Untuk menggalakkan pernikahan, Allah s.w.t telah berfirman:
“Dan kahwinkanlah orang bersendirian (belum kahwin) di antara kamu” (an-Nur: 32)
Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin supaya berkahwin.
FirmanNya yang lain:
“Maka janganlah kamu menghalang-halangi wanita-wanita untuk berkahwin semula dengan suami-suami mereka.” (al-Baqarah: 232)
Ayat yang tersebut di atas pula melarang untuk menghalang wanita-wanita yang diceraikan oleh suami-suami mereka untuk kembali berkahwin semula dengan mereka.
Kemudian Allah s.w.t. telah berfirman lagi dalam menghuraikan sifat-sifat para Rasul dan memuji sikap mereka:
“Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus Rasul-rasul sebelum engkau dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (ar-Ra’ad: 38)
Allah s.w.t. telah menyebutkan yang demikian itu untuk menunjukkan tanda limpah kurniaNya serta melahirkan kelebihanNya. Kemudian Allah s.w.t juga memuji para waliNya dengan suatu permohonan dalam bentuk doa sebagaimana firmanNya:
“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah Kami dari isteri-isteri dan keturunan kami cahayamata kami.” (al-Furqan: 74)
Di antara Hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w.:
“Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, nescaya telah membenci aku.”
Sabdanya lagi:
“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”
Hadis ini juga menunjukkan sebab mengapa perkahwinan itu harus digalakkan kerana ditakuti berlaku perkara yang tak baik.
Bersabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”
Anak tidak akan terhasil, melainkan dengan berkahwin.
Adapun yang mengenai atsar pula, maka telah berkata Ibnu Abbas r.a.: Tidak sempurna ibadat orang yang beribadat sehingga ia berkahwin.
Mungkin sekali Ibnu Abbas telah menjadikan syarat berkahwin itu sebagai sebahagian dari ibadat atau sebagai menyempurnakan ibadat ataupun barangkali beliau bermaksud bahawa hati seseorang itu tidak dapat mengalahkan syahwat melainkan dengan berkahwin dan ibadat pula tidak akan sempurna melainkan dengan ketetapan dan ketenangan hati. Ibnu Abbas selalu mengumpulkan anak-anak buahnya bila mereka telah menginjak alam dewasa seraya berkata kepada mereka: Kamu sekalian telah dewasa. Kalau kamu sekalian ingin berkahwin, aku bersedia untuk mengahwinkan kamu. Sebab apabila seorang hamba itu berzina akan tercabutlah cahaya keimanan dari hatinya.
Rujukan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN – Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali
10 November 2009
Dalil Menggalakkan Perkahwinan
Posted by MUNALIZA at 12:21:00 PM
Labels: pernikahan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment