SETIAP Muslim hendaklah mengawal rumah tangganya daripada gangguan syaitan dan iblis. Antara cara untuk memelihara rumah tangga daripada gangguan syaitan adalah:
• Membaca al-Quran.
Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala membawa berkat dan menyelamatkan penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan.
• Zikir ketika masuk dan keluar rumah.
Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga." - (Riwayat Abu Daud).
• Memberi salam kepada keluarga dan ahli rumah.
Firman Allah bermaksud: "Maka apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik." - (Surah an-Nur, ayat 61).
Imam an-Nawawi berkata: "Disukai untuk mengucapkan salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah itu ada orang atau pun tidak." Rumah yang tiada penghuni perlu juga diberi salam, sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi salam dijamin Allah keselamatannya.
• Zikir ketika makan dan minum.
Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: "Aku tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: "Aku boleh menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: "Aku boleh bermalam dan makan malam." - (Riwayat Muslim).
• Membersihkan rumah daripada gambar patung.
Islam melarang segala bentuk gambar patung disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada gambar patung atau tanda salib dalamnya.
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah melihatnya, Baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya. Maka, diketahui daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: "Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosaku?
Baginda bersabda: "Bagaimana keadaan bantal kecil ini?"
Aisyah menjawab: "Aku sudah membelinya untuk engkau duduk padanya dan bersandar." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu."
Imam Nawawi berkata, jika hendak membuat juga gambar itu, maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya. Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.
• Membanyakkan solat sunat di rumah.
Solat yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke rumah. Rasulullah bersabda maksudnya: "Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur." - (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat sunat di rumah. Rasulullah selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum solat fardu di masjid seperti sabdanya bermaksud: "Wahai manusia, solatlah kamu (sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdal adalah di rumahnya kecuali solat wajib." - (Riwayat Nasai').
• Harmonikan rumah tangga.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsana di atas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu." - (Riwayat Muslim dan Nawawi).
Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni, ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada gangguan syaitan dan konconya.
• Bentengkan anak daripada gangguan syaitan.
Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir pada waktu jimak bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan dari awal lagi.
Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: "Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri, hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: "Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu selama-lamanya." - (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Daripada Abi Rafi' bahawa beliau melihat Rasulullah mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan sihat. - (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian ucapkan doa bermaksud: "Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman berbahaya serta daripada semua mata yang jahat."
Rasulullah memohon perlindungan kepada Allah dengan doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan: "Sesungguhnya bapa kamu berdua memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak." - (Riwayat Bukhari dan at-Tirmizi).
10 July 2009
Syaitan takut ganggu rumah tangga bahagia
Posted by MUNALIZA at 3:47:00 AM
Labels: Keluarga Sakinah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment