CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

02 November 2009

TALAQ , FASAKH DAN KHULU'

Terdapat beberapa jenis pembubaran perkahwinan di dalam Islam seperti berikut;

1. Talaq.
2. Fasakh.
3. Khul`
4. Ta`liq
5. Li`an


PENGERTIAN TALAQ

Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan.

Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala, bermaksud:
“Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.” (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

RUKUN DAN SYARAT TALAQ

1. Suami. Syarat-syarat suami ialah:

a) Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah, tidak jatuh talaq jika belum berkahwin atau setelah bercerai dan habis ‘iddah.

b) Hendaklah dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika sekiranya gila, pengsan, mengigau dan pitam kecuali mabuk yang disebabkan meminum minuman keras dengan sengaja.

c) Baligh.

d) Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika diugut menceraikan isteri.

2. Isteri. Syarat-syarat isteri:

a) Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah semasa diceraikan.

b) Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.

3. Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:

a) Lafaz sarih (terang), iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas. Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan seperti berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”, “Aku lepaskan kau” dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.

b) Lafaz kinayah (lafaz kiasan), iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat menceraikan isterinya.

4. Qasad (niat).

HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.

3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.

4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khul‘ (tebus talaq).


PEMBAHAGIAN TALAQ

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Talaq raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).

2. Talaq ba’in, ia terbahagi kepada dua:

a) Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khul‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

c) Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

i. Setelah selesai ‘iddah si isteri.

ii. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.

iii. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.

iv. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.


PENGERTIAN FASAKH

* Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.


SEBAB FASAKH

* Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:

1. Sebab yang merosakkan akad.

a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.

b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.

2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.

b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.

c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.

* Manakala dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka 2002, Seksyen 53 menegaskan lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.

2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.

8. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

a) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya.

b) Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.

c) Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

d) Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

e) Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

f) Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara‘.

9. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.

HIKMAH FASAKH

1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.



KHUL‘ (TEBUS TALAQ)

PENGERTIAN KHUL‘

* Khul‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
* Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
* Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHUL‘
* Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:229)

SYARAT SAH KHUL‘

* Syarat sah khul‘ adalah seperti berikut:

1. Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khul‘ bukan dipaksa.

2. Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.

3. Lafaz khul‘: Hendaklah disebut dengan terang.

4. Bayaran khul‘: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.

* Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khul‘, tetapi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

* Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)


PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI KHUL‘

· Di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 49 ada menerangkan bahawa:

Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai denagn tebus talaq, Mahkamah hendaklah selepas sejumlah tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, menasihatkan suami itu melafazkan perceraian dengan tebus talaq mengikut hukum syara‘, dan perceraian itu adalah bain sughra dan tidak boleh diruju‘kan.

0 comments: