CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label pasangan hidup. Show all posts
Showing posts with label pasangan hidup. Show all posts

06 January 2011

Wanita lamar lelaki amalan terpuji

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.


Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya.

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.


Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?


Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Seterusnya...

07 December 2009

Memahami Pasangan Yang Baru Dikahwini

Jika kita lihat akan definisi dan falsafah perkahwinan dalam Islam, di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)

Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada siang, ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula yang tandus. Ada gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam. Ada lelaki dan ada pula perempuan.

Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah.

Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia.

Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan berkenaan.



Namun bila definisi perkahwinan ini kurang dihayati, kurang sabar apabila ujian melanda, maka mulalah rumah tangga bergoyang. Sedikit dugaan datang, sudah tidak mampu ditangani. Sebelum berkahwin, cuma hati- hati orang yang sangat rapat dengan kita yang perlu dijaga. Hati sendiri, hati ibu bapa. Tapi bila dah kahwin,hati suami, hati ibu ayah mentua , hati ipar duai.

Hati ibu bapa, ibu bapa mentua, ipar duai tu tak apalah, sebab jumpa pun cuma sekali sekala. Jadi yang sangat perlu dijaga ialah hati suami yang memang setiap masa bersama, kecuali ketika pergi kerja.

Ketika bekerja pun masih nak kena jaga, kena telefon atau sms, bila dah tengah hari , "abang , dah makan?" atau apa-apalah yang kena ambil berat. Jika tidak ditanya, nanti terkecil hati atau merajuk.

Kalau di rumah pun sama, kadang-kadang masih baru berumah tangga, masih belum kenal dan memahami pasangan, perkara remeh pun dijadikan alasan untuk merajuk. Perkara remeh untuk dikecil hatikan. Semua ini mseti dipelajri, diselidiki dan diberikan perhatian.

Jangan ambil mudah, jangan ambil tidak kisah, kerana lama-kelamaan selalu sangat dirajukkan perkara kecil ni, akan menjadi seperti sekam api. Membesar dan membara di dalam , dan bila sudah panas, tidak terkawal akan meletus menjadi api yang marak.

Ada satu pasangan ni, datang jumpa ummi, baru saja berumah tangga dalam lingkungan 3 bulan, nampak mula dulu memang macam orang bercinta, (sebelum berkahwin cuma kenal gitu-gitu saja) namun bila sudah berumah tangga, rasa macam dah kenal , tapi sebenarnya tidak kenal betul pun.Belum pun memahami kerektor suami, tapi dah merajuk-rajuk bawa diri.

Bila ummi tanya apa punca, nak tergelak pun ada, sebab dan puncanya, remeh sangat, tapi itulah yang menyebabkan jadi bara. Menyebabkan pasangan rasa tidak diberikan perhatian. Contoh yang ummi berikan, isteri beli lauk basah, masak, tapi tak bgitahu suami sebab isteri balik awal, bila suami balik, bawa lauk dah masak. Nak makan lauk yang mana? Suami beli lauk, sebab teringin lauk tu, bila singgah di kedai makan, jadi bila waktu makan dia makanlah lauk yang dia beli. Isteri merajuk sebab suami tak jamah lauk yang dia masak.

Sebenarnya, jika sama-sama matang dan berfikiran terbuka, berlapang dada, dengar dulu alasan kenapa isteri masak, kerana balik awal, suami jamah lauk isteri atau cakap "yang, lauk ayang masak tu , kita boleh makan esok, simpan aja dalam peti ais, lauk yang abang beli ni, tak boleh simpan,nanti basi. Apasalahnya, jika isteri lapang dada, terima aja kata-kata pujukan suami tu. Tapi suami pula tak kata macam tu, marah kerana isteri singgah kedai tak cakap kat dia, lepas tu kata pulak, singgah kedai tak minta izin dengan dia. Jadi bila masing-masing, tak mahu beralah, asyik kata aku benar, suami kata dia susah payah singgah kedia beli lauk untuk senangkan isteri, maka akhirnya masing-masing kecil hati walaupun tidak bertengkar.

Esoknya, hal remeh lain pula, isteri terubah barang milik suami, suami marah. Isteri tu mana kenal lagi perilaku suami, jadi tentulah ambik masa untuk memahaminya. Suami pulak nanti, tergosok baju isteri, mungkin baju isteri tu, dari fabrik polyster ke, atau silk ke, yang tidak boleh suhu tinggi, terbakar oleh seterika, merajuk lah pula isteri. Mana suami tu kenal dan tahu fabrik baju perempuan. Yang suami tahu cuma fabrik baju lelaki, dari kain kapas sahaja.

Lepas tu, hari lain, merajuk perkara lain pulak, kalau hari-hari merajuk, tu yang lama-lama jadi sekam.Cubalah jangan asyik nak merajuk sebaliknya ucapkan kata maaf, maka perkara kecil macam tu lebih mudah selesai. Jangan terlalu mahal ucapan maaf, dan terlalu mahal untuk menyatakan sebab-sebab merajuk pada pasangan. Lebih baik kita bagitahu yang kita ni merajuk dari kita pendam sendiri.

Ada orang peka akan tingkah laku seseorang, memahami bahasa tubuh orang merajuk, ada pulak jenis orang yang tidak ambil tahu orang merajuk sebab dia pun jenis suka merajuk , maka tidak faham bahasa tubuh orang merajuk. Sudahnya, sama-sama diam, sama-sama ambil hati. Maka bila meletus, seorang bawa diri mengadu pada ummi, seorang duduk pejabat tak balik-balik konon banyak kerja.

Ummi tidak kisah pada sapa pun yang datang mengadu pada ummi, akan ummi berikan masa untuk bertenang, dan ceriakan hatinya, lepas tu baru ummi duduk sama-sama berbincang hati ke hati, cungkil apa yang tidak kena. Tapi masa cerita mesti jujur, ummi tidak akan berpihak mana-mana dan tidak salahkan mana-mana. Bagi ummi dua-dua perlu cuba untuk memahami pasangan dan bertoleransi perasaan. Berikan masa untuk saling kenal-mengenali tingkah laku dan habit pasangan masing-masing walaupun anda telah bercinta dan konon kenal hati budi bertahun-tahun!

Pada yang belum berumah tangga jangan merasa takut dan fobia untuk berkahwin bila lihat pasangan baru berumahtangga pun mula bergolak. Dugaan dan ujian sentiasa datang melanda, untuk menguji kekukuhan tiang yang terbina dalam rumah tangga. Segalanya adalah bertunjangkan agama.Walau agama kuat tetapi masih tidak memahami erti kata perkahwinan sebenar masih tidak mampu mempertahankannya. Ilmu masih tidak cukup jika hati dan fikiran itu sempit dan tertutup.

Seterusnya...

05 September 2009

Berkahwin kerana Tuhan

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat.

Berkahwin itu sempadan
dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan NabiNya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. Hidup yang tidak memiliki tujuan jauh lebih menakutkan daripada hidup yang tidak mencapai tujuan. Yakinlah pada Tuhan...
Perkahwinan bukan sekadar berpandukan kepada cinta semata-mata. Jika cinta yang dijadikan asas, besar kemungkinan perkahwinan yang didirikan berhadapan dengan pelbagai masalah. Pandangan keluarga, perancangan masa depan, persamaan dan perbezaan antara anda dan teman perlu dibincangkan bersama sebelum anda mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Bak kata orang, perkahwinan bukan sekadar anda dan pasangan, sebaliknya ia membabitkan banyak pihak dan isu. Tanpa perbincangan, anda akan mengalami pelbagai masalah kelak, justeru tetapkan hala tuju anda dan pasangan sebelum mengambil langkah lebih serius. Persoalan berikut mungkin boleh dijadikan pertimbangan. Ambillah masa bertunang untuk berbincang, samada melalui surat atau apa jua alat komunikasi.

Pengalaman ketika kecil ketika bersama keluarga.
Apakah pengalaman duka masa kanak-kanak akan menjejaskan perkahwinan anda?

Kasih sayang daripada ibu bapa.
Apakah ibu bapa anda mesra, mengambil berat dan penyayang atau adakah mereka sering berselisih faham?

Latar belakang agama.
Adakah anda seorang yang beriman dan bertakwa?

Pendidikan.

Apakah anda dan pasangan memiliki taraf pendidikan yang sama? Apakah anda berasa tergugat jika pasangan anda memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi? Apakah anda bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran?

Latar belakang budaya dan sosioekonomi.

Bandingkan latar belakang masing-masing - lebih besar perbezaan antaranya maka lebih besarlah kemungkinan wujudnya masalah berkaitan adat resam, kehidupan berkeluarga, harapan tradisi dan sebagainya.

Kepintaran.

Apakah anda lebih pintar daripada pasangan anda atau sebaliknya? Apakah ini mungkin mencetuskan rasa iri hati?

Hubungan dengan mentua.

Apakah pandangan saudara mara anda mengenai calon pilihan anda dan bagaimana hubungan anda dengan mentua?
Sikap dari segi kewangan.
Apakah anda akan berbincang mengenai cara menguruskan kewangan selepas berkahwin?

Bilangan anak.

Apakah anda dan pasangan bercanggah pendapat mengenai bilangan anak dan perancangan keluarga? Apakah anda berbincang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan cara membesarkan anak?

Masalah seksual.

Apakah perasaan anda dan pasangan terhadap kemampuan seksual masing-masing? Anda berdua patut menjalani pemeriksaan fizikal dan khidmat kaunseling bagi memastikan tiada masalah seksual.

Pemilih tempat tinggal.
Di manakah anda berdua akan tinggal selepas berkahwin - di rumah sendiri atau mentua. Jika memilih untuk tinggal di rumah mentua dapatkah anda menyesuaikan diri dengan mereka?
Anda Bersedia Untuk Menjadi Ibu Bapa?

Dalam perkahwinan, pasangan biasanya akan merancang untuk mempunyai anak. Perkara ini wajar dibincangkan ketika anda merancang untuk berkahwin. Ada banyak persoalan yang perlu dijawab terlebih dulu. Adakah anda benar-benar mahukan anak? Berapa ramai? Bila? Anda dan pasangan wajar membincangkan tahap persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, juga sama ada anak akan melengkapi kehidupan berkeluarga serta beban kewangan yang bakal dihadapi.

Seterusnya...

17 July 2009

Memahami Pasangan

ANDA mungkin antara wanita bertuah. Cantik, berjaya dan hidup mewah kerana memiliki kerjaya hebat. Kalau sudah berkeluarga, anda bagaikan menghampiri kesempurnaan kerana dianugerahi suami penyayang serta dilimpahi kemewahan. Ringkasnya, apa lagi yang anda dambakan dalam hidup kerana semuanya sudah dimiliki.

Percaya atau tidak, jika pada zahirnya anda kelihatan sempurna, hakikatnya dalam hubungan bersama suami, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.

Hubungan dengan suami atau teman lelaki ada ketikanya melalui fasa agak sukar kerana berlaku salah faham, kurang prihatin atau silap tanggapan terhadap sesuatu perkara.

Ia mungkin nampak kecil hanya disebabkan wanita kurang memahami suami atau teman lelaki atau mungkin, suami atau teman lelaki yang tidak faham naluri dan kehendak wanita.

Dalam hal ini, ada sesuatu harus dipelajari kedua-duanya untuk mencapai persefahaman. Panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk lebih memahami pasangan:

*** Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan.

Wanita cerewet memilih gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati, sedangkan lelaki anggap soal makan agak mudah, boleh makan di mana saja.

*** Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak memikirkan perkara penting.

*** Wanita suka diberi perhatian dan ada kalanya manja tidak bertempat. Sikap ini menyebabkan mereka 'syok sendiri' dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka mungkin merajuk.

*** Ada wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.

*** Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati. Wanita harus terima hakikat itu.

*** Ada wanita suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, menyebabkan lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa untuk tujuan itu.

*** Ada wanita terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah 'mengata dan mengutuk' jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.

*** Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.

*** Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising, tetapi tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.

*** Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal. Jika isteri atau teman wanita melakukan 'kawalan' kepada lelaki, dia akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.

*** Adakalanya wanita kurang bijak menunjukkan kasih sayang kepada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang.

*** Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi ada pula wanita yang suka bergantung harap sangat kepada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di sisi mereka. Ini mungkin tidak digemari suami atau teman lelaki.

*** Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka serta mengubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan.

Jika masih muda elok juga merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, elakkan perbuatan itu kerana ia tidak memberi faedah.
*** Sesetengah wanita suka bertanya itu dan ini kepada suami atau teman lelaki, tetapi tidak suka kepada jawapan diberikan mereka. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan melayan soalan wanita.

*** Wanita tidak perlu menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Kelebihan itu mungkin memperbodohkan lelaki sehingga mereka tidak berminat melayan kerenah wanita sedemikian.

Seterusnya...

16 July 2009

Suami Mithali Mendorong Isteri Memeluk Islam

MENGAPAKAH dakwah Rasulullah SAW mudah diterima? Jawapannya sudah tentu disebabkan oleh keperibadian, sahsiah serta penampilan Islamik yang menjadi qudwah atau role model kepada umat manusia.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa salah satu kaedah atau uslub dakwah yang paling berkesan ialah dengan contoh teladan atau dalam istilah dakwahnya, bil-hal.

Yang pasti, inilah yang akan memberi nilai tambah kepada khalayak lain, sama ada bukan Islam mahupun segelintir kumpulan atau individu Islam yang sudah jauh dari Islam untuk melihat dan sedar kembali tentang kecantikan Islam itu.


Seorang penulis bebas yang sebelum ini beragama Kristian, Sumayyah Meehan mengakui bahawa keperibadian mulia suami sepanjang tempoh perkahwinan mereka telah menjadi titik tolak kepada penghijrahan akidahnya.

Sedangkan katanya lagi, ketika mendirikan rumah tangga kira-kira 12 tahun lalu, beliau langsung tidak berhasrat bertukar kepada agama anutan suaminya iaitu Islam. Apatah lagi, Islam pada saat itu, sering dilabel secara negatif dan jahat, terutamanya terhadap golongan hawa mereka.

"Siapa sangka, suami saya sendiri adalah sebab yang membawa saya kepada agama Islam. Apa tidaknya, kalau sebelum ini saya melihat Islam dari sisi gelapnya sahaja.

"Tetapi kebaikan, kasih sayang yang ditunjuk dan dilakukan suami mengubah segalanya. Saya bersyukur dianugerahkan jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan banyak membimbing.

"Suami saya adalah seorang manusia yang amat memahami dan bersikap begitu toleransi. Jangankan untuk memaksa saya agar mengikut agamanya, jauh sekali mendera mental mahupun fizikal, waima mengetahui keengganan keras saya bergelar muslimah.

"Malah hanya satu sahaja permintaannya sebaik kami bergelar suami isteri iaitu agar saya cuba untuk membaca kitab terjemahan al-Quran.

"Itupun katanya, kalau tidak selalu, dia minta agar saya membukanya sekali-sekala dari semasa ke semasa. Ohh... itu mudah sahaja. Spontan saya bersetuju dengan permintaannya itu," cerita Sumayyah yang dipetik dari laman web islamonline.net.

Kata ibu beranak tiga ini lagi, sebaik bernikah mereka berpindah ke kampung halaman suami di Kuwait, tambahan pula ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang tidak menentu.

Senario ini sudah pastinya tidak menjanjikan peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dan baik di negara berkuasa besar itu lagi.

"Pada saat kaki menuruni tangga kapal terbang, mahu tidak mahu saya bagai dipaksa untuk berada dalam satu dunia baru yang penuh dengan Islam.

"Daripada orangnya yang majoriti Muslim, adat kebudayaan malah merangkumi cara pemikiran dan tingkah laku mereka semuanya berpaksikan agama Islam.

"Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lompat balik ke dalam perut kapal terbang dan balik semula ke AS. Saya benar-benar rasa keseorangan, seluruh perasaan dihantui dengan rasa ketakutan yang amat sangat.

"Namun semua itu lenyap apabila suami sentiasa berada di sisi, tidak kira dalam apa juga situasi. Malah dalam soal pemakanan sekali pun, dia berusaha mencarikan makanan yang sesuai dengan selera saya kerana tahu masakan ibunya yang berempah itu agak pedas bagi orang baru seperti saya," terang Sumayyah.

Kongsinya lagi, apabila beliau rindukan ahli keluarga dan kampung halaman, suaminya lah yang berjaga malam menemaninya serta menawarkan diri untuk membawanya pulang AS.

Malah boleh dikatakan dalam apa juga situasi; sakit pening, gembira dan duka dialah insan yang akan memegang tangan Sumayyah untuk mengharungi semua keadaan itu.

"Dialah sahabat baik, tempat mengadu dan bapa kepada anak-anak kami. Bahkan dia turut berjaga malam membancuh susu anak, menggantikan lampin pakai buang, bersabar dengan kerenah nakal anak-anak.

"Bahkan sehingga kepada membantu membasuh pinggan mangkuk, bila melihat saya sudah tidak larat melakukannya.

"Sayangnya, suami Islam yang bertanggungjawab sebegini mendapat gambaran buruk dari media-media Barat. Kebanyakan lelaki dan suami Muslim dilabel atau digambarkan sebagai seorang yang gila kuasa sehingga sanggup memaksa isteri-isteri mereka 'berpakaian Islamik," kata Sumayyah yang juga siswazah dari Kolej Waynesburg dalam bidang keadilan jenayah.

Realitinya, ujar Sumayyah pemakaian sebegitu adalah menurut ajaran sebenar agama Islam seperti mana yang disuruh dalam al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, ia bukannya soal isu paksaan ataupun perang amanat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Katakanlah kepada orang wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka..... (al-Nur: 30-31)

"Secara peribadinya, saya datang ke Kuwait bebas dengan pakaian yang saya selesa memakainya iaitu, kemeja T dan seluar jean. Tidak ada siapa dalam keluarga suami malah suami saya juga tidak menegur apa-apa.

"Pun begitu, suami saya tidak pernah berhenti menyuruh saya membaca terjemahan al-Quran. Caranya yang penuh hikmah tetapi kadang-kala terasa seperti membebel berbaloi juga.

"Ini kerana saya akhirnya mula membaca al-Quran dan sejak itu saya semakin tidak puas dan sentiasa mencari ilmu agama.

"Saya mula mencari dan menggali seberapa banyak sumber yang boleh didapati sehinggalah saya temui kebenaran yang selama ini dicari di dalam helaian al-Quran," jelas Sumayyah yang akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.

Sumayyah mahu keputusan besar itu bukan sahaja menjadi transformasi dalaman tetapi turut membawa perubahan secara luaran. Lantas itu, beliau sanggup membeli hijab atau tudung kepala bersendirian.

Malah, suaminya juga adalah guru yang banyak mengajarnya tentang ajaran Islam terutamanya tentang solat dan berpuasa.

Apabila beliau melakukan kesalahan dia menegur dengan lembut dan tidak pernah memarahi Sumayyah, sebaliknya berusaha mencari alternatif lain agar dapat menyampaikan ilmunya supaya lebih mudah difahami isteri tercinta.

"Kesabaran suami memang menakjubkan, manakala saya pula dalam keadaan bertentangan. Apa tidaknya, saya ghairah untuk mengetahui banyak lagi tentang Islam, padahal saya tahu bahawa ia tidak berlaku dalam masa singkat atau satu malam sahaja. Namun apa yang saya inginkan dipenuhi juga.

"Akhirnya, berjaya juga saya menjadi seorang yang penyabar dan tidak cepat menggelabah apabila saya menggunakan pendekatan kehidupan seharian dalam usaha lebih memahami sesuatu perkara itu," kata Sumayyah.

Malah menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, beliau banyak mempelajari matlamat sebenar kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, setiap hari Sumayyah sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara baik agar menjadi bekalan di hari kemudian yang dijanjikan kekal abadi.

Kini, Sumayyah yang bekerja di bahagian buku-buku Islamik kanak-kanak menetap bahagia di Kuwait bersama suami tercinta dan tiga orang anak mereka.

Seterusnya...

14 July 2009

Perlukah kita tahu siapa Ex-BF atau Ex-GF pasangan kita?

Semasa saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya samada perlu ke kita tahu siapa ex-boyfriend atau ex-girlfriend pasangan kita. Hurm…memang best kalau kita dapat tahu. Tetapi adakah kita pasti yang tindakan kita tu betul?

Bagi pendapat saya, tidak perlulah kita tahu siapa bekas kekasih pasangan kita tu. Kalau tahu pun, akan buat kita berasa marah dan tak suka. Menyampah lagi ada la. Mana tak nya, buat-buatnya kita ternampak yang ex-boyfriend atau ex-girlfriend kekasih kita tu sedang syok berbalas-balas komen di Facebook mahupun Friendster, tak ke terasa hangat dalam hati ni. Haish!



Tetapi, kalau kita tahu siapa dia, mesti kita akan selidik sedalam-dalamnya pasal orang tu. Asal dia di mana, tempat tinggal dia, siapa kawan-kawan dia dan sebagainya. Kalau boleh, sampai hobi dan masakan kegemaran dia pun kita nak tahu. Kata orang, bolehlah kita lihat apa kekurangan kita dengan dia. Mana yang baik tu, kita ikut la. Yang mana tak elok tu, kita perbaiki diri lagi. Bagus juga tu.

Seterusnya...

10 July 2009

Adat Berkenalan Sebelum Pernikahan

“Cinta itu kan fitrah. Tak salah bercinta,” Kata si 'A'

“Islam tak larang lelaki dan wanita berhubung,” Si 'B' pula menyampuk.

Ya. Memang betul bahawa lelaki dan perempuan boleh berhubung. Dan patut saling mengenali jika ada hasrat untuk bernikah. Malah Nabi Muhammad turut menyuruh kita supaya melihat terlebih dahulu bakal pasangan kita itu. Ada satu kes pada zaman Nabi Muhammad yang berlaku antara Habibah binti Sahl dengan Tsabit bin Qais.

Habibah tidak pernah melihat bakal suaminya sebelum berkahwin sampailah tiba malam pertama. Habibah sangat terkejut bila bertemu suaminya sehingga dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.

“Wahai Rasulullah, kepala saya tidak dapat bertemu dengan kepala Tsabit buat selama-lamanya. Saya menyingkap ruang kamar, dan melihatnya bersiap-siap. Ternyata dia sangat hitam kulitnya, pendek tubuhnya, dan sangat buruk wajahnya....”
( HR Al Bukhari dan An Nasa’i )

Tetapi semua di atas ini bukanlah alasan untuk kita melanggar semua peraturan yang telah digariskan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Mahu berkenalan itu adalah perlu, tetapi perlu mematuhi batas pergaulan.

Degup-degup Ta’aruf

“Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.
Ungkapan Jabir bin Abdullah ini membawakan perasaan tegang, lucu dan menunjukkan degup di dada kian terasa untuk berkenalan. Memang Nabi Muhammad menyuruh para sahabat untuk mengenali terlebih dahulu pasangan yang ingin dinikahi.

Tetapi para sahabat tidaklah mengambil peluang tersebut – mengenali dengan cara berdua-duaan, berbual-bual berjam-jam, bergelak tawa dan sebagainya. Kerana mereka sedar ada batasan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dan mereka faham jika itu yang agama pinta, mesti ada sebabnya.

Apa yang perlu diwaspadai adalah ketika degup-degup itu dihasut oleh syaitan. Lalu menjadi serong. Tersimpang jauh dan menyesatkan. Sampaikan perkara yang salah kita katakan betul. Inilah yang ingin dibincangkan dalam entri kali ini.

Simpan Itu, Untuk Yang Halal Bagimu

“Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya dari sudut zina akan bertemu dalam hidupnya, tidak bisa tidak. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini oleh kemaluan, atau didustakannya.”
HR Muslim, dari Abu Hurairah

Hadis ini meminta kita berhati-hati terhadap setiap yang kita lakukan. Setiap daripada anggota badan kita ada masanya yang memacu kita ke arah zina. Kadang kita sendiri tidak sedar. Tetapi bila ada yang memberi teguran mengingatkan, maka terimalah. Jangan pula kita cuba mengatakan perkara yang kita buat itu betul.

Bagi yang sudah berpasangan, katakan kepada pasangan anda,
“Kalau yang kamu ingin beri itu adalah pesona tatkala saya masih belum layak menerimanya, maka saya harap itu bukan untuk saya. Ya, indera yang boleh memacu kita ke arah zina itu, saya harap bukan untuk saya selagi saya belum berkahwin dengan kamu.”

Setiap indera kita iaitu mata, telinga, lisan dan sentuhan boleh memacu kita ke arah zina. Ini yang perlu kita jaga sebaik mungkin selagi belum berkahwin.

Bantu Aku Menjaga Pandanganku

Pernah saya lihat dompet seorang kawan saya ada gambar seorang perempuan. Nampak macam tidak salah. Ah! Apa salahnya sekadar melihat gambar, bukannya bertemu melihat depan-depan.

Ya, tidak salah kalau kita ingin melihat terlebih dahulu wajah dan bentuk fizikal bakal pasangan kita itu. Tetapi kalau sampai disimpan dalam dompet, laptop dan ditampal di loker untuk ditatap hari-hari itu, mungkin akan mendatangkan masalah.

Itu bukan lagi niat untuk berkenalan tetapi sudah menjadi penyakit kepada hati. Kalau lama-lama sampai bertahun-tahun mungkin menimbulkan rasa jemu. Ah, sedangkan kalau seseorang itu pakai baju yang sama berhari-hari pun, sudah tentu kita jemu memandangnya.

“Oit, kau dah takde baju lain nak pakai ke?”

Ini baru soal melihat gambar berhari-hari, belum lagi bagi yang berjumpa mahu berhari-hari jugalah. Bak kata orang yang bercinta ini, sehari tidak jumpa bagaikan hati sudah mahu dirobek keluar. Makan pun tak lalu.

Ha. Kalau makan tak lalu, berpuasalah. Hehe. Lagi saya suka kalau saya yang makan tak lalu. Boleh kuruskan badan.

Mahu dikatakan sepandai-pandai kita pun, lagi pandai si syaitan tersebut. Orang kata lebih lama hidup maka lebih banyak pengalaman. Cuba kira sudah berapa lama kita hidup dan sudah berapa lama syaitan ini wujud di muka bumi.

Betapa pandainya syaitan ini sampai bila kita melihat si dia, mata kita terasa terpikat sampai badan tiba-tiba jadi cergas. Biasalah kalau sudah tergoda, ibaratnya macam disuntik dadah. Kemahuan meluap-luap. Kemudian timbul pula penyakit hati.

Bantu Aku Menahan Kebisingan Syahwat

Wahai perempuan, tahukah anda bahawa imaginasi kaum lelaki ini begitu tinggi? Sampaikan kami ini boleh mengimpikan dan membayangkan dengan detail apa-apa sahaja dengan hanya mendengar suara.

Jika suara anda itu lembut, ia akan membuat dentingan frekuensi yang sangat halus sampai menyengat-nyengat jiwa. Kadang-kadang berbisik-bisik sampai menimbulkan rasa ghairah yang tinggi.

Saya bukannya menyuruh anda berteriak-teriak apabila bercakap dengan kaum lelaki. Memang sudah fitrah suara perempuan itu lembut. Jadi, janganlah dilembutkan lagi. Sampai merengek-rengek bercakap dalam telefon.

Ah! Anda jangan ingat kalau cakap dalam telefon, kami tidak boleh membayangkan sesuatu. Bukankah saya sudah katakan tadi imaginasi kami ini sangat tinggi sampai anda tidak dapat membayangkannya. Hehe. Kalau tidak mana mungkin terlalu banyak iklan klub-klub telefon dalam majalah Mastika.

Apa yang perlu dibuat apabila ingin bertemu dengan lelaki, tegaskan suara. Biar frekuensi itu tidak dapat menjentik sedikit pun hati-hati kami.

Dan kepada kaum lelaki, tahanlah nafsu itu. Nanti niat asal yang hendak berkenalan itu jadi lain pula. Terpikat dengan suara, bukannya terpikat dengan agama.

Bantu Aku Bernafas

Jangan pula dilupakan hidung. Ini pun satu lagi deria yang sangat sensitif.
“Wanita mana yang memakai haruman kemudian keluar dan berharap agar orang ramai dapat menghidu bau haruman tersebut, maka dia adalah penzina.”
(HR Abu Dawud dan At Tirmizi )

Sekali lagi ingin saya ingatkan, imaginasi lelaki ini sangat tinggi. Sekali dia membau haruman daripada badan, berkemungkinan dia membayangkan sesuatu yang tidak patut.
Kulitku Sangat Peka

Seorang naqib saya sewaktu di sekolah tersebut pernah mengibaratkan akan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita bukan mahram itu seperti persentuhan kulit kita dengan kulit babi.
Jangan salahkannya, kalau tersentuh kulit babi masih boleh disucikan. Tetapi dengar pula hadis yang ini:

“Sungguh, jika kepala salah seorang daripada anda dicucuh dengan jarum besi yang menyala, itu masih lebih baik daripada anda menyentuh perempuan yang tiada halal bagimu.”
(HR At Thabrani dan Al Baihaqi )

Masih lagi saya ingin ingatkan, kita ini kaum lelaki sangat kuat berimaginasi. Kalau dengan mendengar dan bau sahaja pun sudah menerbitkan khayalan-khayalan yang tidak patut, apatah lagi kalau dapat menyentuh si dia.

Anda mahu berkenalan atau mahu apa ini?

Kawal Kata-kata

Orang kata bila mahu berkenalan perlulah memaniskan kata-kata. Ya, betul. Tetapi memaniskan kata-kata bukan bermaksud sengaja membunga-bungakan kata-kata. Cukuplah mengeluarkan ayat-ayat yang sopan. Jangan sampai keterlaluan sampai bahasa berbunga-bunga. Kalau mahu menulis sajak, bolehlah.

“Saudari, minggu depan rasanya kita perlu buat meeting untuk program ini.”
“Saudari, rasanya sudah tidak tertahan hati ini untuk berjumpa. Moga silaturrahim yang dibina akan memantapkan gerakan program ini.”
Bezakan dua ayat di atas. Kalau rasa pernah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata dengan harapan dapat menyentuh hati si dia, maka cubalah berhenti sekarang. Bukankah anda kata sekadar mahu berkenalan. Apabila sudah berkahwin nanti, buatlah ayat yang macam mana sekalipun.

Jaga Jarak

“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan janganlah seorang wanita keluar dengan seorang lelaki kecuali ditemani mahramnya.”
( HR Al Bukhari dan Muslim)

Kalau tidak bertemu atau berjumpa, orang kata tidak sah sebagai syarat untuk berkenalan. Tetapi ada syaratnya juga.

Kalau mahu berkenalan dengan si dia, jadilah lelaki yang berani terus berjumpa dengan ibu dan bapanya. Bukannya sekadar berjumpa di taman, di cafe atau di library.

Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama, pastikan perkara itu betul-betul perlu. Atau betul-betul terdesak. Jangan jadikan alasan dengan mengatakan sekadar mahu belajar. Eh, rakan sekuliah yang sama jantina bukankah ramai?

