Maksud :“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).
( Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.)
Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumahtangga muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadith di atas.
Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumahtangga muslim yang bahagia, aspek pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumahtangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah SWT. Apa gunanya hidup kita, sekiranya kehidupan selepas berumahtangga menjadikan diri kita lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu? Hikmahnya ialah dengan mempunyai nilai keagamaan itulah seseorang itu dapat memiliki akhlak yang baik, menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan saling bantu membantu dalam rangka untuk membina rumahtangga yang diredhai Allah SWT. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumahtangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan rumahtangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumahtangga tersebut?Adakah dengan mempunyai kekayaan dan memiliki segala-galanya, kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Berapa banyak sebenarnya kes penceraian yang berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang kononnya mempunyai kemewahan hidup semakin ketara? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya ?
Sebenarnya kebahagiaan rumahtangga yang bahagia itu telah jelas ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri. Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumahtangga iaitu membina rumahtangga itu adalah semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT, bukan disebabkan faktor atau dorongan yang lain. Tetapi berapa ramai yang menjadikan matlamat hidup ini untuk mencari keredhaan Allah SWT? Di mana letaknya keberkatan dalam berumahtangga? Apakah pasangan itu sekufu dan apakah neraca yang digunapakai dalam penentuan sekufu atau tidak?
Sekufu di sisi Islam adalah sekiranya pasangan suami isteri mempunyai kefahaman Islam dan matlamat hidup yang jelas, tahu akan tanggangujawab masing-masing bahawa membina rumahtangga muslim itu adalah suatu ibadah, saling merindui rumahtangga yang dirahmati dan diberkati Allah SWT, suami isteri yang saling nasihat menasihati antara satu sama lain dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, cuba mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni, suami yang memberikan didikan agama kepada isteri dan ingatlah isteri yang solehah boleh membawa suami ke syurga.
Apakah rahsia membentuk rumahtangga muslim yang bahagia? Ingatlah para isteri yang dikasihi Allah SWT, antara ciri-ciri sifat isteri yang solehah itu apabila dia taat kepada Allah SWT, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan suaminya. Selain itu, menjaga sembahyang lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Maka masuklah dia ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang disukainya. Berazamlah untuk menjadi isteri yang solehah. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumahtangga itu ialah isteri yang solehah agar dapat membina keluarga sakinah.
Begitu juga, para suami yang soleh, mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami yang soleh juga akan memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan dan melayani isteri dengan baik. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh yang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.
Namun, apa yang dibimbangi ialah janganlah disebabkan apabila seseorang selepas alam berumahtangga membuatkan dirinya semakin jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Semasa bujangnya beliau terkenal dengan kuat sembahyang sunat, puasa sunat, berzikir dan bersedekah telah berubah. Kehidupannya berubah menjadi seorang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri, bekerja keras untuk mengumpul harta dan mengejar kemewahan semata-mata untuk keluarga. Alangkah ruginya hidup yang fana ini sekiranya apabila memasuki gerbang rumahtangga itu menjadikan dirinya semakin jauh dari Allah SWT. Titik tolak kebahagiaan rumahtangga adalah bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.
Sumber
Selepas Allah dan RasulNYA,
Cinta, Kasih dan Sayangku hanya pada zaujku .
0 comments:
Post a Comment