Di dalam kehidupan rumahtangga, suami adalah tingkatan ketiga mulia setelah Allah dan rasul. Suami diletakkan ditempat yang begitu mulia kerana seseorang yang bergelar "lelaki" itu memang mempunyai tanggungjawab yang berat dan besar. Selain menanggung nafkah, lelaki yang bergelar suami ini adalah jambatan untuk isteri mendapatkan redha Allah.
Segala amal ma'ruf dan nahi mungkar, setiap apa yang dilakukan olehnya apalagi isterinya, akan dipikul olehnya di hari Qiamat kelak. Kerana itulah seorang isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya selagi segala perintahnya itu tidak melanggar syariat. Kerana itu juga seorang wanita yang bergelar isteri, wajib mengetahui dan mempelajari segala hukum yang bersangkutan dengan kehidupan berumahtangga dan hal yang berkaitan dengan ketaatan terhadap suami agar terpelihara amal ibadahnya dan memperolehi kebajikan dan menfaat di dunia dan akhirat.
Telah tersebut di dalam kitab Muhimmah, bahawa para ulama telah mengingatkan kepada para isteri: Sesungguhnya antara dosa yang teramat besar ialah menderhakai suami dengan menegah akan suami untuk mengambil kesukaan yang ada pada dirinya sama ada untuk disetubuhi (dijimak) yakni untuk memuaskan nafsunya dengan jalan yang halal (sah) di dalam Islam atau lainnya seperti melarang isteri itu ke atas suaminya menjamah dan menyentuh pada sebarang tempat anggota badannya.
Demikianlah perumpamaan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t terhadap para isteri. Suami diberi amanah untuk membimbing isteri ke arah kebaikan dan kebenaran.
Bagi isteri pula, mereka hendaklah taat terhadap suami dan merasakan suamilah segala-galanya bagi diri mereka sebagaimana kiasan "mereka (isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka." Isteri hendaklah ingat dan sentiasa takut untuk keluar rumah tanpa izin suami. Kerana sesungguhnya laknat Allah amat besar bagi seorang isteri yang keluar rumah tanpa izin suami. Tetapi perlu diingat bagi para suami adalah haram mencegah isteri untuk keluar belajar ilmu Fardhu Ain dan segala ilmu yang wajib dituntut sekiranya suaminya itu tidak berkemampuan untuk mengajar. Sekiranya dia mampu mengajar, maka wajib dia mengajar isterinya akan segala ilmu Fardhu Ain dan isteri tidak boleh ingkar dan enggan untuk belajar.
Jikalau suami mengajak isteri untuk berpindah dari rumah ibu dan ayah, janganlah si isteri enggan kerana isteri bukan lagi hak ibu dan ayah, tetapi hak suami. Isteri wajib mengikuti suaminya kemana sahaja suaminya pergi. Jikalau terdapat halangan untuk mengikuti suami, sedangkan suami redha, maka tidak mengapa tidak mengikut suami pergi atau berpindah ke mana-mana.
Begitu juga layanan isteri kepada suami ketika suami balik dari kerja, mestilah yang menggembirakan hati suami dengan menyediakan minuman dan melemparkan kepadanya senyuman yang manis. Sesungguhnya separuh daripada keletihan itu akan hilang dengan melihat isteri tersenyum manis kepadanya. Ingatlah kehidupan rumahtangga adalah satu kehidupan yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Kerana itu janganlah malu untuk memberikan kasih sayang kerana kita juga ingin disayangi dan memerlukan kasih sayang.
Para isteri diingatkan jangan meminta talak. Sesungguhnya inilah dosa yang amat besar di sisi Allah bagi para isteri. Hati suami akan terluka disebabkan perkataan isteri. Dari itu berhati-hatilah semasa mengeluarkan perkataan ketika sedang marah. Hendaklah difikirkan dahulu apa yang hendak diperkata. Kerana perkataan yang kasar terhadap suami itu boleh menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.
Juga sekali-kali jangan bermasam muka dengan suami. Kejernihan muka dan keceriaan isteri itu adalah penenang fikiran dan jiwa bagi suami dari suasana luar rumah yang penuh maksiat dan durjana. Diri para isterilah tempat tatapannya dan tempat menumpah kasih. Pulangnya suami bila isteri menguntum senyum di pintu, akan menghilangkan segala kepenatan dan keletihan sepanjang hari. Oleh itu senyumlah selalu, nanti suami akan kasih. Allah akan redha.
Hendaklah bersangka baik dengan suami dan jangan mempertikaikan kesetiaan suami. Hati jarang merasa tenang kerana sering mempertikaikan kesetiaan masing-masing. Bila di dapati suami melakukan kesilapan atau punya kelemahan, hati semakin hancur dan timbul tindakan yang tidak tentu arah. Tidak hairanlah jikalau wujud risiko yang sebegitu rupa kerana cinta diletakkan pada hamba yang lemah, bukan pada Allah yang Maha Esa. Di dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah s.w.t dan suami hanyalah jalan untuk isteri memperolehi redha Allah. Cinta suci hanya lahir daripada iman dan taqwa. Hati orang yang bertaqwa adalah untuk Allah dan RasulNya. Hati yang demikian akan melihat akhirat lebih utama daripada dunia. Maka orang yang sedemikian akan mengorbankan dunianya untuk akhirat.
Dalam pada itu para suami haruslah berlaku adil terhadap isterinya. Sememangnya di dalam Islam hak isteri pada suami memang banyak, tetapi hak suami kapada isteri tidak kurang pentingnya pula. Bagi para suami mendidik dirinya, isteri dan anak-anak menghayati Islam adalah wajib, jikalau tidak suami dihukumkan dayus. Setengah ulama menyifatkan makna dayus itu, suami yang membiarkan isteri dan anak-anaknya terjebak dengan maksiat dan mungkar. Maka apabila datangnya Hari Qiamat, Allah s.w.t akan menghukumkan suami terlebih dahulu di dalam segala hal kebajikan berbanding dengan isteri dan anak-anaknya kerana suamilah yang menentukan segala hal dan berkuasa di dalam rumahtangganya.
Para isteri hendaklah mendorong suami untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan ibadah demi menyelamatkan keluarga daripada azab Allah. Hal ini akan melahirkan sikap sensitif terhadap perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Segala tindak tanduk didorong untuk membangunkan agama Allah ini. Suami digalakkan belajar ilmu agama dan bergaul dengan mereka yang arif tentang Islam.
0 comments:
Post a Comment