Berkenalan Sebelum Berkahwin
Saya cuba meringkaskan apa yang saya tulis di atas. Menurut Syeikh Muhammad al-Munajjid, beliau menggariskan beberapa perkara dalam pergaulan lelaki dan perempuan:

1. Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik.
2. Tidak membuat lawak atau melembutkan suara.
3. Tidak bertanya mengenai perkara peribadi (personal).
4. Berhenti bercakap jika berlaku keinginan didalam hati.

Dan adat Melayu janganlah diabaikan. Bukankah adat Melayu itu juga banyak terselit unsur Islam. Ingat lagi adat merisik?

Orang waktu dulu bila menyukai seseorang, dia akan meminta orang lain merisikkan untuknya. Bukannya dia yang dengan muka tidak tahu malu merisik sendiri.

Janganlah kata adat merisik kita ini kolot. Tidak kena dengan peredaran zaman. Dan kemudian mengguna pakai adat Barat yang kononnya dikatakan moden. Tetapi adat mereka itulah yang merosakkan institusi kekeluargaan di sana.

Masihkah anda mahu kata adat kita ini kolot?

Seterusnya...

Jangan terlalu Mencari kesempurnaan


Jika kamu memancing ikan. Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu. Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja. Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang. Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya. Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja. Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang. Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya.

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi, yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU. MENGASIHIMU. Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan MENYESAL.

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu:

"Jadilah engkau!". Maka ia terus menjadi.

Seterusnya...

Anda suka Pasangan Anda kerana....

"Kenapa anda meyukai dan meminati pasangan anda ? Adakah kerana cinta, nafsu atau sekadar suka2 aje? Bagaimanakah anda nak pastikan yang pasangan anda itu adalah benar2 orang yang akan menjadi pasangan hidup anda hingga keakhir hayat? Hidup bersama pasangan semasa bercinta dirasakan teramat manis dan indah. Setelah bernikah berbagai dugaan dan permasalahan mula timbul sehingga dirasakan atau mula terfikir seolah-olah yang anda tersilap memilih pasangan hidup sedangkan itulah jodoh yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT. Dalam keadaan seperti ini apa yang anda perlu lakukan ? Oleh itu kita berbalik semula pada persoalan yang diatas dan tanya semula diri kita ini apakah sebenarnya kemahuan dan keinginan yang membuatkan kita suka dan tertarik pada pasangan masing2 sebelum dijadikan isteri atau suami kita."

Pandangan 1.
Setiap pasangan mesti ada 'pegangan' dalam bab ni..kena kuat semangat,tabah, sabar walau dugaan melanda..tapi yang belum khwin ni kita pun tidak tahu apa yang bakal berlaku suatu masa nanti. semoga sahabat-sahabat yang akan mendirikan rumahtangga tetap dengan kasih-sayang kalian. pilih dengan mata hati. pohon pada Allah. kenali sifat-sifat pasangan yang kita inginkan. sebab hidup berumahtangga bukan untuk sehari dua sahaja. apa yang penting, masing-masing perlu saling memahami dan menjaga tanggungjawab antara satu sama lain. semoga sahabat-sahabat disini beroleh ketenangan hakiki dalam melayari bahtera rumahtangga. tetap bersabar dengan dugaan dan ujian Allah SWT. TiKA kita kuat, kita mampu mengingatkan orang lain,namun tika kita lemah kita pula yang amat memerlukan motivasi dari orang lain. itulah roda hidup manusia. saling memerlukan antara satu sama lain. ~Yusra

Pandangan 2
Saya suka pasangan saya kerana dia jodoh saya, dia suami saya di dunia dan di akhirat. ~Munaliza

Pandangan 3
saya suka pasangan sy yg berpengatahuan dalam agama,senang nanti sama2 belaja dan bimbing,
sebab perempuan ni banyak menimbulkan fitnah di akhirat kelak, takut, lelaki pun sama. ~Assiddiq

Pandangan 4
Ramai orang yang selalu menganggap, asalkan calon itu beriman, nampak beriman, maka dia dah cukup bagus utk dijadikan pasangan hidup. Sedangkan yang harus dilihat juga adalah sikap dan perangainya,akhlaknya, apatah lagi hati budinya, sama ada serasi atau tidak dengan kita. Orang yang alim dan rajin beribadat, belum tentu cukup bagus dan cukup baik dan bersesuaian menjadi pasangan dengan diri kita. ~ Munaliza

Pandangan 5
Untuk memilih pasangan, kita jangan hanya melihat pada luarannya yang nampak beriman tetapi lihat la juga pada luarannya dari segi sikap dan perangai. ~ Efa Reeza

Pandangan 6
Kecantikan tu penting, yes..pasangan yang sejuk mata memandang... ~Ibnuwalidaini

Pandangan 7
sejuk mata memandang itu penting jugak..sebab kita kahwin tiap2 hari nak tengok muka dia.....bukan nak kata paras rupa ni terlalu penting...tapi haarus diambil kira......baru aman rumahtangga...~Husnul Khatimah

Pandangan 8
Oleh itu tidaklah janggal jika kecantikan menjadi salah satu kriteria pemilihan pasangan hidup kan? Sebab rata-rata masyarakat mengatakan kecantikan tu tak kekal, budi bahasa dan agama juga disanjung tinggi.. tapi kita juga lupa bahawa agama yg tidak dijaga akan hilang.. budi bahasa yg indah jika tidak disuburkan, akhirnya akan hilang juga.. kecantikan sebenarnya kekal.. sebab cantik adalah subjektif pd mata setiap orang.. mungkin kita nampak seorang wanita yg tua kerepot tu tak cantik, tapi di mata suami dia masih kekal cantik.. beauty lies on the eyes of beholder.. cewah.. ~Dr Meow

