CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 July 2009

Pernikahan Muallaf.

Keindahan dan ketinggian syariat Islam dalam mengatur proses atau perjalanan kehidupan umat manusia dalam semua aspek telah berupaya untuk menarik minat mereka yang bukan Islam untuk mengenali serta mendalami Islam. Islam mempunyai peraturan dan garis panduan yang jelas dan ianya membabitkan 3 aspek utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak.
Aturan hidup dalam Islam sebenarnya mempunyai misi yang jelas apabila ianya dikaitkan dengan hakikat kejadian manusia itu sendiri iaitu dari mana kita datang? Untuk tujuan apa kita dihidupkan? dan ke mana sebenarnya akhir perjalanan hidup dan apa matlamat kita?


Sebagai umat Islam, kita berpegang kepada prinsip hablum minallah wa hablum minannas. Kita tidak boleh mengenepikan semua hal dunia untuk menumpukan kepada akhirat semata-mata. Sebaliknya kita juga harus sedar bahawa mengejar kehidupan dunia semata-mata bukanlah matlamat kita dihidupkan Allah di dunia ini.

Ketiga-tiga aspek itulah yang membuatkan mereka yang bukan Islam tertarik dengan Islam iaitu kepercayaan wujudnya Pencipta, sistem kehidupan yang diatur dengan bijaksana serta keluhuran dalam membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi yang dapat dijelmakan melalui contoh tauladan yang baik dalam penerapan nilai-nilai murni dan penghayatan Islam, di samping keharmonian hidup masyarakat yang bersifat toleransi, kasih sayang dan lain-lain.

Hakikat inilah yang mendorong mereka untuk memeluk agama Islam, selain faktor yang paling utama iaitu hidayah dari Allah s.w.t. Perlu difahami bahawa Allah s.w.t. itu memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa sahaja yang Ia kehendaki dan hidayah itu juga datang melalui pelbagai cara, salah satu daripadanya adalah melalui perkahwinan.

Pemelukan agama Islam oleh seseorang muallaf atas dasar untuk bernikah dengan orang Islam hanyalah sebagai suatu penyebab mengapa ia memeluk Islam. Masyarakat kita
seringkali menyelar tindakan ini dengan melabelkan seseorang itu memeluk Islam kerana hendak berkahwin. Tetapi perlu diingat dan apa yang lebih utama adalah perkara ini berlaku kerana ia telah mendapat hidayah dari Allah s.w.t. Ada juga pernikahan wanita Islam dengan lelaki bukan Islam tetapi pernikahan itu tidak berlandaskan syariat Islam, malahan wanita Islam itu pula yang menukar agamanya mengikut agama lelaki tersebut. Mengapa masyarakat tidak ambil peduli dengan perkara seperti ini?

Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita semua sebenarnya bertanggungjawab bagi mengendalikan urusan muallaf, kerana mereka adalah saudara seIslam kita. Mereka baru sahaja memeluk agama Islam dan mereka sebenarnya memerlukan bantuan, bimbingan serta sokongan daripada semua pihak.

Sebagai seorang Islam kita seharusnya menunaikan tanggungjawab sosial kita kepada golongan ini. Mereka mempunyai hak ke atas kita dan kita wajib menunaikannya sebagai hak seorang muslim kepada muslim yang lain. Dari segi dakwah, kita dituntut untuk memberikan bimbingan, tunjuk ajar dan memberi kefahaman kepada mereka terhadap Islam. Dewasa ini banyak pihak telah menyalah tafsirkan dan memberikan gambaran yang buruk terhadap Islam, sedangkan Islam adalah sebaliknya. Kita juga perlu memberikan bimbingan tentang perkara yang menyentuh persoalan aqidah dan syariat bagi mengelak salah tanggapan yang mendakwa bahawa Islam itu membebankan dan menyusahkan.

Di samping itu juga, kita perlu sentiasa memberikan khidmat nasihat, pandangan yang berguna serta saling bertanya khabar berita sebagai satu bentuk sokongan moral kepada mereka. Dari segi kebajikan pula, mereka ini perlu dilibatkan dalam semua aktiviti kemasyarakatan terutamanya yang melibatkan program-program keagamaan samada di peringkat kariah, daerah mahu pun negeri. Mereka juga insan biasa yang mahukan hidup bahagia seperti orang lain, mungkin dengan keputusan mereka ini untuk memeluk agama Islam, mereka disisihkan oleh ahli keluarga yang lain. Oleh itu, kita perlu sama-sama memainkan peranan agar mereka tidak merasa terpinggir atau tersisih.

Perkahwinan atau pernikahan muallaf sesama muallaf, muallaf dengan orang Islam yang lain atau dengan mereka yang Islam melalui keturunan secara ummnya adalah sama dan tiada sebarang perbezaan. Cuma sedikit yang membezakan dalam konteks pernikahan muallaf ini adalah perkara yang berkaitan hukum Islam di antara muallaf dengan keluarganya yang bukan beragama Islam. Perbezaan ini tidak melibatkan semua aspek tetapi ia perlu jelas agar tidak menimbulkan perselisihan atau salah tanggapan di pihak keluarga yang bukan Islam, tetapi anak atau ahli keluarganya yang lain memeluk agama Islam.

0 comments: