kelas", "Kufu", "Kasih" dan akhir sekali "Kahwin".

KENAL
Kita disuruh kenal/ta'ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, pergilah disuruh dan dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya. Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Syaidina Umar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.

"Apakah kamu kenal lelaki ini?" tanya Syaidina Umar
"Ya, saya kenal," jawab lelaki tersebut. Syaidina Umar bertanya lagi...
"Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?"

Lelaki itu menjawab tidak pernah, Syaidina Umar bertanya lagi "Pernahkah kamu bermu'amalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya" Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab dengannya...

Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK-ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS
Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa 'alert', sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat 'MEMBINA' untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU
Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam. Begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, susah untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur. Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis:-

"Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan"

Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat Islam.

Rasulullah memberitahu:-

"Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu"

Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga.. Sememangnya terdapat " Orang orang yang benar-benar redha dengan pasangan yang di tentukan oleh Allah tetapi pokok pangkal banyak terletak pada HATI kaum lelaki" Kalau tak berkenan, jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah, kerana ia menjamin kebahagiaan rumahtangga. Hadis Nabi ada menyatakan:-

"Barangsiapa yang berkahwin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkahwin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN, Allah akan menghina keturunannya dan Barang siapa yang berkahwin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua duanya."

Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. InsyaAllah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA
Redha terhadap pasangan masing masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya,
Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dengan pasangan bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka.

"Apa yang dikatakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang di maksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya" Istilah kufu banyak di tekankan dalam Surah AnNur :ayat 26:-

"Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik"

Istilah kufu sangat di tekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang. Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin. Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa ....

Begitu juga sebaliknya masalah berlaku. Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti "AKU UBAHLAH PERANGAINYA". Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga....


Sumber artikel

Seterusnya...

12 November 2009

Mengenal Pasti Calon Yang Beragama

Kita telah sedia maklum bahawa Islam menyarankan mencari pasangan hidup yang beragama dan berakhlak baik. Namun, bagaimana cara mengenal pastinya? Bagaimana seorang lelaki atau wanita itu dikategorikan sebagai seorang calon yang beragama ? Adakah cukup sekadar rajin ke masjid dan rajin mendengar kuliah agama?

Jika yang perempuan cukupkah sekadar kita melihat dia bertudung, berpakaian menutup aurat, pemalu dan tidak suka berbual dengan lelaki?

Sebenarnya ia amat mudah. Dengan hanya melihat kepada pengetahuan fardhu ain seseorang, kita sudah boleh membuat kesimpulan sama ada beliau tergolong di dalam golongan orang yang beragama atau sebaliknya.

Malangnya, ramai mengambil mudah perkara “fardhu ain.”

Iman Al-Ghazali telah membahagikan ilmu fardhu ain kepada dua kategori. Pertama, ilmu berhubung cara pelaksanaan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ilmu ini ramai yang tahu, ramai yang amal. Ada juga yang tidak tahu dan sedang berusaha memperbaiki diri.

Kedua, ilmu berhubung cara menghilangkan sifat-sifat yang tercela di dalam hati seperti rasa tamak, dengki, marah tak bertempat, riak, ujub dan sebagainya. Menurut Imam Ghazali, “Menghilangkan sifat-sifat itu adalah fardhu ain dan tidak dapat mungkin menghilangkannya melainkan dengan mengetahui batas-batasnya, sebab-sebabnya, tanda-tandanya dan cara mengubatinya.” [1] Ilmu ini ramai yang tidak mahu ambil tahu. Jika ada pun, ia tidak dianggap sebagai fardhu ain.


Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [2] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.
Jika penilaian semata-mata pada luaran seperti bertudung, berpakaiana menutup aurat, ramai hari ini, perempuan yang bertudung dan berpakaian menutup aurat kerana berfesyen, kerana malu dengan persekitaran atau lingkungan yang di diami, kerana suruhan seseorang atau kerana peraturan sedia ada ditempat itu.

Jadinya bila bertudung dan berpakaian menutup aurat bukan dari fahaman fardu ain, mewajibkan bertudung/menutup aurat kerana kewajiban agama ke atas setiap individu mukalaf maka banyaklah yang kita lihat hari ini perempuan yang berpakaian tetapi telanjang.

Pemalu dan tidak berbual dengan lelaki pula, mungkin kerana dia tidak suka dengan individu lelaki itu dan memang sifat semula jadi dirinya yang tidak banyak cakap. Maka sekadar penilaian luaran ini tidak boleh jadi asas dalam menilai adakah perempuan beragama atau tidak. Jika kita hanya melihat akhlak sahaja, orang kafir sendiri pun mana-mana yang baik , sentiasa berakhlak mulia kerana menjaga maruah dirinya.

Sebab itu, kefahaman asas fardhu ain ini amat penting supaya menjadi benteng dalam dirinya dan asas menjaga kehormatan dan maruah diri dan rumah tangga.

Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [3]

Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah ! Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali. [4]

Justeru, wujud masyarakat Islam yang bersolat, berpuasa, tetapi masih melakukan maksiat.

Jadi, buka mata kita. Apabila kita melihat seseorang yang suka mengumpat, berdengki, bercakap sombong dan sebagainya, ini menunjukkan beliau belum lagi mempunyai pengetahuan fardhu ain yang lengkap.

Seseorang yang tidak lengkap ilmu fardhu ainnya, sudah tentu tidak mempunyai asas agama yang kukuh. Apabila asas agama tidak kukuh, maka beliau bukanlah calon pasangan hidup seperti yang disarankan oleh nabi s.a.w.

Untuk itu, sama-samalah kita belajar teknik untuk bermujahadah dengan nafsu diri, kerana ia sebahagian daripada perkara yang perlu kita ketahui. Ia adalah fardhu ain.

Antara kitab-kitab yang menyatakan teknik-teknik ini adalah Bimbingan Mukminin. Kitab ini ringkasan daripada kitab Ihya Ulumuddin yang telah disaring dan disemak semula oleh para ulama.[5]

Tassawuf Moden karangan Professor HAMKA juga membincangkan teknik-teknik ini dari perspektif masyarakat Islam moden.

Wallahu’alam.


Nota Kaki
~~~~~~
[1] Ihya Ulumuddin, Al-Imam Al-Ghazali; Di dalam Kitab Ilmu, Bab Mengenai Ilmu Terpuji dan Tercela …
[2] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, #2661.
[3] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1004. Bertaraf hassan.
[4] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1005. Bertaraf hassan.
[5] Koleksi kitab-kitab Ihya Ulumuddin mengandungi hadith-hadith daif, palsu serta riwayat yang kadang-kadang tidak bersumber. Justeru, para ulama telah meringkaskan dan menapis maklumat tersebut lalu dijadikan kitab ringkasan seperti Bimbingan Mukminin.

Seterusnya...

31 October 2009

Betulkan Niat Untuk Berkahwin

1. Niat memiliki peranan yang amat penting di dalam segala kegiatan dan amalan agama kerana nilaian Allah Ta'ala terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.

2. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud :

" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar ".

3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan ".

4. Maka niat yang baik itu adalah dianggap sebagai satu amal soleh dan memperolehi pahala serta ganjaran daripada Allah s.w.t.

5. Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik, manakala sesiapa yang berniat buruk maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.

6. Kaum muslimin mengakui niat itu sebagai rukun dan syarat dalam semua amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan oleh lidah sahaja .



Niat Untuk Berkahwin


Suatu ketika dahulu, seorang lelaki di Mekah telah meminang seorang wanita di Madinah yang bernama Ummu Qais. Wanita itu enggan berkahwin dengan lelaki tersebut kerana mereka tinggal berjauhan. Menurut sebuah keterangan, wanita itu telah berkata, “Bagaimana engkau hendak berkahwin denganku kerana engkau tinggal di Mekah dan aku tinggal di Madinah. Sekiranya engkau mahu berkahwin dengan aku, marilah berpindah ke Madinah.”[1] Semasa peristiwa hijrah masih berlaku, lelaki itu berpindah bersama-sama para sahabat ke Madinah, tetapi dengan niat yang berbeza.

Mengetahui perihal tersebut, Rasulullah telah menegur secara terang-terangan niat lelaki itu. Menurut Umar Al-Khattab, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”[2]

Walaupun terdapat perbezaan perjalanan hijrah sahabat Rasulullah dengan perjalanan mencari si dia, namun setiap perjalanan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Di dalam perihal berkahwin, niat seseorang sepatutnya adalah mengharapkan keredhaan Allah. Bukan untuk “bercouple” atau untuk mempunyai seorang teman istimewa. Bukan kerana ingin bersuka-suka atau ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan juga kerana putus cinta atau sedang dilanda kekecewaan. Bukan pula kerana mendapat desakkan dan tekanan daripada sahabat handai dan kaum keluarga.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” Ia merupakan satu saranan kepada semua umat Islam supaya berkahwin, walaupun tidak berkemampuan.

Pada surah yang sama, di ayat 33 Allah kemudian menegaskan, “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya”. Allah telah menyuruh hambaNya yang berniat untuk berkahwin agar menjaga kehormatan sekiranya tidak berkemampuan dan bersabar sehingga dikurniakan kekayaan daripadaNya.

Lazimnya seseorang yang berniat untuk berumahtangga kerana Allah akan menerima dengan hati terbuka siapa sahaja yang mendatang. Asalkan yang mendatang itu menepati ciri-ciri yang disarankan oleh agama dan setelah beliau telah melakukan istikharah dengan betul. Alam percintaan dan berkasih sayang hanya wujud selepas ikatan sah terjalin.

Sebaliknya jika niat perkahwinan adalah semata-mata memenuhi tuntutan duniawi, sudah tentu pelbagai faktor seperti alam percintaan, rupa paras, kerjaya, gaya, fesyen, wang ringgit, hobi waktu lapang, perasaan hati dan sebagainya akan menjadi persoalan. Semua persoalan perlukan jawapan. Semua jawapan perlukan penilaian. Semua penilaian mungkin akan memakan masa yang panjang dan kadang-kala menimbulkan persoalan baru.

Wallahu’alam.

Seterusnya...

16 July 2009

Pemilihan calon

Islam ada menggariskan beberapa ciri-ciri bakal suami dan bakal isteri yang dituntut di dalam Islam. Namun, ia hanyalah panduan dan tiada paksaan untuk mengikut panduan-panduan ini.


Ciri-ciri bakal suami

* beriman & bertaqwa kepada Allah s.w.t
* bertanggungjawab terhadap semua benda
* memiliki akhlak-akhlak yang terpuji
* berilmu agama agar dapat membimbing bakal isteri dan anak-anak
ke jalan yang benar
* tidak berpenyakit yang berat seperti gila, AIDS dan sebagainya
* rajin berusaha untuk kebaikan rumahtangga seperti mencari
rezeki yang halal untuk kebahagiaan keluarga.

Ciri-ciri bakal isteri

* beriman & solehah
* rupa paras yang cantik dan elok
* memiliki akhlak-akhlak yang terpuji
* menentukan mas kahwin yang rendah
* wanita yang subur
* masih dara
* berasal dari keturunan yang baik
* bukan keturunan terdekat


Seterusnya...