Pandangan 9
ermm right..teman setuju ngan pandangan dr meow nih..ada orang kata..cantik tak penting..kadang2 teman nak je cakap balik..ermm melawak la dia tak tengok pada cantik..sebab yg dia pilih tu pasti cantik pada mata dia..apa2 pun yg beragama tu letakkan sebagai 1st choice...bila agama ada dalam diri dia..nur tu terpancar ke muka..secara tidak langsung kita yg tengok pun sejuk jer mata memandang..so sejuk mata memandang itu la kecantikan pada mata kita..kalau salah perbetulkan yerk.. ~Ibnuwalidaini

Pandangan 10
cantik itu subjektif...
cantik seorang isteri hanya dimata suaminya...
walaupun beribu orang lain pandang perempuan tu tak cantik...


Pandangan 11
betul tu ummi.. saya menyokong usul yg dibawa oleh ummi... hehehe...
suami sentiasa nampak isteri dia cantik, walaupun orang kata hodoh... ~Dr Meow

Pandangan 12
lisa suka pada pasangan lisa kerana apa pun lisa sendiri x tahu...tapi lisa sayang sangat dekat suami lisa... ~marlisa_syazana

Pandangan 13
Saya suka pada pasangan saya kerana:
Sebab suami adalah anugerah terindah pernah saya miliki….selain anak2....
dan suamiku adalah insan biasa...
yang masih bersabar dengan kerenahku....
seorang suami yang hari2 memimpin daku dan menjaga ku dengan selamat.... ~ Zuhaniz

Pandangan 14
suka, sayang dan cinta kita tidak memerlukan sebab... Bagi saya..cukup sayang dan cinta pasangan saya membawa sayang dan cinta saya kepada Yang Maha Esa...Amin...~Sofia

Pandangan 15
“Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!”

Namun apa bila seorang isteri itu jatuh sakit dan koma...
Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi. Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu… ia boleh dirasai dalam hati.”~Suami Mithali

Pandangan 16
Salam... saya memilih pasangan, yang 'indah' didalam... biar pun keindahan diluarnya tidak seberapa... tapi, cukup lah sekadar dia 'indah' dimata saya... Sedap mata memandang... menerima dia dengan seadanya... Bahagia setiap yang berpasangan itu bukan terletak pada keindah luaran.... Dan pernah kah rakan semua berfikir, macam na, bila kt boleh jatuh sayang/cinta dengan keluarga kt. sedang kan, masa kt lahir x mengenali siapa mereka... perasaan itu terbit dari hati kt dengan sendirinya.. tanpa paksaan,ikhlas, disertakan juga dengan rasa tanggungjawab...sepatutnya.. macam tu jugak lah konsep bila kt jatuh cinta dengan pasangan kt....bukan kerana kebendaan, rupa paras......... ~Norhafisah

Pandangan 17
bagi memilih pasangan kite seharusnya berpandukan kpd perangainya,keimanannya dan keikhlasan untuk mencintai diri individu lain kerna sume itu masedepan keluarga dan perhubungan yang lebih bahagia... ~123456

Pandangan 18
tu sebab, Iman sempurna, ialah apabila Allah dan RasulNya lebih di cintai dari selainnya
cinta Allah cinta Rasul............. trylah, nampak tidak Allah dalam diri sahabat tu, nampak tidak Muhammad pada pekerti kawan kita tu. Selalulah Ingat, Syaitan menampakkan Indah segala maksiat yang berlaku di hadapanmu.~dol_bendol

Pandangan 19
sy suka pasangan sy nanti sbb dia adalah jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah utk sy..nobody's perfect..jd, xkan kita jumpa seorang pun yang memenuhi ciri-ciri impian kita, bersyukur ngn pemberian Allah, at least..Allah berikan kt teman utk berkongsi suka dan duka. ~habib abqari

Pandangan 20
entahla.. takde sebab untuk saya suka dier.. yang pastinya saya menyenangi segala yang ader pada dier.. segala kelebihan dan kekurangan.. segala baik dan buruk.. pendek kata segala2nya lah.. heheheh ~ilhamku09

Kesimpulannya:
Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih pasangan hidup. Islam menganjurkan kahwini wanita dengan 4 perkara: kecantikannya, hartanya,keturunannya dan agamanya. Yang paling baik pilih lah agamanya.

Seterusnya...

09 July 2009

Kebahagiaan itu hak MU

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)"
[Surah Ar-Ruum: 21]

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, sehingga Adam a.s rindukan Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada cinta Allah yang Maha Agung, disitulah segala jawapannya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan.

Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.


Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jika kita mengharap mendapat isteri solehah, maka soleh kan diri kita terlebih dahulu. Terimalah
jodoh kita , pasrahkan kepada Allah.

"Jika lelaki ini baik buat dunia dan akhiratku,
maka bukakanlah hatiku untuk
menerima dia sebagai suami ku,
panjangkan umurku dalam mentaati MU dan rasul MU"


"Kebahagiaan itu hak MU,
maka izinkan aku menikmatinya didalam hidup
berumahtangga ini
tidak kira
di dunia dan di akhirat juga."

Seterusnya...