CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

18 November 2009

Mengapakah kesucian perkahwinan semakin dipandang serong?

Bunga Dahlia
Sememangnya terdapat sesetengah pihak memandang serong kepada kesucian perkahwinan sehingga ada yang sanggup membujang hingga ke akhir hayat. Keadaan ini berlaku kerana beberapa faktor terutamanya kerana kecetekan ilmu dan kejahilan mengenai matlamat, tujuan dan hikmah perkahwinan itu sendiri. Di sebalik pensyariatan perkahwinan, terdapat hikmah-hikmahnya tersendiri yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan kepada manusia.

Antaranya seperti yang disebut dalam kitab Fiqh al-Manhaji, perkahwinan adalah bertujuan untuk memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia iaitu keinginan memiliki zuriat dan tuntutan syahwat.

Islam sebagai agama fitrah, menyahut tuntutan ini dengan menggariskan peraturan-peraturan yang jelas bagi memastikan keinginan tersebut dapat dipenuhi dengan cara syarie iaitu melalui perkahwinan.

Terdapat sesetengah agama melarang rahib-rahibnya daripada berkahwin dengan alasan untuk mendekatkan lagi hubungan dengan Tuhan. Fahaman ini berlawanan dengan fitrah semula jadi yang ada pada manusia dan akhirnya ia akan menyebabkan berlakunya perzinaan.

Oleh kerana itulah Rasulullah menengah umatnya dari meninggalkan sunah perkahwinan sekalipun mereka daripada ahli ibadat. “Sesungguhnya Rasulullah menegah al-tabattul iaitu meninggalkan perkahwinan dengan tujuan memberi penumpuan kepada ibadat.” (Riwayat al-Tirmizi).

Perkahwinan juga dapat membendung dan mengawal dari berlakunya keruntuhan akhlak dan moral masyarakat. Sekiranya syahwat tidak dapat dipenuhi secara syarie maka zina, rogol dan seumpamanya akan dijadikan alternatif. Perzinaan dan jenayah rogol memberi kesan yang amat besar kepada masyarakat kerana hasil daripada itu akan tersebarnya penyakit di dalam masyarakat seperti HIV, pembuangan bayi, pembunuhan dan sebagainya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila telah datang kepadamu (meminang) mereka yang baik dari segi agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah mereka. Sekiranya kamu tidak melakukannya (menolak pinangan tersebut atau tidak ingin berkahwin sedangkan mempunyai kemampuan) maka kamu akan mengundang fitnah dan kerosakan pada dunia.” (Riwayat al-Tirmizi).

Perkahwinan akan menjadikan masyarakat lebih teratur dan memberi ketenangan dan ketenteraman dalam hidup seperti firman Allah dalam surah al-Ruum.

Selain itu, terdapat pihak yang hanya melihat beberapa kes yang melibatkan keganasan dan keruntuhan rumah tangga. Namun dalam waktu yang sama mereka memejamkan mata daripada melihat jutaan keharmonian dan kedamaian hasil dari perkahwinan serta dapat banyak menyelesaikan permasalahan sosial dalam masyarakat. Keruntuhan rumah tangga berlaku kerana kelalaian pasangan yang tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar dan tidak memahami matlamat berumah tangga iaitu cuai melaksanakan tanggungjawab di dalam keluarga.


Menurut kitab Nizam al-Usrah fii al-Islam, sekiranya umat Islam memilih membujang ke akhir hayat kerana takut berdepan dengan alam rumah tangga, sebenarnya ia memberi kemudaratan yang amat besar kepada agama, akhlak atau nilai diri, masyarakat dan ekonomi. Kemudaratan dari sudut agama bermaksud apabila seseorang itu menolak perkahwinan maka mereka akan memilih jalan lain bagi memuaskan hawa nafsu iaitu terjebak dengan perbuatan zina, rogol dan seumpamanya. Ketahuilah zina akan menghapuskan kemanisan iman, mengotorkan hati dan menghapuskan kejernihan pada raut wajah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Berwaspadalah kamu dari perbuatan zina, kerana pada zina itu ada empat kecelaannya: menghilangkan cahaya pada muka, menyekat keberkatan rezeki, terputus daripada kasih sayang Allah dan penyebab untuk ia kekal di dalam neraka buat selamanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Menolak perkahwinan juga akan menyebabkan kemudaratan kepada akhlak dan moral. Mereka akan melakukan zina dan rogol bagi memenuhi kehendak nafsu dan terkeluar daripada prinsip akhlak dan kemuliaan seorang manusia. Sebaliknya bersikap seperti binatang yang tidak berakal. Keadaan ini boleh menjatuhkan kemuliaan manusia yang dianugerahi oleh Allah dan bertukar kepada kehinaan yang lebih dahsyat daripada darjat haiwan.

Kemudaratan kepada masyarakat hasil memilih jalan membujang ialah akan menyebabkan institusi kekeluargaan menjadi lemah disebabkan tidak ada zuriat yang berkualiti dilahirkan sebaliknya anak-anak hasil perzinaan jauh daripada pendidikan dan belaian kasih sayang.

Anak-anak yang dilahirkan tanpa kasih sayang dan pendidikan yang mantap akan menyebabkan mereka tidak mampu memikul tanggungjawab sama ada pada agama, bangsa atau negara.

Apabila akal manusia menjadi lemah disebabkan tekanan dalaman untuk berkahwin, namun dia menolak desakan jiwa kerana keegoaan dan hilang keyakinan terhadap perkahwinan akan menyebabkan tidak dapat memberi tumpuan sewajarnya kepada apa-apa pekerjaan yang dilakukannya. Hasil dari keadaan tersebut akan memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi dan negara.

Menolak perkahwinan bererti kita melawan fitrah semula jadi yang Allah jadikan kepada manusia dan sekiranya manusia melawan fitrah ini. Ia akan membawa kepada kemusnahan mereka sendiri. Rasulullah dan nabi-nabi juga berkahwin kerana tuntutan fitrah sedangkan mereka mampu untuk mengawal nafsu syahwat sekalipun tanpa berkahwin, bagaimana pula manusia lemah seperti kita.

Rasulullah menegur kepada mereka yang tidak mahu berkahwin kerana ingin menumpukan kepada ibadat semata-mata dalam hadis yang bermaksud: Akan tetapi aku juga bersolat, aku juga tidur, berpuasa, berbuka dan juga mengahwini wanita, barang siapa yang berpaling (menolak) dari sunahku maka ia bukan dari umatku. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

0 comments: