Kita telah sedia maklum bahawa Islam menyarankan mencari pasangan hidup yang beragama dan berakhlak baik. Namun, bagaimana cara mengenal pastinya? Bagaimana seorang lelaki atau wanita itu dikategorikan sebagai seorang calon yang beragama ? Adakah cukup sekadar rajin ke masjid dan rajin mendengar kuliah agama?
Jika yang perempuan cukupkah sekadar kita melihat dia bertudung, berpakaian menutup aurat, pemalu dan tidak suka berbual dengan lelaki?
Sebenarnya ia amat mudah. Dengan hanya melihat kepada pengetahuan fardhu ain seseorang, kita sudah boleh membuat kesimpulan sama ada beliau tergolong di dalam golongan orang yang beragama atau sebaliknya.
Malangnya, ramai mengambil mudah perkara “fardhu ain.”
Iman Al-Ghazali telah membahagikan ilmu fardhu ain kepada dua kategori. Pertama, ilmu berhubung cara pelaksanaan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ilmu ini ramai yang tahu, ramai yang amal. Ada juga yang tidak tahu dan sedang berusaha memperbaiki diri.
Kedua, ilmu berhubung cara menghilangkan sifat-sifat yang tercela di dalam hati seperti rasa tamak, dengki, marah tak bertempat, riak, ujub dan sebagainya. Menurut Imam Ghazali, “Menghilangkan sifat-sifat itu adalah fardhu ain dan tidak dapat mungkin menghilangkannya melainkan dengan mengetahui batas-batasnya, sebab-sebabnya, tanda-tandanya dan cara mengubatinya.” [1] Ilmu ini ramai yang tidak mahu ambil tahu. Jika ada pun, ia tidak dianggap sebagai fardhu ain.
Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [2] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.
Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.
Jika penilaian semata-mata pada luaran seperti bertudung, berpakaiana menutup aurat, ramai hari ini, perempuan yang bertudung dan berpakaian menutup aurat kerana berfesyen, kerana malu dengan persekitaran atau lingkungan yang di diami, kerana suruhan seseorang atau kerana peraturan sedia ada ditempat itu.
Jadinya bila bertudung dan berpakaian menutup aurat bukan dari fahaman fardu ain, mewajibkan bertudung/menutup aurat kerana kewajiban agama ke atas setiap individu mukalaf maka banyaklah yang kita lihat hari ini perempuan yang berpakaian tetapi telanjang.
Pemalu dan tidak berbual dengan lelaki pula, mungkin kerana dia tidak suka dengan individu lelaki itu dan memang sifat semula jadi dirinya yang tidak banyak cakap. Maka sekadar penilaian luaran ini tidak boleh jadi asas dalam menilai adakah perempuan beragama atau tidak. Jika kita hanya melihat akhlak sahaja, orang kafir sendiri pun mana-mana yang baik , sentiasa berakhlak mulia kerana menjaga maruah dirinya.
Sebab itu, kefahaman asas fardhu ain ini amat penting supaya menjadi benteng dalam dirinya dan asas menjaga kehormatan dan maruah diri dan rumah tangga.
Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [3]
Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah ! Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali. [4]
Justeru, wujud masyarakat Islam yang bersolat, berpuasa, tetapi masih melakukan maksiat.
Jadi, buka mata kita. Apabila kita melihat seseorang yang suka mengumpat, berdengki, bercakap sombong dan sebagainya, ini menunjukkan beliau belum lagi mempunyai pengetahuan fardhu ain yang lengkap.
Seseorang yang tidak lengkap ilmu fardhu ainnya, sudah tentu tidak mempunyai asas agama yang kukuh. Apabila asas agama tidak kukuh, maka beliau bukanlah calon pasangan hidup seperti yang disarankan oleh nabi s.a.w.
Untuk itu, sama-samalah kita belajar teknik untuk bermujahadah dengan nafsu diri, kerana ia sebahagian daripada perkara yang perlu kita ketahui. Ia adalah fardhu ain.
Antara kitab-kitab yang menyatakan teknik-teknik ini adalah Bimbingan Mukminin. Kitab ini ringkasan daripada kitab Ihya Ulumuddin yang telah disaring dan disemak semula oleh para ulama.[5]
Tassawuf Moden karangan Professor HAMKA juga membincangkan teknik-teknik ini dari perspektif masyarakat Islam moden.
Wallahu’alam.
Nota Kaki
~~~~~~
[1] Ihya Ulumuddin, Al-Imam Al-Ghazali; Di dalam Kitab Ilmu, Bab Mengenai Ilmu Terpuji dan Tercela …
[2] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, #2661.
[3] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1004. Bertaraf hassan.
[4] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1005. Bertaraf hassan.
[5] Koleksi kitab-kitab Ihya Ulumuddin mengandungi hadith-hadith daif, palsu serta riwayat yang kadang-kadang tidak bersumber. Justeru, para ulama telah meringkaskan dan menapis maklumat tersebut lalu dijadikan kitab ringkasan seperti Bimbingan Mukminin.
12 November 2009
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Posted by MUNALIZA at 7:39:00 AM
Labels: Pemilihan calon
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
wah sedapnyer ummi makan.sume lauk pauk kampung.baru bes kenduri mcm tu.terasa duk kt kg je.hihi.jaga kesihatan ya ummi.igt pesan doktor.
anyway bagus artikel ni bg pendedahan tentang tiada halangan untuk bertunang walopom masih belajar..
bertunang waktu belajar tak ada masalah. bernikah waktu belajar juga tak ada masalah..hati mesti kuat , tekad mesti kental dan azam perlu semangat. Sabar ibu sehala kejayaan...
tawakkal, berserah kepada rahmat dan kasih sayang Allah.
Post a Comment