CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

09 June 2014

Nafkah Isteri dan Ibu bapa, Mana Yang didahulukan?


 Soalan;

1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kampung? - Suami bukanlah anak lelaki sulung atau anak lelaki tunggal.

2. Bolehkah keluarga di kampung terutama ibu dan ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya juga perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.

Syukran jazilan atas jawapan yang diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL


Impianku menjadi isteri solehah,mencintai, 
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

18 February 2013

Sehari Jadi Raja, 10 Tahun Jadi Hamba Bank


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kita mempunyai pilihan.


1) Terus buat majlis perkahwinan seperti hari ini.

2) Membentuk budaya baru majlis perkahwinan yang lebih ‘mampu-buat’.

Sekiranya poket kita “dalam”, tiada masalah untuk buat cara kenduri kahwin yang kita suka. Apa yang mengundang kebocoran wang yang banyak di kemudian hari adalah apabila kita membuat kenduri kahwin di luar kemampuan sehingga terpaksa bergolok gadai & berhutang keliling pinggang.

Berhenti Jadi Raja Sehari Kemudian Jadi Hamba Bank Selama 10 tahun

Apabila kos perkahwinan hari ini mencecah RM 50,000 maka majoriti bakal pengantin terpaksa berhutang dengan bank sehingga 10-15 tahun.

Dengan kadar pembiayaan peribadi sekitar 5% setahun, setiap hutang RM 50,000 menyebabkan kita kehilangan aliran tunai sebanyak RM 600 sebulan selama 120 bulan. Seterusnya membayar balik kepada bank sehingga RM 72,000.

Benar, berkahwin & membuat kenduri perkahwinan itu satu sunnah namun Nabi saw tidaklah mengajar kita untuk membuat sesuatu di luar kemampuan sehingga membebankan kita. Baginda saw menyarankan agar kenduri kahwin ini dibuat walaupun hanya sekadar seekor kambing. Nak tunjuk, kenduri itu sunnah dan buat kecil-kecil pun tidak mengapa.

Dalam masyarakat kita, kenduri seekor kambing mampu menjamu dari 60-100 orang.
Jom Ubah Budaya Kahwin di Malaysia

Apabila anak-anak muda yang mahu berkahwin dapat mengelakkan dari membuat pembiayaan peribadi sebesar RM 50,000 mereka bakal mempunyai aliran tunai sehingga RM 600 sebulan. Jika mereka mampu bayar kepada bank RM 600 sebulan, sebenarnya mereka juga mampu menyimpan sebanyak itu setiap bulan.

Justeru, dengan aliran tunai sebanyak itu bakal pengantin mempunyai 2 pilihan mudah.
-1 Menyimpan RM 600 sebulan selama 7 tahun

Hasilnya dianggarkan seperti berikut

Tabung Haji (5%): RM 61,553.58
ASB (8%): RM 69,383.72


-2 Memulakan pelaburan hartanah setiap sendiri

Suami beli satu. Isteri beli satu. (Sila pastikan pembelian dibuat setelah mempelajari ilmu pelaburan hartanah dahulu ya)

Selepas 7 tahun berkahwin, rumah tersebut dapat terus disewakan atau dijual dengan keuntungan. Seterusnya mereka dapat bergabung membeli rumah yang lebih besar dan yang lebih sesuai untuk membentuk ‘Rumahku Syurgaku’.

Anak Muda Mesti Kumpul Aset

Kumpul aset secepat mungkin.

Bukan hutang kereta.
Bukan hutang rumah (untuk diduduki)
Bukan hutang peribadi (untuk berkahwin)

Barulah duit kita bekerja keras untuk kita dan bukannya kita bekerja keras untuk bank.

Dalam situasi hari ini, penyakit kewangan anak-anak muda di Malaysia bermula sejak mereka mula bercinta lagi.

Sumber




 

Impianku menjadi isteri solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.



Seterusnya...

01 November 2012

Ujian Saringan HIV Untuk Bakal Pengantin

 
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Terbaru telah ada perubahan tempoh dalam pengambilan ujian saringan HIV. Kalau dulu, dalam 3 minggu  sebelum tarikh bernikah, masih sempat melengkapkan Borang Permohonan Bernikah, tetapi sekarang , tidak lagi.

Saya masih ingat kali terakhir saya menguruskan pernikahan anak-anak ialah tahun 2011. Dalam tempoh 2 minggu pun masih sempat melengkapkan borang sebelum tarikh bernikah. Ujian Saringan HIV boleh dilakukan dalam tempoh setengah hari saja.


Sebaik dapat borang permohonan nikah, dilampirkan di dalamnya borang untuk ujian saringan HIV. Disertakan senarai Klinik atau Pusat Kesihatan yang boleh bakal pengantin membuat ujian Saringan. Bukan hari-hari  Klinik atau Pusat kesihatan mengadakan ujian saringan HIV ni. Ada hari-hari tertentu.


Kini, untuk melakukan Ujian Saringan HIV, bakal pengantin kena buat temujanji terlebih dahulu dengan Pusat Kesihatan. Tempoh yang diberikan ada yang sampai 1 bulan . Selepas darah diambil, kena tunggu keputusan. Keputusan dikeluarkan lebih kurang 1 bulan dari darah diambik.


Maka sesiapa yang ingin bernikah, rancanglah tarikh baik-baik dan ambil borang awal agar mudah dilengkapkan tanpa tergesa-gesa.


Sekian, makluman untuk pembaca budiman. Semoga bermanafaat membantu bakal-bakal pengantin.






Impianku menjadi isteri solehah,mencintai, 
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

15 March 2010

Hukum Perkahwinan Bawah Umur: Sah

Perkahwinan Bawah Umur Sah, Perlu Dapat Kebenaran Mahkamah.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Nikahilah perempuan yang banyak anak dan penyayang. Karena aku akan berbangga dengan banyaknya umatku dihadapan para Nabi kelak di hari kiamat”. (Hadits Riwayat Ahmad dan di shahihkan oleh Ibnu Hibban).

Merupakan sifat atau tabiat manusia yang cenderung untuk mengadakan hubungan sesama manusia. Allah S.W.T telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai sunnah para Rasul bagi melahirkan rasa paling cinta, sikap saling bekerjasama dengan kebajikan dan bantu-membantu untuk mendidik keturunan. Perkahwinan merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang dituntut oleh agama Islam untuk dipikul dan dilaksanakan oleh umat Islam.

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Abd Aziz Abd Rahman hari ini berkata, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur adalah sah mengikut hukum syarak sekiranya ia dibenarkan oleh wali kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun dan lelaki di bawah umur 18 tahun, mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum berkahwin."Secara prinsipnya perkahwinan di bawah umur memang boleh mengikut hukum syarak namun perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan secara sesuka hati kerana kita mempunyai Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

"Enakmen ini memperuntukkan syarat umur bagi pengantin lelaki ialah minimum 18 tahun, manakala perempuan pula mesti berumur 16 tahun ke atas," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun oleh ayahnya sendiri Hussin Mat Salleh baru-baru ini.

Biar pun hukum syarak membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan gadis bawah umur tetapi beberapa perkara perlu diambil kira.


"Perkahwinan bukan saja untuk menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan kerana ia membawa pengertian yang amat besar, contohnya, adakah seorang kanak-kanak mampu untuk membesarkan seorang anak," katanya.

Apa itu perkahwinan? Perkahwinan adalah ikatan yang sah dalam perhubungan lelaki dan perempuan mengikut hukum agama. Secara mudah, perkahwinan itu menandakan si suami itu sanggup bertanggungjawab menjaga si isteri, dan si isteri sanggup bertanggungjawab terhadap si suami.

Tanggungjawab ini adalah suatu amanah daripada Allah. Berani tanggung, beranilah jawab. Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan ada tanggungjawab masing-masing.


SUNNAH NIKAH - "Nikah adalah sunnahku...." (HR.Bukhari-Muslim). Karena menikah adalah ibadah, maka ikhtiar menemukan jodoh harus dilakukan sesuai dengan syari'at Islam. Salah satu sarana alternatif adalah bergabung dengan komunitas perjodohan khusus muslim.

KRITERIA - “Wanita dinikah karena empat perkara, karena hartanya, nasabnya, kecantikannya, dan agamanya, maka pilihlah yang memiliki agama (yang baik), jika tidak, engkau akan binasa” (HR. Bukhori-Muslim). Kriteria sederhana tapi mutlak. Kita suka mempersulitnya dengan menuntut aneka kriteria ideal menurut kita.

Hakikat pernikahan adalah saling melengkapi antara suami isteri. Tampunglah kekurangan isteri dengan kelebihan suami, dan begitulah sebaliknya.

Antara suami dan isteri adalah dua insan yang berbeza. Baik dari segi jantina, fizikal, perasaan dan sebagainya. Apabila kita menikah bermakna kita harus menerima setiap perbezaan itu dan sesuaikan dengan diri kita. Masing-masing memainkan tanggungjawab untuk memastikan baitul muslim itu akan bertahan hingga ke akhirnya (pengetahuan Allah).

Perlu kita sedar bahawa suami atau isteri itu hanyalah pinjaman Allah SWT. Bukan hakmilik kita. Harus redha bahawa apa yang dipinjam apabila sampai masa kita harus kembalikan kepada pemunya hak tersebut.

1. Perkahwinan amat digalakkan oleh Islam dan juga bagi menuruti Sunnah Rasulullah.

2. Perkahwinan telah diharuskan oleh syara' demi untuk memelihara individu muslim daripada terlibat dan tercebur pada perkara-perkara yang ditegah ataupun melepaskan nafsu mereka pada tempat-tempat yang haram.

3. Perkahwinan juga bertujuan untuk menjaga keturunan umat manusia daripada terus pupus dimana melalui perkahwinan maka akan lahirlah generasi baru dan keturunan juga dapat dikekalkan untuk selama-lamanya.

4. Ikatan perkahwinan dapat membentuk dan menjalinkan hubungan yang lebih intim bagi individu tertentu, merapatkan hubungan kekeluargaan anatara kedua belah pihak serta hubungan di antara anggota masyarakat akan menjadi lebih kukuh dan sempurna.

5. Melalui perkahwinan pasangan suami isteri dapat menyemai perasaan kasih sayang dan belas kasihan, tolong menolong dan bekerjasama, berkongsi segala masalah suka duka dalam mengharungi cabaran hidup serta lebih bertanggungjawab.

6. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah suatu amalan soleh dan diberikan ganjaran pahala oleh Allah.




Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Seterusnya...

09 March 2010

Perkahwinan budak 11 tahun perlu kelulusan


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir "
- Ar-Rum : Ayat 21





KUALA LUMPUR: Perkahwinan budak berusia 11 tahun yang berlaku di Kelantan cukup menyedihkan dan memalukan, sekali gus memberi kesan dalam membela serta memperjuangkan isu kanak-kanak, terutama memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna dan perlindungan secukupnya.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq, berkata walaupun perkahwinan itu sah mengikut syarak, budak berkenaan perlu diselamatkan kerana dia masih kecil dan mempunyai masa depan.

“Tindakan bapanya amat dikesali dan dia patut dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.




Beliau mengulas mengenai tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun yang juga ketua jemaah yang disertainya.

Kes itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di negeri itu, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan keluarganya dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata dalam undang-undang negara dan syarak, budak berkenaan sekiranya sudah baligh dan tidak reda dengan perkahwinan itu boleh meminta fasakh (cerai) di Mahkamah Syariah.
“Dalam Islam memang dibenarkan pernikahan dengan perempuan bawah umur kerana Siti Aisyah sendiri berkahwin dengan Nabi Muhammad ketika berusia sembilan tahun.

“Mengikut konsep Islam juga tidak semestinya pasangan yang berkahwin di bawah umur melakukan persetubuhan, sebaliknya menunggu sehingga kanak-kanak itu mencapai baligh bagi mengelakkan kesakitan kepada alat kelaminnya,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, berkata perkahwinan itu sah sekiranya memenuhi rukun nikah, tetapi kesalahan bapa terbabit ialah tidak mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah untuk mengahwinkan anaknya yang di bawah umur 16 tahun.

Katanya, mengikut kaedah Islam tidak timbul soal umur dalam perkahwinan kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan sekali pun boleh dikahwinkan.
“walaupun undang-undang negara menetapkan syarat tambahan untuk perkahwinan yang membabitkan perempuan bawah umur tetapi ia dibenarkan syarak kerana tujuannya baik untuk melindungi kanak-kanak dan mengelakkan sebarang masalah timbul.

“Bagaimanapun, bapa terbabit boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang negara. Bagaimanapun, kita anggap perkahwinan itu adalah kes terpencil dan bukannya satu fenomena,” katanya.



Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.


Oleh Hussain Said  hussain@bharian.com.my

Seterusnya...

04 January 2010

Mendirikan Rumah Tangga


Allah menciptakan setiap makhlukNya itu dalam berpasang-pasangan, Maha Suci Allah yang menciptakan hambaNya itu sifat dan keperibadian yang khas dan berbeza bagi setiap manusia. Maha Suci Allah juga yang mengurniakan kebaikan dalam jiwa dan akhlak manusia.

Alhamdulillah, dalam ruangan ini, jika diizinkan Allah, dapatlah kiranya ummi membincangkan, memanjangkan dan menilai sejauh mana perkahwinan itu dapat menambah kebaikan dalam hidup seseorang manusia khususnya kepada yang ingin mendirikan rumahtangga pada usia remaja. Insya’ Allah, perkara ini dapat membawa kepada bertambahnya ilmu atau menajamkan kefahaman yang sedia ada jika hal ini dibincangkan dengan lebih lanjut.

“dan bukankah Kami(Allah) ciptakan kamu berpasang-pasangan?” (an-Naba’:8)


Allah telah menetapkan jodoh seseorang itu sebelum kelahirannya ke dunia lagi. Namun, apakah harus sesorang itu mencarinya, atau membiarkan saja dirinya didatangi oleh seseorang(jodoh) yang telah ditetapkan itu?


Masa itu tetap berlalu dan usia itu sentiasa merujuk kepada masa yang berlalu, seseorang yang telah masuk ke usia remaja pasti tidak akan dapat dinafikan oleh mana-mana pihak bahawa mereka ini adalah golongan yang baru merasa “ingin disayangi dan ingin menyanyangi” sesama mereka( lelaki dan perempuan).

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, setinggi manapun ilmu, budi, dan akhlak seseorang itu, pasti tidak dapat berkata “tidak setuju” dengan kenyataan itu. Sifat “ingin disayangi dan ingin menyanyangi” itu merupakan fitrah manusia yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu saling memerlukan antara satu sama lain(lelaki dan perempuan), yang sebenarnya membawa kepada hasil yang lebih baik lagi mantap. Adapun manusia itu diciptakan berpasang-pasangan, bukanlah ia dijadikan sebagai satu “dalil” atau alasan untuk manusia melakukan “kerosakkan” di muka bumi ini, yaknilah mengadakan hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan, tanpa adanya konsep kehambaan diri kepada Allah s.w.t.(yakni melakukan maksiat). Untuk berpasangan itu haruslah melalui kaedah dan cara yang betul lagi diredhai Allah s.w.t.

Allah memerintahkan dalam firmanNya:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian(bujang)[1] di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Nur:32)

[1]. Maksudnya: hendaklah lelaki yang belum berkahwin atau wanita- wanita yang tidak bersuami, dibantu agar mereka dapat berkahwin.

Jelas dinyatakan dalam firmanNya memerintahkan agar lelaki dan perempuan yang belum atau tidak bekahwin, untuk dicarikan jodohnya, tapi hanyalah dengan cara dan kaedah yang diredhai oleh Allah.

مَا أَحَلَّ اللهُ حَلاَلاً أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنَ النِّكَاحِ

(tidak ada sesuatu yang halal yang dihalalkan oleh Allah lagi dicintaiNya daripada nikah)

Demikian juga dinyatakan dalam sebuah hadits tentang menjodohkan(mengahwinkan) anak(perempuan) yang kira-kira bermaksud;

Rasulullah s.a.w bersabda:

“apabila datang seseorang yang kamu sukai agama dan kejujurannya untuk melamar puteri kamu, maka nikahkanlah dia, jika kamu tidak melakukan demikian, maka hal itu akan menjadi fitnah di muka bumi juga kerosakan besar.” (hadits riwayat Tirmizi)

Dapatlah kiranya kita memahami bahawa perintah-printah ini harus difahami oleh masyarakat pada zaman sekarang, yang pasti apabila diikuti, maka terbentuklah persekitaran yang menyejukkan mata lagi membawa keberkatan dalam sesebuah kehidupan bermasyarakat. Inilah muqadimah yang perlu difahami oleh setiap individu muslim khususnya para ibu bapa dan remaja-remaja yang berminat dan teringin untuk mendirikan rumah tangga, insya’ Allah.

Apakah tujuan berkahwin?


Setiap hasrat untuk mengikat hubungan(perkahwinan) itu haruslah disertai dengan niat yang baik dan ikhlas. Setiap perkahwinan itu harus ada perancangan untuk membentuk keluarga yang sakinah. Berkahwin bukan sekadar apa yang kebayakkan masyarakat fahami sekarang, iaitu untuk mengelakkan daripada melakukan maksiat. Benar, ia adalah salah satu tujuan utama perkahwinan, tapi, cuba kita kembali ke dasar sekali lagi, “manusia itu diciptakan dalam keadaan berpasang-pasangan”. Maknanya, setiap manusia memang perlu untuk berpasangan(lelaki dan perempuan), iaitu melalui perkahwinan, dan pastinya fitrah manusia itu mencari kebahagian. Untuk mencari kebahagian dalam rumah tangga pula, haruslah perkahwinan itu didasarkan atas niat yang baik.

Rasulullah bersabda:

“bernikah adalah sunnahku, oleh itu, sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia tidak suka denganku” (hadits riwayat Abu Ya’la)

Rasulullah juga menggalakkan para pemuda-pemudi untuk bernikah, seperti mana dalam sabdaan Baginda:

“wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu untuk bernikah, maka hendaklah dia bernikah, kerana sesungguhnya menikah itu dapat (lebih)menajamkan pandangan, dan menjaga kemaluan. Sesiapa yamg belum mampu bernikah, maka hendaklah dia berpuasa, kerana berpuasa adalah pencegah daripada nafsu syahwat” (hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Kenapa sering dikatakan “ada kelebihan berkahwin awal” tidak kira sama ada masih belajar atau sudah habis belajar(khususnya remaja)?

Perkahwinan itu merupakan satu ikatan pernikahan yang barang siapa (pasangan) yang telah melepasinya, maka, pasangan itu boleh melakukan apa yang mereka mahukan (menzahirkan kasih sayang dan sebagainya) dengan batasan-batasan yang berlandaskan konsep kehambaan kepada Allah s.w.t. maka, apakah kelebihan berkahwin itu?,

Sabda Nabi yang kira-kira bermaksud,

“Barangsiapa yang berkahwin, maka dia telah melindungi (menguasai) separuh daripada agamanya, kerana itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah untuk memelihara yang separuhnya lagi”. (HR. Al Hakim dan Ath-Thahawi)

Adapun dari atsar, kata Ibnu Abbas r.a yang kira-kira bermaksud: “ibadat seseorang itu tidak akan sempurna sehinggalah dia bernikah”.

Maka, bolehlah dikatakan bahawa kelebihan perkahwinan itu adalah:

1. Dapat meningkatkan kualiti ibadah kita kepada Allah s.w.t

2. Memperoleh pahala kerana mengikuti sunnah Nabi

3. Dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat

4. Dapat meluahkan perasaan kasih dan sayang

5. Dapat keredhaan Allah kerana mampu melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan perkahwinan itu boleh meningkatkan kualiti ibadat?


Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan perkara yang diredhai Allah, maka sudah semestinya ada kebaikannya dan tidak sama sekali keburukkan. Perkahwinan yang berlandaskan niat yang bersih sudah semestinya akan dapat melahirkan kualiti keluarga yang bersih.

Ibadat seperti solat, puasa, mencari ilmu, bekerja dan sebagainya itu akan terasa lebih indah dan seronok jika dilakukan bersama orang yang tercinta(isteri bagi lelaki, dan sebaliknya). Begitulah halnya juga jika kita melakukan ibadah atas dorongan orang yang tercinta. Seperti berbalas-balas dorongan, bantuan, dan senda gurau.

Insan mana yang tidak bersemangat jika ada kekasihnya(suami/isteri) saling menegur demi kebaikan, mendorong untuk gigih beribadah, dan bersama dalam setiap perkara yang dilakukan. Perkahwinan juga memudahkan urusan kita kepada Allah, seperti mudahnya hamba Allah itu memasuki syurga seperti mana yang dimaksudkan dalam hadits,

Rasulullah bersabda:

“sesiapa sahaja perempuan(isteri) yang meninggal dunia, dan suaminya redha, maka perempuan itu masuk syurga” (hadits riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Rasulullah juga bersabda dalam hadits yang lain:

“apabila seorang perempuan(isteri) menunaikan solat lima waktunya, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya, dan mentaati suaminya, maka dia dimasukkan dalam syurga Tuhannya”  (hadits riwayat Ibnu Hibban)

Perkahwinan itu merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.


Nabi (Muhammad s.a.w) juga merupakan manusia yang mempunyai fitrah seperti setiap manusia yang lain. Nabi Muhammad merupakan manusia pertama yang memasuki syurga, kerana Baginda adalah insan terbaik dan kata-kata Baginda adalah benar. Nabi telah banyak berpesan kepada umatnya untuk berkahwin, jadi, tidak mungkin (tujuan sebenar) perkahwinan itu membawa kepada kesan yang tidak baik, bahkan sebenarnya kebaikan yang dijanjikan, seperti mana, Firman Allah dan sabda Nabi yang telah dibincangkan tadi. Perkara yang jelas yang boleh diperoleh melalui perkahwinan ialah pahala mengikuti sunnah nabi dan pahala umpama mendirikan sebuah masjid. Malah lebih banyak ganjaran dan pahala yang boleh diperoleh sekiranya sesuatu perkahwinan itu diberi pengisian yang baik di dalamnya(berusaha membentuk keluarga yang sakinah).

Dapat mengelakkan diri daripada melakukan maksiat.


Memang tidak dapat disangkal bahawa inilah salah satu tujuan utama wujudnya “perkahwinan”, namun ia bukan tujuan keseluruhannya. Pengertian bagi “maksiat” dalam konteks ini lebih membawa kepada maksud melakukan dosa-dosa yang didasarkan kepada nafsu syahwat. Rasulullah berpesan supaya umatnya berkahwin agar dapat menyalurkan keinginan syahwat melalui cara yang diredhai (bernikah dahulu). Sesungguhnya perkara (menzahirkan kasih sayang/bergaul) itu juga banyak membawa kelebihan dan kebaikan seperti dapat menambah kasih sayang antara suami isteri, dapat (lebih)membaiki hubungan, dan mendapat pahala sedekah apabila melakukannya.

Firman Allah s.w.t:

“Oleh itu, datangilah kebun tanaman(isteri) kamu menurut cara yang kamu sukai” (al-Baqarah:223)

Perintah Allah ini hanya boleh dilakukan seandainya pasangan (lelaki dan perempuan) itu telah bernikah. Begitulah kelebihan yang terkandung dalam perkahwinan, Allah meredhai setiap perbuatan hambaNya selagi tidak melanggar laranganNya. Maka, hubungan yang tidak terjaga sebelum pernikahan itu merupakan pendekatan kepada maksiat dan menghampiri kemungkaran Allah. Tidak ada cara yang lebih baik dan diredhai oleh Allah dalam sesuatu hubungan(antara lelaki dan perempuan) itu kecuali dengan ikatan yang sah(pernikahan). Adapun seseorang itu belum mampu untuk berkahwin, maka pesan Rasulullah agar kita berpuasa kerana ia mampu mencegah daripada nafsu syahwat.

Dapat meluahkan kasih sayang.


Sesungguhnya kita tahu adab-adab bagi lelaki kepada perempuan ajnabi (asing/dan belum berkahwin) dan jika sebaliknya juga. Antaranya ialah tidak boleh meluahkan perasaan kasih sayangnya, seperti meluahkan rasa cintanya sama ada melalui perkataan lisan, tulisan, dan sebagainya. Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, haruslah juga menjaga adab-adab sebelum kahwin itu kerana ia akan membawa kesan kepada keluarga yang akan dibina itu nanti.

Dengan adanya ikatan pernikahan, maka dibolehkanlah pasangan meluahkan atau menunjukkan perasaan kasih cinta dan sayang, yang demikian itu lebih diredhai Allah s.w.t. Rugilah manusia yang “ingin dicintai dan ingin mencintai” itu, kerana tidak mengambil berat tentang hal ini (bernikah). Sedangkan ia merupakan saluran yang betul untuk mereka ambil bagi tujuan berkasih sayang kerana kelebihannya yang terlampau banyak dan akan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Mendapat keredhaan Allah s.w.t kerana dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah.

Kebanyakan manusia (perempuan) itu mampu melahirkan anak, namun, hanya yang mempunyai ikatan pernikahan yang sah sahaja yang akan mendapat keredhaan dan berkat daripada Allah, yakni tidak bertujuan untuk mendapatkan anak dengan cara yang haram. Sesungguhnya anak yang baik itu lahirnya juga dari yang baik (cara yang baik). Dan sesungguhnya, anak-anak yang baik itulah yang berguna kepada ibu bapa (di dunia dan akhirat), juga kepada masyarakat dan agama.

Rasulullah bersabda:

“apabila seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang berdoa untuknya”  (hadits riwayat Muslim)

Harus diingat, pasangan yang menginginkan anak yang soleh itu haruslah bernikah terlebih dahulu, dan menjaga batas-batas dalam ketika “bersama”. Begitu besarnya fadhilat (kelebihan) ikatan pernikahan itu. Dengan terikatnya pasangan itu malalui ikatan pernikahan, maka banyaklah kebaikan yang mereka akan peroleh sehingga tidak terkira jumlahnya, di dunia hingga akhirat.

Disini saya sertai juga panduan memilih pasangan hidup (bagi lelaki yang mencari pasangannya)

berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

“perempuan itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Mendapat keuntunganlah barang siapa yang menikahi perempuan kerana agamanya. Maka anda akan memperoleh keberkatan”  (hadits riwayat Bukhari an Muslim)

Sabda baginda dalam hadits yang lain:

“mengapa engkau tidak memilih seoorang gadis yang dapat bersenang-senang denganmu?” (hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun panduan lain yang telah disepakati dalam memilih bakal isteri demi keberkekalan dan kebahagian rumah tangga iaitu, memilih kerana agamanya, kerana akhlaknya, kerana kebaikannya, kerana mas kahwinnya yang murah, kerana dapat memberi keturunan, kerana kecantikannya, dan kerana keturunan; dan yang bukan dari kerabat yang dekat.

Pemilihan berdasarkan agama itu merupakan yang paling ditekankan dan paling penting dalam pemilihan bakal isteri bagi mendapatkan keluarga yang bahagia lagi berkekalan. Sesungguhnya perempuan yang beragama itu ialah perempuan yang solehah, dan wanita solehah itu merupakan hiasan duniawi yang paling tinggi nilainya.

Kecantikan juga merupakan faktor yang penting dalam pemilihan bakal isteri, namun tidak sepenting agamanya. Fitrah manusia, menyukai yang cantik. Kecantikan penting dan ia merupakan antara sebab lahirnya rasa kasih dan sayang terhadap sesuatu. Dalam Islam, dianjurkan bagi lelaki yang ingin menikahi bakal isterinya untuk melihatnya terlebih dahulu dengan batas-batas yang yang ditetapkan sahaja.

Pemilihan berdasarkan mas kahwin juga diambil kira dalam pemilihan bakal isteri. Sesungguhnya mas kahwin yang mahal itu tidak digalakkan. Dalam satu hadits ada dinyatakan bahawa antara keberkahan seorang perempuan itu adalah segera dinikahkannya (bagi seorang yang berkuasa. Contoh:bapa, datuk), segera melahirkan dan mas kahwin yang murah. Dan dimakruhkan mas kahwin yang mahal dari pihak wanita.

Bagi setiap wali perempuan, haruslah pandai memilih pasangan bagi anak perempuannya. Jangan dinikahi lelaki yang buruk perangainya, yang buruk rupanya, yang lemah agamanya, yang tidak menunaikan haknya dengan baik, atau lelaki yang tidak sepadan dengan perempuan dalam masalah keturunan.

Seseorang telah bertanya kepada Hasan: “beberapa orang telah datang untuk meminang puteriku, jadi, kepada siapakah harus aku nikahkan?” Hasan menjawab: “kepada orang yang lebih bertaqwa kepada Allah. Sebab jika lelaki tersebut mencintai anak perempuan anda, maka dia akan memuliakannya, dan jika lelaki tersebut marah kepada anak perempuan anda, maka dia tidak akan menaganiaya anak perempuan anda”.

WALLAHU ‘ALAM



cita-cita ku mahu semua anak-anakku
menjadi anak yang soleh dan solehah

Seterusnya...

02 January 2010

Ada alasan kukuh berkahwin


Sememangnya banyak yang perlu difikirkan sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Anda harus menyediakan diri dengan banyak perkara.Ada perasaan ragu-ragu untuk melangkah ke alam rumah tangga yang penuh dengan tanggungjawab dan pelbagai dugaan.

Tulisan di bawah ini bukan untuk menakut-nakutkan anda yang masih bujang tentang perkahwinan tapi sekadar ingin memberitahu beberapa perkara yang harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan mengakhiri zaman solo.

Fikirkan perkara-perkara di bawah tapi jika anda sudah yakin dengan pilihan anda, tunggu apa lagi!

Ada alasan kukuh berkahwin

Perkara paling utama ialah keyakinan diri. Oleh sebab itu, yakinkan diri kenapa anda harus mendirikan rumah tangga. Apa yang ingin anda perolehi daripadanya? Apa kesannya pada diri anda, pasangan dan keluarga masing-masing? Jika jawapannya masih belum dapat anda pastikan, ataupun alasannya belum lagi realistik, lebih baik tunda dahulu niat anda sehingga anda benar-benar yakin.




Harus sedia berkongsi

Anda harus menerima kenyataan bahawa situasi tinggal bersama itu berbeza dengan tinggal sendiri. Semuanya harus dikongsi. Bukan sekadar berkongsi bilik, satu almari tetapi juga berkongsi waktu, perhatian, seks, kewangan dan juga emosi.

Sedia untuk sakit hati

Segala tindakan dan perbuatan pasti mempunyai risiko. Begitu juga dengan mengambil keputusan untuk berkahwin. Perkahwinan akan membuka topeng masing-masing. Jika sudah memutuskan untuk berkahwin bererti anda harus sedia menerima risiko paling buruk tentang sikap pasangan anda.

Sedia untuk berfikiran terbuka

Masalah selalu ada, bila-bila dan di mana saja. Adakalanya permasalahan timbul untuk memperbaiki kualiti hubungan anda. Oleh sebab itu, lebih baik jika anda selalu sedia membuka diri untuk bertukar fikiran dengan pasangan agar hubungan emosi tetap terjalin.

Sedia untuk kompromi

Punya agenda, pendapat atau prinsip sendiri memang boleh tapi ingat akan pasangan anda. Dia juga mempunyai kesibukan, pendapat, keinginan yang mungkin berbeza dengan anda. Maka meningkat diri untuk bertoleransi, saling menghargai akan sangat membantu rumah tangga.

Sedia untuk berpisah


Di dunia ini tidak ada yang abadi. Berkahwin merupakan cara untuk menyatukan dua hati yang berbeza dan membina sebuah mahligai bahagian. Namun dalam keadaan tertentu, terlalu sukar untuk mempertahankan kebahagiaan itu. Cara yang terbaik adalah dengan berpisah. Ketika anda melafazkan akad, anda harus menyedari bahawa akan ada salam perpisahan jika tidak seiringan.

Sedia menerima malu

Anda tentu mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih pasangan. Tetapi, seburuk apa pun sifat dan perilaku pasangan anda di mata orang, dia adalah pilihan anda. Oleh sebab itu, anda harus berani mati dan sedia untuk malu bagi menjaga kehormatan masing-masing.

Soal anak

Selepas mendirikan rumah tangga, kehadiran anak amat dinanti untuk menyerikan kehidupan. Tetapi secara anda sedar atau tidak, anak dapat mempengaruhi hubungan dan kehidupan rumah tangga anda. Bagaimanapun, kehadiran anak adalah kurniaan Tuhan. Maka bersikap rasional dalam masalah ini akan lebih baik. Anda tidak harus mengurangi waktu untuk berdua ketika ada atau tanpa anak sekalipun.

Seterusnya...

25 December 2009

Restu Ibu bapa dalam sebuah Perkahwinan


Untuk berkahwin, restu ibu bapa sangat diperlukan.Kenapa? Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga.

Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.


Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu. Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Jadi sekiranya kita tidak mendapat restu mereka, adakah sempurna agama kita jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat redha ibu bapa? Dan jika ibu bapa tidak redha, adakah Allah meredhai anak itu?

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. Kalau berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi.

Dalam soal ini, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek.

Jika Tak Direstui

Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa .

Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

Sering kita terbaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.

Cuba kita renung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa.

Apabila Ibu Bapa Diam

Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang kerana tidak mahu melukakan hati anak. Begitu sekali ibu bapa cuba untuk menjaga hati anak. Biar hati mereka terguris dengan tindakan anak,namun untuk mereka melukakan ,tidak sekali. Adapula anak yang terlebih ajar, sanggup menegking ibu bapa,memarahi ibu bapa kerana tidak setuju dengan pilihan mereka. Sudahlah berkahwin tanpa restu, memarahi pula jika mereka balik, tidak mendapat layanan ibu bapa.

Sepetutnya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.

Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Terdapat ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.

Bawa Berbincang

Hati sudah suka, pasangan ‘ideal’ sudah ditemui tapi ibu bapa pula tidak bersetuju. Bagaimana? Jalan terbaik ialah bawa berbincang.

Perlunya syura atau perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik.Banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan calon pasangan.

Syura yang diadakan dalam keadaan hati bersih dan baik, insya-Allah natijahnya baik, bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa. Sikap berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si anak boleh meluahkan perasaannya.

Terdapat kes ibu bapa sayang pada anaknya tapi kadang-kadang hendak kawal anaknya dalam semua perkara… Bagi anak, dia rasa dikongkong. Dalam soal ini, ayah atau ibu jangan terlalu ketat sebab Sayidina Ali k.w. menyarankan agar kita mendidik anak mengikut zamannya. Minat dan citarasa tak sama. Bagi si anak, dia juga perlu cuba memahami ibu bapa, kerana niat ibu bapa adalah untuk menjaga demi kebaikan anaknya.

Menurutnya, jika si anak merasakan ada kongkongan dalam memilih calon pasangan, dia perlu meluahkan isi hatinya tetapi dengan cara yang tertib dan tenang. Kalau anak diam dan simpan, tidak selesai masalah juga. Memendam perasaan tidak boleh selesaikan masalah. Kena ada proses berterus-terang. Kalau dipendam hingga rasa tertekan, nanti kita akan sakiti hati ibu bapa pula apabila merasakan ibu bapa tidak memahami. Setiap masalah ada penyelesaiannya tapi cara menyelesaikannya perlu betul.

Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila

Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina.

Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka. Terdapat kes anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa yang hatinya perlu dijaga.

Tanggungjawab yang dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu bapa dah kurang.”

Dalam hidup ini, setiap sesuatu akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?

Di bawah ini ummi bawakan hadith untuk rujukan anak-anak berkaitan mendapat restu dan redha ibu bapa di dalam memilih pasangan hidup.


Hadith ke dua belas : Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut.


Sudut Pertama:

Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allahterletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.
2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya),

seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]

Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud d

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud ]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).

Seterusnya...

23 December 2009

‘Kahwin lari’ undang pelbagai implikasi


KITA perlu berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui kehancuran rumah tangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan Allah serta Rasul.

Adab dan batas itu mesti dipatuhi semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum. Kepada isteri, jika ditakdirkan suami berkahwin lain sama ada dengan pengetahuan atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan.

Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan suami, kita mesti kembali kepada qada dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiri pun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya.


Nabi Muhammad SAW ketika berpesan kepada sepupunya Ibn Abbas bersabda yang bermaksud: “Ingatlah jika seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang ditulis oleh Allah untukmu. Dan jika mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang sudah ditulis oleh Allah ke atasmu.”


Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:

l. Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

2. Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.

Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

l. Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.

sumber

Seterusnya...

04 December 2009

Perkahwinan : Antara Kemahuan dan Redha

“Ummi, nak tanya sikit…Apa pendapat ummi kalau saya kahwin senyap-senyap?”

‘Hmm…sebelum tu, nak tanya Omar dulu soalan ni. Apa pendapat Omar misal kata Omar ini seorang ayah atau ibu, dan tau-tau saja, anak Omar dah berkahwin tanpa pengetahuan Omar? Apa Omar rasa dan buat?’

Sunyi sepi….

“Ala, Omar bukan apa, dah setahun dah Omar pujuk mak ayah Omar nak kahwin, tapi dia orang tak bagi, terutama mak Omar.”

‘hmm…ada Omar tanya kenapa mak Omar tak bagi?’

“Itu lah, Omar dah tanya, alasan dia, suruh habis belajar dulu. Lepas tu, baru boleh nak fikir pasal kahwin-kahwin ni...”

‘Ummi tak rasa satu tu saja sebab yang mak Omar tak nak bagi kahwin...Omar kena fikir dalam-dalam pandangan seorang ibu ni macamana...’

“Omar tak faham lah mak ayah zaman sekarang ni, dia orang tak faham keadaan kita macamana. Omar takut tak dapat kawal diri saja ni, tu yang Omar fikir nak teruskan niat Omar.”

Serba sedikit dialog yang pernah terjadi suatu ketika dahulu. Konflik tentang perkahwinan, sentiasa membelenggu para pemuda dan pemudi di zaman ini. Antara kemahuan diri dan restu keluarga, sentiasa membelenggu pemikiran anak-anak muda, lebih-lebih lagi yang sedang hanyut dibuai cinta.

Mengapa Dihalang?

Inilah antara persoalan utama yang menjadi titik punca. Pandangan seorang ayah, selalunya dalam hal perkahwinan anak-anak mereka sangat ringkas, dan tidak banyak kerenah. Kalau ada pun, hanya berkaitan dengan soal calonnya, berkenan atau tidak , dan selalunya apa yang menjadi pilihan si anak, ayah akan bersetuju. Apa yang dirasakan oleh si ayah, adalah mungkin sudah sampai masanya si anak belajar untuk membina keluarga sendiri.



Berbanding si ibu. Ibu , mendengar namanya sudah sayu. Dialah yang membesarkan, dialah yang mengandungkan kita, dialah yang menyusukan kita, dan ada kala, ketika si ibu sedang makan, terdengar sahaja rengekan anak kecil, anak disegerakan jamahan makanan itu, tetapi selalunya akan ditinggalkan terus juadahnya hanya untuk anak tercinta. Seorang ibu, membesarkan anak-anaknya sepenuh kasih sayang yang ada padanya. Sedihnya anak, pilu baginya, gembira si anak, senyuman dibibirnya, bak kata, setiap perilaku si anak, semuanya berbekas di hati seorang ibu.

“Mak Maira tak bagi mungkin sebab sayang sangat kat Maira kot, tu yang tak nak lepas tu”

Mungkin ada benar dan mungkin perlu diselidik apa yang menyebabkan terhalangnya kita meneruskan hasrat untuk berumah tangga. Seorang ibu, jarang menolak permintaan anaknya. Buruk-buruk anaknya, itulah buah hatinya. Sebut sahaja permintaan dari si anak, nak masak lemak la, nak nasi beriyani la, nak jajan, apa sahaja kalau dihitung pasti kita akan mengakui seorang ibu jarang menolak permintaan anaknya. Tetapi, mengapakah pada permintaan yang satu ini sangat susah baginya untuk dia menyatakan persetujuannya?

Seorang ibu, apabila dia menyatakan ketidak setujuannya, pasti ada sesuatu yang tersimpul di balik itu. Seorang ibu, apabila menolak permintaan anaknya untuk mendirikan rumah tangga, dia tahu anaknya belum tiba masa lagi untuk diteruskan hajatnya. Ketika ini, apa yang bermain di fikirannya, apakah anakku ini boleh menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab?.. Mungkin soalan ini timbul kerana, dia akan membandingkan sikap suaminya (ayah kita) dengan sikap kita. Jika dia tidak bersetuju, pasti ada yang kurang pada diri kita yang menyebabkan kurangnya keyakinan dia untuk bersetuju dengan hasrat kita.

Bagaimana sikap Kita ?

Selepas subuh, tarik selimut kembali. Selepas makan , letak pinggan di dalam sinki sahaja, mengharapkan ada orang tolong basuhkan. Baju-baju kotor dibiarkan sahaja bersepah tanpa ada inisiatif untuk basuh. Jika inilah sikap kita di rumah, bagaimanakah seorang ibu mahu membenarkan anaknya untuk mendirikan rumah tangga jika dirinya tidak ada sifat bertanggungjawab sekurang-kurangnya pada diri sendiri, inikan pula bila sudah berumah tangga…

Sikap yang ada ini perlulah diubah dalam memberikan keyakinan si ibu bahawa anaknya sudah kenal erti tanggungjawab. Balik rumah , dalam seminggu dua, pujuklah hati si ibu dengan kerja-kerja rumah yang dilakukan. Unjurkan apa sahaja kerja-kerja rumah dari ibu, bahawa biar sahaja kita yang buat. Belikan sedikit cendera hati pada ibu, untuk menarik hatinya. Bila balik rumah, salam tangan ibu, cium tangan ibu. Kalau boleh buat lebih lagi, kucup pipi ibu, bisikkan pada telinganya ‘Omar sayang ummi’. Usahakan cara-cara yang boleh menarik hati ibu ataupun ayah. Keras mana hati ibu untuk melepaskan kita, pasti akan lembut jua akhirnya jika kita memujuk dengan kerja-kerja, kata-kata kita, dan yang terpenting bahawa kita takkan melupakan mereka walaupun sudah berkahwin nanti.

Mengapa Mahu Tergesa-gesa?

Leceh. Mungkin itulah antara yang terbit dari mulut kita bila diberikan penyelesaian untuk masalah yang timbul. Tetapi, perlu ditanya semula, mengapa mahu tergesa-gesa?.. Mungkin dengan kelecehan itulah, tersingkap suatu keberkatan. Perkahwinan bukan hanya kita berkahwin dengan pasangan kita, tetapi kita juga ber’kahwin’ dengan keluarganya. Selain itu juga, kita membesarkan keluarga kita. Kalau sebelum ini, kita hanya ada 3 orang adik, selepas berkahwin, ada 10 orang adik, sebelum kahwin , hanya ada seorang ibu dan seorang ayah, tetapi selepas berkahwin, kita ada dua orang ayah dan dua orang ibu. Dengan kata lain, keluarga kita membesar. Dengan membesarnya keluarga ini, benda paling utama kena jaga adalah hati.

Jika dengan kahwin senyap-senyap itu boleh menyelesaikan ‘perasaan’ itu, boleh mengelakkan zina, maka itu hanya satu segi. Tetapi mengapakah dalam bab ini, kita membelakangkan keluarga yang selama ini membesarkan kita? Kita sanggup bersama pasangan kita yang hanya dikenali tidak terlalu lama, dan membelakangkan kasih sayang yang selama ini dicurahkan kepada kita sejak kecil?

Kita mudah mendapat syurga, tetapi kita ikut jalan yang tidak membawa ke syurga. Syurga ada pada ibu, tetapi kita tidak cuba mendapat syurga itu. Redha Allah pada redha kedua ibu bapa, maka apakah dengan membelakangkan keluarga dalam hal membina keluarga ini kita akan mendapat redha Allah pada keluarga yang kita mahu bina itu?… Perkahwinan bukanlah sehari dua, tetapi kalau boleh sehingga hujung nyawa dan sehingga ke syurga. Jika berkahwinnya dengan tergesa-gesa itu atas alasan kerana tidak mahu terjebak dengan zina atau dengan kata lain, kerana nafsu, maka renunglah kembali. Selama manakah nafsu itu akan bertahan. Apakah sampai mati?.. Apakah kesabaran dalam berpuasa itu tidak boleh mengatasi nafsu yang mengawal diri, aduh, sungguh lemah dirimu.

Jika perkahwinan itu dibina atas agama, maka agama tidak akan terlepas dari diri kita sehingga ke syurga kelak. Setiap hari seseorang itu perlukan agama. Agamalah yang membimbing manusia. Apakah kita mahu membimbing anak-anak dengan nafsu atau agama? Perkahwinan yang dibina di atas kecil hati keluarga, kejayaan rumah tangga yang dibina sangatlah tipis berjaya. Tidak ada bukti bahawa perkahwinan yang dibina di atas tergurisnya hati keluarga membina keturunan yang memberi manfaat pada masyarakat. Jika kita berkahwin di kala ini tanpa pengetahuan ibu dan ayah, maka bolehkah kita boleh menjamin anak-anak yang akan dilahirkan dari sulbi isteri kita tidak akan mengulangi apa yang kita lakukan pada ibu bapa kita??…mungkin ianya boleh jadi, lebih teruk dari apa yang kita lakukan pada kedua ibubapa kita?

Bagaimana Jika Sudah Terjadi

Perkahwinan yang telah berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa, eloklah dibawa berbincang kembali dengan kedua ibu bapa. Cubalah sedaya mungkin untuk mengambil hati mereka yang terguris. Mohonlah kemaafan dari mereka. Ceritakan kesilapan yang dilakukan bahawa memang betul-betul kesilapan kita. Pokok utama disini, adalah perbincangan dua mata antara kita dan kedua-dua belah keluarga. Mungkin kesilapan yang yang dirasakan kecil itu,boleh menyebabkan dua keluarga berperang. Berbincanglah dengan nada merendah diri, akui kesilapan yang dilakukan. Moga dengan kesilapan yang dilakukan itu, mematangkan lagi kita. Manusia bukan makhluk sempurna, tetapi ketika melakukan kesilapan itulah yang perlu difikir semula dimana silapnya selama ini.

Yang penting disini, sikap berlapang dada kita dalam menilai sesuatu masalah. Walau sebesar manapun masalah itu, ingatlah , bahawa masalah itu, pemiliknya Allah. Dia memberikan kita masalah agar kita untuk menilai kita sejauh mana keimanan kita, sejauh mana kebergantungan kita kepadanya. Semua benda yang berlaku di atas muka bumi ini, ada sebab musababnya. Jika kita yakin dengan keputusan Allah, kita yakin dengan janji Allah, maka di situ kita akan dapat lihat jalan keluar pada setiap masalah yang timbul. Apa yang penting, cekalkan hati, tingkatkan amal agar keteguhan hati bertambah dan lapangkan dada dalam menilai sesuatu, insyaallah, pasti kita akan nampak jalan keluar di dalam kekusutan yang dihadapi.

Seterusnya...

31 October 2009

Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.

b) Jazam. ( penyakit kusta )

c) Barash. ( penyakit sopak )

d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.

e) 'Unnah ( mati pucuk )





4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.

b) Jazam. (penyakit kusta)

c) Barash (penyakit sopak)

d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)

e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.




Seterusnya...

16 July 2009

Perkahwinan menurut Islam

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam[1]. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.

Sejarah perkahwinan.

Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah s.w.t kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu. Selain al-Quran dan hadith, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud, “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya”.

Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalah Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain,bahawa mereka berkata yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu.” Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan.

Seterusnya...

Jenis-jenis perkahwinan

Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir kesemua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negara China yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu.

Agama Islam membenarkan seorang lelaki berkahwin dua, atau tiga atau empat apabila mampu dengan syarat dan keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, Islam menetapkan si suami berlaku adil dan saksama kepada isteri-isterinya.



* Poliandri merupakah perkahwinan yang berlaku antara seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki (konsep songsang dari poligami). Perkahwinan ini sangat jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan masyarakat jahiliah Arab. Contohnya masyarakat Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini merujuk kepada kitab Mahabhrata.

* Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah agama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan jenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katolik).


Seterusnya...

Kedudukan perkahwinan dalam Islam

Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

* Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

* Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin.

* Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atai tiada nafsu yang kuat

* Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.


Seterusnya...

Konsep yang diharamkan dalam Islam

1. Konsep rahbaniyah

2. Konsep ibahiyah

Seterusnya...

Konsep rahbaniyah

Perkataan rahbaniyah bermasud kerahiban atau kependetaan, atau kehidupan paderi [4] Di dalam Islam, membujang tidak dianggap sebagi satu etika atau cara bagi mendekatkan diri dengan Tuhan seperti yang dilakukan oleh agama Kristian, Buddha, Jain dan sebagainya. Sebagai contoh, agama Buddha ada menyebut tiga aspek yang perlu dimiliki oleh seorang sami iaitu kefakiran, ketabahan dan kelanjangan (membujang). Mengikut agama Buddha, jika seseorang mahu membebaskan dirinya dari nafsu duniawi dan keperluan jasmaniah maka ia akan sampai kepada hakikat diri yang sebenarnya dan dapatlah ia masuk ke dalam Nirwana[5]




Dalam agama Kristian ada ajaran yang menggalakkan penganutnya mengamalkan hidup membujang. Sejak abad ke-5 lagi, orang begitu kagum dengan golongan paderi yang hidup membujang dan sekiranya golongan paderi mahu dihormati dan mengekalkan kuasa mereka, amatlah berfaedah sekiranya mereka memisahkan diri mereka dari orang biasa dengan cara menjauhkan diri dari perkahwinan. Mereka juga berpendapat bahawa paderi yang berkahwin lebih rendah tarafnya dari paderi yang terus membujang kerana perkahwinan bererti tunduk kepada nafsu. Saint Paul berkata, “Sekiranya mereka tidak boleh tahan, biarlah mereka berkahwin akan tetapi seseorang yang benar-benar suci mesti sanggup menahan diri dari berkahwin.” Oleh yang demikian, taraf membujang di kalangan paderi dianggap memelihara moral gereja [6].

Selain itu, perkahwinan juga ditolak oleh golongan bukan paderi mahupun sami seperti golongan yang terlalu sibuk mengejar kekayaan material dan memberi alasan kesibukan bekerja sebagai penghalang membina rumahtangga.



Seterusnya...

Konsep ibahiyah

Istilah ibahiyah diambil dari perkataan yang bermaksud membolehkan. Selain itu, ibahiyah membawa maksud membolehkan atau membebaskan tanpa batas seperti pergaulan seks bebas, homoseksual, lesbian dan sebagainya. Gejala sebegini wujud kerana sikap mereka yang menolak konsep institusi perkahwinan.

Pergaulan bebas: Pendirian Islam dalam pertemuan antara lelaki dan perempuan adalah tidak diharamkan sebaliknya ia diharuskan atau dituntut jika ia menjurus kepada matlamat yang mulia seperti mencari ilmu yang bermanfaat, amal ibadat, perkara kebajikan, jihad dan perkara-perkara lain yang memerlukan pengembelingan tenaga antara kedua-duanya. Namun setelah meluaskan arus pemikiran Barat dan seruan kebebasan wanita, pergaulan bebas telah digariskan oleh al-Qardhawi sebagai...





* keruntuhan akhlak
* wujudnya anak-anak yang tidak sah tarafnya (anak luar nikah)
* Merebaknya pelbagai penyakit membahaya
* Banyaknya terdapat andartu serta lelaki yang terus membujang
* Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh

Amalan seks bebas: Kegilaan Barat yang memilih cara hidup ‘hidonistik’ iaitu mementingkan keseronokan dan tidak terikat dengan tanggungjawab menyebabkan amalan seks rambang dan bebas berleluasa dan mempengaruhi masyarakat dari benua lain untuk bersama mereka mengejar keseronokan duniawi tanpa mempedulikan dunia selepas mati. Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) sebanyak 18.7% daripada 13,753 kes pengguguran kandungan dilakukan di Singapura pada tahun 1999 melibatkan wanita Melayu atau Islam. Menurut MOH lagi, hampir 41% pengguguran dilakukan oleh wanita dari semua kaum dan agama yang belum berkahwin, janda dan berpisah dengan suami

Homoseksual & Lesbian: Pasangan homoseksual atau gay lebih dikenali sebagai perhubungan antara lelaki dengan lelaki dan lesbian sebagai perhubungan antara wanita dengan wanita. Mereka menjalani hidup seperti suami isteri dan beberapa negara Barat telah menghalalkan perkahwinan sejenis. Bahkan sesetengah gereja dan paderi terus meraikan perkahwinan yang sememangnya dihalang oleh semua agama termasuk Kristian sendiri. Manakala di Malaysia, pertubuhan seperti Human Right Watch bagi rantau Asia menyeru supaya Malaysia menghalalkan homoseksualiti dan lesbian. Artikel seperti “Homosexuality is not a Sin”menjelaskan hujah-hujah yang dilihat secara sepintas lalu ianya boleh menyakinkan orang ramai. [7]. Selain itu akhbar The Star pada 26 Mei 1998 pernah melaporkan semasa pelancaran ‘Women’s Agenda For Change’, Avy Joseph ada menyebut bahawa kita perlu membenarkan lesbianisme sebagai tanda masyarakat yang toleran.


Seterusnya...

15 July 2009

Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?

“Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?”

“Abang mengharapkan jalan mudah menuju tuhan ..”

“Tapi abang, mana ada jalan yang mudah tanpa dugaan?”

“Benar, namun pilihan yang tepat mengurangkan kesukaran, memperbanyakkan kemudahan.”

“Macam mana tu?”

“Bukankah perkahwinan itu menjaga kemaluan dan menundukan pandangan.”[1]

“Bagaimana jika abang tersalah pilih?”

“Sekurang-kurangnya abang telah berusaha memilih.”

“Bagaimana abang tahu pilihan abang itu tepat?”

“Apabila dia muncul dengan membawa Al-Quran.”

“Bagaimana dia memegang Al-Quran, di tangan kirinya atau kanan?”

“Bukan di tangan, tetapi di dalam hatinya. Dia menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan, ke dalam peribadi dan budi, ke dalam minda dan hati.”

“Bagaimana abang tahu ia bukan suatu kepuraan?”

“Wahai, bukankah hukama’ pernah berkata, kita tidak akan mengenal kebenaran daripada orang ramai. Pelajarilah kebenaran, dan kita akan kenal ahlinya.

[1] Hadith riwayat Bukhari & Muslim. “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah dia kahwin kerana perkahwinan itu dalam menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kehormatan). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menahan nafsunya.”

Kalaulah Abang belum berpunya, pasti ramai wanita yang bakal menjadi pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika Abang mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna Sebaik mungkin.

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan Abang mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang Abang ada menepati apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri Abang, tentunya Abang adalah lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.

Abang carilah isteri yg dapat menjaga anak2 abang dengan sempurna serta dapat membimbing mereka ke jalan yg di redhai Allah..

Carilah isteri yg tahu bersyukur dengan nikmat yang ada.. kalau sanggup makan ubi kayu rebus itu tandanya ia tidak banyak cerewet menghadadapi dugaan mendatang…

Ingatlah Abang…Bila kita berhubung dengan Allah sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah. Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah, syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.

Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah datangkan istidraj… kadang-kadang Allah beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah. Ini formula yang tak boleh dilanggar.

Ini sahaja nasihat ummi agar semuanya ... Cepat kawin!!!


Seterusnya...

10 July 2009

Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan.

~ Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

~Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.

~ Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.

~ Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.

~ Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

~Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.

~Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Seterusnya...