CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

15 November 2009

Majlis Pertunangan

Tak sangka hari ini ummi pergi majlis pertunangan anak seorang sahabat karib zauj di Serdang, Selangor. Cadangnya semalam , selepas hantar Nazihah balik asrama di UiTM Shah Alam, singgah bermalam satu malam di rumah Ucu Bidin di Dengkil untuk jumpa mak mertua, pagi ni akan terus balik JB.

Tiba-tiba petang semalam, Ustaz Puhad telefon zauj, ajak pergi ikut rombongan meminang dan bertunang Ersyad, anak Ustaz Puhad yang nombor 4 sebaya umur dengan Ali Mahfuz. Usianya 22 tahun, dan masih belajar di Mesir. Masih ada setahun lagi untuk tamatkan pengajian di sana.

Bukan semua yang boleh menolak adat-adat tradisi seperti membawa barang-barang hadiah iringan yang cantik berhias. Dan bukan senang juga untuk kita berkempen untuk tidak membuat perkara itu. Semuanya atas diri masing-masing. Tak salah pun kita datang membawa hadiah yang dianggap sebagai buah tangan, tetapi jangan sampai berlaku pembaziran dan rasa ingin menunjuk dengan menghiasi barang-barang yang dibawa itu secara berlebihan. Jadi hadiah yang dibawa itu kita kena pastikan ianya berguna untuk bakal pasangan. Tak perlulah barangan seperti bunga rampai atau pot porri yang hanya jadi hiasan sahaja.

Beruntung siapa yang jadi anak macam Ersyad ni. Belum pun balik ke Malaysia, ayahnya dah sediakan bakal isteri. Semuanya ayahnya yang uruskan, sediakan barang-barang hadiah iringan tu. Banyak dulang juga, lebih kurang 9 dulang barang-barang yang dibawa tu.

Pihak perempuan pula membalas sebanyak 11 dulang. Rasanya banyak juga duit habis untuk majlis pertunangan tu, menyambut rombongan pertunangan tadi tu. Rombongan yang datang saja dekat 10 buah kereta, adik beradik ustaz Puhad, kawan-kawan karibnya termasuk zauj dan ustaz Abas, dan yang menunggu pun lebih separuh rumah.

Tak apalah jika memang niat untuk menjamu sanak-saudara dan sahabat handai makan dan meraikan tetamu (kami) yang jauh ni. Lauk-pauk kampung, makan di bawah khemah di tepi ladang pertanian UPM. Angin sepoi-sepoi bahasa, lauk pauk kampung. Ada asam pedas melaka ikan tenggiri, sambal mangga dengan ulam-ulaman,ikan masin, nangka muda masak lemak,sambal goreng jawa,kari daging dan ayam goreng. Puih....memang sedang menjamu selera yang lapar. Ada serawa pulut durian, ada puding, ada kek, ada rambutan...

Ummi yang datang bersama zauj dan Imran, memanglah makan segala yang terhidang hingga lupa diet yang dipesan oleh doktor. Lepas makan, rehat sebentar, terus balik. sebelum tu ustaz Puhad masih sempat lagi berikan cenderhati kenangan kepada sesiapa yang turut mengiringi rombongan tu dengan menghadiahkan sehelai kain pelikat, kain batik, bunga telor dan gula-gula kepada kami.

Mula-mula, sampai sahaja rombongan kami, di dahului, oleh pembawa sirih junjung dan dulang cincin berjalan di depan, dan masuk ke dalam rumah, kak Abidah (mama Ersyad) menyusun dulang-dulang itu agar teratur.

Ustaz Abas memulakan lafaz hajat tanpa pantun. Adalah sedikit perbincangan , serah hadiah, bincang tempoh pertunangan.Ada juga wakil jurucakap pihak perempuan bertanya, adakah calon perempuan ini pilihan ibu bapa atau Ersyad. Diterangkan kronologinya, maka wakil merasa puas hati dan menerima hadiah-hadiah yang dibawa itu.

Tiada langsung perbincangan berkaitan dengan duit hantaran. Mungkin ini dibincangkan secara tertutup dan antara 2 buah keluarga sahaja. Rasanya itu yng sebaik-baiknya,jadi tiada lah ada rasa megah atau rasa membandingkan antara anak orang itu, dengan anak orang ini. urusan pertunangan ini mudah sahaja. Hadiah tu pun bukan diminta oleh pihak perempuan, tetapi saja pihak lelaki nak bawa, dan pihak perempuan pula ingin membalasnya. Seperti kata pepatah, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

InsyaAllah dalam tempoh setahun, majlis walimah akan diadakan apabila Ersyad balik ke Malaysia untuk bercuti atau tamat pengajian pada tahun hadapan. Maka tunggulah pula entri tentang walimah.

Oh lupa pulak, di forum Halaqahnet saja, ada 5 walimatul urus halaqian yang diadakan pada bulan November ini. Bulan Oktober lepas ada 2 walimah. Hmmm...makin ramai yang akan menamatkan zaman bujang. Semoga rumah tangga yang dibina mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

0 comments: