CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

10 January 2010

Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati?


Di dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”




Pada zaman nabi, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Kerana sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”[1]. Kisah ini direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadith hassan sahih.

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan yang besar kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadith riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!.” Ditanyakan, “siapakah yang Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab, “Orang yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk syurga.”[3]

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Hadith-hadith Rasulullah dalam pemilihan jodoh.


Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [4] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.

Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [5]

Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia” sebanyak tiga kali. [6]

Wallahu’alam

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1110, hassan sahih
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1822, sahih
[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : 4628

Rujukkan
~~~~~~
Uts Shamsuri Hj Ahmad, audio mukhadimmah Kuliah Kitab Bahrul Mazi 7, http://www.savefile.com/files/1135075

[4] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, #2661.
[5] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1004. Bertaraf hassan.
[6] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1005. Bertaraf hassan.

0 comments: