CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

30 November 2009

Perkahwinan Sejahterakan Hati

Bunga Dahlia
Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih-sayang dan belas-kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Ruum: 21)

Persoalannya, mengapakah semakin ramai golongan lelaki dan wanita bujang yang menolak perkahwinan? Kalau mungkin kerana tiada jodoh tidak mengapa. Tetapi yang lebih dibimbangi apabila mereka memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan atau tidak sanggup mengorbankan kerjaya.

Malah tidak kurang juga yang mengambil keputusan membujang kerana tidak pasti dengan kemampuan diri dalam mengharungi alam perkahwinan apatah lagi, dengan paparan kisah-kisah kerapuhan institusi kekeluargaan seperti pergolakan rumah tangga, penderaan emosi dan mental, perlakuan curang pasangan, campur tangan keluarga dan bebanan tanggungjawab yang tidak adil.


Apakah ‘kerugian’ yang akan dialami oleh mereka yang menolak perkahwinan (‘Uzuuf) dengan pelbagai alasan remeh-remeh, sedangkan diketahui akan kelebihannya di sisi agama?

Menurut Syeikh Khalid Abdurrahman al-‘Ak, dalam kitabnya Adab al-Hayat al-Zaujiyyah, mereka yang menolak perkahwinan (al-‘Uzuuf) akan mengalami dua kerugian dan kemudaratan iaitu dari segi keduniaan dan agamanya (akhirat).

Kerugian di dunia yang dimaksudkan di sini ialah jiwa sentiasa di dalam keluh kesah dan tidak tenteram. Ini kerana antara hikmah perkahwinan ialah menjadikan jiwa manusia dalam keadaan tenteram, tenang dan lebih teratur seperti mana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Ruum ayat 21 di atas.

Sementara itu, Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menyatakan: “Tidak akan sejahtera hati seseorang yang dikuasai oleh syahwat melainkan dengan perkahwinan, apabila hati dalam keadaan kecelaruan seseorang itu tidak mampu melaksanakan ibadat dan pekerjaan-pekerjaan lain dengan sempurna”.

Menolak perkahwinan juga akan mengalami kerugian di dunia iaitu tidak memiliki zuriat keturunan, kerana memiliki zuriat yang sah merupakan antara matlamat sesuatu perkahwinan. Apatah lagi, apabila mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah pahala di dunia ini, melainkan tiga perkara antaranya anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebahagiaan ibu bapa mereka. (Walaupun ada pasangan yang berkahwin tetapi tidak memiliki zuriat, namun sekurng-kurangnya mereka berusaha untuk mendapatkan namun, rezekinya tiada.)

Seseorang juga akan mengalami kerugian dari sudut keagamaan (akhirat). Dengan menolak perkahwinan besar kemungkinan akan terjebak dengan kemungkaran atau dosa-dosa besar yang mengakibatkan mereka diazab dengan azab yang dahsyat pada hari pembalasan nanti seperti dosa zina, jenayah rogol dan seumpamanya.

Perkahwinan sebenarnya menjadi benteng berlakunya perbuatan-perbuatan keji dan sabda Rasulullah bermaksud: Wahai pemuda pemudi, barang sesiapa di kalangan kamu mampu untuk berkawin, maka berkahwinlah, kerana dengan perkahwinan akan dapat menundukkan pandanganmu (dari memandang maksiat) dan menjaga kemaluanmu (dari melakukan zina). Dan sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah, kerana ia akan menjadi perisai bagimu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pepatah Arab menyebut: “Kita tidak akan menuai hasil tanaman hari ini, selain daripada penat lelah pada semalamnya”. Sesuatu yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti susah sudah tentu akan membuahkan hasil yang baik pada masa akan datang.

Firman Allah: Dan orang-orang berjihad (untuk mencari keredaan) Kami, nescaya Kami benar-benar akan menunjuk jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Ankabut: 69)

Begitulah juga dalam kehidupan berkeluarga, sekiranya kita sanggup mengharungi segala dugaan dan ujian dalam melayani kerenah pasangan dengan penuh kesabaran di samping mendidik dan mengajar mereka, nescaya akan kita kecapi kemanisan dan kebahagiaan yang sejati di kemudian hari.

Isteri yang bersusah payah melayani suaminya tanpa menghirau penat lelah, siang atau malam, semata-mata untuk mendapat keredaan suaminya, maka akan diberi ganjaran syurga oleh Allah. Sabda Rasulullah bermaksud: “Mana-mana isteri yang meninggal dunia dan suami reda kepadanya maka ia akan dimasukkan ke syurga.” (Riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, suami isteri yang berkerjasama mendidik dan mengajar anak-anak supaya mereka menjadi anak yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara, nescaya anak tersebut akan menjadi saham yang amat bernilai apabila berhadapan dengan Allah kelak.

Kenyataan ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti yang dinyatakan di atas.

Ini membuktikan betapa berbaloi penat lelah selama ini, dengan nikmat yang diperoleh di kemudian hari dan kesemua ini mustahil dapat dikecapi melainkan dengan kesabaran dalam melayari bahtera rumah tangga.

Sebelum menempuh alam rumah tangga dan bergelar suami atau isteri, terdapat banyak perkara asas yang perlu diketahui dan dipelajari. Secara umumnya asas-asas persediaan yang perlu ada pada bakal pengantin ialah pengetahuan agama.

Kebijaksanaan pasangan suami isteri meningkatkan ilmu pengetahuan sudah tentu dapat dijadikan panduan menangani masalah yang berkemungkinan berlaku dalam rumah tangga. Penghayatan mengenai ilmu agama sudah tentu memberi persediaan dalam menghadapi cabaran.

Sebab itulah Islam menekankan asas utama pemilihan pasangan adalah dilihat dari segi agamanya, sabda Rasulullah bermaksud: "Wanita (termasuklah lelaki) kebanyakan dikahwini disebabkan oleh empat perkara: kerana harta, keturunan, rupa paras dan kerana agamanya, maka pilihlah yang ada agama nescaya kamu akan beruntung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara ini disokong Dr. Muhammad Uqlah selain perkara-perkara seperti mempunyai pekerjaan atau sumber ekonomi bagi menyara keluarga dan lain-lain.

Sabda Rasulullah lagi: “Sesiapa yang mengahwini isteri kerana kedudukannya, tiadalah Allah tambah kecuali kehinaan, sesiapa yang menikahi isteri kerana hartanya, tiada ditambah oleh Allah kecuali kefakiran, tetapi sesiapa yang berkahwin kerana ingin menunduk pandangannya menjaga kehormatannya atau menghubung silaturahim Allah akan memberkati keduanya.” (Riwayat Imam al-Tabarani)

0 comments: