Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.
Perkahwinan adalah suatu wasilah untuk menjaga agama mereka daripada terfitnah. Tetapi sebaliknya terjadi, ada disebabkan perkahwinan agama mereka menjadi rosak, iman semakin surut dan tidak tercapai ketenangan jiwa yang menjadi matlamat mendirikan rumah tangga.
Ketenangan dalam rumah tangga hanya dapat diwujudkan dengan merealisasikan prinsip keadilan, sentiasa meraikan cinta sebagai amal salih dan menyatukan matlamat kehidupan suami dan isteri. Islam tidak memaksa seseorang mempertahankan perkahwinan apabila tiada harapan lagi untuk membina ketiga prinsip itu dalam alam perhubungan suami isteri.
Hal itu pernah terjadi dalam rumah tangga anak angkat Baginda SAW, Zaid bin Harithah yang berkahwin dengan seorang wanita terkemuka daripada kalangan bangsa Quraisy, Zainab yang tidak mencintai Zaid atas sebab tertentu, tetapi Baginda SAW menasihati Zaid supaya menahan Zainab sebagai isteri sehingga turun teguran dari langit suruhan menceraikan Zainab, kemudian Allah menguji Rasulullah SAW dengan suruhan menjadikan Zainab sebagai Ummahatul Mukminin.
Ayat ini secara langsung menegur sesiapa saja yang menyulitkan proses perceraian yang halal di sisi Allah kerana memaksa lelaki dan wanita untuk mempertahankan perkahwinan walaupun konflik terlalu kusut untuk dileraikan, perbuatan ini nyata menjejaskan iman, agama dan masa depan mereka.
Bahtera perkahwinan yang tidak menegakkan prinsip keadilan akan goyah, tetapi tidaklah boleh meletakkan neraca keadilan itu mengikut akal fikiran dan hawa nafsu manusia tanpa bimbingan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW.
Mengikut akal manusia, keadilan bererti sama rata dalam pembahagian hak dan tanggungjawab. Maknanya jika suami bekerja dan isteri juga bekerja, masing-masing mesti berkongsi memberi nafkah.
Tetapi wahyu menyatakan yang bertanggungjawab memberi nafkah hanya suami, lalu orang lelaki berasakan perkara ini tidak adil kepada lelaki, mereka mahu wanita juga mengeluarkan hartanya untuk nafkah keluarga. Akhirnya ada suami mengambil kesempatan menggunakan harta isteri untuk berkahwin baru.
Dalam hal kasih sayang dan khidmat layanan kepada pasangan, Islam sama sekali tidak pernah merestui pemerintahan kuku besi dalam rumah tangga. Isteri mengawal suami atau suami mengongkong isteri, kedua-duanya tidak sesuai dengan prinsip keadilan Islam.
Isteri wajib taat kepada suami dan suami pula wajib menyayangi isteri. Ramai suami yang mahu isteri memberi ketaatan seratus peratus, tetapi dia tidak mampu menyayangi isteri seratus peratus. Begitu pula ramai isteri yang mahu suami sayang tidak berbelah-bagi, tetapi mereka enggan taat kepada suami.
Akhirnya suami menjadi liar dan isteri pula bertambah degil. Sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak akan melahirkan cinta yang ikhlas. Mereka dituntut untuk pandai memberi dan reda menerima pasangan secara adil tanpa diskriminasi dan eksploitasi terhadap pasangan. Hal sebegini pernah dilalui Rasulullah SAW dan sahabat dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Keadilan yang saksama dalam rumah tangga mengikut bimbingan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW nyata memberi gambaran harmoni dalam kehidupan suami dan isteri. Ada beberapa prinsip keadilan dikutip daripada ayat Allah dan sunnah Nabi SAW.
Bukan hanya suami yang dituntut melayan dan menumpahkan kasih sayang kepada isteri bahkan isteri pun wajib memberi layanan yang sama kepada suami seperti dilakukan isteri Rasulullah SAW dan sahabatnya.
Setiap kali konflik rumah tangga terjadi, kebiasaannya semua pihak mencari siapa bersalah, menyerang pasangannya dengan untaian keaiban didedahkan. Tetapi hakikatnya, siapa yang melempar batu dalam rumah tangganya, maka kepala dia sendiri akan berdarah.
Suami yang menghina isteri sebenarnya menghina dirinya sendiri, isteri mengaibkan suami dengan sengaja, maka aibnya sendiri akan menjadi tontonan orang ramai. Inilah perbuatan syaitan jantan dan betina kerana punca keretakan adalah tidak pandai membahagi keadilan kepada jiwa masing-masing.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.[ar-Rum 30:21]
Satu institusi untuk memudahcara pembinaan keluarga bahagia yang diredhai oleh Allah. Jodoh pertemuan di tangan Allah namun usaha perlu dilakukan. Usaha dan tawakkal perlu berjalan seiring untuk kebahagian yang abadi. Sentiasa berdoa agar pasangan kita dan anak-anak kita menjadi penyejuk mata & penghibur hati.
kasih sayang...itu indah..kasih sayang...itu bahagia...kasihilah kesayangan anda...bersyukurlah sekiranya anda masih mempunyai kasih sayang di hati anda...
0 comments:
Post a Comment