Janganlah fikirkan jika telah terlepas talaq itu maka putus segala hubungan dan tanggungjawap. Jangan fikir bila talaq sudah jatuh, maka kasih sayang terus putus. Sebab itu Islam mengadakah tempoh iddah. Tempoh iddah yang berbeza antara satu keadaan dengan keadaan yang lain. Semuanya ada hikmah tersendiri.
Dengan kasih sayang Allah, ada tempoh iddah kepada pasangan yang telah terjatuh talaq. Mana tahu masih ada rasa sayang dan ingat manis. Maka dalam tempoh iddah inilah,pasangan boleh untuk bersatu semula tanpa nikah dan dipanggil ruju'. Apakah ruju'?
# Ruju‘ dari segi bahasa bererti kembali.
# Manakala dari segi syara‘ pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu ‘iddah yang bukan talaq ba’in.
# Ruju‘ adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu ‘iddah isteri.
Ketahuilah, bahawa ruju' tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah ijma' ulama seluruhnya. Ruju' ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya tertakluk kepada suami.
Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :
"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"
Tiada sebarang peruntukan oleh Allah swt dan RasulNya untuk wanita dalam hal tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin ruju' kembali. Imam Ibn Qudamah berkata :
Ertinya : Ruju' adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini ruju' kembali dengan isteriku"
Tanpa diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya, sesungguhnya ruju' tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si isteri dan tidak juga disyaratkan mesti pemakluman kepada isteri, ia adalah dengan ijma' seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e as-Sonaie', Al-Kasani)
Makanya bila seorang suami ingin ruju'semula kepada isteri yang telah dilafazkan talaq, wanita tidak ada hak untuk berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"
DALIL HARUS RUJU‘
* Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (ruju‘) akan isteri-isteri di dalam masa ‘iddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.”
(Surah Al-Baqarah, 2:228)
* ·Allah subhanahu wata‘ala juga berfirman:
Maksudnya:
“Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddah, ruju‘lah mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik).”
(Surah At-Talaq, 65:2)
* Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada ‘Umar ketika dikhabarkan bahawa anaknya (‘Abdullah) telah menceraikan isterinya ketika haidh maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Suruh anakmu supaya dia rujuk kepada isterinya.”
(Maksud Al-Hadith)
RUKUN RUJU‘
* Ruju‘ mempunyai tiga rukun iaitu:
1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).
2. Murtaji‘ iaitu suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu.
3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.
SYARAT-SYARAT RUJU‘
1. Suami:
a) Hendaklah seorang yang berakal.
b) Baligh.
c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.
d) Tidak murtad.
2. Isteri:
a) Hendaklah yang sudah dicampuri.
b) Mestilah yang diceraikan dengan talaq raj‘iyy. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khul‘ dan juga talaq tiga.
c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.
3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah ruju‘ dalam masa yang tertentu sahaja.
4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Ruju‘ disyari‘atkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq raj‘iyy meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam ‘iddah. Tetapi perlu diingat bahawa ruju‘ hendaklah dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.
PROSEDUR RUJU‘
1. Jika selepas perceraian yang boleh diruju‘kan (dalam ‘iddah raj‘iyy) dan ruju‘ telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju‘kan tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkenaan dalam tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh peruju‘kan berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya dalam borang yang ditetapkan.
2. Bagi pihak-pihak yang ingin memohon ruju‘ atas persetujuan bersama semasa di dalam ‘iddah raj‘iyy, pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah bersama isteri dan dua orang saksi lelaki.
3. Setiap ruju‘ yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah memastikan pemohon mengemukakan sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syari‘ah berkaitan sebelum ruju‘ dijalankan.
4. Apabila Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berpuashati bahawa ruju‘ tersebut berlaku secara sah dari segi hukum syara‘, baharulah pendaftaran atau permohonan ruju‘ diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan, salinan resit pendaftaran kes perceraiannya di Mahkamah atau Sijil Cerai yang asal.
5. Pendaftaran atau permohonan ruju‘ hendaklah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah.
6. Setiap ruju‘ yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut akan diambil oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam Buku Daftar Cerai Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan.
7. Pemohon yang telah didaftarkan ruju‘ mereka akan diserahkan kepada mereka Surat Keterangan Ruju‘ (Borang 2D) dan direkodkan di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Ruju‘.
8. Butir-butir peruju‘kan tersebut hendaklah dicatitkan dan disimpan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah dalam Buku Daftar Ruju‘ (Borang 2E).
Seksyen 48. Ruju' (http://www2.esyariah.gov.my/)
(1) (a) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan peruju'an telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju'an itu dan butir-butir yang berkaitan dengannya kepada Pendaftar bagi mukim masjid di mana mereka bermukim. Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan jika berpuas hati bahawa peruju'an telah berlaku mengikut Hukum Syara' hendaklah mendaftarkan peruju'an itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya Sijil Cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Keterangan Ruju' dalam borang yang ditetapkan. Ia hendaklah juga menyerahkan satu salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai yang disimpan olehnya;
(b) Mana-mana pihak yang tidak melaporkan peruju'an itu dalam tempoh yang ditentukan kepada Pendaftar itu, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau dihukum penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
(2) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar itu, ia hendaklah merekodkan dalam Sijil Cerai bilangan daftar dan butir-butir Keterangan Ruju' itu dan hendaklah menghantar Sijil Cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan Keterangan Ruju' itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu membuat satu endorsmen pada catatan dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan berhubung dengan perceraian itu. Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah kemudiannya menyerahkan salinan Keterangan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam buku Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya berhubung dengan perceraian itu.
(3) Jika perceraian itu boleh diruju'kan telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu dan melafazkan ruju'.
(4) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan suami melafazkan ruju' dan jika isteri bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan subseksyen (5) hingga (15) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.
(5) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Ruju' dalam borang yang ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment